Menjawab soal penulisan karangan Bahasa Melayu memerlukan pelajar untuk memerah idea dan mengolah huraian yang terbaik berdasarkan tajuk yang dipilih. Membuat latihan atau pembacaan contoh-contoh karangan merupakan salah satu teknik yang berkesan sebagai langkah persediaan. Seiring dengan perkara tersebut, di bawah dikongsikan contoh karangan Persediaan Menghadapi Alam Pekerjaan (Kerjaya) untuk panduan semua.
Alam pekerjaan adalah alam yang berbeza dan lebih mencabar berbanding alam pembelajaran yang pelajar sedang hadapi ketika ini. Tekanan dan tanggungjawab yang dipikul akan bertambah dan menguji kemampuan fizikal dan juga mental setiap individu. Maka, membuat persediaan di umur yang masih muda mampu memberikan kita langkah yang baik ke alam pekerjaan nanti. Cita-cita dan harapan untuk berjaya di alam pekerjaan mampu direalisasikan bermula dari persediaan yang teliti serta menyeluruh.
Contoh Karangan Persediaan Menghadapi Alam Kerjaya (Pekerjaan)
Berikut adalah contoh karangan bertajuk Persediaan Alam Kerjaya. Rujuk isi-isi penting dan huraian karangan mengikut rangka pendahuluan, isi-isi penting serta penutup sebagai panduan untuk karangan yang mempunyai tema atau tajuk yang berkaitan.
Isi-isi penting
- Mengetahui prospek kerjaya yang bakal diceburi
- Mendapatkan kelayakan akademik yang terbaik
- Memahirkan diri dengan kemahiran komunikasi
- Membahagikan masa dengan bijak
- Mempelajari untuk bertindak secara rasional dan toleransi
- Menyediakan rancangan kerjaya alternatif
Pendahuluan
Sebagai pelajar, kita pastinya akan tertanya-tanya dan membayangkan apakah pekerjaan yang bakal kita lakukan apabila masuk ke alam dewasa nanti. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia secara amnya dan negara secara khususnya yang tidak menentu. Kenaikan kos untuk menyara kehidupan secara individu dan juga berkeluarga sudah meningkat dari tahap yang berbeza dengan zaman ibu dan bapa kita.
Oleh sebab yang demikian, penting untuk kita memikirkan dan merangka rancangan sebelum kita menempuh alam pekerjaan. Dalam dunia yang tanpa sempadan ini, kita boleh lihat ada golongan yang sukar untuk mencari pekerjaan dan ada juga golongan yang boleh bekerja dengan syarikat asing di rumah sahaja tanpa perlu ke pejabat. Mari kita senaraikan persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh golongan remaja sebelum menghadapi alam pekerjaan.
Isi 1
Pertama sekali, kita perlu mengetahui prospek kerjaya yang kita minati sebagai persediaan menghadapi alam kerjaya. Pelajar boleh menggunakan kemudahan internet untuk mencari maklumat tentang kerjaya-kerjaya yang ingin diceburi hanya menggunakan hujung jari sahaja. Sebagai contoh, jika pelajar berminat untuk menjadi seorang doktor, semak kelayakan akademik yang diperlukan serta kos yang terbabit dalam pengajian untuk menjadi seorang doktor.
Adakah anda dan keluarga anda mampu untuk memastikan pengajian tahap tinggi itu dilaksanakan dengan jayanya? Jika tidak, cari alternatif kerjaya yang boleh diceburi dalam bidang yang sama seperti penolong pegawai perubatan atau jururawat yang juga berkhidmat di bawah bidang yang sama. Dengan kajian dan pengetahuan yang mendalam, kita dapat mengetahui tentang prospek kerjaya serta alternatif jika rancangan utama kita gagal.
Isi 2
Antara persediaan lain untuk menempuh alam pekerjaan yang boleh dilakukan oleh para pelajar adalah dengan mendapatkan kelayakan akademik yang terbaik. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat sejumlah besar pelajar yang tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun sebelum ini. Situasi ini membimbangkan kerana mereka melihat kejayaan pempengaruh dan atlet e-sukan yang berjaya tanpa kelayakan akademik.
Stigma ini perlu diatasi kerana pembelajaran khususnya di peringkat remaja adalah penting dalam membentuk jati diri dan mentaliti seseorang individu. Tamsilnya, jika ingin menjadi seorang pempengaruh, pastikan anda melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan seperti penyiaran dan media. Dengan latar belakang akademik yang lebih meyakinkan, syarikat berkaitan akan lebih percaya untuk bekerjasama dalam kempen pemasaran. Jelas bahawa mendapatkan kelayakan akademik yang terbaik adalah persediaan yang sebelum menghadapi alam pekerjaan kerana peluang yang lebih baik akan ditawarkan kepada kita.
Isi 3
Pada masa yang sama, kita hendaklah memahirkan diri dengan kemahiran komunikasi yang baik sebagai persediaan untuk menghadapi alam pekerjaan. Kemahiran komunikasi yang baik adalah seperti berucap atau berkata-kata menggunakan perkataan yang sesuai, menganalisis sesuatu keadaan dan mampu menyelesaikan sesuatu masalah dengan kaedah yang baik. Sama seperti apa yang anda lalui di peringkat sekolah di mana mereka yang lebih berkomunikasi baik dan berketerampilan tinggi mendapat jawatan seperti pengawas atau ketua kelas.
Oleh itu, jika anda ingin berjaya dalam alam pekerjaan, kemahiran berkomunikasi adalah kemahiran yang sangat mustahak untuk dikuasai. Hal ini kerana anda akan berurusan dengan pekerja-pekerja lain yang mempunyai latar belakang dan ragam yang berbeza-beza. Syarikat atau organisasi yang anda sertai juga memerlukan individu yang terbaik dalam mewakili imej syarikat atau organisasi tersebut. Nescaya kemahiran komunikasi yang baik akan membantu kita untuk berjaya dalam alam pekerjaan.
Isi 4
Akhir sekali, persediaan yang perlu dipraktikkan oleh pelajar mulai hari ini adalah membahagikan masa dengan bijak. Menjelang alam dewasa, amanah dan tanggungjawab yang dipikul akan bertambah dari hari ke hari. Setiap individu perlu belajar berdikari dan membahagikan masa untuk bekerja, meluangkan masa bersama keluarga dan juga perkara-perkara lain seperti beribadah dan bersenam.
Setelah memasuki alam pekerjaan, kita ditugaskan dengan tugasan yang mempunyai tarikh untuk dihantar laporannya kepada ketua kita, sama seperti apa yang kita lakukan di sekolah. Justeru, untuk berjaya di alam pekerjaan, kita perlu memastikan untuk mematuhi masa dengan tepat dan menyelesaikan tugas yang diberikan dalam tempoh yang ditentukan.
Penutup
Sebagai kesimpulan, banyak persediaan yang perlu dilakukan oleh para pelajar untuk menghadapi alam pekerjaan. Tujuan dan objektif kehidupan kita dimuka bumi ini adalah untuk menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan juga negara. Bagi mencapai objektif tersebut, kita hendaklah berusaha tanpa putus asa untuk mencapai kerjaya yang diminati dan melakukan yang terbaik dalam apa yang diceburi. Pepatah Melayu ada berkata, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Perumpamaan ini jelas menunjukkan bahawa kejayaan itu bukan mudah untuk digapai sebaliknya kita perlu berusaha sehabis baik untuk berjaya. Semoga setiap pelajar berpeluang untuk menceburi alam pekerjaan yang diminati dan memenuhi objektif negara melahirkan insan berminda kelas pertama seringin dengan negara-negara maju yang lain.
Rel : perlu mempunyai, bidang pekerjaan, untuk menjalankan, berurusan dengan rakan sekerja majikan,
Senarai Tajuk Kecil Artikel