Kebaikan Amalan Gotong Royong Dalam Masyarakat (Kelebihan). Contoh karangan Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan penting.

Kebaikan Amalan Gotong Royong Dalam Masyarakat (Kelebihan)

kebaikan gotong royong dalam masyarakat kelebihan

Setiap tahun, bencana banjir kerap berlaku di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan sungai sehingga merosakkan rumah dan kawasan sekeliling. Setelah surut, sukarelawan akan datang untuk membantu mangsa-mangsa banjir mengemas rumah dan kawasan yang terjejas. Aktiviti ini dikenali sebagai gotong royong, dimana sekumpulan manusia bersama-sama melakukan tugas seperti pembersihan untuk meringankan beban seseorang atau manfaat bersama.

Pastinya setiap di antara kita pernah menyertai aktiviti gotong royong ini khususnya dalam kalangan pelajar di sekolah. Maka, soalan penulisan karangan Bahasa Melayu yang bertemakan gotong royong menjadi kelaziman untuk disoal. Pelajar mempunyai peluang untuk menulis berdasarkan pengalaman dan juga pengetahuan masing-masing dan menghasilkan penulisan karangan yang terbaik.

Contoh Karangan Kelebihan Amalan Gotong Royong Dalam Masyarakat (Kebaikan)

Jika pelajar ingin menjawab soalan yang berkaitan dengan kebaikan amalan gotong royong dalam masyarakat (Kelebihan), anda boleh rujuk isi-isi penting dan huraian yang diberikan di bawah:

Isi-isi penting

  1. Mengekalkan kebersihan kawasan persekitaran
  2. Memupuk kerjasama dan memudahkan tugas
  3. Mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat
  4. Melahirkan perpaduan antara kaum
  5. Membentuk perasaan simpati dan empati dalam individu
  6. Menjimatkan perbelanjaan atau kos penyelenggaraan

Pendahuluan

Setiap di antara kita pastinya pernah menyertai program bergotong royong sama ada di sekolah atau di kawasan perumahan masing-masing. Aktiviti ini melibatkan sekumpulan individu bersama-sama membersihkan atau melakukan satu tugasan untuk kebaikan bersama. Jika ditelusuri, budaya ini telah pun dilakukan oleh nenek dan moyang kita apabila ingin menjalankan sebuah majlis keraian atau perkahwinan, mereka akan bersama jiran tetangga untuk memasak dan membersihkan kawasan yang digunakan selepas itu. Namun begitu, kemajuan zaman pada masa ini telah menjadikan budaya tersebut semakin dilupakan bagai kacang lupakan kulitnya. Pekhidmatan katering dan pengatur cara majlis lebih mudah untuk diupah dan memastikan majlis-majlis yang dirancang berjalan dengan lancar. Justeru, wajar untuk kita mengetahui kebaikan amalan gotong royong dalam masyarakat supaya kita dapat melaziminya kembali untuk mendapat faedah bersama.

Isi 1

Kebersihan kawasan persekitaran dapat dipelihara adalah salah satu kebaikan amalan gotong royong jika dilakukan dengan kerap di dalam sesebuah komuniti. Masyarakat pada hari ini merasakan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan sekitar adalah peranana kerjaan atau pihak berkuasa. Stigma ini  perlu dihentikan kerana walaupun agensi kerajaan mempunyai pekerja pembersihan untuk membersihkan kawasan perumahan, kita juga boleh membantu meringankan bebanan kerja mereka dengan aktiviti gotong royong. Sebaiknya jika kita berada dalam satu komuniti aktiviti pembersihan kawasan sekitar secara gotong royong hendaklah dilaksanakan satu atau dua kali sebulan. Hal ini kerana ia dapat membuka mata kita terhadap persekitaran tempat tinggal kita. Misalnya kita dapat memastikan saluran longkang berjalan dengan lancar dan tidak tersumbat serta tiada takungan air berlaku tanpa sedar kerana akan menyebabkan pembiakan aedes. Apabila kebersihan dijaga, nescaya kesihatan juga terjamin bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Isi 2

Pada masa yang sama, aktiviti gotong royong dapat memupuk semangat atau nilai kerjasama serta memudahkan tugas setiap individu. Sebagai contoh, aktiviti kebajikan yang dibuat secara bergotong royong memerlukan kerjasama yang baik antara peserta. Jika aktiviti kebajikan adalah untuk mengecat sebuah rumah penjagaan orang tua, sukarelawan yang menyertai aktiviti tersebut perlu mengagihkan tugas supaya misi tercapai dalam masa yang singkat. Bayangkan jika aktiviti kebajikan tersebut tidak diatur dengan baik, pastinya aktiviti mengecat tidak selesai dalam masa satu hari. Secara tidak langsung, kemahiran mengurus dan mendengar arahan dapat ditambah baik dalam diri setiap sukarelawan. Persis kata peribahasa Melayu, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jelasnya, aktiviti gotong royong dapat menyelesaikan sesuatu tugas dalam tempoh masa yang singkat dan memupuk nilai kerjasama.

Isi 3

Di samping itu, menyertai aktiviti gotong royong dapat mengeratkan hubungan kita dengan masyarakat setempat. Ungkapan tak kenal maka tak cinta adalah kenyataan yang jelas menunjukkan jika kita tidak mengenali seseorang, kita tidak akan tahu tentang kebaikan atau sumbangan yang mampu mereka berikan kepada kita. Melalui aktiviti gotong royong dalam komuniti, kita dapat mengenali jiran tetangga kita dengan lebih baik. Tamsilnya, jika salah seorang anak kita mencari peluang pekerjaan dan terdapat jiran yang bekerja di dalam bidang yang sama dengan latar belakang akademik anak tersebut, kita berpeluang untuk mendapatkan temu duga dan sebagainya. Selain itu, melalui aktiviti gotong royong, kita dapat mengenal pasti dan membantu jiran tetangga yang kurang bernasib baik. Perasaaan simpati dan empati akan timbul untuk kita membantu jiran tetangga yang menghadapi kesusahan dengan kemampuan atau keupayaan yang kita miliki. Bak kata peribahasa, ringan sama menjinjing, berat sama memikul. Intihannya, semangat kejiranan akan bertambah kukuh dengan melakukan aktiviti gotong royong

Isi 4

Pada masa yang sama, umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Maka, aktiviti yang melibatkan kebanyakan anggota masyarakat seperti gotong royong dapat melahirkan perpaduan antara kaum, bangsa dan agama. Kita sering kali dipermainkan dengan anasir jahat yang sengaja ditimbulkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab untuk menjadikan kucar-kacir dalam keharmonian negara. Namun begitu, isu tersebut sering kali disangkal oleh ahli masyarakat kita kerana apabila berlaku bencana seperti banjir kita dapat lihat dengan mata kasar bahawa pertolongan diberikan antara satu sama lain tanpa sebarang prejudis. Natijahnya, aktiviti seperti gotong royong dapat menyemarakkan perpaduan antara masyarakat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan belia yang mustahak demi masa hadapan tanah air. Persis kata peribahasa, hidup dikandung adat, mati dikandung tanah yang bermaksud, jika adata atau budaya yang diamalkan oleh nenek dan moyang kita memberikan kebaikan, tiada sebab untuk kita tidak meneruskan amalan tersebut.

Penutup

Sebagai kesimpulan, amalan gotong royong memberikan pelbagai kebaikan secara langsung dan tidak langsung. Oleh itu, setiap organisasi khususnya yang melibatkan masyarakat dan golongan muda seharusnya menggalakkan aktiviti gotong royong dalam gerak kerja yang boleh dilaksanakan. Ia mampu memberikan impak yang positif bukan sahaja kepada individu yang terlibat tetapi mewujudkan suasana yang harmoni dan meriah dalam komuniti yang mengamalkan gotong royong. Malah, keharmonian antara masyarakat dalam negara akan kekal utuh dan menjadi tunjang kepada kemajuan negara pada masa kini dan masa hadapan.

Related : masyarakat malaysia, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, amalan bergotong royong, rakyat malaysia mementingkan kebersihan, nilai murni,