Bila kali terakhir anda membaca buku selain daripada buku teks atau buku latihan? Adakah anda merupakan seorang yang mempunyai hobi membaca? Jika ya, membaca adalah salah satu hobi yang sangat menguntungkan kerana pelbagai manfaat yang akan diperoleh. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan amalan membaca kepada masyarakat (Kebaikan).
Setiap negeri di Malaysia mempunyai perpustakaan yang menghimpunkan pelbagai bahan bacaan dari serata dunia. Tetapi adakah masyarakat kita memanfaatkan kemudahan awam ini dengan baik? Persoalan ini wajar dibincangkan kerana budaya membaca dalam kalangan masyarakat semakin pudar dari hari ke hari. Dengan menghuraikan kepentingan membaca kepada masyarakat, ia pasti dapat membantu menyedarkan masyarakat tentang pentingnya budaya membaca.
Contoh Karangan Kenaikan Amalan Membaca Kepada Masyarakat
Pelajar boleh merujuk isi-isi penting dan huraian karangan yang bertemakan kepentingan amalan membaca kepada masyarakat (Kebaikan) seperti berikut:
Isi-isi penting
- Jambatan kepada ilmu pengetahuan
- Menambah baik penguasaan dan kefahaman bahasa
- Membuka pemikiran masyarakat untuk lebih kritis dan kreatif
- Menjadi sumber inspirasi dan motivasi
- Menambah kemahiran dan keupayaan masyarakat
- Menjadi cakna terhadap isu semasa
Pendahuluan
Marcapada ini, masyarakat dunia menumpukan kemajuan sains dan teknologi yang menjadi kayu pengukur kepada kejayaan sesebuah bangsa atau negara. Tetapi tanpa disedari, golongan muda yang merupakan waris masa hadapan dunia membesar dengan menikmati kemajuan sains dan teknologi ini sehingga mereka kurang gemar untuk membaca dan belajar. Perkembangan permainan video dan hiburan yang boleh didapati dengan mudah telah menyebabkan mereka lalai dan lebih suka untuk menghabiskan masa terhadap perkara-perkara tersebut.
Seorang penulis terkenal Perancis pada zaman dahulu, Voltaire berkata, semakin banyak aku membaca, semakin banyak yang aku peroleh dan semakin yakin bahawa aku tidak mengetahui semua perkara. Petikan kata-kata ini menunjukkan bahawa mustahak untuk kita mengamalkan budaya membaca dalam diri dan juga dalam kalangan masyarakat supaya kita mendapat faedah yang terbaik. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan, apakah kepentingan amalan membaca kepada masyarakat?
Isi 1
Kepentingan utama kemahiran membaca menjadi amalan masyarakat adalah kerana ia merupakan satu jambatan kepada ilmu dan pengetahuan. Sebagai manusia, kita tumbuh dan berkembang seiring dengan usia dan kemampuan kita. Semakin dewasa, semakin banyak perkara, komitmen dan tanggungjawab yang perlu ditanggung oleh setiap individu. Maka, penting untuk kita sentiasa memastikan setiap generasi berkembang dengan ilmu dan pengetahuan yang terbaik buat mereka. Salah satu cara untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan adalah dengan membaca. Seiring dengan amalan tersebut, adalah guru-guru di sekolah dan ahli keluarga serta rakan yang membeimbing kita untuk memahami apa yang dibaca dengan lebih baik. Bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam. Apabila masyarakat kaya dengan ilmu dan pengetahuan nescaya perkembangan masyarakat dan Tegasnya, amalan membaca adalah kunci kepada penyebaran ilmu dan pengetahuan kepada ahli masyarakat.
Isi 2
Pada masa yang sama, amalan membaca dalam masyarakat dapat menambah baik penguasaan dan kefahaman bahasa yang dibaca. Dalam konteks ini, penguasaaan dan penyemarakkan bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Melayu. Jikalau bukan kita, masyarakat yang tinggal di Tanah Melayu yang akan bertutur, menulis dan membaca bahasa ini, siapa lagi yang akan menggunakan bahasa tersebut? Secara amnya, membaca dapat menambah perbendaharaan kata yang kita ketahui sekaligus menambah nilai diri setiap individu. Semakin banyak kita membaca, semakin pelbagai prosa kata yang kita boleh gunakan. Begitu juga dengan penguasaaan bahasa asing seperti Bahasa Inggeris yang penting dalam era globalisasi pada hari ini. Jika masyarakat hari ini ingin berkembang seiring dengan era globalisasi, kita hendaklah juga mempelajari dan menguasai bahasa asing dengan membaca.
Isi 3
Kepentingan lain amalan membaca di Malaysia adalah ia membantu meningkatkan pemikiran masyarakat secara kritis dan kreatif. Dari aspek perkembangan kanak-kanak, amalan membaca dapat membantu pertumbuhan kognitif serta menguatkan memori. Dari aspek golongan dewasa pula, membaca dapat membantu masyarakat untuk membuka minda dan tidak menjadi seperti katak yang duduk di bawah tempurung.
Hal ini kerana, bahan bacaan yang dihasilkan terdiri daripada pelbagai jenis dan genre. Tetapi kita juga perlu memastikan bahan bacaan tersebut mempunyai kredibiliti yang disahkan. Penulis bahan bacaan hendaklah individu yang pakar dalam bidang yang ditulis dan memberikan fakta yang sahih dan tidak diputar belitkan. Hasilnya, masyarakat yang membaca pelbagai jenis bahan bacaan akan mempunyai pendapat yang lebih kritis dan mempunyai daya kreatif yang lebih baik.
Isi 4
Sumber inspirasi dan motivasi juga adalah salah satu kebaikan yang akan diperoleh masyarakat jika mengamalkan budaya membaca. Antara bahan bacaan yang digemari secara peribadi adalah bacaan yang berbentuk biografi di mana, ia menceritakan tentang kisah sebenar seorang individu yang berjaya dalam kerjaya atau hidup mereka. Dengan menghayati pembacaan biografi, kita secara langsung dapat mengambil iktibar daripada fasa-fasa kehidupan yang dilalui oleh seseorang serta mengaplikasikan nilai-nilai yang baik dalam realiti untuk mengecapi kejayaan. Persis kata peribahasa Melayu, buang yang keruh ambil yang jernih. Izharnya, amalan membaca akan memanfaatkan masyarakat dalam membentuk jati diri dan ketrampilan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga nusa bangsa.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan yang boleh digarap setiap ahli masyarakat sekiranya mengamalkan budaya membaca. Masyarakat perlu menjadikan membaca sebagai salah satu hiburan dan pengisian masa lapang di mana aktiviti yang sia-sia seperti melepak dan merempit dapat dielakkan. Program NILAM di peringkat sekolah yang menggalakkan pelajar membaca wajar diperkasakan bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga di peringkat komuniti. Semoga budaya membaca ini menjadi titik tolak kepada tanah air kita untuk menyaingi negara-negara maju yang lain. Seterusnya melahirkan generasi masa hadapan yang kaya dengan ilmu pengetahuan dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Related : ibu bapa, rakyat malaysia, pelbagai faedah, memupuk amalan membaca, menambahkan ilmu pengetahuan,
Senarai Tajuk Kecil Artikel