Di sekolah, para pelajar dididik untuk mengamalkan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, jujur dan berintergriti dalam kehidupan. Budaya ini disemat dejak usia muda supaya menjelang dewasa kelak, kita semua mampu memikul amanah dan tanggungjawab dengan penuh intergriti. Di bawah dikongsikan contoh karangan Kesan Amalan Rasuah Kepada Masyarakat Dan Negara untuk rujukan semua.
Apabila seseorang itu mempunyai kuasa yang membolehkan mereka untuk mendapat keuntungan dari segi kewangan mahupun harta benda yang lain, mereka terdedah kepada pemberian rasuah. Jika intergritinya kuat maka amanah yang diberikan berada pada tangan yang betul tetapi jika lemah intergritinya, rasuah akan diambil demi kepentingan diri dan meninggalkan kesan yang buruk kepada amanah yang diberikan kepada individu tersebut.
Contoh Karangan Punca Dan Kesan Rasuah Kepada Masyarakat Dan Negara
Mujur hari ini sikap cakna masyarakat terhadap gejala rasuah semakin mendapat perhatian. Maka kita boleh bekerjasama membendung salah laku ini daripada berlaku di setiap ruang kehidupan masing-masing.
Sekiranya pelajar ditugaskan untuk membuat latihan berkaitan tajuk akibat buruk Pengambilan Rasuah Kepada Masyarakat Dan Negara, rujuk isi-isi penting dan contoh huraian di bawah dan olahkan dengan penulisan karangan pelajar dengan lebih menarik.
Isi-isi penting
- Merosakkan moral dan etika masyarakat
- Meruntuhkan ekonomi masyarakat
- Melahirkan masyarakat yang tidak berkemahiran
- Merosakkan sistem perundangan dan pemerintahan negara yang berkesan
- Menghalang pembangunan negara dan menjadi tidak seimbang
- Menjatuhkan imej dan kredibiliti negara
Pengenalan
Pada tahun 2022, satu peristiwa bersejarah yang berlaku di mana seorang bekas Perdana Menteri negara telah dijatuhkan hukuman penjara kerana menyelewang dana kerajaan. Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa budaya rasuah yang berlaku dalam kalangan masyarakat terutamanya organisasi kerajaan kita semakin membarah.
Rasuah telah menjadi isu yang dibicarakan oleh kebanyakan ahli masyarakat kerana kesannya pada hari ini memberikan impak negatif kepada rakyat. Amalan rasuah sebenarnya merosakkan integriti, keadilan dan pembangunan yang mampan. Justeru, saya ingin membincangkan tentang akibat buruk dari amalan rasuah kepada masyarakat dan negara dari sudut pandang seorang pelajar.
Isi 1
Pertama sekali, pengambilan rasuah membawa kesan negatif kerana amalan ini merosakkan moral dan etika dalam masyarakat. Apabila rasuah menjadi budaya yang diterima, masyarakat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap institusi dan pihak berkuasa. Lebih-lebih lagi apabila kes rasuah yang melibatkan pihak atasan yang mempunyai kepentingan diri. Mereka terlepas daripada hukuman yang setimpal dan masih bebas untuk mengulangi perbuatan mereka jika tidak ditangkap oleh pihak berkuasa.
Situasi ini membuatkan masyarakat hilang harapan untuk mencapai kemajuan yang adil dan berkeadilan. Ibarat peribahasa harapakan pegar, pegar makan padi. Intihannya, pengambilan rasuah menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati individu yang terkesan, ketidakstabilan sosial dan penurunan moral serta etika dalam kalangan ahli masyarakat.
Isi 2
Selain itu, amalan rasuah juga mempengaruhi ekonomi masyarakat. Rasuah menyebabkan sumber dan kekayaan negara disalahguna dan diarahkan kepada individu tertentu sahaja. Pekara ini mengakibatkan ketidaksamarataan dalam distribusi kekayaan dan peluang ekonomi. Masyarakat yang terjejas oleh rasuah mungkin menghadapi kemiskinan, ketidakadilan, dan kehidupan yang sukar.
Sebagai contoh, kontraktor yang mempunyai merit dan pengalaman menghantar tender projek di sebuah agensi kerajaan tetapi seseorang individu yang memberikan rasuah berjaya menerima tender tersebut dan mengupah kontraktor yang kurang berpengalaman dan menawarkan harga yang lebih rendah. Tambahan pula, rasuah juga merosakkan iklim perniagaan dan pelaburan di negara kita. Pelabur dan perniagaan asing akan berhati-hati untuk melabur dalam negara yang tercemar dengan rasuah sekaligus menghalang pembangunan ekonomi negara.
Isi 3
Amalan rasuah juga mempunyai kesan yang serius terhadap negara. Rasuah merosakkan sistem perundangan dan pemerintahan yang berkesan. Proses membuat keputusan yang sepatutnya didasarkan pada prinsip keadilan dan kepentingan awam menjadi terpesong apabila rasuah menjadi faktor penentu. Perkara ini akan merosakkan institusi negara dan menyebabkan ketidakstabilan politik.
Akibatnya, negara mungkin menghadapi kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan ekonomi yang lembap, dan kekurangan dalam pengurusan sumber. Seperti apa yang kita hadapi ketika ini, infrastruktur awam seperti sekolah dan hospital tidak diselenggara dengan baik kerana peruntukkan telah tertiris kepada projek lain yang tidak membawa manfaat kepada masyarakat umum. Izharnya, rasuah mengancam amalan pentadbiran yang baik dan berkesan untuk sesebuah negara.
Isi 4
Selain itu, rasuah juga menghalang pembangunan negara secara keseluruhan. Sumber yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat disalurkan kepada individu yang tamak dan korup. Budaya ini menghambat kemajuan negara dan merugikan rakyat yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan. Sama seperti contoh di atas, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk manfaat rakyat telah diseleweng untuk kekayaan diri sendiri dan kroni-kroni yang menyokong mereka.
Maka penting untuk kita melantik dan memilih pemimpin yang berintergriti tinggi dan tidak tunduk pada pemberian rasuah yang merugikan masyarakat kita. Negara yang terjejas oleh rasuah akan menghadapi ketidakstabilan sosial dan kurangnya keyakinan dari komuniti antarabangsa untuk melabur dan hubungan diplomatik yang amat penting ketika ini.
Penutup
Konklusinya, amalan rasuah mempunyai kesan yang merosakkan kepada masyarakat dan negara. Masyarakat akan mengalami kejatuhan moral dan kurang kepercayaan terhadap institusi, sementara ekonomi terjejas oleh ketidaksamarataan dan ketidakadilan. Di samping itu, negara juga bakal menghadapi kelemahan dalam sistem pemerintahan dan pembangunan secara keseluruhan. Untuk mengatasi amalan rasuah, kesedaran dan pendidikan masyarakat perlu ditingkatkan. Selain itu, tindakan tegas dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan juga perlu dilaksanakan tanpa belas kasihan. Dengan langkah-langkah ini, kita boleh membangun sebuah masyarakat dan negara yang bersih, adil, dan berdaya saing. Semoga pepatah, gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah dapat kita elakkan demi kemaslahatan generasi kini dan masa hadapan.
Related : pentadbiran negara, rasuah kerana, kesan rasuah, pelabur asing, imej negara,
Senarai Tajuk Kecil Artikel