Salah satu mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh murid-murid di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah mata pelajaran Bahasa Melayu. Dari peringkat rendah sehingga menengah, murid akan didedahkan kepada pelbagai instrumen pengajaran bagi menguatkan kebolehan untuk memahami, menulis dan bertutur dalam bahasa kebangsaan kita. Di bawah dikongsikan nota berkaitan Ayat Majmuk meliputi maksud, jenis, & contoh penggunaannya untuk rujukan semua.
Untuk pengetahuan semua, terdapat dua bentuk ayat yang digunakan dalam Bahasa Melayu iaitu ayat tunggal dan ayat majmuk. Manakala jenis ayat digolongkan kepada empat ragam iaitu ayat penyata, ayat perintah, ayat tanya dan ayat seru. Kepelbagaian ini dapat menjadikan bahasa melayu lebih menarik dan hidup kerana pembaca tidak jemu membaca hanya sartu jenis ayat sahaja.
Ayat Majmuk (Maksud, Jenis & Contoh)
Berikut dikongsikan nota-nota berkenaan topik di atas untuk dirujuk oleh murid-murid. Pemahaman yang lebih baik boleh dicapai oleh pelajar jika mendapat bimbingan daripada guru atau penjaga yang berkelayakan.
Maksud Ayat Majmuk
Ianya merujuk kepada ayat yang mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih. Ayat dibina atau dicantum mengikut cara tertentu dan menggunakan kata hubung sehingga terbentuknya ayat baru.
Atau ringkasnya iaitu Ayat yang dibina dengan mencantumkan 2 ayat tunggal atau lebih dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu
Jenis Ayat Majmuk
Terdapat tiga jenis ayat iaitu:
1) Ayat Majmuk Gabungan
- Merujuk kepada ayat yang terdiri daripada satu atau lebih ayat tunggal dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat tersebut dengan kata hubung
- Contoh kata hubung adalah dan, serta, atau, tetapi.
- Ayat yang digabungkan sama taraf dan boleh berdiri sendiri sebagai ayat tunggal
- Terdapat tiga jenis ayat majmuk gabungan:
- 1) Gabungan berurutan :
- ayat majmuk yang disusun secara berurutan
- menggunakan kata hubung setara tambahan maklumat (dan, serta, lalu, sambil, malahan)
- 2) Gabungan bertentangan :
- ayat yang memberi pertentangan fakta dalam ayat yang digabungkan
- menggunakan kata hubung pertentangan (tetapi, sebaliknya, melainkan, kecuali)
- 3) Gabungan berpasangan :
- menggabungkan dua ayat atau lebih menggunakan kata hubung berpasangan (daripada, sama ada. ataupun, lebih baik)
- 4) Gabungan susunan fakta :
- kata hubung pilihan digunakan (atau)
- Selain menggunakan kata hubung, ayat gabungan setara juga boleh disambungkan dengan tanda koma (,) sebagai gantinya.
2) Ayat Majmuk Pancangan
- Merujuk kepada ayat yang mengandungi satu ayat induk dan dicantum dengan satu atau lebih ayat kecil lain yang dipancangkan ke dalam ayat induk.
- Ayat induk atau ayat utama dicantum menggunakan kata hubung
- Terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan:
- 1) Ayat relatif
- menggunakan kata hubung (yang)
- 2) Ayat komplemen
- Ayat majmuk komplemen frasa nama, menggunakan kata hubung (bahawa, untuk)
- selain itu, terdapat ayat yang menggunakan kata hubung (agar, supaya)
- 3) Ayat keterangan
- berfungsi sebagai huraian lanjut kepada kata kerja induk
- ayat ini pula mempunyai sembilan jenis seperti berikut beserta kata hubung yang digunakan:
- 1. keterangan sebab (kerana, sebab, lantaran)
- 2. keterangan akibat (hingga, sehingga)
- 3. keterangan syarat (jika, kalau, sekiranya, asalkan)
- 4. keterangan waktu (sejak, semenjak, setelah, semasa, sementara, tatkala)
- 5. keterangan pertentangan (sungguhpun, walaupun, meskipun, namun, sedangkan, walau bagaimanapun)
- 6. keterangan harapan (agar, supaya, semoga)
- 7. keterangan cara (dengan)
- 8. keterangan tujuan (demi, untuk, bagi)
- 9. keteranagn perbandingan (seperti, macam, ibarat, umpama, persis, seolah-olah)
3) Ayat Majmuk Campuran
- Merujuk kepada ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat iaitu campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan jenis ayat majmuk dengan menggunakan pelbagai kata hubung
Contoh Penggunaan Ayat Majmuk
Berikut adalah contoh-contoh penggunaan ayat majmuk mengikut jenis yang telah diterangkan di atas:
1) Majmuk Gabungan
- Awak hendak makan atau minum? (atau)
- Sazali pendek tetapi adiknya tinggi. (tetapi)
- Kanak-kanak itu berlari dan bernyanyi. (dan)
- Fatimah masuk ke bilik lalu tidur. (lalu)
- Ibu pergi ke pasar membeli ayam dan sayur. (dan)
- Ruventhiran seorang yang rajin malahan bijak mengurus masa. (malahan)
- Semua itu pakaiannya kecuali yang berlipat itu (kecuali)
- Dia suka makan makanan pedas, adiknya tidak (,)
- Pokok bunga itu meliuk ke kanan, ke kiri (,)
2) Majmuk Pancangan
Contoh untuk ayat majmuk pancangan relatif :
- Sarah membeli kasut yang bertumit tinggi itu. (yang)
- Kereta yang terlibat dalam kemalangan itu terbakar. (yang)
- Perdana Menteri mempunyai dua helai baju batik yang berwarna jingga.
- Kereta yang dipandu Fahmi itu kereta syarikat.
Contoh bagi ayat majmuk pancangan komplemen pula:
- Ibu pergi ke pasar untuk membeli daging dan buah-buahan. (untuk)
- Adalah tidak wajar untuk membuli seseorang. (untuk)
- Encik Zahid mengumumkan bahawa gaji pekerja akan diberikan mulai esok. (bahawa)
- Azizah berjanji bahawa tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi. (bahawa)
Ayat majmuk pancangan keterangan adalah seperti berikut:
- Abu tidak hadir ke sekolah keran tidak sihat. (kerana)
- Anwar tidak dibenarkan masuk ke rumah sebab memijak tahi kucing. (sebab)
- Masalah kesesakan lebuh raya berlaturan sehingga tiada jalan penyelesaian. (sehingga)
- Arif menendang terlalu kuat hingga menggegarkan palang gol. (hingga)
- Saya akan melawati negeri itu kalau mempunyai wang yang cukup. (kalau)
- Sekiranya hujan turun dengan lebat, majlis itu terpaksa dibatalkan. (Sekiranya)
- Sementara menunggu hujan reda, seeloknya kita berehat dahulu. (Sementara)
- Puan Aminah segera tiba setelah mendapat tahu tentang kemalangan anaknya. (setelah)
- Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh agar masa depan kita terjamin. (agar)
- Lee Zii Jia berlatih dengan gigih supaya dapat memenangi kejohanan itu. (supaya)
3) Majmuk Campuran
- Haliza sedang membaca buku tetapi rakan-rakannya yang sudah penat telah tidur dahulu.
- Linda sedang menulis karangan manakala kakak sedang memasak untuk tetamu yang akan datangke rumah.
- Para pelajar tekad untuk mengulang kaji pelajaran selepas Guru Besar mengumumkan tarikh peperiksaan yang akan diadakan pada bulan hadapan.
- Ali dan kawan-kawannya masih berdegil meskipun ditegur oleh guru disiplin yang garang itu.
- Rakyat Malaysia terkenal di seluruh dunia dengan sifat lemah-lembut serta sopan-santun yang tinggi nilai kemuliaannya.
- Kebersihan kawasan persekitaran kita amat penting bagi menjamin kesihatan orang sekeliling daripada ancaman penyakit berjangkit.
Semoga perkongsian nota di atas dapat memberikan manfaat kepada murid dalam menelaah mata pelajaran Bahasa Melayu.
Related : belajar di sekolah menengah, gabungan ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat iaitu, keterangan akibat, keterangan perbandingan, terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan iaitu, contoh ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat iaitu, majmuk gabungan ialah ayat, contoh ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat iaitu, ayat induk dan satu, kata majmuk,
Senarai Tajuk Kecil Artikel