Untuk menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu, para pelajar ditugaskan untuk menjawab soalan penulisan karangan. Dengan kaedah ini, pelajar dilatih untuk mengarang ayat huraian kepada topik yang dibincangkan serta memberikan idea-idea yang berkaitan dengan topik tersebut. Kaedah yang menguji penguasaan bahasa dan pengetahuan am pelajar ini adalah baik dalam mencabar kemampuan pelajar selepas melalui proses pembelajaran dan pengajaran. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan membeli barangan buatan Malaysia (Kebaikan Beli Produk Tempatan).
Tema ini lazim dikeluarkan sebagai soalan kerana ia menguji tahap pengetahuan pelajar terhadap isu yang berlaku di sekeliling seperti kempen membeli barangan tempatan. Pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melancarkan kempen beli barangan Malaysia sejak tahun 1984. Inisiatif ini penting bagi membantu pengusaha tempatan untuk berkembang dan memberikan kesedaran kepada pengguna dan juga pelajar akan potensi barangan buatan tempatan.
Kepentingan Membeli Barangan Buatan Malaysia (Kebaikan Beli Produk Tempatan)
Berikut dikongsikan contoh karangan Kepentingan Membeli Barangan Buatan Malaysia (Tempatan) untuk panduan semua. Turut disertakan adalah isi-isi penting yang berkaitan dan huraian mengikut rangka karangan lengkap Bahasa Melayu.
Isi-isi penting
- Merancakkan ekonomi tempatan
- Meningkatkan kualiti produk tempatan
- Menawarkan harga yang berpatutan
- Pengguna dapat mengetahui sumber dan kaedah produk dihasilkan
- Memelihara sumber alam sekitar
- Menyumbang kepada pengurangan sisa industri yang tidak signifikan
Pendahuluan
Dalam mendepani era globalisasi, pelbagai cabaran yang perlu diatasi oleh setiap lapisan masyarakat untuk berjaya dalam kehidupan. Dari aspek kemajuan sebuah negara, perkembangan ekonomi menjadi satu ukuran yang penting. Mujur negara kita mempunyai corak ekonomi yang pelbagai di mana aktiviti import dan eksport berkembang dengan baik.
Walaubagaimanapun, masyarakat kita dilihat lebih gemar untuk membeli barangan buatan asing yang diimport masuk berbanding barangan buatan tempatan. Stigma yang perlu diubah ini bukan sahaja memberi kesan yang kurang baik terhadap ekonomi tempatan tetapi juga merugikan negara. Oleh itu, wajar untuk kita huraikan kepentingan membeli barangan buatan Malaysia (Tempatan) agar hasil tangan tempatan lebih dihargai dan berada sama taraf dengan produk asing.
Isi 1
Salah satu kepentingan membeli barangan buatan tempatan ialah merancakkan perkembangan ekonomi tempatan. Sebagai contoh, masyarakat kita gemar memakan nasi dan merupakan makanan ruji di rantau ini. Tetapi, negara kita tidak mampu menampung jumlah permintaan pengguna dan telah mengimport masuk bekalan beras daripada negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Situasi ini tidak ideal jika berterusan kerana kita perlu mempunyai bekalan makanan yang boleh dihasilkan sepenuhnya di dalam negara kita.
Bahkan, kos mengimport masuk boleh meningkat seperti apa yang berlaku ketika pandemik Covid-19 berlaku. Oleh sebab itu, penting untuk kita membeli beras tempatan untuk memberikan keuntungan kepada perusahaan tempatan. Kesannya, perusahaan tersebut mendapat modal untuk mengembangkan syarikat dan meningkatkan pengeluaran produk mereka sehingga mampu untuk menampung permintaan yang tinggi daripada pengguna dalam negara. Jelas bahawa membeli barangan buatan tempatan dapat membantu perkembangan ekonomi domestik.
Isi 2
Seiring dengan kepentingan di atas, pembelian barangan tempatan adalah mustahak untuk meningkatkan kualiti produk tempatan. Apabila kita berbelanja membeli produk hasil usahawan tempatan, mereka dapat menggunakan keuntungan untuk menaik taraf infrastruktur perusahaan mereka. Tamsilnya, pengusaha keropok lekor kini berjaya melalui proses kajian dan penyelidikan untuk menghasilkan pembungkusan vakum untuk produk mereka supaya kekal segar lebih lama berbanding kaedah pembungkusan dahulu.
Manakala pengusaha tani tempatan dapat membeli baja yang lebih berkualiti dan digunakan kepada tanaman mereka dan seterusnya menghasilkan sayur-sayuran yang segar dan buah yang lebih berkhasiat. Walaupun perkara ini mengambil masa, tetapi ia penting kerana apabila kualiti produk tempatan mencapai piawai antarabangsa, potensi produk tersebut untuk dieksport adalah lebih baik serta memanfaatkan masyarakat kita. Intihannya, kualiti barangan tempatan dapat ditingkatkan jika permintaan barangan tempatan meningkat.
Isi 3
Dari sudut pandang yang lain, kepentingan membeli barangan tempatan adalah pengguna akan mendapat harga yang berpatutan. Mutakhir ini, keadaan ekonomi yang tidak menentu selepas pandemik kesihatan dan peperangan antara kuasa-kuasa besar di dunia telah menyah stabilkan ekonomi dunia. Harga barangan yang diimport meningkat kerana berlaku masalah logistik. Sebagai pengguna yang bijak, kita perlu cakna dan memilih barangan tempatan kerana menawarkan harga yang lebih murah.
Misalnya apabila kita membeli buah durian di kawasan kampung, kita akan mendapat harga yang jauh lebih murah berbanding harga di kawasan bandar kerana produk tersebut tidak perlu melalui proses logistik yang memakan kos kepada penjual dan juga pembeli. Begitu juga dengan produk lain seperti pakaian, barangan elektronik dan makanan yang mempunyai hasil daripada anak watan pada harga yang berpatutan. Izharnya, pengguna akan mendapat harga yang berpatutan apabila membeli barangan tempatan
Isi 4
Akhir sekali, kepentingan membeli barangan tempatan adalah kita dapat mengetahui sumber dan kaedah produk tersebut dihasilkan. Apabila kita membeli barangan import contohnya, kita tertarik kerana buah tersebut mempunyai warna yang terang dan saiz yang berbaloi untuk dibeli. Tetapi kita tidak tahu sama ada produk tersebut menggunakan baja dan racun serangga pada kadar yang selamat untuk dimakan ataupun tidak.
Sebaliknya, kita boleh menjamin keselamatan makanan kita yang dibeli daripada pengeluar tempatan kerana kita mempunyai cap atau logo standard seperti Buatan Malaysia, Halal daripada JAKIM dan HACCP daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Hal ini kerana sesuatu produk tempatan untuk mendapat cap atau logo tersebut perlu melepasi piawai keselamatan makanan yang ketat dan selaras dengan keselamatan makanan antarabangsa. Natijahnya, membeli barangan tempatan dapat memastikan sumber dan kaedah produk tersebut dihasilkan.
Penutup
Secara tuntas, banyak kepentingan yang diperoleh apabila kita membeli barangan tempatan. Stigma bahawa produk asing lebih bermutu berbanding produk tempatan perlu diubah kerana buktinya terdapat banyak produk tempatan yang berkualti tinggi dan menepati cita rasa masyarakat tempatan. Apabila perusahaan kecil tempatan disokong dan menjadi sebuah perusahaan besar, ekonomi negara juga akan berkembang secara berganda. Peluang pekerjaan yang banyak akan terhasil bersama kadar gaji yang meningkat seiring kenaikan taraf kehidupan masyarakat global. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Semoga setiap di antara kita berganding bahu menyokong produk tempatan demi kemaslahatan kita bersama.
Related : e dagang, bertujuan untuk, orang ramai, rakyat malaysia, luar negara,
Senarai Tajuk Kecil Artikel