Kelebihan Dan Kebaikan Buah-Buahan Tempatan (Faedah). Contoh karangan khasiat makan buah tempatan di Malaysia yang berzat dan sedap.

Kelebihan Dan Kebaikan Buah-Buahan Tempatan (Faedah)

contoh karangan kelebihan buah buahan tempatan

Jika diberi pilihan, anda akan memilih buah-buahan tempatan ataupun buah yang diimport? Sekiranya anda memilih buah-buahan tempatan, ia adalah satu pilihan yang tepat dan menguntungkan. Pasti ramai diantara kita yang berfikiran bahawa buah-buahan import mempunyai lebih banyak kelebihan. Sebaliknya, berikut dikongsikan contoh karangan kelebihan dan kebaikan buah-buahan tempatan untuk panduan semua.

Di Malaysia, terdapat dua jenis buah-buahan iaitu yang bermusim dan yang tidak bermusim. Contohnya buah rambutan, durian dan manggis berbuah pada musim tertentu tetapi buah pisang, betik dan jambu berbuah tanpa musim. Kepelbagaian genetik buah-buahan yang ada di Malaysia wajar dikaji dan dimanfaatkan oleh generasi hari ini dan juga masa hadapan.

Contoh Karangan Kelebihan Dan Kebaikan Buah-Buahan Tempatan

Di bawah dikongsikan contoh karangan faedah memakan buah-buahan tempatan untuk rujukan semua. Turut disertakan isi-isi penting serta pendahuluan dan penutup untuk karangan yang berkaitan.

Isi-isi penting

  1. Mempunyai kandungan nutrisi yang tinggi
  2. Menawarkan harga yang lebih murah dan berpatutan
  3. Membantu perkembangan usahawan tempatan
  4. Membentuk ekosistem alam sekitar yang lebih baik
  5. Mempunyai nilai komersial yang tinggi
  6. Menjadi asas kepada produk makanan baharu

Pendahuluan

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana tanah air kita yang terletak di garisan khatulistiwa ini kaya dengan pelbagai khazanah alam semula jadi. Antara khazanah yang menjadi rebutan masa ini adalah buah-buahan tempatan seperti buah manggis, buah pisang, buah rambutan dan raja kepada segala buah iaitu buah durian. Buah-buahan ini tumbuh dengan subur di negara kita kerana kita dikurniakan cuaca dan tanih yang sesuai untuk tumbesaran pokok-pokok tersebut.

Hasilnya, buah durian kini mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran antarabangsa dan telah menjadi antara tanaman yang semkin popular. Perkembangan ini adalah satu perkara yang positif untuk kita sebagai rakyat Malaysia kerana kita mampu menghasilkan produk yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa sekaligus meningkatkan ekonomi domestik. Justeru, mari kita huraikan kelebihan dan kebaikan buah-buahan tempatan untuk masyarakat dan juga negara.

Isi 1

Kelebihan utama yang dimiliki buah-buahan tempatan adalah ia mempunyai kandungan nutrisi yang tinggi berbanding buah-buahan import. Hal ini demikian kerana buah-buahan tempatan boleh didapati terus dari ladang dan sampai ke rumah kita untuk dimakan secara terus. Berbeza dengan buah-buahan import, ia perlu melalui proses pembungkusan, penstoran dan penghantaran sebelum sampai kepada pengguna di kedai atau pasar raya. Tambahan pula, buah-buahan import akan direndam, disembur atau dicucuk dengan bahan-bahan kimia yang lain bagi mengekalkan kesegarannya tetapi kandungan nutrisi akan berkurangan dari hari ke hari.

Situasi ini menunjukkan bahawa buah-buahan tempatan lebih bernutrisi kerana tidak dicampur dengan bahan kimia yang lain serta boleh didapati di kedai selepas sahaja dituai. Penganjuran pasar tani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah memberi ruang kepada pengusaha pertanian untuk menjual hasil mereka secara terus kepada pengguna. Izharnya, bernutrisi dan berkhasiat tinggi adalah anatara kelebihan membeli buah-buahan tempatan.

Isi 2

Pada masa yang sama, kebaikan yang diperoleh daripada buah-buahan tempatan adalah harga yang lebih murah dan berpatutan. Jika dibandingkan dengan buah-buahan import seperti epal dan avokado, buah-buahan tempatan menawarkan harga yang lebih murah. Seperti yang telah dihuraikan, buah-buahan import perlu melalui proses logistik yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu dan kenaikan kos sara hidup, kita sebagai pengguna hendaklah bijak dalam membeli barang keperluan. Untuk memastikan pemakanan yang seimbang diamalkan, pemilihan buah-buahan tempatan seperti pisang, betik dan mangga adalah ideal. Bukan sahaja kita dapat menjimatkan perbelanjaan malah juga menjaga kesihatan diri untuk mengelak daripada sebarang penyakit. Jelas bahawa buah-buahan tempatan mempunyai kelebihan di sudut harganya berbanding buah-buahan import.

Isi 3

Dari sudut yang berlainan, membeli buah-buahan tempatan adalah penting kerana ia membantu perkembangan usahawan-usahawan tani tempatan. Mutakhir ini, peluang pekerjaan semakin sukar untuk didapati kerana berlaku persaingan yang ramai dalam kalangan graduan. Kesannya, ramai di antara golongan muda ini keluar daripada bidang yang dipelajari lalu menceburi bidang lain seperti pertanian sebagai pekerjaan mereka.

Dengan kemudahan yang disediakan oleh agensi kerajaan serta pinjaman wang daripada bank, ramai usahawan tani berjaya dihasilkan sehingga hari ini. Maka, apabila kita membeli buah-buahan tempatan yang ditanam di tanah milik orang tempatan dan dimiliki oleh orang tempatan, hasilnya akan berbalik kepada kita juga sebagai orang tempatan. Banyak peluang pekerjaan akan dicipta dan perkembangan masyarakat akan terhasil dengan jayanya. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Tuntasnya, kebaikan membeli buah-buahan tempatan dapat mengembangkan ekonomi masyarakat dan negara secara langsung.

Isi 4

Manfaat seterusnya daripada pembelian buah-buahan tempatan adalah ia dapat membentuk ekosistem alam sekitar yang lebih baik. Apabila kita menanam pokok lebih banyak daripada menebangnya dengan tujuan pembangunan atau perindustrian, pastinya ia adalah langkah pemeliharaan alam semula jadi yang baik. Pada era globalisai ini kita perlu membangunkan negara di samping memelihara alam semula jadi yang kita miliki demi kelangsungan generasi masa hadapan.

Tambahan pula, fenomena perubahan iklim yang telah menyebabkan bencana alam seperti banjir berlaku dengan lebih kerap kebelakangan ini. Justeru, setiap pihak hendaklah menggalakkan penanaman pokok khususnya pokok buah-buahan tempatan di mana ia boleh dikomersialkan untuk perniagaan serta memelihara alam sekitar.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan buah-buahan tempatan kepada individu, masyarakat dan juga negara. Ibarat peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Masyarakat kita hendaklah menghentikan stigma yang terlalu mengagungkan produk atau hasil daripada negara asing. Kita hendaklah membuka mata dan menghargai apa yang kita miliki daripada buah-buahan, budaya, tradisi dan juga bakat-bakat tempatan. Kalau bukan kita yang menghargai dan mengangkat martabatnya, siapa lagi? Persoalan ini perlu menjadi peringatan kepada semua pihak sebagai motivasi untuk kita terus bergerak maju ke hadapan dengan mempercayai kebolehan dan kemampuan kita untuk berjaya di mana-mana sahaja.

Related : sekolah rendah, buah tempatan juga mudah didapati, harga buah buahan tempatan, buah buahan yang diimport, baik untuk kesihatan, musim buah buahan, makan buah buahan tempatan, terutama pada musim buahan, luar negara, didapati terutama, pada musim, mudah didapati terutama,