Cerpen Bawod : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran. Nota komsas tingkatan 3 Watak, Teknik Plot, Latar Masa Tempat & Masyarakat.

Cerpen Bawod : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran

Cerpen Bawod Sinopsis Tema Persoalan Nilai Pengajaran

Selain daripada penulisan karangan Bahasa Melayu, para pelajar juga ramai yang mengatakan bahawa bahagian Komponen Sastera Bahasa Melayu adalah bahagian yang sukar dalam peperiksaan. Justeru, para pelajar digalakkan untuk mengulang kaji dan membuat persiapan yang secukupnya sebelum menduduki peperiksaan atau pentaksiran. Di bawah dikongsikan nota Cerpen Bawod : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran sebagai rujukan untuk semua.

Untuk makluman semua, cerpen ini merupakan hasil karya Janathan Kandok. Karya penulisan ini dipilih sebagai komponen sastera bagi pelajar Tingkatan 3 kerana ia mempunyai cerita yang menarik dan kaya dengan pengajaran yang berguna untuk pelajar. Elemen kebudayaan dan nilai-nilai murni yang diceritakan mampu untuk membantu pelajar dalam kehidupan di sekolah dan juga di luar sekolah.

Nota Cerpen Bawod : Sinopsis, Tema, Persoalan, Teknik Plot, Nilai & Pengajaran

Berikut dikongsikan nota-nota bagi Cerpen Bawod meliputi Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak dan Perwatakan Plot, Teknik Plot, Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat, Nilai, Pengajaran untuk panduan semua. Sebelum menduduki peperiksaan atau pentaksiran, pelajar boleh mengulangkaji nota di bawah sebagai persediaan.

Sinopsis

Beluntung merupakan seorang murid darjah enam di Sekolah Rendah Kerajaan Timbang Pasir dan tinggal di Kampung Layong yang terletak berhampiran dengan Sungai Layong. Beluntung mempunyai dua ekor haiwan yang disayangi iaitu Bawod, seekor kambing dan Tuyog, seekor kerbau. Dia berusaha gigih di sekolah untuk menjadi seorang murid yang pandai. Untuk ke sekolah, dia terpaksa melalui enam batang sungai maka Beluntung ke sekolah dengan menunggang Tuyog. Bawod sebelum ini takut akan air, tetapi lama-kelamaan Bawod dapat menyeberangi sungai berkat kegigihannya. Peristiwa tersebut menjadi satu iktibar kepada Beluntung supaya berusaha gigih demi mencapai kejayaan. Di sekolah, Beluntung diejek oleh kawan-kawan kerana berbau seperti kerbau. Beluntung tidak mempedulikan ejekan tersebut kerana memang dia hadir ke sekolah menunggang seeekor kerbau.

Pada waktu rehat, Beluntung mencari Bawod dan Tuyog, Tuyog menunjukkan reaksi seperti hilang arah apabila Bawod tiada. Beluntung mencari Bawod di padang, kebun sekolah dan di jalan raya namun Bawod tidak kelihatan. Bawod masuk ke kelasnya dan terkejut melihat Bawod berdiri di sebelah Cikgu Rambuyat. Dia meminta maaf kepada gurunya atas perbuatan kambingnya itu dan membawa Bawod keluar sambil memarahinya. Dia berasa malu dan terfikir untuk tidak membawa Bawod ke sekolah lagi. Bawod pula segera berlari ke arah Tuyog yang sebenarnya sukar bernafas kerana tali telah melilit leher Tuyog. Rupa-rupanya itulah hasrat Bawod mencari Tuyog di kelasnya dan Beluntung berasa kesal kerana memarahi Bawod

Pada pesta lumba kerba diadakan, Tuyog telah menyertainya. Beluntung berasa hairan kerana ayahnya tidak ikut serta ke pesta tersebut dan meminta Bawod ditambat di rumahnya. Ibu Beluntung juga tidak menghadiri pesta tersebut kerana sakit. Tuyog telah berjaya menjuarai pertandingan tersebut dan memperoleh wang kemenangan sebanyak RM10. Beluntung berhasrat untuk membeli seekor kambing untuk menemani Bawod. Setibanya di rumah, dia berasa pelik melihat ramai orang di rumahnya.

Beluntung terus mencari ibunya dan lega apabila melihat ibunya ada dan sihat. Tetapi dia masih ragu-ragu kenapa rumahnya dikunjungi orang kampung. Apabila dia berjumpa dengan ayahnya, barulah Beluntung mendapat tahu bahawa ayahnya ingin mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaannya memperoleh keputusan yang cemerlang di sekolah. Beluntung terkejut apabila Bawod telah disembelih untuk majlis tersebut. Dia melutu kesedihan di hadapan Bawod dan memberitahu orang ramai bahawa Bawod ialah sahabatnya. Ayah Beluntung memujuknya dengan mengatakan bahawa Bawod telah berkorban untuknya.

Tema

Cerpen Bawod karya penulisan Janatahn Kandok ini mengutarakan tema mengenai persahabatan yang erat antara manusia dengan haiwan peliharaannya.

Persoalan

1) Persoalan kegigihan seorang murid untuk mencapai kejayaan

  • Beluntung sanggup menempuh hujan dan menunggang kerbau untuk hadir ke sekolah dan berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang

2) Persoalan kedaifan masyarakat luar bandar 

  • Beluntung dan keluarga yang tinggal di kawasan pinggir kampung berdekatan Sungai Layong

3) Persoalan kesetiaan antara haiwan dan penjaganya

  • Kesetiaan haiwan peliharaan Beluntung, Tuyog dan Bawod menemaninya ke sekolah walaupun hujan dan merentasi sungai

4) Persoalan kasih sayang antara ahli keluarga

  • Ibu Beluntung melarang anaknya untuk turun dari rumah apabila hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan rumah mereka

5) Persoalan rasa bersyukur di atas kejayaan yang dikecapi

  • Ayah Beluntung telah mengadakan majlis kesyukuran ke atas kejayaan cemerlang anaknya dalam peperiksaan darjah enam.

6) Persoalan bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugasan

  • Cikgu Rambuyat telah mengajar murid-muridnya di sekolah dengan penuh dedikasi dan memastikan pengajarannya difahami oleh mereka.

Watak dan Perwatakan

1) Beluntung

  • Seorang anak tunggal dan bersekolah di Sekolah Rendah Kerajaan Timbang Pasir sebagai murid darjah enam
  • Mempunyai dua ekor haiwan peliharaan iaitu Tuyog seekor kerbau dan Bawod seekor kambing
  • Seorang yang penyayang dan prihatin terhadap haiwan peliharaannya
  • Seorang yang gigih dalam mengejar kejayaan dan menuntut ilmu
  • Seorang yang penyabar walaupun sering kali diejek oleh kawan-kawan di sekolah

2) Bawod

  • Seekor kambing yang dipelihara oleh Beluntung
  • Bersahabat baik dengan Tuyog, seekor kerbau
  • Menunjukkan sifat setia kepada Beluntung dan juga sahabatnya, Tuyog
  • Takut kepada air hujan dan sungai namun gigih menempuh hujan dan sungai untuk menemani Beluntung dan Tuyog ke sekolah

3) Tuyog

  • Seekor kerbau yang juga dipelihara oleh Beluntung
  • Menjadi haiwan tunggangan Beluntung untuk ke sekolah setiap hari
  • Bersahabat baik dengan Bawod
  • Menunjukkan sifat setia seperti Bawod terhadap Beluntung
  • Suka berendam di dalam air sungai
  • Seekor kerbau yang gagah dan pantas apabila menjuarai pesta lumba kerbau

4) Ibu Beluntung

  • Seorang yang bertanggungjawab kerana sering menasihati Beluntung dalam kehidupan
  • Seorang yang penyayang kerana melarang anaknya turun dari rumah apabila hujan lebat dan angin kencang untuk keselamatan anaknya
  • Seorang bersyukur atas pemberian Tuhan apabila mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan Beluntung yang cemerlang dalam peperiksaan di sekolah

Binaan Plot

1) Pengenalan

Beluntung berasa cemas ketika berlaku limpahan air Sungai Layong sehingga ke kawasan rumahnya dan resah memikirkan keselamatan haiwan peliharaannya, seekor kambing dan seekor kerbau.

2) Perkembangan

Beluntung gigih untuk hadir ke sekolah dengan menunggang kerbau peliharaanyya, Tuyog. Walaupun keadaan hujan lebat dan jalan berlumpur, ia tidak menghalang Beluntung untuk ke sekolah kerana peperiksaan darjah enam semakin menghampiri.

3) Perumitan

Kawan-kawan Beluntung di sekolah mencemuhnya kerana telah membawa haiwan peliharaannya ke sekolah. Dia juga diejek berbau kerbau di dalam kelasnya. Sehinggakan suatu hari, kawan sekelasnya Basil telah mencampak buku Beluntung ke lantai dan menyebabkan satu pertengkaran kecil

4) Klimaks

Dalam peperiksaan darjah enam, Beluntung berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Beluntung juga telah berjaya menjuarai perlumbaan kerbau dalam pesta lumba kerbau yang dianjurkan dikampungnya. Ketika pulang dari pesta tersebut, dia hairan apabila melihat ramai orang kampung di rumahnya. Bapanya memberitahu bahawa dia mengadakan kenduri kesyukuran untuk kejayaan yang diperoleh Beluntung. Jeritan daripada Bawod mengejutkan Beluntung apabila dia disembelih untuk menjadi juadah kenduri kesyukuran tersebut.

5) Peleraian

Beluntung menangis sekuat hatinya kerana kambing peliharaan yang dianggap sebagai sahabatnya telah dijadikan korban pada majlis kesyukurannya. Bapa Beluntung telah memujuk dan cuba untuk menenangkan Beluntung.

Teknik Plot

  1. Imbas muka : Biar semua orang tahu bahawa Beluntung yang berbau kerbau menjadi pelajar yang terbaik di SRK TImbang Pasir. Bapa akan gembira. Ibu akan gembira. Orang Kampung Layong tumpang gembira…
  2. Imbas kembali : Apabila teringatkan kegigihan Bawod menyeberangi sungai, Beluntung terus sahaja teringat peperiksaan yang akan dihadapinya
  3. Dialog : “Siapa membuang buku aku?”
  4. Pemerian : Cuaca mulai cerah. Halaman rumah mula kelihatan.

Latar

Latar Tempat

  1. Rumah Beluntung : Ibu melarang Beluntung untuk turun dari rumah kerana hujan lebat
  2. Sekolah Rendah Kerajaan Timbang Pasir : Beluntung hadir ke sekolah
  3. Sungai : Beluntung menunggang Tuyog meredah sungai untuk ke sekolah
  4. Pesta Lumba Kerbau : Tuyog berjaya menjuarai perlumbaan kerbau peringkat kampung

Latar Masa

  • Dalam tempoh dua bulan : Beluntung gigih hadir ke sekolah sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan darjah enam
  • Waktu awal pagi : Beluntung mendahului ayam untuk turun ke tanah bagi mencari kambing dan kerbaunya yang dikhuatiri lemas
  • Waktu siang : Beluntung dan Tuyog menyertai pesta lumba kerbau
  • Waktu rehat : Beluntung mencari haiwan peliharaanya tetapi mendapati Bawod hilang

Latar Masyarakat

  • Masyarakat yang tinggal di luar bandar : Beluntung dan keluarganya tinggal di kawasan sungai dan perjalananya ke sekolah jauh dan mencabar.
  • Masyarakat yang penyayang terhadap manusia dan juga haiwan : Beluntung sangat menyayangi Tuyog dan Bawod sehingga membawa mereka ke sekolah pada setiap hari
  • Masyarakat yang patuh dan taat kepada ibu dan bapa : Beluntung belajar bersungguh-sungguh seperti apa yang dinasihati oleh ibunya
  • Masyarakat yang mengekalkan budaya dan tradisi : Masyarakat Kampung Layong menganjurkan pesta lumba kerbau dan dimenangi oleh Beluntung dan Tuyog

Gaya Bahasa

  1. Peribahasa : Bapa tentu senang hati
  2. Repitisi : Bawod takut akan air, takut akan hujan
  3. Inversi : Dihadapannya, Tuyog tertambat pada pohon nangka
  4. Simile : Dia memandang kecewa ke halaman rumah yang sudah kelihatan seperti tasik
  5. Sinkope : Hisyy…, asyik tanya saja,” bisik budak gemuk..
  6. Personafikasi : Cahaya itu merayapi kawasan sekitar

Nilai

1) Nilai kegigihan – Beluntung gigih ke sekolah walaupun perjalanan yang jauh dan mencabar

2) Nilai kesetian – Beluntung dan haiwan peliharaannya Tuyog dan Bawod setia bersama antara satu sama lain

3) Nilai penyayang – Ibu Beluntung melarang anaknya turun dari rumah kerana bimbang keselamatan anaknya ketika hujan lebat melanda

4) Nilai berani – Beluntung berani untuk menyertai pesta lumba kerbau bersama Tuyog walaupun mendapat saingan yang hebat

5) Nilai tanggungjawab – Cikgu Rambuyat yang mengajar anak-anak muridnya dengan penuh dedikasi

6) Nilai bijaksana – Beluntung berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan darjah enam

Pengajaran

1) Kita hendaklah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan khusunya di sekolah demi masa hadapan yang baik

2) Kita seharusnya memelihara dan menyayangi haiwan yang juga berkongsi hidup di atas muka bumi ini dengan manusia serta makhluk lain.

3) Kita perlu bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh komited dan dedikasi

4) Kita mesti bersikap berani dalam menceburi perkara baharu seperti menyertai pertandingan walaupun mempunyai saingan yang hebat

5) Kita seharusnya berhemah tinggi dalam hidup bermasyarakat lebih-lebih lagi terhadap jiran tetangga

6) Kita hendaklah mempunyai sifat simpati dan belas kasihan terhadap perkara-perkara yang menyedihkan

Koleksi Soalan Yang Berkaitan

1) Apakah perasaan Beluntung apabila mendapati Bawod dan Tuyog masih belum pulang ketika hujan lebat melanda rumahnya?

Ketika hujan lebat melanda rumah Beluntung, dia berasa resah dan risau akan keadaan Bawod dan Tuyog yang dikhuatiri lemas kerana air sungai telah melimpah sehingga ke halaman rumahnya.

2) Nyatakan dua latar masyarakat yang terdapat dalam cerpen di atas?

Berdasarkan cerpen Bawod yang saya kaji, terdapat banyak latar masyarakat yang ditunjukkan antaranya adalah masyarakat yang masih mengekalkan budaya dan tradisi lama seperti menganjurkan pesta lumba kerbau. Selain itu, lata rmasyarakat yang ditunjukkan adalah masyarakat yang bersyukur di atas kejayaan seperti ayah Beluntung yang mengadakan majlis kesyukuran selepas Beluntung berjaya mendapat keputusan cemerlang di sekolah

3) Pada pendapat anda, apakah cara-cara untuk memastikan keselamatan haiwan peliharaan kita?

Pada pendapat saya, cara untuk memastikan keselamatan haiwan peliharaan kita adalah dengan menyediakan kawasan atau rumah yang sesuai untuk haiwan tersebut tinggal dan bebas daripada ancaman keselamatan. Selain itu, kita juga hendaklah mengetahui makanan yang baik untuk mereka makan dan melakukan pemeriksaan berkala supaya mereka bebas daripada ancaman penyakit.

4) Pada pendapat anda, mengapa Beluntung ingin menjadi murid yang pandai?

Pada pendapat saya, Beluntung ingin menjadi seornag murid yang pandai kerana dia mempunyai impian yang ingin dicapai. Pada masa yang sama, dia ingin membantu keluarganya ke arah yang lebih baik dan membuktikan bahawa kehidupan di luar bandar bukan penghalang untuk berjaya.

5) Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata menekup hidung?

Maksud rangkai kata menekup hidung adalah menutup hidung.

6) Jelaskan dua perwatakan Beluntung yang terpadat dalam cerpen di atas?

Antara perwatakan yang ditunjukkan oleh Beluntung adalah seorang yang berfikiran rasional kerana dia mengelakkan diri daripada bergaduh dengan kawan sekelasnya. Selain itu, Beluntung juga menunjukkan watak seornag yang ingin tahu kerana dia beridiri dan tanya kepada guru sebab kerbau suka makan garam.

Semoga perkongsian nota Cerpen Bawod : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran membantu para pelajar dalam mengulang kaji pelajaran masing-masing.

Related : beluntung turun dari rumah
persahabatan yang utuh antara manusia dengan haiwan peliharaannya
menyelamatkan haiwan peliharaannya tuyog dan bawod
beluntung berasa sedih kerana
halaman rumah beluntung
paras tebing dan menenggelamkan rumput
baik dengan dua ekor haiwan peliharaan iaitu tuyog
hujan lebat telah turun di kampung
keesokan harinya pada awal awal pagi beluntung
terbaik di sekolah rendah kerajaan timbang pasir