Cerpen Gerhana Manusia : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran. Nota merangkumi Watak, Binaan Plot, Teknik, Latar, Gaya Bahasa, Nilai.

Cerpen Gerhana Manusia : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran

Cerpen Gerhana Manusia Sinopsis Tema Persoalan

Perhatian kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Adakah anda telah membuat ulangkaji dan nota untuk mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya bahagian Komponen Sastera (KOMSAS)? Sekiranya belum, berikut dikongsikan nota-nota berkenaan Cerpen Gerhana Manusia merangkumi Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Binaan Plot, Teknik, Latar, Gaya Bahasa, Nilai dan Pengajaran untuk rujukan semua.

Untuk pengetahuan semua, Cerpen Gerhana Manusia merupakan hasil karya Aminah Mokhtar, penulis yang berasal dari Muar, Johor. Penulis yang juga bertugas sebagai jururawat ini telah menghasilkan banyak karya seperti Pelamin Embun, Merdekakan Cinta dan Diari Seorang Jururawat. Malah, beliau telah berjaya memenangi beberapa anugerah seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001 (Kategori Puisi : “Jangan Sampai Kita Hilang Kota”) dan Hadiah Sastera Utusan Exxon-Mobil 2002 (Kategori Cerpen).

Nota Cerpen Gerhana Manusia : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran

Di bawah dikongsikan nota berkaitan Cerpen meliputi Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Binaan Plot, Teknik, Latar, Nilai dan Pengajaran. Turut disertakan adalah nota berkenaan plot, perwatakan, gaya bahasa serta soalan-soalan untuk latihan para pelajar

Sinopsis

Cerpen ini bermula apabila Professor Doktor Juaidi ingin memastikan semua pek darah yang ada di hospital digunakan untuk Tuan Besar Musa. Beliau telah koma dan tenat akibat pengambilan minuman keras selama bertahun-tahun. Nusia, bertugas sebagai jururawat di wad Unit Rawatan Rapi memberitahu kepada Doktor Murni bahawa bank darah sudah kehabisan. Doktor Murni mengarahkan Nusia untuk mencari penderma darah kepada orang awam melalui pihak media.

Secara peribadi, Nusia merasakan bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu untuk diselamatkan lagi kerana dia bergantung kepada alat sokongan hidup. Hanya bacaan Yasin dan ucapan Syahadah diperlukan dan Nusia juga mempersoalkan waris Tuan Besar Musa tidak pernah hadir ke hospital. Walaupun peluang Tuan Besar Musa untuk terus hidup agak tipis, Doktor Murni berkata kepada Nusia bahawa Professor Doktor Juaidi mahukan perkara itu. Doktor Murni menasihati Nusia untuk ikut sahaja arahan ketua jabatan mereka.

Nusia melihat di Unit Rawatan Rapi bahawa terdapat pesakit-pesakit lain yang menunggu bekalan darah untuk kembali sihat. Solehah, tenat dan koma akibat pundi janinnya pecah di ovari serta Al Hafiz telah ditimpa kemalangan kereta. Pesakit-pesakit ini mempunyai peluang lebih baik untuk kembali sihat berbanding Tuan Besar Musa. Professor Doktor Juadi berkata Tuan Besar Musa merupakan tokoh korporat dan teknokrat yang banyak menyumbang kepada hospital terutamanya untuk kelab elit mereka. Atas dasar hutang budi tersebut, Doktor Juaidi ingin menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa walaupun tidak adil dalam proses rawatan mereka.

Nusia memberitahu Professor Doktor Juaidi bahawa Solehah menghadapi tekanan darah yang rendah dan beliau menyuruh Nusia untuk memberikan gelafundin bagi menggantikan darah. Nusia cuba mempertikaikan tindakan daripada ketua jabatannya itu. Tetapi, Nusia akur dengan arahan yang diberikan dan meluahkan kekecewaannya kepada Doktor Murni. Nusia mengatakan bahawa berlaku pembaziran darah kerana seratus pek darah telah digunakan selama dua hari untuk menyelamatakan Tuan Besar Musa sahaja. Walhal, hanya empat pek darah sahaja diperlukan untuk menyelamatkan pesakit lain.

Di makmal darah, Nusia meminta juruteknik yang menjaga bekalan darah untuk memberikannya lima pek bagi kegunaan empat orang pesakit lain. Dia menjelaskan bahawa Tuan Besar Musa sudah tidak berpeluang untuk hidup dan kelangsungannya disokong oleh adrenalin, dopamin dan atropina. Juruteknik makmal darah tersebut membuat keputusan untuk membantu Nusia dan Nusia berkata dia sanggup untuk menanggung risiko dan herdikan.

Tuan Besar Musa meninggal dunia dan gagal diselamatkan oleh Professor Doktor Juaidi. Beliau berasa tertekan kerana kematian tersebut menyebabkan kelab mereka akan kehilangan tajaan sebanyak RM100,000. Doktor Murni pula menyerahkan surat peletakan jawatannya kerana hospital itu mengetepikan nilai kemanusiaan terhadap pesakit. Doktor Murni mengajak Nusia untuk menderma darah dan disalurkan kepada pesakit-pesakit di hospital mereka.

Tema

Tema cerpen ini adalah tentang kesalahan etika seorang doktor yang mementingkan ganjaran daripada kemanusiaan. Kesalahan ini yang disedari oleh seorang jururawat cuba untuk melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan pesakit lain tanpa mengira pangkat atau darjat.

Persoalan

1) Etika kemanusiaan dalam pekerjaan diabaikan

  • Professor Doktor Juaidi ingin menggunakan semua bekalan darah bagi menyelamatkan Tuan Besar Musa walaupun ia boleh digunakan untuk menyelamatkan pesakit-pesakit lain

2) Ketidak adilan di antara manusia diukur melalui jawatan, harta dan pangkat

  • Nusia mempersoalkan tindakan Professor Doktor Juaidi yang hanya ingin mengutamakan pesakit yang menyumbang kepada kelab elit hospital

3) Sikap professional apabila melakukan pekerjaan masing-masing

  • Doktor Murni memberitahu Nusia untuk mengikut sahaja arahan ketua jabatan mereka

4) Perasaan simpati terhadap manusia lain

  • Nusia meminta makmal darah untuk diberikan pesakit lain daripada hanya diberikan kepada Tuan Besar Musa

5) Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah

  • Professor Doktor Juaidi bijak untuk meminta bekalan darah daripada hospital lain dan bank darah lain untuk menyelamatkan pesakitnya

6) Kematian adalah kuasa Tuhan

  • Ajal Tuan Besar Musa tetap tiba walaupun banyak usaha dan Ikhtiar telah dilakukan oleh Professor Doktor Juaidi untuk menyelamatkannya

Watak dan perwatakan

1) Nusia

  • Watak utama yang merupakan jururawat bertugas di Unit Rawatan Rapi sebuah hospital
  • Seorang yang prihatin terhadap pesakit-pesakit yang dirawat
  • Seorang yang berani untuk mengambil risiko
  • Seorang yang mendengar arahan ketua di dalam pekerjaan

2) Doktor Murni

  • Merupakan seorang pegawai perubatan muda yang bertugas di wad Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital
  • Seorang yang berpendiran tegas dan rasional dalam membuat tindakan
  • Memastikan kebajikan rakan sekerja yang lain

3) Professor Doktor Juaidi

  • Seorang pegawai perubatan dan ketua jabatan kepada Doktor Murni dan Nusia di sebuah hospital
  • Seorang yang hanya mementingkan kepentingan diri daripada orang lain
  • Seorang yang licik dalam menyelesaikan masalah
  • Seorang yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan

4) Tuan Besar Musa

  • Ahli korporat dan teknokrat yang mempunyai empayar perniagaan yang besar
  • Pesakit di Unit Rawatan Rapi sebuah hospital
  • Seorang yang pemurah kerana banyak memberikan sumbangan dana kepada orang lain
  • Seorang kaki botol selama bertahun-tahun dan berperut buncit

Binaan Plot

Permulaan

Suasana cemas di Wad Unit Rawatan Rapi ketika Tuan Besar Musa koma. Professor Doktor Juaidi, Doktor Murni dan Nusia berusaha untuk menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa yang merupakan seorang kaki botol. Tuan Besar Musa tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap rawatan yang diberikan sehingga pek belakan darah semakin habis.

Perkembangan

Nusia yang bertugas sebagai seorang jururawat di wad tersebut mempertikaikan pemberian bekalan darah kepada Tuan Besar Musa. Dia menganggap perkara itu sebagai satu pembaziran kerana bekalan darah itu boleh digunakan untuk pesakit lain. Nusia meluahkan ketidak puasan hatinya kepada Doktor Murni kerana pengabaian nilai kemanusiaan sehingga sanggup menggadaikan nyawa pesakit lain demi kepentingan pihak tertentu. Doktor Murni mengatakan bahawa itu adalah arahan ketua jabatan mereka maka perlu ikut sahaja arahan yang diberikan.

Perumitan

Nusia berasa bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu diselamatkan lagi kerana bergantung kepada alat sokongan hayat. Nusia bertindak untuk memujuk juruteknik makmal darah agar memberikan lima pek darah tulen yang sejuk untuk kegunaan pesakit-pesakit lain. Juruteknik tersebut menuruti pujukan Nusia dan menyerahkan Nusia lima pek darah sejuk itu. Nusia kemudian memberitahu juruteknik makmal tersebut dia sanggup menanggung segala risiko atau herdikan atas tindakannya

Klimaks

Professor Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan Tuan Besar Musa dengan meningkatkan kadar penggunaan adrenalin, dopamin dan atropina. Namun, dia tidak tadapt diselamatkan dan meninggal dunia. Profesor Doktor Juaidi berasa tertekan atas kematian Tuan Besar Musa kerana kelab elit hospitalnya akan kehilangan tajaan sebanyak RM100 ribu. Doktor Murni pula meletakkan jawatan selepas itu kerana hospital tersebut tidak lagi berkhidmat berdasarkan nilai kemanusiaan.

Peleraian

Doktor Murni menggapai tangan Nusia dan mengajaknya untuk menderma darah di bank darak supaya semua pesakit-pesakit lain di Wad Unit Rawatan Rapi dapat dibantu.

Teknik Plot

  • Dialog : Dialog antara Professor Doktor Juaidi dengan Nusia berkaitan keadaan Solehah yang mengalami tekanan darah semakin rendah
  • Imbas muka : Nusia membayangkan bahawa lima pek darah sejuk yang berada ditangannya mampu menyembuhkan penyakit Solehah dan al-Hafiz
  • Monolog dalaman : Nusia bermonolog dalaman dengan mempersoalkan pesakit yang akan diberikan darah apabila mendengar arahan Professor Doktor Juaidi
  • Pemerian : Keadaan Tuan Besar Musa diperihalkan oleh penulis ketika dia sedang koma dan bergantung kepada bantuan alat sokongan hayat
  • Saspens : Nusia memujuk juruteknik makmal darah untuk memberikan lima pek darah kepadanya menimbulkan tanda tanya kepada pembaca untuk mengetahui perkara selanjutnya

Latar

Latar masa

  • Hari ini
  • Hari semalam
  • Dua hari

Latar tempat

  • Hospital
  • Wad Unit Rawatan Rapi
  • Makmal Bank Darah

Latar masyarakat

  • Masyarakat yang memilih kasih dan mementingkan pangkat atau darjat
  • Masyarakat yang tidak berperikemanusiaan
  • Masyarakat yang prihatin terhadap orang lain
  • Masyarakat yang mendengar arahan ketua
  • Masyarakat yang berani mengambil risiko demi kepentingan orang lain
  • Masyarakat yang berpendirian tegas dengan prinsip hidupnya

Gaya Bahasa

  • Bahasa Arab : Masya Allah, Syahadah
  • Metafora : layar rakaman hayat
  • Paradoks : Aku cuba tersenyum walaupun hati terasa pedih
  • Personifikasi : renungan mata Doktor Murni menikam anak mataku, tajam mata liar garangnya menangkap wajah lembut Doktor Murni
  • Istilah sains perubatan : atropina, alveolus paru-paru
  • Inversi : darah dan manusia itu, berbezakah nilainya?
  • Simile : Firasat itu umpama mimoi barangkali, memancut bagai paip bocor
  • Simpulan bahasa : nyawa-nyawa ikan, kurang ajar, lintah darat

Nilai

  • Prihatin : Nusia prihatin terhadap nasib pesakit-pesakit lain yang lebih layak mendapat rawatan berbanding Tuan Besar Musa yang sudah tiada harapan
  • Bertanggungjawab : Doktor Murni dan Nusia bertanggungjawab untuk merawat semua pesakit tanpa mengira darjat atau pangkat
  • Berani : Nusia berani untuk meminta pek darah bagi pesakit lain kerana pada dirinya itu lebih penting daripada menyelamatkan seorang pesakit sahaja
  • Bijaksana : Professor Doktor Juaidi bijak menghadapi masalah kekurangan bekalan darah dengan mengarahkan Doktor Murni untuk mendapatkannya daripada hospital lain
  • Murah hati : Doktor Murni dan Nusia menderma darah untuk kegunaan pesakit-pesakit yang memerlukan
  • Rasional : Juruteknik makmal darah bertindak rasional untuk memberikan Nusia bekalan pek darah yang diperlukan untuk menyelamatkan pesakit lain.

Pengajaran

  1. Kita hendaklah meletakkan etika kemanusiaan sebagai perkara yang paling utama dalam melaksanakan tugasan atau mendepani kehidupan seharian
  2. Kita perlu mengelakkan sikap pilih kasih berdasarkan pangkat atau darjat apabila melaksanakan tugasan awam seperti pihak berkuasa atau doktor kepada rakyat.
  3. Kita mesti berani dalam menegakkan keadilan dan kebenaran daripada penindasan
  4. Kita seharusnya bijak mengatur strategi secara rasional dalam menghadapai cabaran dalam pekerjaan atau kehidupan kita
  5. Kita digalakkan untuk menderma darah sebagai bekalan untuk hospital yang merawat pesakit awam
  6. Kita hendaklah bertegas dan mempunyai pendirian yang tinggi apabila menghadapi sebarang rintangan dalam kehidupan

Soalan Latihan

1) Berdasarkan Cerpen Gerhana Manusia, apakah punca-punca Al-Hafiz masih terlantar di wad Unit Rawatan Rapi?

Berdasarkan cerpen Gerhana Manusia, Al Hafiz masih terlantar di wad Unit Rawatan Rapi kerana tulang selangkanya patah riuk akibat diheret kereta sejauh dua meter di tar keras.

2) Salah satu etika dalam pekerjan ialah mematuhi arahan majikan. Pada pandangan anda, apakah tindakan yang boleh diambil majikan untuk menghargai pekerja yang cemerlang dalam tugas-tugas mereka?

Pada pandangan saya, tindakan majikan untuk menghargai pekerja yang cemerlang adalah dengan memberikan bonus tahunan, kenaikan gaji atau menawarkan kenaikan pangkat. Sleain itu, pihak majikan juga boleh menghargai pekerja dengan memberikan peluang untuk menambah kemahiran atau ilmu berkaitan untuk menjadi pekerja yang lebih baik.

3) Huraikan tiga latar masyarakat yang terdapat cerpen yang anda kaji

Cerpen yang saya kaji adalah cerpen Gerhana Manusia. Antara latar masyarakat yang ditunjukkan adalah masyarakat yang prihatin seperti Doktor Murni dan Nusia yang sedih terhadap nasib pesakit lain yang tidak mendapat bekalan pek darah. Selain itu, terdapat juga masyarakat yang mementingkan wang dan diri sendiri seperti Profesor Doktor Juaidi yang bersungguh-sungguh merawat Tuan Besar Musa kerana dia merupakan penyumbang dana untuk kelab elit hospital.

4) Jika anda ditempatkan di kedudukan Doktor Murni, apakah kaedah yang boleh anda lakukan untuk mengatasi masalah bekalan darah?

Sekiranya saya berada di kedudukan Doktor Murni, saya akan meminta bantuan daripada hospital-hospital lain untuk menyumbangkan bekalan darah. Selain itu, saya juga menyeru kakitangan hospital untuk menderma darah supaya bekalan terus dapat digunakan dengan cepat. Akhir sekali adalah dengan menggunakan media sosial untuk menggalakkan masyarakat awam untuk menderma darah demi kepentingan bersama.

5) Berikan perwatakan-perwatakan Doktor Murni yang terdapat dalam cerpen Gerhana Manusia.

Berdasarkan cerpen Gerhana Manusia, pelbagai perwatakan yang ditunjukkan oleh Doktor Murni. Antaranya adalah dia seorang yang prihatin apabila memaklumkan kepada Doktor Juaidi tentang bekalan darah yang semakin berkurangan. Selain itu, dia juga seorang yang bertanggungjawab apabila merawat pesakit-pesakitnya tanpa mengira darjat atau pangkat. Doktor Murni juga seorang yang rasional kerana meletakkan jawatan dan yakin akan ada hospital yang memerlukan perkhidmatannya

6) Pada pendapat anda, mengapakah sumbangan dana daripada Tuan Besar Musa sangat penting kepada Profesor Doktor Juaidi?

Pada pendapat saya, Profesor Doktor Juaidi mementingkan Tuan Besar Musa kerana beliau merupakan seorang tokoh korporat, teknokrat yang banyak menyumbang dana kepada kelab elit hospital. Selain itu, dia juga terhutang budi kepada Tuan Besar Musa yang menaja makan malam tahunan hospital yang bernilai beratus-ratus ribu.

Related : profesor doktor juaidi berasa tertekan atas kematian tuan besar musa kerana kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak rm100 ribu, bekalan darah kepada tuan besar musa yang sedang koma, perbuatannya yang mengambil minuman keras selama bertahun tahun, memastikan semua pesakitnya tanpa mengira darjat atau pangkat, nusia memujuk juruteknik makmal darah agar memberikan lima pek darah tulen yang sejuk, diberikan kepada tuan besar musa kerana kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak rm100 ribu, diberikan kepada tuan besar musa yang sedang koma,