Berita baik buat pelajar Tingkatan Tiga yang mencari bahan rujukan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Antara komponen penting dalam subjek tersebut adalah Komponen Sastera (KOMSAS) yang menguji pemahaman dan penguasaan pelajar untuk mengkaji karya sastera. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan nota berkaitan Cerpen Sekeping Tanah : Sinopsis, Tema, Binaan, Watak, Persoalan, Gaya Bahasa, Nilai & Pengajaran.
Untuk pengetahuan semua, cerpen ini merupakan karya penulisan A. Rahman CM, seorang pensyarah yang juga penulis. Selain cerpen, beliau juga menghasilkan karya penulisan dalam bentuk novel seperti Dalam Rindu dan Orang Ketiga yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Penulisan yang mempunyai pelbagai naratif ini membantu pelajar membuka minda tentang peristiwa-peristiwa yang diceritakan di samping menambah kosa kata dan pengetahuan para pelajar.
Nota Cerpen Sekeping Tanah : Sinopsis, Tema, Persoalan, Latar, Watak, Nilai, Gaya & Pengajaran
Rujuk perkongsian nota-nota ringkas dan soalan berkaitan Cerpen Sekeping Tanah merangkumi Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Latar, Watak, Gaya Bahasa, Nilai & Pengajaran di bawah.
Tema
Cerpen ini bertemakan konflik yang berlaku antara adik-beradik dalam mempertahankan harta pusaka warisan keluarga.
Persoalan
1) Komunikasi antara satu sama lain adalah penting
- Selepas beberapa tahun, Hisyam baru mendapat tahu bahawa abangnya Harun mendesak menjual tanah pusaka mereka untuk mendapatkan wang guaman anaknya. Jika mereka berkomunikasi dengan lebih baik, pasti mereka boleh bersetuju dengan rancangan yang lebih baik
2) Keberanian mengambil risiko pada hari ini untuk kesenangan pada masa hadapan
- Hisyam melihat potensi yang dimiliki tanah pusaka peninggalan ayahnya untuk membina kondo dan menubuhkan syarikat sendiri bagi membina kondo tersebut.
3) Kerjasama yang baik akan menghasilkan kejayaan yang gemilang
- Hisyam bekerjasama dengan Halimah yang mempunyai kelulusan untuk menguruskan syarikat Bina Jaya Sdn Bhd dan membina sebuah kondo dengan jayanya
4) Hubungan antara ahli keluarga yang berbeza-beza
- Harun sebagai anak sulung berpendirian tegas walaupun ketika bersama adik beradiknya, manakala Hisyam dan Halimah masing-masing jujur antara satu sama lain.
5) Kepentingan pendidikan untuk mengubah kehidupan seseorang
- Halimah yang belajar dan mendapat kelulusan yang baik telah berjaya mendapat kerjaya yang baik iaitu sebagai pengurus bank
6) Kasih sayang seorang bapa kepada anak-anaknya
- Harun membayar guaman untuk membela anaknya di dalam mahkamah selepas terlibat dengan kes pembunuhan ketika anaknya merempit
Sinopsis
Cerpen ini bermula dengan Hisyam yang menemui abangnya, Harun. Mereka berbincang tentang sekeping tanah pusaka peninggalan ayah mereka. Hisyam bercadang untuk menguruskan tanah itu dengan sebaik-baiknya tetapi Harun pula mahu menjualnya. Hisyam dan kakaknya, Halimah tidak mahu tanah itu dijual kerana bagi Hisyam, tanah itu boleh dibangunkan rumah kediaman mewah dalam bentuk kondo. Hisyam berhasrat untuk menubuhkan sebuah syarikat keluarga bagi menguruskannya bersama-sama. Hisyam memberitahu Harun bahawa Halimah berasa rimas kerana dia duduk di rumah pusaka yang mungkin boleh menimbulkan perbalahan antara anak-anak mereka pada kemudian hari. Harun sekali lagi menegaskan keputusannya untuk menjual tanah tersebut. Hasilnya akan dibahagikan mengikut hukum faraid. Harun juga tidak percaya kepada Hisyam untuk memajukan tanah kerana dia bekerja sebagai pemandu teksi sahaja. Hisyam meluahkan bahawa dia sedar akan kelulusannya yang rendah, namun dia tahu memandang mada hadapan.
Hisyam telah memberitahu Harun bahawa harta tersebut akan diuruskan oleh Halimah yang mempunyai kelulusan kewangan dan pengurusan, tetapi Harun tetap dengan ketupusannya. Hisyam juga mencadangkan untuk membuat pinjaman bank bagi membuka syarikat tersebut tetapi Harun bertegas tidak setuju dengan tindakan kurang bijak itu. Hisyam juga telah memberitahu Harun bahawa dia sudah berbincang dengan Halimah tentang hal tersebut. Halimah yang bekerja sebagai pengurus di sebuah bank merupakan orang yang paling layak untuk mmenguruskan syarikat tersebut.
Hisyam berkata bahawa masalah pasti akan timbul walau siapapun menguruskan syarikat tersebut. Ibarat menjaga anak-anak ada yang berjaya ada yang gagal. Kata-kata itu dirasai oleh Harun kerana dia gagal mendidik dua orang anak lelakinya, seorang ada masalah dadah dan seorang lagi terlibat dalam lumba haram. Hisyam sedar bahawa abangnya terasa dengan kata-katanya dan membuatkan dia bersyukur bahawa anak-anaknya menjadi doktor dan pensyarah di universiti. Pada malam itu, Hisyam memberitahu Halimah keputusan Harun untuk menjual tanah tersebut, oleh itu mereka terpaksa meneruskan rancangan mereka tanpa Harun. Hisyam nekad untuk menubuhkan sebuah syarikat bersama-sama kakaknya. Disebabkan Halimah masih bekerja dengan bank, syarikat itu akan diuruskan oleh Hisyam dan mencadangkan agar mereka membeli tanah pusaka serta membayar bahagian Harun tanpa pengetahuannya.
Halimah telah mendapat panggilan daripada Harun yang menyatakan pendiriannya untuk menjual tanah pusaka mereka. Halimah bertanya kepada abangnya bahawa sudah memikirkan sehabis mungkin tentang keputusan itu. Harun tetap dengan pendiriannya. Halimah menurut kehendak abangnya dan berpendapat Harun memerlukan wang pada masa itu. Hisyam dan Halimah maneruskan rancangan mereka menubuhkan syarikat sendirian berhad. Sebulan selepas itu, mereka bertiga telah menandatangani perjanjian menjual tanah pusaka itu dengan harga RM6,625,000.00 kepada syarikat Binajaya Sdn Bhd. Harga itu dibahagiakn mengikut hukum faraid sementara rumah pusakan mereka didermakan kepada sebuah keluarga di Sungai Penchala.
Pada minggu yang sama, satu papan tanda pembinaan kondo mewah setinggi 25 tingkat telah terpacak di tanah pusaka tersebut. Harun yang melalui tanah tersebut terkejut apabila melihat nama adiknya Hisyam Bin Sulaiman tertera pada papan tanda sebagai pengurus syarikat pemaju tersebut. Di ingin menelefon tetapi membuat keputusan untuk tidak menelefon dan melihat dulu perkembangannya. Tiga tahun berlalu dan Kondo Jaya telah berdiri tegak di tapak rumah pusaka Hisyam. Sebahagian daripada para pembeli datang untuk mengambil kunci dan kesemua 21 lot kedai berjaya disewakan. Harun berasa sangat terkejut apabila melihat Hisyam dan Halimah yang melayan para pembeli kondo dengan ramah dan menyerahkan kunci kepada mereka.
Harun melihat wajah Hisyam dan Halimah yang gembira atas kejayaan mereka itu. Harun memendam rasa dan pulang ke rumahnya kesedihan. Dia teringat akan wnagnya yang hanya tinggal sejuta lebih daripada dua juta lebih hasil jualan tanah pusaka itu dahulu. Pada malam itu, Harun menelefon Hisyam dan menuduh Hisyam emmpermainkannya kerana menubuhkan syarikat dnegan Halimah tanpa persetujuannya. Hisyam berkata dia telah memberitahu rancangannya kepada Harun tetapi tidak dipersetujui. Dia tetap ingin meneruskan rancangannya walaupun tanpa Harun. Harun yang tidak berpuas hati telah menamatkan perbualan tersebut.
Hisyam berasa kesal dengan tuduhan Harun terhadapnya dan telah menemui Halimah yang baru sahaja meletakkan jawatan sebagai pengurus bank. Hisyam meminta Halimah mengambil alih tugas sebagia pengurus syarikat mereka yang baru sahaja berkembang. Ketika itulah Halimah memberitahu Hisyam bahawa abangnya Harun mempunyai masalah kewangan apabila anaknya Musa terlibat dengan kes pembunuhan ketika merempit. Harun memerlukan wang untuk membayar kos guaman Musa pada ketika itu menyebabkan dia bertegas untuk menjual tanah pusaka tersebut. Mereka berasa kesal dengan tindakan masing-masing. Hisyam ingin memandu teksi semula dan percaya bahawa kakaknya mampu menguruskan syarikat tersebut dengan lebih baik.
Watak dan perwatakan
1) Hisyam
- Watak utama yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik
- Seorang pemandu teksi di sebuah bandar raya
- Sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak iaitu Zaki, Linda dan Nora
- Seorang yang rasional dalam membuat keputusan
- Seorang yang sayang terhadap ahli keluarga
- Seorang yang amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab
2) Harun
- Abang sulung kepada Hisyam
- Seorang yang sensitif dan berpendirian tegas
- Seorang yang penyayang kerana membela anaknya di mahkamah
3) Halimah
- Kakak kepada Hisyam
- Seorang pengurus bank sebelum menjadi pengurus Syarikat Binajaya Sdn Bhd
- Mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan kewangan
- Seorang yang bijak dan teliti dalam melakukan kerja
- Seorang yang menghormati abang dan adiknya
- Seorang yang amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan
Binaan Plot
Permulaan
Hisyam berhasrat untuk membangunkan sebidang tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya. Beliau yang duduk di bandar memikirkan potensi tanah pusaka tersebut untuk dibangunkan daripada terbiar begitu sahaja.
Perkembangan
Dia bertemu abang sulungnya Harun untuk membincangkan hasrat tersebut tetapi tidka dipersetujui. Harun bertegas untuk menjual sahaja tanah pusaka tersebut. Halimah pula hanya menuruti kehendak adik-beradiknya. Hisyam tetap dengan rancangannya untuk menubuhkan sebuah syarikat dan membina kondo di tapak tanah pusaka tersebut.
Klimaks
Harun, Hisyam dan Halimah telah menandatangani penjualan tanah pusaka mereka kepada sebuah Syarikat Binajaya Sdn Bhd dengan harga RM6,625,000.00. Jumlah tersebut dibahagikan mengikut hukum faraid dan rumah pusaka bapa mereka telah didermakan kepada sebuah keluarga di Sungai Penchala. Beberapa hari selepas itu, Harun yang memalui tapak tanah pusaka tersebut terkejut apabila melihat papan tanda terpacak berkenaan pembinaan kondo baharu dan terdapat nama Hisyam sebagai Pengurus Syarikat Binajaya Sdn Bhd.
Peleraian
Hisyam menyerahkan jawatan pengurusnya kepada Halimah yang lebih berkelayakan dan mendapat tahu tentang Harun yang sebenarnya memerlukan duit bagi membayar guaman anaknya. Oleh sebab itu, Harun terdesak untuk menjual tanah tersebut dan Hisyam berasa kesal kerana keputusan mereka untuk meneruskan rancangan tersebut tanpa persetujuan abangnya.
Teknik Plot
- Dialog : ” Kenapa dengan abang Harun?”, ” Dia mati-mati nak jual tanah tu”
- Imbas kembali : Lalu di mata batinnya muncul wajah dua orang anak lelakinya, Saleh dan musa. Dua anak yang membawa masalh dalam keluarganya.
- Kejutan : ” Baru kaka tahu kenapa abang Harun mati-mati nak jualkan tanah itu, Nak cepat pula tu. Inilah puncanya, nak bayar kos guaman.”
- Saspens
- Pemerian
- Monolog
Latar
Latar masa
- petang
- tengah hari
- malam
- setelah tiga tahun seetngah
- sebulan selepas urusan pinjaman bank diluluskan
Latar tempat
- Rumah Harun
- Rumah Halimah
- Rumah Hisyam
- Pejabat Tanah
- Tanah Pusaka milik keluarga Hisyam
- Kondo Jaya
Latar Masyarakat
- Masyarakat yang berselisih faham atas harta peninggalan orang tua mereka
- Masyarakat yang bijak merancang untuk kesenangan masa hadapan
- Masyarakat yang berani untuk mengambil risiko dalam kehidupan
- Masyarakat yang menghormati orang yang lebih tua
- Masyarakat yang terlibat dengan gejala negatif
- Masyarakat yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya bagus
Gaya Bahasa
- Bahasa Arab : Astaghfirullah
- Peribahasa : Perah otak, tukar tangan
- Perlambangan : Pisau di tangan abang
- Kata Ganda : angan-angan, mati-mati, dalam-dalam
- Metafora : mata batinnya
- Repitisi : Dia cabar saya. Dia hina saya
- Sinkope : Tak boleh. Kamu saja, Syam
- Personifikasi : hatinya teringin sangat untuk membuat panggilan telefon kepada adiknya itu tetapi otaknya melarang
- Simile : “Saya percayakan kakak macam saya percayakan mak.”
Nilai
- Berani : Hisyam berani untuk membuat pinjaman bank dan membeli tanah pusaka ayahnya untuk membina projek pembinaan kondo
- Amanah : Hisyam menguruskan projek pembinaan Kondo Jaya dan syarikatnya dengan penuh amanah walaupun tidak mempunyai kelulusan yang tinggi
- Gigih : Hisyam gigih menyara kehidupan keluarganya bekerja sebagai pemandu teksi
- Hormat : Halimah dan Hisyam menghormati abang mereka Harun yang bertegas untuk menjual tanah pusaka mereka
- Rasional : Hisyam telah bekerjasama dengan Halimah untuk membina syarikat dan memajukan sebuah kondo kerana Halimah berpengalaman tinggi dan mempunyai kelulusan yang berkelayakan
Pengajaran
- Kita hendaklah memastikan anak-anak kita tidak terjebak dengan gejala negatif dan berjaya mendapatkan kerjaya yang baik
- Kita perlu berani mengambil risiko dalam kehidupan untuk mendapatkan kejayaan yang terbaik
- Kita seharusnya bijak dalam merancang masa hadapan dengan menggunakan segala kelebihan yang kita miliki
- Kita hendaklah berkomunikasi antara satu sama lain dengan baik dan membuang ego untuk bersikap jujur dengan sesiapa sahaja lebih-lebih lagi apabila berkomunikasi dengan ahli keluarga sendiri
- Kita perlu memikul amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi supaya tugasan yang diberikan dilaksanakan dengan baik
- Kita seharusnya menolak sikap mudah terasa kerana perkara tersebut hanya akan merugikan masa dan emosi kita sendiri
Koleksi Soalan
1) Huraikan tiga persoalan dan peristiwa yang berkaitan berdasarkan cerpan yang anda kaji
Cerpen yang saya kaji adalah cerpen Sekeping Tanah karya A. Rahman CM. Persoalan pertama adalah persoalan berani mengambil risiko di mana Hisyam yang tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan ingin menguruskan syarikat pemaju hartanah. Selain itu, persoalan mempunyai wawasan berpandangan jauh juga diketengahkan oleh watak utama, Hisyam. Beliau melihat potensi tanah pusaka milik ayahnya untuk menjadi kawasan kondo dan pusat komersial. Persoalan lain yang terdapat dalam cerpen ini adalah persoalan memandang rendah kepada orang lain sebagaimana Harun memandang rendah terhadap Hisyam yang ingin menubuhkan syarikat kerana tidak mempunyai kelulusan tinggi.
2) Apakah peristiwa yang menunjukkan latar tempat rumah Harun?
Latar tempat rumah Harun merujuk kepada peristiwa Hisyam menemui Harun untuk berbincang tentang sebidang tanah pusaka arwah ayahnya.
3) Berikan pandangan anda tentang kaedah yang paling berkesan untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga?
Pada pendapat saya, cara untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan adalah dengan kerap makan bersama, bersikap terbuka antara satu sama lain dan mempunyai ibu dan bapa yang menunjukkan tauladan yang baik.
4) Apakah perwatakan yang ditunjukkan oleh Harun di dalam cerpen Sekeping Tanah?
Antara perwatakan yang ditunjukkan oleh Harun di dalam cerpen Sekeping Tanah adalah dia merupakan seorang yang berpendirian tegas, mudah terasa dan juga seorang ayah yang penyayang terhadap anak-anaknya.
5) Pada pendapat anda, mengapakah Hisyam dan halimah membeli semula tanah pusaka arwah ayah mereka?
Berdasarkan pemahaman saya, tindakan Hisyam dan Halimah untuk membeli semula tanah pusaka tersebut kerana mereka menuruti kehendak abang mereka, Harun yang ingin menjual tanah tersebut dan membahagikan hasilnya mengikut hukum faraid.
6) Sebagai seorang pelajar, berikan cadangan untuk ibu dan bapa tentang cara yang sesuai dalam memastikan anak-anak berjaya dalam kehidupan?
Pada hemat saya, ibu dan bapa seharusnya menjadi teladan terbaik kepada anak-anak untuk memastikan mereka berjaya. Selain itu, ibu dan bapa hendaklah memastikan anak-anak bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan tidak terjebak dalam gejala negatif. Akhir sekali, ibu dan bapa perlu menyemat jati diri yang kukuh dalam diri anak-anak supaya berusaha sedaya upaya sehingga berjaya.
Semoga perkongsian nota berkaitan Cerpen Sekeping Tanah : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran membantu semua yang ingin melakukan ulang kaji dan persiapan menghadapi peperiksaan.
Related : berpengalaman luas dalam bidang pengurusan kewangan, amanah dalam memikul tanggungjawab untuk mengambil alih pengurusan, menyerahkan jawatan pengurus syarikat, dua orang anak iaitu zaki linda dan nora, bijak dan halimah menurunkan tandatangan menjual tanah pusaka, keutuhan integriti dalam memikul tanggungjawab, menghormati orang anak iaitu zaki linda dan nora,
Senarai Tajuk Kecil Artikel