Ciri-Ciri Anak Yang Cemerlang (Akhlak Baik & Bermoral Tinggi). Contoh karangan cara melatih anak kita supaya cemerlang akademik dan sahsiah.

Ciri-Ciri Anak Yang Cemerlang (Akhlak Baik & Bermoral Tinggi)

contoh karangan ciri ciri anak yang cemerlang

Salah satu tema yang popular untuk keluar dalam soalan penulisan karangan Bahasa Melayu adalah tema berkaitan keluarga dan masyarakat. Oleh yang demikian, pelajar boleh menjawab soalan ini kerana banyak frasa-frasa menarik dan peribahasa yang boleh digunakan dalam penulisan karangan masing-masing. Sebagai panduan,  berikut dikongsikan contoh karangan ciri-ciri anak yang cemerlang untuk rujukan semua.

Sebagai seorang anak, anda pasti dapat memberikan idea dan hujahan yang menarik berkaitan dengan tajuk di bawah. Pelajar boleh melihat daripada aspek kehidupan masing-masing dan kaitkan dengan pengalaman sendiri. Misalnya, anda belajar bersungguh-sungguh demi membanggakan ibu dan bapa serta sebagai tanggungjawab menjadi seorang anak. Contoh dan penjelasan yang mudah difahami akan membantu penulisan karangan pelajar menjadi cemerlang.

Contoh Karangan Ciri-Ciri Anak Yang Cemerlang

Anda boleh merujuk isi-isi penting, contoh huraian mengikut perenggan berkenaan tajuk di atas seperti berikut:

Isi-isi penting

  1. Menghormati dan menyayangi ahli keluarga
  2. Membantu ibu dan bapa melakukan kerja-kerja di rumah
  3. Berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam pelajaran atau kerjaya
  4. Sentiasa jujur dan meluahkan perasaan dengan rasional
  5. Belajar berdikari dan menjaga kesihatan diri
  6. Tidak terjebak dengan jenayah atau masalah sosial

Pendahuluan

Mutakhir ini, pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita sehingga menjadi polemik utama di media massa. Kemulut ini kebanyakannya berlaku dalam kalangan remaja yang merupakan bakal tunjang negara. Situasi yang perlu diambil serius oleh ibu dan bapa khususnya untuk memastikan anak-anak mereka tidak terjebak denagn perkara yang sisa-sia.

Namun begitu, anak-anak juga mempunyai tanggungjawab kepada ibu dan bapa untuk menjadi yang terbaik. Mereka telah melakukan banyak pengorbanan dan jasa untuk membesarkan dan menjaga kebajikan kita. Persis kata peribahasa, bagai menatang minyak yang penuh. Oleh yang demikian, mari kita bincangkan apakah ciri-ciri anak yang baik supaya setiap di antara kita melaksanakan tanggungjawab kepada ibu dan bapa dengan baik.

Isi 1

Ciri utama untuk menjadi anak yang cemerlang adalah dengan menghormati dan menyayangi ahli keluarga. Dalam mendepani era modenisasi ini, anak-anak mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan juga media sosial hingga menyebabkan cara mereka berkomunikasi tidak mempunyai sopan dan santunnya. Situasi ini lazim berlaku dalam kalangan remaja yang lebih gemar untuk meluangkan masa bersama rakan berbanding ahli keluarga.

Sebagai seorang anak, kita seharusnya menghormati ibu dan bapa serta ahli keluarga yang lain dengan berkomunikasi dengan penuh sopan. Contohnya, memberikan salam terlebih dahulu apabila memulakan hantaran mesej di tekefon. Kita juga boleh menunjukkan kasih sayang kita kepada mereka dengan bertanya khabar secara kerap, menyambut hari kelahiran mereka dan memberikan hadiah pada masa-masa tertentu. Jika anak-anak menghormati dan menyayangi ibu serta bapa dengan penuh komited, hubungan silaturrahim pasti akan kukuh bagai inai dan kuku.

Isi 2

Selain itu, tindakan untuk membantu ibu dan bapa melakukan kerja-kerja di rumah juga adalah salah satu ciri anak yang cemerlang. Ibu dan bapa kita berhempas pulas bekerja siang dan malam untuk memastikan segala kebajikan dan keperluan kita terjamin. Bahkan ada di antara ibu dan bapa yang melakukan dua hingga tiga kerja untuk menampung makan dan minum anak di rumah. Oleh sebab yang demikian, anak-anak seharusnya membantu mereka dalam menyelesaikan kerja-kerja rumah seperti menjemur dan melipat pakaian.

Sikap ringan tulang dalam kalangan anak-anak sukar untuk kita temui pada hari ini tetapi jika mereka dididik dengan baik, pasti tiada masalah untuk mereka membantu menyiapkan kerja-kerja rumah. Lambat-laun, setiap anak-anak perlu berdikari dan melakukan tugas yang sama selepas menjangkau alam dewasa dan perkahwinan. Maka, tidak mustahil dan sewajarnya anak-anak membantu ibu dan bapa melakukan kerja-kerja rumah sebagai tanggungjawab seorang anak dan manusia.

Isi 3

Pada masa yang sama, anak yang berjaya adalah sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam pelajaran atau kerjaya. Setiap ibu dan bapa mempunyai impian untuk melihat anak mereka berjaya di setiap peringkat kehidupan. Justeru, kita sebagai anak-anak mempunyai misi untuk memberikan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan kita agar impian mereka tertunai. Tamsilnya, mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Bagi yang bekerjaya pula, mampu untuk menampung kehidupan diri dan tidak menyusahkan ibu dan bapa adalah salah satu kejayaan menjadi seorang dewasa. Lebih baik lagi apabila kita mampu untuk memberikan wang dan menyara kehidupan ibu dan bapa setelah mereka berpencen. Ciri-ciri hanya akan diperoleh jika kita sebagai anak mempunyai iltizam dan disiplin yang kuat untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa kita. Jelasnya, mereka yang berusaha untuk cemerlang dalam kehidupan adalah ciri-ciri anak yang terbaik.

Isi 4

Akhir sekali, sentiasa bersikap jujur dan meluahkan perasaan dengan rasional adalah ciri-ciri anak yang cemerlang. Hal ini kerana, ibu dan bapalah merupakan insan yang sepatutnya kita sebagai anak meluahkan perasaan tentang perkara yang berlaku dalam hidup kita. Namun, norma masyarakat hari ini yang sibuk bekerjaya telah menyebabkan anak-anak lebih gemar untuk meluahkan perasaan bersama rakan sebaya atau sosial media.

Perkara ini memerlukan kerjasama daripada kedua-dua pihak iaitu ibu, bapa dan anak-anak untuk mencari runag dan kesefahaman supaya boleh berkongsi masalah bersama. Sebagai anak pula, kita hendaklah berkongsi masalah dengan jujur dan menerima nasihat yang diberikan oleh ibu dan bapa kita. Bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih. Izharnya, bersikap jujur dan berkongsi masalah dengan rasional kepada ibu dan bapa menjadikan seseorang itu anak yang cemerlang dan disayangi oleh ibu bapa.

Penutup

Secara tuntas, banyak ciri sebagai seorang anak yang cemerlang telah dibincangkan. Ibu dan bapa memainkan peranan yang penting untuk menjadi tauladan dan membentuk generasi yang bakal memimpin negara pada masa akan datang. Anak-anak ibarat kain putih dan kita sebagai ahli keluarga dan masyarakat yang bertangungjawab untuk mencorakkannya. Perkara yang berkaitan budaya dan adat ini hendaklah dipupuk dengan cara yang lebih relevan pada masa kini iaitu melalui media massa dan bukan sahaja di sekolah. Pihak berkuasa perlu memperkasa media dan hiburan yang mempengaruhi minda masyarakat dengan nilai-nilai murni yang akhirnya akan membentuk generasi muda yang kaya dengan jati diri serta berminda kelas pertama.

Related : masa hadapan, pelajar cemerlang, mengajar anak,