Drama Berkhidmat Untuk Negara : Tema, Sinopsis & Pengajaran. Nota meliputi persoalan, watak perwatakan, latar, gaya bahasa dan nilai.

Drama Berkhidmat Untuk Negara : Tema, Sinopsis & Pengajaran

Drama Berkhidmat Untuk Negara Tema Sinopsis Persoalan Dan Pengajaran

Antara tumpuan yang perlu diberikan oleh pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah komponen sastera atau (KOMSAS). Selain daripada penulisan karangan yang mencabar pengetahuan dan penulisan pelajar, KOMSAS juga memainkan peranan penting dalam menguji tahap pemahaman pelajar dalam subjek Bahasa Melayu yang wajib lulus. Berikut dikongsikan sebagai rujukan nota-nota Drama Berkhidmat Untuk Negara merangkumi Tema, Sinopsis, Watak Perwatakan, Nilai, Gaya Bahasa, Persoalan Dan Pengajaran.

Drama ini merupakan hasil penulisan Affiz Zulkarnaen Adam yang terkandung dalam antologi Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul. Pelajar Tingkatan 4 yang mengkaji antologi ini pastinya berasa sukar untuk memahami dan menilai semua karya-karya sastera sebelum menghadapi ujian atau pentaksiran. Dengan kaedah nota-nota ringkas, ia di harap dapat membantu pelajar untuk mempunyai memori yang baik dan pemahaman yang berterusan berkaitan dengan karya yang dikaji.

Nota Drama Berkhidmat Untuk Negara : Tema, Sinopsis, Watak, Nilai, Persoalan Dan Pengajaran

Ikuti perkongsian nota-nota ringkas Drama meliputi Tema, Sinopsis, Watak Perwatakan, Nilai, Gaya Bahasa, Persoalan Dan Pengajaran di bawah. Nota berikut boleh digunakan untuk rujukan ulangkaji dan persediaan menghadapi peperiksaan.

Tema

Drama Berkhidmat Untuk Negara ini memberikan tema tanggapan negatif segolongan remaja terhadap Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kesedaran generasi muda dalam memupuk semangat cinta akan negara.

Persoalan

1) Tanggapan negatif seorang remaja terhadap program yang melibatkan ketenteraan

  • Aiman yang hidup dalam keluarga mewah tidak mahu meninggalkan keselesaannya dan menyertai kem PLKN

2) Tindakan kurang sopan dan biadab seseorang terhadap orang yang lebih tua

  • Aiman yang menggunakan kata-kata tidak sopan terhadap orang gajinya yang lebih tua daripadanya

3) Kesediaan dan keterujaan segolongan remaja yang ingin menyertai program oleh kerajaan

  • Rakan-rakan Aiman yang terpilih untuk menyertai PLKN berasa bangga dan teruja untuk melibatkan diri dalam program tersebut

4) Peranan guru dalam memberikan penjelasan terbaik kepada pelajar

  • Cikgu Dahari yang juga pengajar sambilan di kem PLKN telah menerangkan kepada pelajar-pelajarnya tentang objektif pelaksanaan program tersebut

5) Sikap ibu dan bapa yang terlalu memanjakan anak mereka

  • Datin Masnah menyebelahi anaknya Aiman yang tidak mahu menyertai PLKN kerana bimbang akan keselamatan anaknya itu.

6) Kedudukan dan pengaruh digunakan untuk kepentingan sendiri

  • Datuk Khir Ghazali bertegas untuk tidak menggunakan pengaruh dan kedudukannya membantu hasrat anaknya supaya dikecualikan daripada menyertai PLKN

Sinopsis

Drama ini bermula dengan watak utama Aiman yang berusia 17 tahun telah memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai PLKN. Dia telah menerima sepucuk surat untuk menyertai program tersebut melalui posmen. Selepas membuka surat dan membaca kandungannya, dia telah terpilih untuk menyertai program tersebut. Namun, dia tidak meminati untuk menyertainya kerana dianggap membazir masa dan di luar keselesaannya. Aiman yang berasal daripada keluarga yang berada tidak ingin menyertai PLKN kerana dia tidak mahu menggugat zon keselesaannya ketika ini.

Aiman yang telah dijemput untuk makan tengah hari oleh orang gajinya, Nek Sinah berasa seolah-olah kehidupannya diatur. Oleh itu, dia melayan Nek Sinah secara kurang sopan dan kasar. Nek Sinah yang kecewa dengan sikap Aiman itu hanya bersabar dengan kerenah Aiman yang tidak menghormati orang lebih tua.

Di sekolah, berita Aiman dipilih untuk menyertai PLKN diketahui oleh rakan-rakannya. Aiman berasa tawar hati. Sundarani, Nora, Syuhada, Ah Tiau dan Aiman telah berkumpul dan berbincang tentang program yang bakal mereka sertai. Syuhada telah memaklumkan Aiman bahawa kemnya di Teluk Sari, Mersing. Semua menyatakan rasa bangga kerana terpilih dan teruja untuk menyertai program tersebut kecuali Aiman. Dalan sesi pembelajaran di kelas, Cikgu Dahari telah memberikan penerangan yang panjang lebar tentang PLKN kepada Aiman dan rakan-rakannya. Cikgu Dahari juga merupakan pengajar sambilan di salah satu kem PLKN yang memfokus kepada Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB).

Pulang dari sekolah, Aiman telah meluahkan kekecewaan tentang namanya dipilih untuk menyertai PLKN kepada bapanya, Khir Ghazali untuk meraih simpati dan pertolongan. Aiman berhasrat untuk meminta bantuan pengaruh dan kedudukan yang dimiliki oleh ayahnya untuk menolak penyertaan tersebut. Namun, bapanya enggan membantu dan bertegas supaya Aiman mengikuti PLKN yang sebenarnya mempunyai pelbagai kebaikan. Ibu Aiman pula, Puan Masnah telah menyebelahi anaknya dan kurang bersetuju Aiman menyertai PLKN kerana bimbang akan keselamatan anaknya itu. Dia gagal untuk memujuk suaminya menuruti permintaan anak mereka sehingga Aiman merajuk dan masuk ke dalam biliknya, Bapa Aiman bercadang untuk merehatkan fikiran Aiman dengan membawanya ke Kelab Golf

Di dalam bilik, Aiman telah terbaca berita tentang kejayaan seniornya, Syufia yang menjadi wirawati terbaik di Kem Gerakhas, Desaru, Johor dan Ziman yang hidup berdikari selepas menyertai PLKN. Melihat kejayaan tersebut menyuntik semangat baharu dalam diri Aiman untuk menyertai PLKN. Hal ini supaya dia dapat membentuk dirinya untuk beridikari dan berkhidmat untuk tanah air tercinta.

Watak dan perwatakan

1) Aiman Faizullah Bin Khir Ghazali

  • Watak utama yang berumur 17 tahun
  • Anak bongsu daripada dua adik-beradik
  • Seorang yang biadab kerana menggunakan kata-kata yang kurang sopan ketika bercakap dengan Nek Sinah, orang gaji keluarganya
  • Seorang yang selesa dengan kehidupan yang mewah dan menyebabkan dia untuk tidak minat dalam menyertai PLKN
  • Soerang yang suka untuk tidur apabila menghadapi masalah supaya dapat menenangkan fikirannya

2) Datuk Khir Ghazali

  • Bapa kepada Aiman dan Dapnia
  • Seorang yang berpengaruh kerana mempunyai pangkat Datuk dan Aiman ingin meminta tolongan bapanya menggunakan pengaruh tersebut untuk mengecualikan dirinya daripada menyertai PLKN
  • Seorang yang gigih bekerja kerana pulang ke rumah hanya pada waktu malam
  • Seorang bapa yang penyayang kerana apabila bertegas supaya Aiman menyertai PLKN dan kemudian merajuk, dia berhasrat untuk membawa Aiman ke Kelab Golf untuk menenangkan fikiran anaknya.

3) Datin Masnah

  • Ibu kepada Aiman dan Dapnia
  • Seorang yang penyayang apabila merisaukan keselamatan anaknya jika menyertai PLKN
  • Seorang yang mudah mengakui kesilapan diri. Masnah yang pada mulanya menyebelahi anaknya untuk tidak menyertai PLKN telah mengakui silap kepada suaminya yang bertegas degan keputusan sebaliknya.

4) Nek Sinah

  • Orang gaji kepada keluarga Aiman
  • Seorang yang penyabar kerana menghadap kerenah Aiman yang kasar dan tidak sopan terhadap dirinya
  • Seorang yang berhemah tinggi apabila tetap mengajak Aiman untuk makan tengah hari dengan kata dan nada yang sopan

5) Cikgu Dahari

  • Guru yang bertugas di sekolah Aiman
  • Juga merupakan pengajar sambilan di Kem PLKN dalam Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB)
  • Seorang yang berpengetahuan luas apabila menerangkan tentang PLKN kepada anak-anak muridnya dengan panjang lebar.

Plot

Permulaan

Aiman telah menerima sepucuk surat yang dikirim oleh posmen daripada Jabatan Khidmat Latihan Negara. Dia telah terpilih untuk menyertai program PLKN dan berasa kecewa kerana tidak berminat untuk menyertainya. Aiman juga telah berkelakuan biadab terhadap Nek Sinah yang mengajaknya untuk makan tengah hari.

Perkembangan

Di sekolah, Aiman dan rakan-rakannya yang terpilih untuk menyertai PLKN dipaparkan di papan kenyataan sekolah. Aiman telah berbual dengan rakan-rakannya yang terpilih dan kebanyakkannya teruja kecuali Aiman. Cikgu Dahari telah memberikan penerangan yang jelas tentang PLKN kepada muridnya dan menjawab segala soalan yang berkaitan.

Perumitan

Di rumah, Aiman dan ibunya Datin Masnah telah meminta bantuan Datuk Khir Ghazali, bapa kepada Aiman untuk menggunakan kedudukannya untuk mengecualikan Aiman. Beliau rasa kesal kerana anak dan isterinya tidak sepatutnya mempunyai tanggapan seperti itu serta bertegas supaya Aiman menyertai PLKN.

Klimaks

Aiman yang tertekan dengan pendirian bapanya itu masuk ke dalam bilik dan tidur untuk menenang fikiran. Datin Masnah pula berasa serba salah kerana tidak menyebelahi suaminya sebab bimbang akan keselamatan anaknya. Datuk Khir Ghazali pula berkata beliau akan membawa Aiman ke Kelab Golf untuk menenangkan fikiran anaknya dan menjelaskan tentang banyak kebaikan jika anaknya menyertai program tersebut.

Peleraian

Aiman telah melayari internet dan melihat berita tentang seniornya di PLKN. Syufia yang dikenali sebagai kera sumbang di sekolah telah memperoleh anugerah pelatih terbaik wirawati di Kem Gerakhas Desaru, Johor. Ziman pula seorang yang mempunyai tabiat kuat makan dan tidur berjaya mengubah gaya hidup untuk menjadi lebih berdikari selepas menyertai PLKN. Aiman terbuka hati dan bertekad untuk menyertai PLKN demi berkhidmat untuk negara.

Teknik Plot

  • Imbas kembali : Posmen telah menceritakan tentang anak jiran dan adiknya yang berubah menjadi lebih baik selepas menyertai PLKN
  • Imbas muka : Aiman telah bermimpi tentang menyertai PLKN di mana kemnya panas, makanan tidak menyelerakan, mandi air kolam yang sejuk dan kepalanya dibotakkan.
  • Monolog : Aiman : Patutkah aku simpan surat ini atau aku bunag saja? Hmm, kalau aku buang, nanti ada orang lain jumpa pula. Hah, baik aku bakar!
  • Pemerian : Pada permulaan cerita, pengarang menggambarkan Aiman yang hidup dalam keluarga yang mewah dan menjadikan Aiman manja dan malas
  • Saspens :  Keputusan Khir Ghazali apabila anaknya, Aiman meminta bantuannya untuk menggunakan pengaruh dan kedudukan supaya dia dikecualikan daripada menyerti PLKN
  • Konflik : Konflik berlaku di antara Aiman dan Nek Sinah ketika ingin makan tengah hari

Latar

Latar Tempat

  1. Rumah Aiman, Khir Ghazali : Aiman menerima surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara
  2. Sekolah Menengah : Aiman berbual dengan rakan-rakannya tentang PLKN selepas nama mereka dipaparkan di papan kenyataan sekolah

Latar Masa

  • Waktu pagi : Aiman bersama rakan-rakan di sekolah berbual tentang PLKN
  • Waktu petang : Aiman pulang dari sekolah dan berbincang dengan ibu dan bapanya tentang PLKN
  • Waktu Tengah hari : Nek SInah mengajak Aiman untuk makan tengah hari

Latar Masyarakat

  • Masyarakat yang hidup mewah : Aiman dilahirkan dalam keluarga yang mewah apabila mempunyai ornag gaji dan tidak mahu keluar daripada keselesaan apabila dipilih menyertai PLKN
  • Masyarakat yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan : Khir Ghazali yang mempunyai pangkat Datuk dipujuk oleh anak dan isterinya untuk menggunakan pengaruh dan kedudukan bagi mengecualikan anaknya daripada menyertai PLKN
  • Masyarakat yang sabar dan penyayang : Nek Sinah yang dilayan secara biadab oleh Aiman tetap bersabar dan menganggap Aiman sebagai anaknya dengan memastikan Aiman makan.
  • Masyarakat yang berfikiran positif : Rakan-rakan Aiman seperti Syuhada dan Ah Tiau teruja untuk menyertai PLKN kerana dapat melakukan aktiviti baharu dan berkhidmat untuk negara.

Gaya Bahasa

  • Bahasa Inggeris : mummy, daddy
  • Bahasa Arab : Assalamualaikum
  • Peribahasa : lurus bendul, bodoh sombong, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.
  • Metafora : buta sejarah, air panas
  • Inversi : Memang bagus program itu, Tak fahamlah saya, bang.
  • Repitisi : “Aku tak suka, tak suka”
  • Sinkope : tak, saja, dulu

Nilai

  • Sabar : Nek Sinah bersabar melayan kerenah biadab Aiman terhadapnya
  • Tanggungjawab : Datuk Khir Ghazali yang sibuk bekerja masih melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa untuk mendengar masalah anaknya
  • Amanah : Syuhada berasa bangga dan teruja untuk menyertai PLKN kerana terpilih dan ingin menunaikan amanah berkhidmat untuk negara
  • Penyayang : Khir Ghazali yang bertegas dengan pendiriannya sehingga anaknya merajuk ingin membawa Aiman ke Kelab Golf untuk menenangkan fikiran anaknya
  • Patriotik : Cikgu Dahari yang merupakan seorang guru turut menjadi pengajar sambilan di kem PLKN untuk berbakti kepada negara
  • Gigih : Cikgu Dahari gigih dalam menjelaskan objektif dan soalan daripada muridnya tentang PLKN

Pengajaran

  1. Kita seharusnya hormat dan bersopan santun ketika bercakap dengan sesiapa pun kerana kita akan dilayani dengan nilai yang sama.
  2. Kita perlu memupuk sifat patriotik dalam diri masing-masing sebagai tanda cinta akan tanah air yang kita diami
  3. Kita hendaklahmengakui kesilapan diri kita kerana mengakui kesilapan akan membentuk diri yang lebih matang dan baik
  4. Kita sewajarnya menyokong dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan kerana ia dilaksanakan demi kebaikan negara

Soalan Latihan

1) Berdasarkan Drama Berkhidmat Untuk Negara, mengapakah watak utama Aiman tidak mahu Nek Sinah memanggilnya dengan panggilan “nak Aiman”

  • Aiman tidak mahu meneriman nama panggilan itu kerana dia merasakan Nek Sinah hanya orang gaji yang miskin sedangkan dia merupakan anak kepada seorang datuk yang hidup mewah dan selesa.

2) Kebanyakan rakyat yang berkemampuan menggajikan pembantu rumah untuk menguruskan hal ehwal rumah tangga mereka. Pada pendapat anda, apakah kelebihan menggajikan pembantu rumah?

Pada pendapat saya, kelebihan menggajikan pembantu rumah adalah segala urusan di rumah seperti mengemas, memasak dan sebagainya dapat diuruskan jika kita sibuk dengan kerja maisng-masing. Selain itu, pembantu rumah dapat menjadi ahli keluarga tambahan kepada ahli keluarga kita yang mungkin tidak ramai seperti masyarakat dahulu. Akhir sekali, saya berpendapat bahawa ia merupakan salah satu kaedah orang yang berkemampuan untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang bernasib baik.

3) Jelaskan satu perwatakan Nek Sinah yang anda dapati dalam Drama Berkhidmat Untuk Negara.

Antara perwatakan yang ditunjukkan oleh Nek Sinah adalah penyayang terhadap Aiman walaupun bukan anaknya tetapi melayani Aiman seperti anaknya sendiri. Selain itu, Nek Sinah juga mempunyai hemah yang tinggi apabila sentiasa menggunakan kata-kata yang sopan apabila orang lain bertindak biadab terhadap dirinya

4) Jika anda merupakan seorang anggota pegawai kerajaan, bagaimana anda ingin menarik minat generasi muda untuk menyertai program seperti Program Latihan Khidmat Negara?

Sekiranya kerajaan ingin menarik minat golongan remaja menyertai program seperti PLKN, mereka perlu menggunakan khidmat pemasaran tular yang menjadi tumpuan masyarakat kini. Hebahkan program tersebut dengan menggunakan mmedia sosial dan paparkan keseronokan aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan oleh peserta-peserta.

Semoga perkongsian nota-nota ringkas Drama Berkhidmat Untuk Negara : Tema, Sinopsis, Persoalan Dan Pengajaran membantu pelajar.

Related : menyertai program latihan khidmat negara plkn, mempunyai pengaruh dan kedudukan,