Faedah Menabung : Berjimat-cermat Amalan Mulia. Contoh karangan kebaikan menyimpan duit simpanan untuk masa depan.

Faedah Menabung : Berjimat-cermat Amalan Mulia

contoh karangan faedah menabung dan berjimat cermat

Salah satu isu semasa yang kerap dibincangkan adalah berkenaan kenaikan kos sara hidup. Para pelajar yang akan menduduki peperiksaan dan menjawab soalan penulisan karangan perlu cakna dan mengambil tahu fakta yang berkaitan. Sebagai contoh amalan menabung dan jimat cermat yang boleh membantu kita menghadapi kenaikan kos sara hidup yang berlaku. Di bawah dikongsikan contoh karangan Faedah Menabung : Berjimat-cermat Amalan Mulia sebagai rujukan untuk pelajar.

Bagi memberi kesedaran amalan yang mulia ini kepada pelajar terutamanya, tajuk karangan ini adalah signifikan. Secara langsung pelajar akan mengambil iktibar daripada apa yang mereka tulis dan mempraktikkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan mereka. Budaya menabung ini amat penting untuk diterapkan lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa kini dan akan datang.

Faedah Menabung : Berjimat-cermat Amalan Mulia (Kebaikan Menyimpan Duit)

Contoh karangan Faedah Menabung : Berjimat-cermat Amalan Mulia yang dihuraikan di bawah adalah contoh yang boleh dirujuk pelajar untuk menulis karangan masing-masing. Turut dikongsikan adalah isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk karangan.

Isi-isi penting

  1. Membentuk disiplin diri
  2. Memenuhi keperluan kewangan diri dan keluarga
  3. Untuk kegunaan ketika kecemasan
  4. Dapat membina dan mengembangkan kekayaan
  5. Simpanan untuk masa hadapan
  6. Menjadi tauladan kepada orang lain

Pendahuluan

Dalam meniti kehidupan marcapada ini, duit atau merupakan antara perkara penting yang diperlukan oleh setiap individu. Sebelum menjadi seorang dewasa, kita akan ditanggung oleh ibu dan bapa kita sama ada untuk mendapatkan makanan atau barang keperluan yang lain. Hanya selepas kita memasuki usia remaja, kita akan memahami pengorbanan dan susah payah yang dilalui oleh ibu dan bapa kita mencari wang untuk menyara hidup kita sekeluarga.

Oleh sebab yang demikian, kita sering kali mendengar nasihat supaya berjimat cermat dan juga menabunglah sejak kecil untuk meringankan bebanan kewangan yang ditanggung oleh orang tua kita. Amalan yang mulia ini digalakkan sejak kecil supaya kita mendapat pelbagai manfaatnya yang tersirat dan persis kata peribahasa Melayu, ingat antara belum kena, jimat sebelum habis. Mari kita senaraikan faedah-faedah menabung sebagai pembuka mata kepada semua lapisan masyarakat untuk turut mempraktikkan amalan ini.

Isi 1

Apabila kita mula untuk menabung dan melakukannya secara konsisten, ia secara tidak langsung telah membantu kita untuk membentuk disiplin diri. Kemudahan teknologi yang kita nikmati pada hari ini sebenarnya merupakan satu ujian untuk kita tidak berbelanja dengan boros dan membazir. Hal ini kerana, produk-produk masa kini mampu menarik minat pembeli untuk membeli produk tersebut walaupun kita sebenarnya tidak memerlukannya. Sebagai contoh telefon pintar yang berharga lebih lima ribu ringgit, sedangkan fungsi utama sebuah telefon pintar boleh didapati pada peranti pesaing dengan harga yang jauh lebih rendah.

Berbalik kepada menabung, jika kita mampu menahan diri daripada terpengaruh dengan iklan-iklan di media sosial yang menjual produk yang kita tidak perlu, pastinya kita mampu untuk menabung demi masa hadapan. Bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Jelasnya menabung dapat membantu kita untuk menjadi lebih disiplin dan bertanggungjawab ke atas diri dan juga tanggungan kita.

Isi 2

Pada masa yang sama, menabung dapat membantu kita untuk memenuhi keperluan kewangan diri dan juga keluarga. Bank Dunia menyatakan bahawa lebih 60 peratus jumlah individu yang diisytihar muflis atau bankrap adalah golongan muda yang berusia 25 hingga 40 tahun. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa golongan muda yang baru bekerja berisiko untuk jatuh muflis dan tidak mampu untuk menampung keperluan diri. Perkara ini berlaku kerana kebanyakan di antara mereka membuat pinjaman dengan institusi kewangan sehingga mereka tidak mampu untuk membayar balik.

Sebab itulah amalan menabung lebih baik daripada membuat pinjaman persendirian. Namun, pada ketika ini kita masih perlu untuk membuat pinjaman untuk memiliki rumah atau kenderaan tetapi nilai rumah atau kenderaan tersebut hendaklah di dalam kemampuan kita. Jika kita mempunyai simpanan yang mencukupi, kita mampu untuk membeli atau memiliki sesuatu tanpa perlu berhutang dengan pihak bank atau ihsan seseorang. Persis kata peribahasa, ukur baju di badan sendiri. Izharnya, menabung dapat membantu kita untuk memenuhi keperluan diri dan juga keluarga.

Isi 3

Di samping itu, amalan menabung sebenarnya penting untuk kegunaan ketika kecemasan berlaku kepada kita. Sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada dugaan malah tidak boleh menjangka kemalangan yang akan menimpa kita. Oleh sebab yang demikian, penting untuk kita menyimpan sebahagian daripada duit gaji kita sebagai dana kecemasan jika berlaku apa-apa. Sebagai contoh, pandemik Covid-19 yang melanda dunia baru-baru ini di mana ramai di antara kita yang kehilangan pekerjaan sewaktu perintah kawalan pergerakan.

Mujur kebanyakan pekerja khususnya pekerja swasta di negara kita mencarum skim simpanan yang ditawarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pengeluaran wang simpanan ini sedikit sebanyak mampu untuk menampung kehidupan mereka sebelum mencari peluang kerja baharu. Ingat antara belum kena, hemat antara belum habis. Kata mutiara ini jelas menunjukkan kepentingan menabung pada masa sekarang untuk kegunaan kita pada masa kecemasan.

Isi 4

Manfaat lain amalan menabung adalah kita dapat membina dan mengembangkan kekayaan diri dan keluarga. Persepsi masyarakat bahawa duit bukanlah segalanya tetapi duit yang akan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk diri dan juga keluarga. Stigma yang perlu diubah ini bermula dengan pendidikan supaya setiap ahli masyarakat kita keluar daripada takuk lama dan bersama-sama memajukan diri, keluarga dan negara.

Sekiranya setiap di antara kita mempunyai kerjaya yang baik dan berpeluang untuk menabung hasil daripada gaji yang relevan dengan kos sara hidup ketika ini, kekayaan diri dan juga negara dapat ditambah. Tamsilnya, rakyat Malaysia boleh menabung dalam unit amanah seperti Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang menjadi antara dana pelaburan untuk pembangunan di negara kita. Selain mendapat pulanagn dividen pada setiap tahun, masyarakat kita juga menyumbang kepada pembangunan negara secara tidak langsung. Intihannya, menabung dapat membantu kita membina dan mengembangkan kekayaan demi masa hadapan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Penutup

Kesimpulannya, menabung merupakan amalan yang memberikan pelbagai faedah kepada mereka yang mengamalkannya. Pada mulanya memang kita perlu menabung dengan jumlah yang sedikit dahulu kerana sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Setiap di antara kita perlu sentiasa diingatkan dan digalakkan untuk menabung dalam jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang. Pepatah Melayu ada berkata, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kita perlu melalui jalan yang sukar dan berliku dalam kehidupan sebelum kita boleh menikmati kesenangan yang akan datang.

Related : sumber kewangan, anak anak, digunakan untuk, payung sebelum hujan, ahli keluarga, mula menabung, sikit lama lama jadi bukit, satu amalan, untuk melanjutkan pelajaran, menyimpan wang,