Ilmu pengetahuan secara definisi bermaksud fakta, maklumat dan kemahiran yang diperoleh daripada pengalaman atau pendidikan secara teori atau praktikal. Seiring dengan tugasan pelajar untuk menulis karangan, tema atau tajuk berkaitan pendidikan adalah tema yang mampu dijawab oleh pelajar dengan baik dan cemerlang. Sebagai panduan kepada pelajar, di bawah dikongsikan contoh karangan faedah menimba ilmu pengetahuan (menuntut ilmu).
Peribahasa melayu berkata laut yang ditimba tidak akan kering. Ia boleh dikaitkan dengan ilmu pengetahuan mempunyai skop yang sangat luas dan kita tidak mampu untuk menelaah dan menguasai semua. Tetapi alangkah bagus jika kita mampu memahirkan diri dengan sebanyak mana ilmu pengetahuan demi kepentingan diri, keluarga masyarakat dan juga negara.
Contoh Karangan Faedah Menimba Ilmu Pengetahuan (Menuntut Ilmu)
Berikut dikongsikan contoh karangan beserta isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk faedah yang diperoleh apabila kita menuntut ilmu untuk rujukan semua.
Isi-isi penting
- Melahirkan individu yang berkemahiran tinggi
- Mewujudkan masyarakat berminda kelas pertama
- Menyumbang kepada penyelesaian masalah dan perkembangan ilmu
- Mengelakkan kita daripada dimanupulasi oleh pihak yang tidak bertanggung jawab
- Membuka ruang kepada peluang pekerjaan atau perusahaan
- Diri atau masyarakat kekal berdaya saing dan relevan
Pendahuluan
Mutakhir ini, masyarakat kita lebih gemar untuk berhibur berbanding menimba ilmu khususnya dalam kalangan orang muda. Kepesatan perkembangan teknologi dan sains telah banyak memberi kemudahan yang dinikmati oleh generasi pada hari ini tanpa mereka sedar akan kesukaran pada zaman dahulu. Keselesaan tersebut telah menyebabkan mereka berasa senang dan menjadikan hiburan lebih penting daripada mencari rezeki untuk hidup dengan lebih baik.
Malahan timbul isu dimana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sukar untuk mendapatkan pelajar kerana kebanyakan golongan remaja memilih untuk melakukan pekerjaan berbanding menghabiskan masa dan wang untuk sekeping ijazah. Tidak dinafikan kita menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu tetapi ia bukan satu alasan untuk meminggirkan ilmu pengetahuan. Oleh sebab yang demikian, penting untuk kita pelajari faedah-faedah menimba ilmu pengetahuan untuk diri, masyarakat dan juga negara.
Isi 1
Faedah yang paling utama dalam menimba ilmu pengetahuan adalah untuk melahirkan individu yang berkemahiran tinggi. Ilmu boleh diibaratkan sebagai pelita yang menerangi kehidupan kita. Menjelang kedewasaan, pelbagai tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap individu sama ada untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga negara. Sebagai contoh, hospital melantik seorang individu yang tidak mempunyai pengetahun tentang perubatan, bagaimana individu tersebut ingin merawat pesakit-pesakit?
Persoalan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya menguasai ilmu pengetahuan supaya kerja-kerja hakiki seperti doktor, guru dan pemimpin negara dijawat oleh individu yang berkelayakan. Peribahasa Melayu berkata, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Setiap perkara jika kita ingin kuasai pasti ada halangan dan rintangan begitu juga dengan menguasai ilmu pengetahuan. KIta perlu bersikap tidak putus asa kerana usaha tangga kejayaan. Intihannya, individu yang berkemahiran dan berketrampilan tinggi dapat dihasilkan sekiranya kita menimba ilmu pengetahuan.
Isi 2
Seiring dengan huraian di atas, manfaat mempelajari ilmu pengetahuan adalah ia dapat mewujudkan masyarakat berminda kelas pertama. Sehingga hari ini, kita masih lagi menghadapi masalah-masalah gejala sosial yang membelenggu masyarakat. Masalah penyalah gunaan dadah, pembuangan bayi dan merempit adalah parasit yang membunuh masyarakat secara diam kerana ia menjadi penyebab kepada masalah-masalah lain. Oleh sebab itu, kita perlu memastikan setiap ahli masyarakat mempunyai akses kepada pendidikan dan pembelajaran untuk membuka minda mereka.
Hanya dengan ilmu pengetahuan, mereka dapat menambah baik nilai pada diri dan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat. Dalam mendepani era globalisasi, kita seharusnya membina masyarakat yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat asing. Izharnya, melalui ilmu pengetahuan, masyarakat yang madani akan terhasil dan memacu negara ke arah yang lebih baik.
Isi 3
Menguasai ilmu pengetahuan juga dapat menyumbang kepada penyelesaian masalah dan perkembangan ilmu. Dari hari ke hari, kita pasti akan menghadapi masalah sama ada di tempat kerja, di rumah mahupun di tempat awam. Bagi mereka yang berilmu, setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya. Sikap optimis adalah satu sikap yang wajar kita amalkan untuk berjaya dalam kehidupan. Misalnya apabila kita menghadapi pandemik COVID-19 yang meragut jutaan nyawa. Melalui kajian dan penyelidikan saintifik, para saintis mampu menghasilkan vaksin untuk kita mencegah penularan wabak tersebut daripada menyebabkan penyakit yang kritikal kepada kita. Fenomena ini menunjukkan kepentingan mempelajari ilmu pengetahuan untuk kita menghadapi sesuatu perkara yang tidak dijangka seterusnya dapat melepasi rintangan tersebut dengan jayanya. Persis kata pepatah, Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar. Jelaslah bahawa menguasai ilmu pengetahuan membantu menyelesaikan masalah dan membawa ilmu tersebut ke tahap yang lebih tinggi.
Isi 4
Akhir sekali, menimba ilmu pengetahuan adalah mustahak untuk mengelakkan kita daripada dimanupulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Seorang tokoh falsafah bernama George Santayana berkata, sesiapa yang tidak mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya. Ungkapan ini jelas menunjukkan kepentingan menimba ilmu pengetahuan supaya kita tidak mengulangi kesilapan masa lalu. Tamsilnya, pemimpin negara yang perlu mengekalkan kerjasama berbilang hala dengan negara-negara asing bagi menjamin keselamatan dan keharmonian negara.
Golongan ini perlu mempunyai ilmu yang luas dalam bidang ekonomi, strategi serta membawa agenda yang bakal menguntungkan rakyat dan juga negara. Begitu juga bidang-bidang lain seperti bidang kesihatan yang bergantung kepada fakta kajian dan penyelidikan. Sekiranya kita menelaah rekod dan pengalaman masyarakat terdahulu, pastinya terdapat iktibar atau pengajaran yang boleh diaplikasikan pada kehidupan hari ini seterusnya mengelakkan kita daripada dimanipulasi.
Penutup
Secara tuntas, pelbagai faedah yang bakal diperoleh jika kita sentiasa mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan. Tokoh Islam, Imam Syafie pernah berkata, Ilmu itu bukan yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat. Masyarakat konvensional perlu mengubah stigma terhadap pendidikan adalah perkara yang sia-sia dan tidak menjamin kerjaya. Sebaliknya, setiap ilmu yang dipelajari mempunyai manfaatnya jika kita diberi peluang untuk mengaplikasinya dalam kehidupan.
Kementerian Pendidikan Malaysia berperanan memastikan setiap lapisan umur di Malaysia diberikan hak untuk menimba ilmu pengetahuan. Pembangunan infrastruktur pendidikan hendaklah diberi keutamaan agar masyarakat terutamanya generasi muda berasa selesa dan seronok untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan untuk diri, masyarakat dan juga negara. Semoga segala inisiatif untuk menggalakkan pembelajaran ilmu pengetahuan disokong dan diutamakan bagi melahirkan individu serta masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Related : mengalami pelbagai, ilmu agama, memiliki ilmu, tuntutlah ilmu, kepentingan ilmu, ilmu yang dimiliki, bersungguh sungguh mendapat ilmu, bahawa ilmu, memenuhkan ilmu, berilmu pengetahuan, ilmu pelita hidup, penting dalam kehidupan, orang yang berilmu, menjadi insan, kerana ilmunya, untuk menuntut ilmu, ilmu dalam pelbagai bidang, menjamin kehidupan,
Senarai Tajuk Kecil Artikel