Adakah anda merupakan seorang mangsa buli? Atau melihat pembulian berlaku di depan mata? Atau anda merupakan pembuli? Jika ya, sila hentikan gejala yang bukan sahaja mencederakan fizikal seseorang tetapi juga kesihatan mental mereka boleh terganggu. Di bawah dikongsikan contoh karangan langkah-langkah mengatasi gejala buli di sekolah.
Insiden buli-membuli masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat kita khususnya di sekolah. Bagaimana anak-anak muda ini tahu untuk membuli dan bersifat agresif terhadap mangsa? Persoalannya adalah kepada kita semua sebagai ahli masyarakat yang mempengaruhi corak kehidupan mereka. Setiap usaha untuk mengatasi masalah ini wajar disokong dan dilaksanakan dengan baik agar generasi akan datang tidak tahu bagaimana dan apa sebenarnya buli-membuli.
Contoh Karangan Langkah Mengatasi Gejala Buli Di Sekolah
Untuk merujuk contoh karangan yang berkaitan dengan langkah mengatasi gejala buli di sekolah, ikuti perkongsian di bawah yang turut merangkumi pendahuluan, isi-isi penting dan juga penutup kepada karangan.
Isi-isi penting
- Memupuk sikap toleransi dan hormat-menghormati
- Menyediakan saluran untuk pelajar mengadu masalah
- Memastikan pelajar bebas daripada sebarang pengaruh buruk
- Menjadi contoh teladan terbaik untuk pelajar sekolah
- Memberikan tindakan atau undang-undang yang lebih berkesan kepada pembuli
- Mendidik ilmu keagamaan dan moral
Pendahuluan
Buli adalah salah satu gejala yang boleh meninggalkan kesan yang buruk kepada fizikal dan juga mental mangsa-mangsanya. Acapkali kita melihat laporan berita dan perkongsian di media tentang kes-kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah. Hal ini demikian kerana pembuli-pembuli ini dipengaruhi oleh aksi-aksi gangsterisme yang berlaku di persekitaran mereka atau dipertontonkan di media massa. Terdapat juga kes pembuli yang membuli kerana mereka adalah mangsa-mangsa buli terlebih dahulu dan ingin melakukan perkara yang sama kepada orang lain.
Mutakhir ini, timbul perkataan buli siber yang semakin popular kerana berlaku pembulian di alam siber yang banyak memberi kesan kepada mangsa terutamanya anak-anak muda di negara kita. Bagi menyelesaikan polemik yang kian membelenggu ini, kita hendaklah membincangkan apakah tindakan-tindakan yang boleh dilakukan oleh setiap pihak. Ibarat kata peribahasa, mencabut harus dengan akar-akarnya. Oleh itu, mari kita huraikan langkah-langkah mengatasi gejala buli di sekolah.
Isi 1
Sebagai warganegara yang ingin melihat masyarakat kita berkembang menjadi masyarakat berminda kelas pertama, kita seharusnya memupuk sikap toleransi dan hormat-menghormati dalam setiap individu. Usaha ini pastinya dapat mengelakkan daripada gejala buli berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah. Melihat kepada pembentukan negara Malaysia, kita didirikan atas sifat hormat-menghormati serta toleransi antara satu sama lain. NIlai murni ini jika berjaya dipupuk dalam diri pelajar di sekolah, pastinya masalah buli dapat diatasi kerana mereka mempunyai belas ihsan serta mampu menyelesaikan sebarang pertikaian dengan rasional.
Untuk memastikan nilai ini dipupuk dalam kalangan pelajar, ia bergantung kepada persekitaran mereka daripada keluarga, guru-guru, masyarakat dan media massa yang memainkan peranan masing-masing. Intihannya, gejala buli-membuli dapat dibendung jika pelajar mengamalkan nilai toleransi dan hormat-menghormati.
Isi 2
Langkah seterusnya dalam mengatasi masalah buli di institusi pendidikan adalah dengan menyediakan saluran untuk pelajar mengadu masalah. Tidak dinafikan kita mempunyai guru kaunseling dan juga pembimbing rakan sebaya, tetapi entiti ini seringkali dilihat sebagai pembocor rahsia di sekolah. Pelajar yang dibuli lebih selesa untuk mendiamkan diri daripada dimalukan dengan masalah yang dihadapi. Sebaliknya, setiap guru, pelajar dan juga kakitangan sekolah berperanan menjadi mata-mata kepada guru yang bertanggungjawab terhadap disiplin pelajar.
Sebagai contoh, apabila terserempak dengan perlakuan buli, anda perlu melaporkan terus kepada guru disiplin supaya tindakan diambil dan pastikan mangsa serta pembuli diberikan ruang untuk mengadu masalah masing-masing. Setelah masalah tersebut didengari, elakkanlah menjaja cerita tersebut kepada rakan guru atau sesiapa sahaja yang tidak berkenaan kerana ia akan menimbulkan cerita yang tidak benar dan ditokok tambah. Tegasnya, memastikan pelajar diberikan ruang yang selamat untuk mengadu masalah di sekolah dapat membendung masalah buli.
Isi 3
Dari sudut pandang yang berlainan, usaha untuk mengelakkan gejala buli berlaku di sekolah adalah dengan memastikan pelajar bebas daripada sebarang pengaruh-pengaruh buruk. Pada zaman modenisasi dan globalisasi ini, hampir kebanyakan pelajar memiliki peranti pintar serta mendapat akses tanpa had terhadap informasi melalui Internet. Norma yang berbeza dengan zaman ibu dan bapa dahulu hendaklah difahami dan memastikan pelajar tidak terjerumus ke dalam perkara yang tidak kita ingini.
Misalnya, permainan video yang menunjukkan aksi-aksi gangsterisme hendaklah dihalang supaya mereka tidak terpengaruh untuk melakukannya terhadap rakan di sekolah. Persis peribahasa Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Izharnya, setiap pihak perlu memainkan peranan supaya pelajar tidak terdedah kepada pengaruh-pengaruh yang boleh menyebabkan mereka menjadi pembuli di sekolah mahupun di mana sahaja.
Isi 4
Ikhtiar lain yang seharusnya dilakukan bukan sahaja untuk mengatasi masalah buli tetapi juga membentuk keperibadian pelajar di sekolah adalah dengan menjadi contoh teladan terbaik kepada mereka. Tanggungjawab ini sering dipandang enteng kerana ibu dan bapa sibuk bekerja lalu mengharapkan guru mengajar anak-anak mereka teladan yang baik dan begitu juga sebaliknya harapan guru kepada ibu dan bapa. Cuba kita fikirkan, siapa yang anak-anak lihat sepanjang mereka membesar sebelum masuk ke sekolah kalau bukan ibu dan bapa mereka.
Tambahan pula, waktu persekolahan hanyalah beberapa jam sahaja jika dibandingkan dengan waktu mereka bersama ibu dan bapa di rumah. Sebenarnya semua orang yang berada disekitar kehidupan pelajar perlu menunjukkan teladan yang baik supaya dicontohi oleh mereka dalam kehidupan seharian. Kelak, anak-anak muda ini yang akan menjadi pemimpin negara. Oleh sebab itu, kita semua hendaklah membimbing mereka bagai menatang minyak yang penuh untuk kemaslahatan bersama.
Penutup
Sudah terang lagi bersuluh, gejala buli di sekolah dalam kalangan pelajar boleh diatasi dengan langkah-langkah yang telah dihuraikan. Sekiranya kita ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain, isu ini hendaklah diselesaikan serta tidak timbul lagi di masa hadapan. Modal insan yang mempunyai jati diri yang kuat serta berketrampilan tinggi perlu dihasilkan dalam diri setiap ahli masyarakat. Pelbagai rintangan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang, jika kita tidak mempersiapkan mereka menjadi insan yang boleh memikul tanggungjawab apalah nasib yang bakal kita hadapi. maka, sebaiknya kita menurut peribahasa, hidup dikandung adat, mati dikandung tanah. Nenek dan moyang kita telah buktikan mereka mampu mengecapi kejayaan dengan adat sert budaya mereka, kita hanya perlu mengadaptasinya berdasarkan kehidupan masa kini untuk terus melakar kejayaan.
Related : tingkah laku, memainkan peranan yang penting, pihak kerajaan, hukuman yang setimpal, melentur buluh biarlah dari rebungnya, kurang mendapat,
Senarai Tajuk Kecil Artikel