Pelajar selalunya menghadapi kesukaran untuk memilih tajuk karangan Bahasa Melayu yang ingin dijawab. Salah satu teknik untuk memastikan kita memilih tajuk karangan yang terbaik adalah dengan memahami kehendak soalan dan yakin dengan idea yang akan dihuraikan. Berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk rujukan.
Untuk makluman, industri kecil dan sederhana terdiri daripada pelbagai jenis perusahaan bukan sahaja syarikat yang mengusahakan produk daripada sektor pertanian, perladangan dan pemakanan. Peniaga atas talian atau e-dagang juga boleh dikategorikan sebagai pengusaha kecil dan sederhana. Oleh itu, para pelajar perlu mengenal pasti tajuk atau tema yang ingin dijawab dengan betul dan tepat.
Contoh Karangan Kepentingan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Di Malaysia
Sebagai panduan, di bawah adalah contoh karangan peranan industri berintensifkan buruh dan bukan intensif modal di Malaysia yang turut mengandungi huraian pendahuluan, penutup serta frasa-frasa yang menarik.
Isi-isi penting
- Membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat
- Menyumbang kepada ekonomi masyarakat dan juga negara
- Membuka ruang untuk inovasi, kajian dan penyelidikan
- Menyemarakkan sektor pelancongan domestik
- Meningkatkan sektor pertanian dan perladangan
- Memanfaatkan sumber bahan mentah yang didapati secara lokal
Pendahuluan
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) secara definisi adalah industri yang melibatkan perusahaan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan bagi menghasilkan produk yang tidak melebihi RM25 juta setahun. Selain itu, jumlah kakitangan sepenuh masa Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tidak melebihi 150 orang. Di Malaysia, industri ini diselia oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Sehingga hari ini, Malaysia telah berjaya menghasilkan lebih satu juta PKS berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020 dan menyumbang sebahagian besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Kita seharusnya memberikan sokongan dan perhatian kepada industri yang berpotensi tinggi ini kerana ia memberi keuntungan yang berganda kepada rakyat yang mengusahakannya. Oleh itu, mari kita huraikan kepentingan-kepentingan IKS kepada individu, masyarakat dan juga negara.
Isi 1
Sebarang perusahaan yang diwujudkan tanpa mengira saiz atau kemampuannya akan membuka peluang pekerjaan. PKS di Malaysia secara khususnya telah menawarkan pelbagai jenis pekerjaan kepada setiap lapisan masyarakat setempat. Seiring dengan pendidikan yang disediakan, ahli masyarakat terutamanya yang mengikuti pengajian pendidikan dan latihan vokasional (TVET) lazimnya akan mendapat tawaran bekerja di dalam IKS. Sebagai contoh, industri penyediaan makanan dan minuman memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran untuk mengendalikan bahan mentah serta mesin-mesin pemprosesan.
Situasi ini jelas menunjukkan kemahiran yang diperoleh pelajar TVET layak untuk mendapat pekerjaan di PKS yang berkaitan. Tambahan pula, kewujudan PKS di kawasan kampung atau desa, telah memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang menghadapi badai kehidupan. Golongan OKU dan ibu tunggal boleh bekerja di bahagian yang memerlukan tenaga kerja separa professional seperti pembungkusan dan memberikan mereka punca rezeki untuk meneruskan kehidupan. Ibarat condong ditumpil, lemah dianduh.
Isi 2
Kepentingan lain IKS adalah ia menyumbang kepada ekonomi masyarakat dan juga negara. Sifir mudah apabila peluang pekerjaan banyak ditawarkan, pastinya ekonomi masyarakat dan juga negara akan meningkat. Hal ini kerana setiap individu yang bekerja meransang kuasa membeli dalam negara. Wang pendapatan yang diperoleh hasil daripada bekerja akan dibelanjakan untuk keperluan dan kehendak masing-masing.
Perkembangan ini boleh diibaratkan seperti Kesan Domino yang bermaksud kesan terkumpul apabila sesuatu kejadian mencetuskan satu kejadian berikutan yang seumpamanya. Menurut statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, PKS dalam negara boleh dikategorikan kepada lima sektor iaitu sektor perkhidmatan, pembinaan, pembuatan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian. Izharnya, pembahagian kategori ini membuktikan sumbangan IKS kepada ekonomi masyarakat dan juga negara.
Isi 3
Pada sudut pandang yang lain, industri kecil dan sederhana di Malaysia mustahak dalam membuka ruang untuk inovasi, kajian dan penyelidikan. Tamsilnya, produk PKS seperti keropok lekor yang sebelum ini hanya dibungkus menggunakan surat khabar dan perlu dimakan pada tempoh masa yang singkat. Namun mutakhir ini, pembungkusannya telah ditambah baik menggunakan proses vakum dan boleh disimpan dalam tempoh masa yang lama.
Situasi ini berlaku apabila permintaan pengguna semakin tinggi dan PKS mengambil langkah yang progesif untuk mengimplementasikan penggunaan teknologi dalam penyediaan produk mereka. Persis kata peribahasa Melayu, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Selain dapat meningkatkan mutu produk yang dihasilkan, tenaga kerja tempatan juga dapat meningkatkan kemahiran mereka. Tuntasnya, industri kecil dan sederhana penting bagi memanifestasikan inovasi, kajian dan penyelidikan oleh tenaga kerja tempatan.
Isi 4
Akhir sekali, kepentingan IKS adalah untuk menyemarakkan industri pelancongan dalam negara. Lumrah bagi para pelancong untuk mendapatkan cenderahati yang berkaitan dengan budaya atau warisan kepada tempat yang dilawati lalu dibawa pulang sebagai kenangan. Di Malaysia, perusahaan seperti batik, songket dan labu sayong wajar didukung. Hal ini demikian kerana ia bukan sahaja mendapat permintaan daripada pengguna tempatan tetapi juga mampu menarik minat pelancong asing untuk membelinya.
Penghasilan kraftangan ini merupakan khazanah yang wajar kita pelihara supaya tidak ditelan zaman. Ia adalah lambang identiti masyarakat kita yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun di muka bumi ini. Maka, perusahaan kecil dan sederhana yang memelihara khazanah bangsa ini penting untuk jati diri masyarakat serta sektor pelancongan negara.
Penutup
Kesimpulannya, industri kecil dan sederhana mempunyai banyak kepentingan kepada individu, masyarakat dan juga negara. Kemaslahatan ini perlu dikekalkan supaya setiap diantara kita menerima manfaat yang menguntungkan. Golongan pemimpin seharusnya mengutamakan agenda yang memperkasa perkembangan industri ini sejajar dengan industri lain demi kemajuan ekonomi negara. Sekiranya segala perselisihan faham dan kepentingan diri diletakkan tepi dan potensi industri kecil dan sederhana diberi tumpuan, pastinya kita mampu menghasilkan perusahaan yang terkenal di mata dunia. Hanya dengan kemajuan dan masyarakat yang progesif kita mampu kekal relevan dalam mendepani era globalisasi. Ibarat kata pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Related : iks ialah dapat meningkatkan, pasar malam pasar tani, kawasan luar bandar selaras, meningkatkan ekonomi negara, penduduk di luar bandar, luar negara, bahawa iks, konsep satu kampung satu, iks juga dapat membuka, sedia maklum bahawa, untuk mendapat perhatian, satu kampung satu produk, contoh kilang,
Senarai Tajuk Kecil Artikel