Guru-guru sering kali menasihati pelajar supaya banyak membaca buku atau bahan ilmiah untuk menambah ilmu pengetahuan. Para pelajar seharusnya menuruti nasihat tersebut kerana membaca membantu meluaskan pengetahuan, menambah kosa kata dan juga membuka minda kita. Tambahan pula buku dan bahan ilmiah mempunyai kredibiliti dan kesahihan fakta yang ditulis berbanding media sosial yang boleh diputar belit oleh sesiapa sahaja. Oleh itu, berikut dikongsikan maklumat berkaitan Karangan Fakta merangkumi Contoh dan Teknik Menulis untuk rujukan semua.
Karangan bentuk ini adalah karangan yang tidak mempunyai format dan meminta murid-murid untuk memberikan opinion, saranan dan pengujahan terhadap tajuk yang diberikan. Tema karangan ini merangkumi sosial, alam sekitar, sejarah, kebudayaan, sains dan teknologi, isu semasa di rumah mahupun di sekolah. Justeru, penting untuk pelajar mempunyai pengetahuan yang luas sebelum memilih soalan karangan bentuk fakta untuk dijawab di dalam peperiksaan atau pentaksiran.
Contoh Karangan Fakta : Cara & Teknik Menulis
Ikuti perkongsian berkenaan perkara di atas. Sebelum itu, pastikan pelajar mengetahui teknik asas dalam menjawab penulisan karangan Bahasa Melayu seperti berikut:
- Baca dan fahami kesemua tajuk yang diberikan
- Pilih tajuk karangan beserta dengan formatnya yang benar-benar dikuasai
- Cari isi-isi penting yang tepat dan sesuai dengan kehendak soalan
- Sediakan rangka karangan supaya fakta yang dikemukakan tersusun dan tidak berulang
Untuk makluman, jenis-jenis karangan fakta adalah seperti di bawah:
- memberikan arahan dan petunjuk
- menerangkan proses sesuatu perkara
- menerangkan peranan seseorang
- menerangkan peraturan
Teknik Menulis Karangan Jenis Fakta
Berikut pula dikongsikan teknik-teknik menulis karangan untuk panduan semua:
- Karangan jenis ini memerlukan pengetahuan yang luas tentang bidang yang ingin ditulis
- Pastikan fakta-fakta mencukupi untuk menulis karangan yang lengkap
- Fakta yang diberikan mestilah tepat dan logik
- Karangan ini tidak ada format khusus
- Gunakan kata ganti nama diri “kita” yang membawa maksud semua orang termasuk diri kita sendiri dan jangan sesekali menggunakan kata ganti nama diri “saya”. Karangan perlulah ditulis secara umum dan tidak menulis secara peribadi
- Kata kunci mengenal pasti karangan adalah : soalan mengenai faedah, kebaikan, kelebihan atau kepentingan
- Gunakan bahasa yang tepat dan mudah difahami
Pendahuluan
- Ringkas dan umum
- Gunakan teknik : Definisi – Contoh – Manfaat
Isi-Isi Penting
1) Ayat Topik
- Ayat yang menjawab soalan atau kata kunci yang diberikan
2) Ayat Huraian
- Ayat huraian lanjut tentang isi untuk memberikan penjelasan
3) Ayat Contoh
- Ayat bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi. Sertakan perangkaan atau peristiwa untuk menguatkan kenyataan atau isi yang dihuraikan
4) Ayat Penegas
- Ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian
Contoh Karangan Fakta
Rujuk contoh-contoh karangan di bawah sebagai latihan untuk para pelajar:
1) Dalam hidup bermasyarakat, kita tinggal bersama ahli masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Antaranya adalah golongan kurang upaya (OKU). Sebagai insan yang sempurna, apakah cara-cara yang dapat kita lakukan untuk menghormati golongan ini?
Rangka karangan:
Pendahuluan
- Definisi OKU
- Cara-cara menghormati golongan istimewa ini
Isi-isi penting
- Memahami perasaan mereka
- Membantu pergerakan mereka
- Memberi sokongan moral
- Tidak mendiskriminasikan mereka
Penutup
- Harapan
Di dunia yang serba mencabar ini, kita dilahirkan dalam pelbagai bentuk. Ada yang sempurna sifatnya ada yang terdiri daripada golongan kurang upaya. Orang kurang upaya adalah mereka yang cacat dari segi fizikal ataupun mental. Disebabkan kecacatan atau keistimewaan mereka, hidup mereka berbeza dengan manusia normal yang lain. Sebagai orang yang cukup dari segala segi, kita hendaklah mengetahui cara-cara untuk menghormati golongan OKU supaya mereka juga merasai nilai kemanusiaan yang sama.
Salah satu cara untuk menghormati golongan OKU adalah dengan memahami perasaan mereka. Kita tidak boleh memandang rendah kepada mereka walaupun mereka mempunyai kekurangan. Contohnya, kita perlu mengelakkan diri daripada mengggunakan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan mereka yang sering merendah diri akibat daripada kekurangan mereka. Oleh itu, kita perlu menjaga tutur kata apabila berjumpa dengan sesiapa pun untuk mereka menghormati diri kita dan begitu juga sebaliknya.
Pada masa yang sama, kita juga hendaklah menghulurkan bantuan yang sepatutnya kepada golongan kurang upaya. Dengan bantuan atau kemudahan yang diberikan kepada golongan istimewa ini, mereka dapat menjalani kehidupan seharian seperti manusia yang normal. Tamsilnya, kita boleh membantu memberikan pendidikan dan latihan pekerjaan kepada mereka serta menyediakan kemudahan golongan OKU di tempat-tempat awam. Tegasnya, kita seharusnya membantu golongan ini supaya kehidupan mereka lebih sempurna.
Di samping itu, kita perlu memberi sokongan moral kepada mereka yang tergolong dalam golongan orang kurang upaya. Selain daripada sokongan kewangan, sokongan moral juga mustahak dalam memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. Sebagai contoh, kita sedar mereka mempunyai kekurangan tetapi mereka mampu untuk berdikari walaupun cacat. Intihannya, sokongan moral dapat menaikkan semangat mereka untuk mmengahadapi cabaran hidup di dunia ini.
Akhir sekali, kita juga hendaklah menjauhi diskriminasi terhadap golongan kurang upaya. Sebagaimana makhluk-makhluk lain ciptaan Tuhan, mereka juga berhak untuk menikmati kehidupan di dunia ini. Janganlah kita membanding-bandingkan mereka dan pastikan golongan istimewa ini mengambil bahagian dalam setiap perkara seperti sosial, politik dan ekonomi. Sesungguhnya bersikap adil itu satu amalan yang mulia.
Kesimpulannya, manusia biasa yang dikurniakan pelbagai kesempurnaan oleh Tuhan perlu menghormati dan melayani golongan kurang upaya dengan sebaiknya. Setiap pihak memainkan peranan dalam memastikan golongan ini tidak tercicir dan disisihkan daripada masyarakat. Kita yang sempurna seharusnya berusaha untuk menjadikan kehidupan mereka lebih baik dan aman sebagaimana kehidupan yang kita nikmati.
2) Kepentingan Kenderaan
Selepas revolusi industri dunia berlaku, kita dapat melihat pelabagai jenis kenderaan digunakan sebegai kaedah pengangkutan pada hari ini. Ada kenderaan yang menggunakan jalan darat, ada yang berlayar menyusuri lautan luas dan ada yang terbang membelah awan di langit. Kenderaan ini semua digerakkan oleh enjin yang direka khas mengikut keperluan masing-masing untuk bergerak. Oleh itu, penting untuk kita ketahui kepentingan kenderaan khususnya kepada golongan manusia pada hari ini.
Kepentingan utama kenderaan adalah fungsinya sebagai alat pengangkutan masyarakat pada hari ini. Sebenarnya sejak dahulu lagi, kenderaan yang dicipta bertujuan untuk mengangkut barang-barang dan penumpang dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Seiring dengan perkembangan tamadun manusia, pengangkutan merupakan satu norma yang penting dan menyebabkan kenderaan berevolusi untuk memenuhi kehendak manusia pada hari ini. Tegasnya, kenderaan penting sebagai kaedah pengangkutan utama masyarakat di dunia.
Selain itu, kenderaan juga digunakan sebagai salah satu perkara utama di dalam rangkaian ekonomi dunia pada hari ini. Kesan globalisasi dunia yang meransang ekonomi import dan eksport, kenderaan yang berfungsi sebagai pengangkutan perniagaan ini sangat penting untuk digunakan. Jika salah satu komponen logistik ini musnah atau tergendala, pasti ia akan menggugat kelancaran atau perkembangan ekonomi dunia mahupun tempatan. Izharnya, ekonomi dunia hari ini memerlukan kenderaan sebagai pengangkutan import dan eksport.
Kenderaan juga penting untuk menjimatkan masa perjalanan sekiranya jarak perjalanan jauh. Tanpa kenderaan, kita mungkin memerlukan beberapa hari untuk berkunjung ke negeri atau negara lain. Tetapi kini, masa perjalanan dapat dipendekkan dengan menaiki kapal terbang atau kereta api laju. Contohnya, perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hanya memakan masa empat puluh lima minit sahaja. Tuntasnya, kemudahan ini dapat membantu manusia untuk menjalankan urusan lain dengan lebih pantas.
Konklusinya, jelas bahawa kenderaan adalah sangat penting dalam kehidupan manusia pada hari ini. Kenderaan memudahkan pelbagai urusan kehidupan kita pada hari ini. Semoga evolusi dan perkembangan industri kenderaan ditambah baik dan mencapai tahap yang memberi kemudahan kepada semua manusia yang tinggal di muka bumi ini.
3) Amalan gaya hidup sihat amat penting untuk kesejahteraan hidup. Tuliskan sebuah karangan tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat.
Malaysia telah dikategorikan negara teratas dalam kedudukan kadar obesiti di dalam Asia Tenggara. Kenyataan ini perlu menjadi satu titik tolak kepada semua golongan masyarakat kita tidak kira tua atau muda untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini kerana hidup yang sihat dapat menjamin kehidupan yang harmoni dan gembira. Justeru, penting untuk kita ketahui cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat.
Antara cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat adalah dengan memilih untuk makan makanan yang berkhasiat. Sebagai individu, kita perlu memilih makanan yang mengandungi kandungan nutrisi seperti karbohidrat, vitamin, protein dan zat-zat lain yang diperlukan oleh tubuh badan seseorang. Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah memperkenalkan piramid makanan yang menjadi panduan kepada kita untuk makan secara seimbang. Intihannya, kita perlu mengamalkan pemakanan yang berkhasiat sebagai salah satu gaya hidup sihat.
Selain itu, kita juga perlu meluangkan masa untuk beriadah atau bersenam pada masa lapang. Aktiviti senaman yang boleh disertai oleh semua ahli keluarga untuk mengeluarkan peluh di taman permainan ini juga salah satu gaya hidup sihat. Masyarakat umum perlu memanfaatkan segala infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan untuk memastikan orang awam beriadah atau bersenam di perumahan masing-masing. Tegasnya, kita perlu beriadah atau bersenam untuk memastikan gaya hidup sihat diamalkan.
Pada masa yang sama, kita hendaklah memastikan diri dan orang sekeliling untuk tidak menyertai aktiviti yang tidak sihat. Contohnya, amalan merokok atau mengambil dadah yang jelas menggugat kesihatan diri dan juga orang sekeliling. Maka, kita perlu memastikan diri dan orang sekeliling tidak melakukan perkara yang memudaratkan diri.
Akhir sekali, di peringkat masyarakat, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan menyertai aktiviti kesihatan yang dianjurkan Tamsilnya, aktiviti kempen larian sihat pada hujung minggu telah membantu kita untuk kekal cergas dan merapatkan hubungan dengan masyarakat lain.
Kesimpulannya, terdapat banyak cara yang boleh dilaksanakan untuk memastikan gaya hidup sihat dilakukan oleh ahli masyarakat kita. Kerjasama dan intervensi daripada pihak kerajaan dan juga swasta akan memastikan lebih ramai ahli masyarakat sedar akan kepentingan amalan gaya hidup yang sihat.
Related : menggunakan ayat dan kata yang mudah difahami, menggunakan komputer, penggunaan komputer, masa dan wang, pelbagai masalah, data data, untuk mendapatkan rawatan, isi penting, sikap berjimat cermat,
Senarai Tajuk Kecil Artikel