Kebaikan Mempelajari Karya Sastera (Kepentingan). Contoh karangan pentingnya belajar kesusasteraan untuk pelbagai pengajaran yang berguna.

Kebaikan Mempelajari Karya Sastera (Kepentingan)

contoh karangan kebaikan mempelajari karya sastera

Salah satu teknik menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu adalah dengan memilih tajuk atau tema yang umum. Pemilihan yang selamat ini membolehkan pelajar untuk memberikan isi penting, huraian dan frasa-frasa yang menarik seperti peribahasa dan penanda wacana yang berkaitan. Di bawah dikongsikan contoh karangan kebaikan mempelajari karya sastera (Kepentingan) sebagai rujukan untuk pelajar.

Secara definisi, karya bermaksud ciptaan manakala sastera bermaksud bahasa yang digunakan dalam sebuah art. Karya sastera pula bererti sebuah penulisan yang dihasilkan mengikut sesuatu bentuk kesenian. Sebagai contoh, karya sastera bahasa Melayu terdiri daripada prosa iaitu hasil kesusasteraan yang ditulis dalam tatabahasa mudah seperti novel dan cerpen. Sastera bahasa Melayu juga terdiri daripada puisi yang merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dengan tidak menuruti tatabahasa seperti sajak, syair, pantun dan gurindam.

Kebaikan Mempelajari Karya Sastera (Kepentingan)

Anda boleh merujuk perkongsian di bawah berkenaan Kepentingan Mempelajari Karya Kesusasteraan. Turut dikongsikan adalah isi-isi penting yang berpotensi untuk dihuraikan serta contoh karangan mengikut perenggan.

Isi-isi penting

  1. Mengenali dan mencintai bahasa ibunda kita
  2. Memperbanyakkan perbendaharaan kata dan perkataan
  3. Memberikan pengajaran berdasarkan apa yang terkandung dalam karya sastera
  4. Mengenali dan menghargai sasterawan negara
  5. Menghargai kisah masa lalu dan pencapaian masyarakat tempatan
  6. Melahirkan generasi yang menghargai art dan budaya

Pendahuluan

Pada era globalisasi ini, pelbagai rintangan dan cabaran yang dihadapi oleh kita secara individu, masyarakat dan negara untuk mencapai kejayaan. Salah satunya adalah penguasaan bahasa yang menjadi pengantara komunikasi antara satu sama lain. Kebanyakan di antara kita perlu menguasai bahasa Inggeris dan Mandarin untuk bersaing di peringkat antarabangsa sehingga menyebabkan bahasa ibunda kita iaitu Bahasa Melayu kian hilang ditelan zaman.

Cabaran ini perlu diatasi supaya bahasa yang diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan apabila kita mengecapi kemerdekaan lebih 60 tahun yang lalu tidak hilang begitu sahaja. Masyarakat kita seharusnya mempelajari dan menghargai karya-karya sastera yang menggunakan Bahasa Melayu. Oleh sebab yang demikian, pembelajaran komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah adalah mustahak. Untuk menyokong kenyataan tersebut, mari kita huraikan kebaikan mempelajari karya sastera dan kepentingannya kepada semua.

Isi 1

Kepentingan mempelajari karya sastera yang paling ulung adalah supaya kita mengenali dan mencintai bahasa ibunda kita. Ibarat kata pujangga, tak kenal maka tak cinta. Salah satu cara untuk mempelajari bahasa adalah dengan menelaah karya-karya sastera yang ditulis mengikut tahap penggunaan bahasa yang tinggi. Hal ini kerana karya sastera Bahasa Melayu khususnya terdiri daripada pelbagai jenis seperti penulisan novel, cerpen, sajak, syair dan juga puisi.

Corak penulisan yang mempunyai format seperti ritma menjadikan karya sastera itu menarik dan indah untuk dibacakan. Keunikan ini menjadikan bahasa Melayu berbeza dengan bahasa lain di mana kita boleh berasa bangga kerana mempunyai identiti tersendiri. Pihak berkuasa hanya perlu memperbanyakkan karya sastera di pandangan umum seperti media massa untuk memupuk semangat cinta terhadap bahasa Melayu dalam kalangan orang awam. Kecintaan terhadap bahasa kebangsaan kita akan terpupuk jika mempelajari karya sastera.

Isi 2

Manfaat lain mempelajari karya sastera adalah kita dapat memperbanyakkan perbendaharaan kata atau perkataan yang terkandung dalam sesuatu bahasa. Sebagai contoh, karya sastera bahasa Melayu kebanyakannya dihasilkan pada zaman dahulu yang banyak menggunakan perkataan bahasa Melayu klasik. Perkataan yang mungkin asing bagi generasi hari ini tetapi merupakan perkataan biasa pada zaman terdahulu. Secara tidak langsung, kita dapat meluaskan horizon perbendaharaan yang kita ketahui.

Persis kata peribahasa, laut ditimba tidak akan kering. Sama seperti mempelajari ilmu, pembelajaran dalam bidang bahasa juga tidak terhad kerana banyak ruang yang kita boleh terokai. Apabila masyarakat kita mempunyai perbendaharaan kata yang baik sama ada dalam penulisan atau pertuturan, nescaya bangsa kita akan menjadi lebih berketrampilan dan intelek. Hanya dengan mempelajari karya-karya sastera, kita dapat menambah pengetahuan tentang frasa-frasa dan perkataan sesebuah bahasa.

Isi 3

Seterusnya, kebaikan yang diperoleh seseorang apabila mempelajari karya sastera adalah dapat mengambil iktibar daripada kisah yang terkandung dalam setiap penulisan karya. Sebelum muncul hiburan berbentuk digital yang kita nikmati di skrin televisyen atau pun telefon pintar, masyarakat dahulu mendapat hiburan atau informasi daripada karya-karya sastera seperti penulisan syair dan persembahan wayang kulit. Penulis akan menceritakan isu-isu yang berlaku dalam kehidupan mereka atau masyarakat sekeliling sebagai satu pengajaran kepada orang lain yang membaca karyanya.

Perkara ini signifikan dalam mendidik masyarakat untuk melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat dalam kehidupan kita. Dengan pembacaan karya sastera, kita akan membuka minda untuk melihat sudut pemikiran yang berbeza daripada pengkarya dan kisah yang diceritakan. Kita hanya perlu buang yang keruh, ambil yang jernih. Jelaslah bahawa mempelajari karya sastera memberi iktibar yang baik kepada pembacanya.

Isi 4

Pada yang sama, mempelajari karya sastera dapat membantu kita untuk mengenali dan menghargai penulis-penulis karya ini. Kita sebagai ahli masyarakat tidak semuanya mempunyai bakat dan pengetahuan yang tinggi untuk menulis sesebuah karya. Lazimnya, mereka yang menghasilkan karya sastera terdiri daripada lepasan graduan bahasa dan juga cendiakawan yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam sesuatu perkara.

Daya intelek yang digabungkan dengan bahasa dalam penghasilan sebuah karya sewajarnya dihargai kerana ia membentuk prinsip dan falsafah hidup yang positif. Penganjuran Anugerah Sastera Negara menjadi satu contoh dalam menghargai penulis karya sastera di samping menghargai serta mengangkat martabat bahasa ibunda kita. Masyarakat yang menyanjungi golongan sasterawan adalah lebih baik jika dibandingkan dengan masyarakat yang mengidolakan golongan selebriti masa kini. Intihannya, penulis karya sastera akan lebih diketahui dan dihargai kerana mereka merupakan perakam peristiwa masa lalu kita jika kita mempelajari karya sastera.

Penutup

Secara kesimpulannya, banyak kebaikan yang diperoleh sekiranya kita mempelajari karya sastera sesebuah bahasa terutamanya bahasa ibunda kita. Setiap pihak berperanan untuk memupuk generasi masa kini untuk mempelajari karya sastera bahasa Melayu. Selain daripada pembelajaran secara konvensional di sekolah, penerapan karya sastera dalam hiburan seperti filem, drama dan iklan sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada perkembangan karya sastera dalam masyarakat.

Pemimpin sebelum ini yang menumpukan agenda pembangunan negara ke arah sains dan teknologi telah meninggalkan kesan buruk kepada karya sastera kita. Selain dianggap bosan, pelbagai stigma lain yang menghalang masyarakat untuk menghargai warisan bangsa yang dipusakakan oleh nenek dan moyang kita. Semoga inisiatif untuk memartabatkan semula karya sastera di khalayak umum disokong agar generasi yang menghargai art dan budaya dapat dilahirkan semula.

Related : drama dan novel, karya sastera adalah satu, pelbagai perkataan, nabi muhammad, kata di atas, perlu membaca, menjadi kegilaan,