Kata Ganda: Maksud, Jenis, Dan Contoh Penggunaannya.. Terbentuk daripada kata yang digandakan sama ada sebahagian atau seluruhnya.

Kata Ganda: Maksud, Jenis, & Contoh Penggunaan

kata ganda maksud jenis dan contoh penggunaan

Murid-murid di sekolah seharusnya menggemari mata pelajaran Bahasa Melayu kerana ia melibatkan pertuturan dan pemahaman bahasa ibunda atau percakapan yang kita gunakan di rumah. Maka penting untuk murid mengetahui penggunaan tatabahasa yang betul dan tepat sebelum menggunakannya. Berikut dikongsikan nota berkaitan Maksud Kata Ganda, Jenis, & Contoh Penggunaan sebagai rujukan untuk semua.

Seperti sedia maklum, setiap bahasa mempunyai pelbagai jenis kata. Bagi Bahasa Melayu, antaranya adalah kata nama, kata kerja, kata hubung dan juga kata ganda. Oleh itu, para pelajar akan didedahkan kepada tatabahasa Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah agar penguasaan itu dapat dikembangkan lebih baik menjelang pendidikan di peringkat sekolah menengah.

Maksud Kata Ganda, Jenis, & Contoh Penggunaan

Di bawah dikongsikan nota berkaitan yang merangkumi maksud, jenis, dan contoh penggunaannya dalam ayat serta penulisan karangan Bahasa Melayu para pelajar.

Maksud Kata Ganda

  • Ianya bermaksud pengulangan kata secara keseluruhan atau pada bahagian yang tertentu.
  • Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Dewan Edisi Bahasa (Nik Safiah Karim), ianya ialah bentuk yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulang kata dasar tersebut diulang secara seluruh pada bahagian-bahagian tertentu dengan imbuhan atau tanpa imbuhan.

Jenis-Jenis Kata Ganda

Untuk makluman semua, terdapat lima jenis kata yang menjadi kelaziman dalam tatabahasa Bahasa Melayu:

1) Kata Ganda Seluruh

  • Adalah kata dasar yang diulang atau digandakan sepenuhnya dan menggunakan tanda sempang “-“
  • Ianya terdiri daripada kata nama, kata adjektif, kata kerja dan kata keterangan
  • Tiada sebarang perubahan bentuk dan kata ada yang bermaksud jamak, tunggal atau kedua-duanya.
  • Contohnya, awal-awal, benar-benar, budak-budak, jarang-jarang dan pokok-pokok

2) Kata Ganda Semu

  • semu mempunyai makna yang khusus dan terbentuk daripada kata yang digandakan seluruhnya serta menggunakan tanda sempang “-“
  • Terdiri daripada kata nama
  • Contohnya, labah-labah, kura-kura, kupu-kupu, layang-layang, agar-agar

3) Kata Ganda Separa

  • separa adalah kata yang mengalami pengulangan suku kata pertama pada kata asalnya. Kata dibina dengan cara memendekkan atau menyingkirkan bahagian perkataan asalnya
  • Bunyi vokal pada suku kata pertama berubah menjadi vokal yang dilambangkan dengan huruf e
  • Terdiri daripada kata nama
  • Contohnya, lelayang, kekuda, sesiku, bebola, jejari

4) Kata Ganda bersajak, berentak atau berima

  • Ini bermaksud kata dasar yang diulang dengan mengalami penyesuaian bunyi atau rima hampir sama di pangkal, hujung atau seluruhnya
  • Contoh persamaan bunyi di pangkal, beli-belah, bengkak-bengkok, gerak-geri
  • Contoh persamaan bunyi di hujung, cerai-berai, gotong-royong, kaya-raya
  • Contoh persamaan bunyi di seluruhnya, gopoh-gapah, gunung-ganang, huru-hara

5) Kata Ganda berimbuhan

  • Akhir sekali, berimbuhan merupakan kata yang menerima imbuhan sama ada awalan, apitan sisipan atau akhiran
  • Contoh awalan, melompat-lompat, menjerit-jerit, bermain-main, tergesa-gesa
  • Contoh apitan, bertolak-tolak, setidak-tidaknya, tergila-gilakan, menghuru-harakan
  • Contoh sisipan, turun-temurun, gilap-gemilap, tulang-temulang
  • Contoh akhiran, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, wangi-wangian, terang-terangan

Contoh Penggunaan Kata Ganda

Selepas memahami maksud dan jenis, berikut dikongsikan contoh-contoh ayat untuk menggunakan kata ganda dalam penulisan Bahasa Melayu para pelajar.

1) Kata Ganda Penuh / Seluruh

  • Padang di Kampung Kerinchi itu selalu digunakan oleh budak-budak kampung sekitar untuk bermain bola sepak. (budak-budak)
  • Pokok-pokok di sepanjang jalan tersebut ditebang untuk keselamatan pengguna jalan raya. (pokok-pokok)
  • Halim benar-benar terdesak untuk mendapatkan pekerjaan tersebut demi kelangsungan hidup keluarganya. (benar-benar)

2) Kata Ganda Semu

  • Mereka berebut keluar rumah untuk membeli agar-agar yang dijual oleh Mak Kiah. (agar-agar)
  • Ghazi membantu ayahnya mengalihkan kura-kura yang terperangkap di kawasan semak kembali ke sungai yang berdekatan. (kura-kura)

3) Kata Ganda Separa

  • Ramai tetamu telah hadir ke majlis persandingan antara artis terkemuka itu.(tetamu)
  • Kedai perabot yang berasal daripada negara Sweden itu bukan sahaja terkenal kerana perabotnya tetapi juga bebola daging yang dihidangkan di restorannya. (bebola)

4) Kata Ganda Berima

  • Indah sekali pemandangan daripada pangsapuri yang didiami oleh Fatimah kerana boleh melihat gunung-ganang di persisir Kuala Lumpur. (gunung-ganang)
  • Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi telah menganjurkan aktiviti gotong-royong untuk memastikan kebersihan sekolah terjamin. (gotong-royong)
  • Masyarakat kini lebih gemar membeli-belah secara atas talian berbanding berkunjung ke kedai secara fizikal. (membeli-belah)
  • Keadaan politik yang huru-hara di negara tersebut disebabkan golongan kaya-raya yang hanya mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan masyarakat dan negara (huru-hara)

5) Kata Ganda Berimbuhan

  • Selepas mendapat penggilan telefon, Abu tergesa-gesa keluar daripada bilik itu. (tergesa-gesa)
  • Sarah yang tergila-gilakan penyanyi terkenal itu berjaya mendapat album terbarunya sebagai hadiah kelahiran ke-20 tahun. (tergila-gilakan)
  • Sambutan hari kebangsaan yang menjadi aktiviti turun-temurun di Dataran merdeka terpaksa dibatalkan bagi mengekang penularan penyakit COVID-19. (turun-temurun)
  • Sebelum melawat rakan atau ahli keluarga yang sakit, kita digalakkan untuk membawa buah tangan seperti buah-buahan untuk mereka. (buah-buahan)


Semoga perkongsian berkaitan di atas memberikan manfaat dan pengetahuan lebih jelas kepada pelajar.

Related : kejar mengejar, digandakan sama ada sebahagian, kata dasar yang digandakan, compang camping dolak dalik huyung hayang, contoh kata ganda, proses pengulangan perkataan, pengulangan kata nama kata adjektif kata kerja dan kata keterangan, kanak kanak, d kata ganda, mestilah diberi tanda sempang, huru hara kering kontang kuih muih mundar mandir gunung ganang pindah randah, anai anai, e kata ganda, huyung hayang, kata ganda yang mengalami, penggandaan penuh, biri biri, kata ganda separa terbentuk, mengalami persamaan atau penyesuaian bunyi rima,