Keburukan Makanan Ringan Kepada Masyarakat Negara Kita. Contoh karangan kesan buruk makan fast food buat orang ramai, pengguna & pelajar.

Keburukan Makanan Ringan Kepada Masyarakat Negara Kita

contoh karangan keburukan makanan ringan kepada masyarakat

Sebagai pelajar, anda pasti pernah diberi latihan untuk menjawab penulisan karangan bertemakan topik berkaitan kesihatan. Topik atau tema ini popular kerana menguji pengetahuan pelajar dalam sudut kesihatan dan juga kecaknaan pelajar dengan isu kesihatan semasa. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan keburukan makanan ringan kepada masyarakat di negara kita seperti pelajar dan sebagainya.

Makanan ringan boleh didefinasikan sebagai makanan yg tidak begitu menge­nyangkan yang di­makan sambil-sambilan. Ianya selalunya dikaitkan dengan makanan kurang sihat seperti gula-gula dan snek. Tetapi terdapat juga yang menyihatkan seperti kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran. Walaubagaimanapun, isu yang timbul adalah kesan buruk makanan yang tidak berkhasiat ini sehingga mengancam pelbagai sudut kehidupan masyarakat khususnya dan negara amnya.

Menurut BHonline, makanan ringan atau jajan disukai semua peringkat usia meskipun semua tahu ia tidak berkhasiat dan boleh memudaratkan kesihatan jika diambil berlebihan.

Penjualan tanpa kawalan dan pastinya mendapat permintaan tinggi untuk dimakan pada waktu santai seperti ketika menonton televisyen, wayang, dimakan sambil memandu atau sedang membuat sesuatu kerja.

Lebih membimbangkan ianya tinggi kalori dengan adanya bahan pewarna tiruan, kadar garam monosodium glutamate (MSG), lemak, minyak yang tinggi.

Kesan Buruk Makanan Ringan Kepada Masyarakat Negara Kita (Makan Fast Food)

Di bawah dikongsikan isi-isi penting dan contoh huraian karangan kesan buruk memakan makanan ringan kepada masyarakat negara kita untuk rujukan semua.

Isi-isi Penting

  1. Punca kepada masalah kesihatan seperti obesiti
  2. Masalah ingatan dan pembelajaran
  3. Mengurangkan keupayaan kita untuk mengawal selera makan
  4. Membantut pertumbuhan
  5. Mengakibatkan kerosakan gigi dan gusi
  6. Menyebabkan penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi

Pendahuluan

Secara definisi, makanan ringan adalah makanan yang tidak berkhasiat dan tinggi kandungan lemak, gula serta garam. Berbeza dengan makanan yang dimasak secara konvensional, makanan ringan diperbuat daripada campuran pelbagai perisa tiruan dan disampurkan atau digabungkan dengan makanan mentah yang telah diproses seperti kentang atau gandum.

Kepelbagaian makanan ringan hari ini menjangkau pemikiran manusia kerana terdapat snek yang berperisa ayam atau udang tetapi tiada pun ayam dan udang digunakan untuk menghasilkan snek tersebut. Keunikan ini secara tidak langsung telah menarik minat segelintir masyarakat kita dan menikmati makanan ringan lebih daripada makanan yang berkhasiat. Perkara ini wajar diambil perhatian oleh pihak berkuasa dan ahli masyarakat kerana terdapat kesan buruk makanan ringan yang akan membahayakan nyawa dan juga negara.

Isi 1

Salah satu keburukan yang jelas apabila seseorang gemar memakan makanan ringan adalah ancaman masalah kesihatan seperti obesiti. Umum mengetahui makanan ringan yang berada di pasaran mengandungi bahan campuran sintetik dan kimia yang bahaya jika dimakan dengan banyak. Kandungan seperti lemak, minyak, garam dan gula yang tinggi diletakkan dalam manakan ringan adalah bahaya jika dibandingkan dengan makanan yang dimasak secara konvensional.

Khasiat yang terdapat dalam sumber bahan mentah telah hilang dan yang ada hanyalah rasa yang sedap dan menyebabkan ketagihan. Kesannya, penggemar makanan ringan mudah mendapat penyakit seperti obesiti, darah tinggi dan juga kencing manis. Bukan sahaja kesihatan dalam badan yang terancam tetapi juga kesihatan fizikal seperti gigi yang rosak akibat makanan ringan yang keterlaluan. Peribahasa melayu ada berkata, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna. Seeloknya kita kurangkan makan makanan ringan demi kemaslahatan kesihatan diri masing-masing.

Isi 2

Pengambilan makanan ringan secara banyak juga menyumbang kepada masalah ingatan dan pembelajaran seseorang. Menurut kajian oleh pakar perubatan, individu yang makan makanan ringan selama lima hari berturut-turut mempunyai tindak balas kognitif yang kurang baik berbanding individu yang makan makanan normal. Puncanya, daripada pemakanan toksik yang menyebabkan tindak balas kimia tertentu sehingga menyebabkan keradangan di kawasan hipokamus otak yang berkaitan dengan ingatan dan pengiktirafan khusus.

Selain itu, pemakanan yang melibatkan diet gula dan lemak yang tinggi boleh menindih aktiviti peptida otak yang membantu pembentukan memori serta pembelajaran seseorang. Makanan ringan yang mengandungi lemak dan gula yang tinggi akan meningkatkan tahap insulin dalam badan seterusnya meningkatkan risiko penyakit dementia atau hilang ingatan. Jelasnya, masalah ingatan dan pembelajaran seseorang boleh terjejas jika kerap memakan makanan ringan.

Isi 3

Keburukan lain makanan ringan kepada ahli masyarakat ialah mengurangkan keupayaan kita untuk mengawal selera makan. Kebanyakan makanan ringan pada hari ini telah dicipta untuk memenuhi citarasa masyarakat secara amnya. Apabila seseorang individu kerap memakan makanan ringan, mereka tidak mempunyai keinginan untuk memakan makanan berat kerana selera dan citarasa mereka telah dipenuhi. Tambahan pula, harga makanan ringan yang lebih murah berbanding makanan ringan telah menambah kepada keburukan ini.

Perubahan norma masyarakat yang membiasakan pemakanan ringan pada waktu terluang seperti ketika menonton wayang atau televisyen dan juga waktu bekerja telah menyumbang kepada peningkatan makanan ringan dalam masyarakat. Sebaliknya, kita hendaklah memperbanyakkan makanan berat yang berkhasiat kerana ia lebih baik untuk badan walaupun rasanya pahit dan tidak manis seperti makanan ringan.

Isi 4

Akhir sekali, pemakanan ringan yang berlebihan akan membantut pertumbuhan seseorang terutamanya kanak-kanak dan remaja. Hal ini kerana pertumbuhan seseorang memerlukan zat dan khasiat yang terkandung dalam makanan berat seperti buah, sayur, telur ayam dan ikan. Masyarakat khususnya kanak-kanak akan memilih untuk memakan makanan ringan berbanding makanan berat kerana keenakannya yang berbeza dan menepati kehendak anak tekak mereka.

Situasi ini banyak berlaku di negara-negara kecil di benua Afrika di mana kekurangan sumber makanan berat menyebabkan mereka bergantung kepada bantuan makanan segara dan ringan sehingga membantut pertumbuhan tubuh badan mereka. Setiap ahli masyarakat khususnya ibu dan bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak tidak kerap memakan makanan ringan agar pertumbuhan anggota badan mereka tidak terbantut.

Penutup

Kesimpulannya, banyak keburukan yang akan ditanggung oleh individu yang gemar memakan makanan ringan. Sesungguhnya benarlah kata mutiara, jangan ambil senang jika tidak mahu susah. Jika kita memilih jalan mudah sahaja dalam kehidupan ini nescaya kita akan menanggung akibatnya pada masa akan datang. Pemakanan merupakan elemen penting dalam menjamin kesihatan diri untuk kita menjadi individu yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Setiap pihak daripada kerajaan, media massa, masyarakat, keluarga dan rakan-rakan perlu berganding bahu menyampaikan kesedaran ini supaya rakyat Malaysia hidup sihat dan cergas tanpa terjebak dalam ketagihan makanan ringan. Sekiranya masyarakat yang sihat dapat dihasilkan, pastinya negara akan dipacu ke arah yang lebih baik dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Related : membeli makanan, untuk makanan, berat badan, mengubah corak pemakanan, untuk membuat, penyakit darah tinggi, mengambil makanan, kalangan kanak kanak, jenis makanan, masalah obesiti, terdapat dalam makanan,