Penulisan karangan Bahasa Melayu merupakan salah satu bentuk soalan yang bakal menguji tahap penguasaan Bahasa Melayu pelajar. Oleh yang demikian, menguasai tatabahasa dan pengetahuan am yang baik mampu membantu pelajar menghasilkan penulisan yang cemerlang. Di bawah dikongsikan contoh karangan faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran (pendidikan atau akademik) untuk rujukan semua.
Kebanyakan murid akan menjadi gementar untuk menghadapi pentaksiran atau ujian yang diberikan oleh guru. Hal ini kerana ia menjadi rekod pencapaian murid dalam tahap pembelajaran yang telah dipelajari sepanjang tahun. Maka, tidak dinafikan semua murid inginkan keputusan yang cemerlang agar kejayaan tersebut dapat membanggakan ibu dan bapa serta meningkatkan tahap pengetahuan serta keyakinan dalam pelajaran masing-masing.
Contoh Karangan Faktor-Faktor Yang Menentukan Kejayaan Seseorang Pelajar Dalam Pelajarn
Isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk karangan, Faktor Kejayaan Seseorang Murid Dalam Pelajaran boleh dirujuk seperti berikut. Turut disertakan adalah huraian karangan mengikut rangka iaitu pendahuluan, isi dan penutup.
Isi-isi penting
- Tahap perhatian yang diberikan oleh pelajar ketika proses pembelajaran
- Suasana bilik darjah yang kondusif
- Kaedah pengajaran oleh guru yang menarik dan efektif
- Sokongan daripada ibu dan bapa
- Menyertai program kecemerlangan akademik tambahan
- Silibus pembelajaran yang berguna dan relevan pada masa ini
Pendahuluan
Pada era globalisasi hari ini, golongan muda mendepani cabaran yang amat besar untuk mengecapi kejayaan dalam peringkat pengajian mahupun dalam kerjaya nanti. Penambahan jumlah manusia yang ramai telah mengecilkan peluang dan meningkatkan tahap persaingan antara satu sama lain. Situasi ini tidak boleh dielakkan tetapi murid-murid boleh bersiap sedia untuk menghadapi cabaran terbabit dengan bermula di sekolah.
Alma mater merupakan lokasi di mana setiap individu mencari potensi diri untuk membentuk masa hadapan yang terbaik. Oleh yang demikian, mustahak untuk kita memastikan pembangunan modal insan di peringkat sekolah berjaya dilaksanakan dengan berkesan. Untuk memastikan visi tersebut dicapai, mari kita huraikan faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran seiring dengan pembangunan modal insan masyarakat berminda kelas pertama.
Isi 1
Faktor utama kejayaan murid dalam pelajaran adalah tahap perhatian yang diberikan oleh pelajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Kaedah pembelajaran konvensional ini memerlukan murid-murid hadir secara bersemuka ke sekolah dan mendengar pengajaran oleh guru. Maka, murid perlu menumpukan perhatian sepanjang sesi pembelajaran diadakan supaya tidak tertinggal sebarang penjelasan oleh guru.
Apabila timbul persoalan atau tidak faham tentang sesuatu perkara maka beranikan diri untuk bertanya dan meminta penjelasan daripada guru. Persis kata peribahasa, malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Selepas memberikan perhatian di dalam kelas, murid seharusnya menyelesaikan latihan yang diberikan dan membuat ulang kaji supaya ilmu tersebut tersemat di dalam fikiran. Izharnya, tahap perhatian murid di dalam kelas adalah faktor utama yang menentukan kejayaan murid dalam pelajaran.
Isi 2
Faktor seterusnya yang memainkan peranan dalam kejayaan murid di bidang akademik adalah suasana bilik darjah. Sekolah merupakan infrastruktur perdana dalam membina modal insan masyarakat negara ini. Namun, kebanyakan sekolah menjadi daif dan tidak menerima penambahbaikan dari tahun ke tahun. Kesannya, kelas menjadi tidak kondusif kepada para pelajar dan mereka tidak dapat menumpukan perhatian sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.
Sebagai contoh, kebanyakan sekolah masih menggunakan kipas sedangkan suhu di negara kita semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sekiranya, kerajaan dan masyarakat mampu untuk menyediakan bilik darjah yang selesa untuk murid-murid, mereka akan menjadi lebih seronok untuk menghadiri sesi persekolahan. Seterusnya menambah peluang untuk mendapat kejayaan dalam pelajaran. Jelaslah bahawa kelas yang kondusif mampu menyumbang kepada kejayaan murid dalam pelajaran
Isi 3
Kejayaan dalam pelajaran juga boleh dicapai oleh murid-murid jika kita mengambil kira faktor kaedah pengajaran oleh guru-guru. Proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan efektif memainkan peranan yang signifikan dalam kejayaan murid-murid. Teknik seperti mengajar di hadapan kelas dan memberikan latihan selepas selesai penyampaian tidak mencukupi. Guru-guru perlu berinteraksi dengan murid untuk memastikan mereka memahami apa yang disampaikan.
Walaupun nisbah murid dan guru di dalam satu bilik darjah semakin ketara perbezaannya, guru perlu mengusahakan inisiatif terbaik agar pengajaran dijalankan dnegan berkesan. Murid-murid juga seharusnya menumpukan perhatian selain berinteraksi dengan guru jika terdapat sebarang masalah. Ibarat pepatah Melayu,di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Intihannya, faktor kejayaan murid dalam pelajaran juga dipengaruhi oleh gaya pengajaran oleh guru-guru.
Isi 4
Akhir sekali, faktor kejayaan murid dalam pelajaran adalah sokongan daripada ibu dan bapa. Insan yang paling rapat dengan murid selain rakan sebaya adalah ibu dan bapa atau ahli keluarga. Individu ini memainkan peranan yang penting dalam memberikan keyakinan, sokongan dan tekanan yang perlu kepada murid untuk berjaya. Malah pemberian penghargaan kepada murid oleh ibu bapa sangat membantu moral mereka dalam kehidupan dan juga pelajaran.
Selain teladan yang baik ditunjukkan di rumah, hubungan kekeluargaan, dan secara ringkas modal insan yang baik dipersembahkan oleh ibu dan bapa akan mempengaruhi murid untuk mencapai kejayaan. Bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam kehidupan mereka dari kecil sehingga dewasa kelak. Belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam. Perumpamaan ini jelas menyatakan jika kita memberikan sokongan yang kuat, kejayaan pasti dapat diperolehi dalam konteks ini murid berjaya dalam pelajaran.
Penutup
Secara tuntas, terdapat banyak faktor yang memainkan peranan dalam kejayaan seseorang murid. Suka untuk diingatkan bahawa ilmu pengetahuan merupakan satu harta yang kekal relevan sepanjang zaman. Ibarat laut yang ditimba tidak akan kering. Justeru, setiap individu terutamanya golongan muda hendaklah mementingkan pelajaran sehingga ke menara gading sebelum mengejar kejayaan lain. Setiap lapisan masyarakat kita perlu menggembleng tenaga bersatu teguh bercerai roboh dalam memainkan peranan masing-masing agar para pelajar dapat mencapai kejayaan. Hanya dengan pembangunan modal insan dan penguasaan akademik yang tinggi akan menghasilkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Selaras dengan wawasan kemakmuran bersama.
Related : menghantar anak anak, menduduki peperiksaan, belajar bersungguh sungguh, ahli keluarga ialah orang, dorongan daripada ibu bapa, pelajar mendapat kasih sayang, perhatian serius kepada emosi, menjawab soalan peperiksaan, menghadapi peperiksaan, secukupnya daripada ibu bapa, pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara
untuk menjana, kata kata, minda serta pemakanan anak,
Senarai Tajuk Kecil Artikel