Kelebihan e-wallet Kepada Pengguna (Masyarakat). Contoh karangan kebaikan e-dompet digital di malaysia pada masa kini.

Kelebihan e-wallet Kepada Pengguna (Masyarakat)

contoh karangan kelebihan e wallet kepada pengguna masyarakat

Pelajar pastinya tertanya-tanya apakah tips untuk memilih tajuk atau soalan karangan yang terbaik bagi mata pelajaran bahasa Melayu. Salah satu kaedahnya adalah dengan memilih tajuk yang tidak berformat dan benar-benar boleh dikuasai oleh pelajar. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan kelebihan e-wallet kepada pengguna (Masyarakat) untuk semua.

Kebanyakan di antara pelajar pastinya mempunyai pengalaman menggunakan e-wallet atau e-dompet melalui telefon pintar ibu bapa atau telefon anda sendiri. Oleh itu, tajuk karangan di bawah memberikan ruang kepada pelajar untuk menulis apakah kebaikan yang didapati apabila menggunakan salah satu teknologi pada masa ini. Kebolehan pelajar untuk menghuraikan secara jelas bersama contoh dan penggunaan bahasa yang baik pasti dapat menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang.

Kelebihan e-wallet Kepada Pengguna (Masyarakat)

Di bawah dikongsikan contoh karangan kebaikan dompet digital kepada pengguna (Masyarakat) yang turut disertakan isi-isi penting yang sesuai untuk dihuraikan dalam karangan anda.

Isi-isi penting

  1. Memudahkan proses dan menjimatkan masa
  2. Lebih selamat berbanding wang tunai
  3. Mudah untuk mengawal perbelanjaan
  4. Banyak ganjaran dan pulangan wang tunai
  5. Boleh menggunakan akaun daripada pelbagai bank atau aplikasi menggunakan satu peranti sahaja
  6. Infrastruktur Internet akan bertambah baik kerana mendapat permintaan tinggi

Pendahuluan

Dalam mendepani alaf baharu yang serba mencabar, kita sering diperkenalkan dengan kemudahan teknologi yang semakin banyak bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Jika diimbau masa lalu, kita hanya boleh membuat panggilan telefon melalui suara sahaja tetapi kini kita mampu untuk membuat panggilan video secara langsung dengan kenalan kita tanpa mengira masa, waktu dan lokasi. Evolusi teknologi ini berlaku dalam setiap aspek kehidupan kita dan kebelakangan ini kita diperkenalkan dengan penggunaan e-Wallet dimana kita boleh membuat transaksi kewangan dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Pandemik Covid19 yang melanda dunia juga telah menyemarakkan penggunaan e-wallet dalam kalangan masyarakat khususnya di Malaysia yang turut dikempen oleh pihak kerajaan. Namun, sejauh manakah penggunaan e-wallet ini memberikan kebaikan kepada masyarakat kita? Mari kita bincangkan kelebihan dompet digital kepada pengguna dan anggota masyarakat.

Isi 1

Kelebihan utama penggunaan e-wallet adalah ia memudahkan proses dan menjimatkan masa. Norma masyarakat pada hari ini yang semakin pantas dan tidak suka membuang masa beratur di bank dan sebagainya telah menjadikan penggunaan e-wallet sebagai satu alternatif yang menguntungkan. Bak kata pepatah Melayu, masa itu emas. Dengan menggunakan e-wallet, pengguna boleh mengimbas Kod QR, Kod Bar atau memasukkan nombor akaun penerima atau peniaga secara terus untuk membuat pembayaran.

Hanya kelajuan Internet dan kelancaran telefon pintar yang membezakan masa transaksi itu menjadi cepat atau lambat. Tetapi kelebihannya pengguna tidak perlu pergi ke ATM untuk mengeluarkan wang tunai yang kadang kala lokasinya jauh dan mengambil masa. Intihannya, kemudahan menggunakan hujung jari untuk membuat bayaran di kedai atau restoran merupakan salah satu manfaat dalam menggunakan e-wallet.

Isi 2

Faedah lain yang diperoleh pengguna apabila menggunakan e-wallet adalah transaksi kewangan lebih selamat berbanding wang tunai. Hal ini kerana e-wallet digunakan melalui aplikasi bank secara atas talian yang dimuat turun dalam telefon pintar masing-masing. Pengguna juga perlu melalui proses identifikasi dan verifikasi yang selamat sebagai langkah keselamatan sebelum boleh melakukan sebarang transaksi. Jika dibandingkan dengan membawa wang tunai di dalam dompet, pengguna terdedah kepada risiko penyeluk saku, penyamun dan juga pencuri.

Contoh ini jelas menunjukkan ciri keselamatan yang terdapat pada penggunaan e-wallet adalah lebih baik berbanding penggunaan wang tunai secara konvensional. Ibarat perumpamaan, sediakan payung sebelum hujan dimana lebih baik kita berhati-hati sebelum terlibat dalam perkara yang tidak diingini. Tegasnya, penggunaan e-wallet memberikan kelebihan keselamatan yang lebih baik berbanding wang tunai.

Isi 3

Pada masa yang sama, penggunaan e-wallet dapat memudahkan anggota masyarakat untuk mengawal perbelanjaan. Selain daripada ciri keselamatan yang ditambah baik, e-wallet atau aplikasi bank-bank secara atas talian telah membangunkan ciri untuk kita melihat transaksi yang berlaku dalam akaun bank masing-masing. Rekod yang dilakukan secara automatik ini dapat memudahkan kita untuk melihat baki, dan jumlah perbelanjaan yang telah kita gunakan semasa membeli belah di kedai dan sebagainya.

Tambahan pula, terdapat aplikasi bank yang menawarkan ciri tabung simpanan dimana apabila kita ingin mencapai satu jumlah tabungan pada masa yang kita tetapkan, ia akan menolak wang atau gaji kita secara terus sebaik sahaja ia dikreditkan dalam akaun bank kita. Ciri ini sangat membantu golongan yang mudah boros berbelanja untuk menabung demi masa hadapan mereka. Persis kata mutiara, hemat sebelum kena, jimat sebelum habis. Izharnya, ciri mengawal perbelanjaan yang disediakan e-wallet adalah kelebihan yang sangat menguntungkan kepada masyarakat kita.

Isi 4

Akhir sekali, penggunaan e-wallet memberikan kelebihan kepada penggunanya kerana ganjaran dan pulangan wang tunai yang banyak ditawarkan. Mutakhir ini, bukan sahaja bank yang menawarkan aplikasi e-wallet tetapi juga aplikasi lain seperti Grab, Shopee dan Touch N Go sehingga menghasilkan persaingan yang tinggi antara mereka. Oleh sebab yang demikian, pelbagai ganjaran yang ditawarkan oleh pengendali e-wallet ini untuk menarik pengguna menggunakan aplikasi mereka.

Ganjarannya pula berbentuk pulangan wang, mata ganjaran dan juga cabutan bertuah yang menawarkan hadiah sehingga sebuah kereta berjenama dari negara luar. Formula yang sama digunakan oleh pengendali kad kredit yang menawarkan ganjaran kepada penggunanya dimana semakin banyak kredit yang digunakan semakin tinggi nilai ganjaran yang diperoleh. Maka, masyarakat seharusnya memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin kerana ia memberikan keuntungan kepada kita lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Penutup

Konklusinya, e-wallet menawarkan banyak kelebihan kepada masyarakat kita tanpa mengira usia. Kita sewajarnya menikmati faedah kemudahan teknologi ini sebagai langkah untuk meningkatkan kemajuan masyarakat seiring dengan masyarakat global. Peribahasa Melayu seperti katak di bawah tempurung perlu dielakkan oleh kita sebagai masyarakat kerana martabat ilmu dan keupayaan kita wajar diaplikasikan dalam kehidupan dan berevolusi mengikut edaran zaman. Walaupun e-wallet masih lagi mempunyai kekurangan seperti risiko pencurian data peribadi dan sebagainya, pengendali e-wallet seperti bank perlu konsisten dalam menambahbaik segala aspek penggunaan aplikasinya. Semoga normalisasi masyarakat nirtunai ini menjadi satu kebiasaan dan contoh kepada masyarakat asing untuk berubah ke satu amalan penggunaan teknologi dalam kehidupan yang memudahkan.

Related : perlu membawa, perkhidmatan e wallet atau dompet digital, menawarkan pelbagai, perlu risau, maklumat akaun, untuk membayar, top up, bank negara malaysia,