Cara-Cara Mengelakkan Kemalangan Jalan Raya (Langkah Mengatasi). Contoh karangan tips mengurangkan eksiden di jalan.

Cara-Cara Mengelakkan Kemalangan Jalan Raya (Langkah Mengatasi)

contoh karangan cara mengelakkan kemalangan jalan raya

Selain daripada pengajaran daripada guru di bilik darjah, pelajar boleh membuat latihan tambahan untuk menambah baik kefahaman dan penguasaan seseuatu mata pelajaran. Misalnya, membuat latihan penulisan karangan yang berbeza tema dan tajuk daripada apa yang diberikan oleh guru di sekolah. Sebagai rujukan untuk pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara mengelakkan kemalangan jalan raya.

Pada tahun 2018, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan angka kematian yang berlaku akibat daripada kemalangan jalan raya adalah sebanyak 6,284 kematian. Daripada statistik ini, kita dapat simpulkan hampir tujuh belas orang mati setiap hari daripada kemalangan jalan raya. Oleh sebab itu, para pelajar diuji untuk memberikan solusi terbaik kepada polemik yang merunsing masyarakat kita hari ini.

Cara-Cara Mengelakkan Kemalangan Jalan Raya

Di bawah dikongsikan contoh karangan beserta isi-isi penting berkaitan tajuk langkah mengatasi kemalangan jalan raya untuk panduan semua.

Isi-isi penting

  • Memandu secara berhemah
  • Menggunakan pengangkutan awam
  • Membuat pemeriksaan kenderaan secara kerap
  • Memastikan jalan raya berada dalam keadaan yang baik untuk pengguna
  • Mengenakan tindakan undang-undang yang lebih tegas kepada pesalah di atas jalan raya
  • Menjalankan kempen keselamatan jalan raya melalui media massa

Pendahuluan 

Pada tahun 2022, satu fakta yang menarik telah menjadi bualan masyarakat di Malaysia iaitu jumlah kenderaan berdaftar adalah sama banyak dengan jumlah penduduk di dalam negara. Statistik ini menunjukkan negara kita bergantung kepada penggunaan kenderaan sebagai mod pengangkutan utama. Sebagai negara membangun dan antara pengeluar minyak mentah dunia, perkembangan ini adalah satu perkara yang baik untuk ekonomi tempatan khususnya bagi sektor automotif negara.

Namun begitu, kita acapkali terpalit dengan peristiwa kemalangan jalan raya yang meragut nyawa hampir setiap masa. Tragedi yang menyayat hati apabila terdapat rakaman kemalangan dikongsikan di media sosial akan menjadikan ramai di antara kita trauma untuk memandu dan menggunakan jalan raya. Walaubagaimanapun, kita tidak mempunyai banyak pilihan dalam meneruskan kehidupan untuk bekerja dan melaksanakan tugasan harian dengan memandu kenderaan di jalan raya. Ikhtiar yang kita boleh lakukan adalah dengan mengenali cara-cara mengelakkan kemalangan jalan raya demi kemaslahatan bersama.

Isi 1

Langkah pertama dalam memastikan kemalangan jalan raya dielakkan adalah dengan memandu secara berhemah. Antara punca kemalangan jalan raya berlaku kerana terdapat pemanduan secara melulu, melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan dan melanggar peraturan jalan raya. Cara pemanduan yang berbahaya seperti di atas akan menyebabkan kecuaian dan seterusnya kemalangan berlaku. Tambahan pula terdapat pemandu yang cuai kerana menumpukan perhatian kepada telefon pintar sehingga menyebabkan kemalangan.

Oleh sebab yang demikian, setiap pemilik lesen kenderaan diwajibkan untuk memandu secara berhemah. Sebagai contoh, memandu di bawah had laju yang ditetapkan, memakai tali pinggang dan topi keledar, serta memberikan signal sebelum membelok masuk ke simpang atau lorong. Langkah yang mungkin dianggap remeh ini sebenarnya yang akan menyelamatkan nyawa kita di atas jalan raya. Sikap berani dan kononnya lebih tahu dan membuli pemandu lain wajar dielakkan kerana turutkan rasa binasa, turutkan hati mati. Pemanduan yang berhemah dapat menyumbang kepada pengurangan kemalangan jalan raya.

Isi 2

Inisiatif lain untuk mengatasi masalah kemalangan jalan raya adalah dengan menggunakan pengangkutan awam. Bagi penduduk di kawasan bandar, pengangkutan awam seperti bas dan tren dapat menjadi pengangkutan alternatif untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Manakala di kawasan luar bandar, pihak berkuasa tempatan seharusnya menyediakan jaringan pengangkutan awam untuk manfaat masyarakat setempat.

Sekiranya kita menggunakan pengangkutan awam risiko kemalangan daripada kecuaian diri dapat dielakkan. Pemandu yang memandu pengangkutan awam lazimnya akan menjadi berhemah kerana dia ditugaskan untuk membawa banyak nyawa dengan selamat ke destinasi yang diinginkan. Bak kata pepatah, biar lambat asalkan selamat. Intihannya, pembangunan yang berorientasikan pengangkutan awam dapat mengurangkan kemalangan jalan raya berlaku dalam kalangan orang awam.

Isi 3

Pada masa yang sama, kemalangan jalan raya boleh diatasi jika kita kerap membuat pemeriksaan ke atas kenderaan persendirian. Antara punca kemalangan berlaku selain daripada kecuaian pemandu adalah kerosakan teknikal yang berlaku pada kenderaan. Misalnya, tayar bocor, suhu enjin terlalu panas dan lampu kenderan yang tidak berfungsi. Setiap aspek pada kenderaan ini penting untuk diselenggara kerana ia memberikan fungsi bukan sahaja kepada kita sebagai pemandu tetapi juga kepada pemandu lain.

Bayangkan jika anda memandu pada waktu malam tetapi lampu brek kenderaan anda tidak berfungsi. Situasi ini akan mengelirukan dan membahayakan pemandu lain sehingga boleh menyebabkan kemalangan berlaku. Maka, pemeriksaan kenderaan secara berkala di bengkel dapat mengurangkan risiko kemalangan daripada berlaku. Persis kata mutiara, sediakan payung sebelum hujan.

Isi 4

Akhir sekali, tragedi kemalangan jalan raya yang meragut banyak nyawa yang tidak berdosa dapat dielakkan dengan memastikan jalan raya berada dalam keadaan yang baik untuk penggunanya. Kita boleh lihat melalui perkongsian di media sosial di mana keadaan jalan raya yang berlubang dan tidak rata telah membahayakan pengguna dan menyebabkan kemalangan. Lebih-lebih lagi pada waktu malam dan cuaca hujan lebat yang mengehadkan pemandangan seorang pemandu untuk melihat sama ada jalan yang dilalui baik atau sebaliknya.

Masalah ini boleh dicegah sekiranya pihak berkuasa sentiasa menyelenggara keadaan jalan raya di seluruh kawasan. Selain itu, had penggunaan lori di jalan raya tertentu juga dapat mengurangkan kerosakan jalan raya kerana muatan yang berat akan menyumbang kepada kerosakan jalan raya. Pihak berkuasa juga boleh menambah baik ciri keselamatan jalan raya dengan memasang lampu amaran di selekoh atau persimpangan yang berbahaya. Jelasnya, jalan raya yang selamat dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Penutup

Konklusinya, terdapat banyak cara untuk kita mengelakkan kemalangan jalan raya daripada berlaku. Ibarat kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat. Setiap pihak bermula daripada kita sebagai pemandu atau penumpang perlu memainkan peranan untuk sentiasa memandu dengan berhemah dan mengingatkan orang sekeliling kita untuk melakukan perkara yang sama.

Peristiwa kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa perlu dibendung kerana kita tidak mahu kehilangan orang yang kita sayangi. Kerajaan sewajarnya memanifestasikan mekanisme terbaik bagi menjamin keselamatan jalan raya di negara ini ditambah baik dari tahun ke tahun. Semoga inisiatif ini diberi perhatian seluruh ahli masyarakat dan menyemat kata hikmah pandu cermat jiwa selamat sepanjang memandu bersama orang tersayang.

Related : sikap pemandu, mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, mematuhi peraturan jalan raya, anak anak, untuk mengurangkannya, lampu isyarat, pemandu kenderaan, pihak kerajaan, penguatkuasaan undang undang, kes kemalangan jalan raya,