Antara teknik untuk menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu dengan baik adalah dengan membaca pelbagai contoh karangan yang terdiri daripada pelbagai tema. Daripada pembacaan tersebut, pelajar boleh mendapatkan idea atau isi penting serta mengetahui corak penghuraian karangan yang menarik. Di bawah dikongsikan contoh karangan Langkah Mengatasi Kemelesetan Ekonomi (Kegawatan) sebagai rujukan untuk semua.
Pada tahun 1997, Malaysia telah mengalami kegawatan ekonomi kesan daripada Krisis Kewangan Asia. Peristiwa ini telah menyebabkan kadar pengangguran dan kadar kemiskinan meningkat serta nilai mata wang ringgit jatuh berbanding dolar Amerika. Sejarah ini wajar dipelajari supaya ia tidak berulang lagi dan menjamin kestabilan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.
Cara Menangani Kemelesetan Ekonomi Malaysia (Kegawatan)
Anda boleh merujuk contoh karangan bertajuk Langkah Mengatasi Kemelesetan Ekonomi (Kegawatan) di bawah. Turut disertakan adalah isi-isi penting yang sesuai untuk digunakan.
Isi-isi penting
- Rakyat perlu mempunyai simpanan kewangan
- Masyarakat hendaklah mengamalkan amalan jimat-cermat
- Golongan yang berkemampuan berbelanja di dalam negara
- Kerajaan perlu mengawal kadar inflasi
- Kerajaan hendaklah berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi
- Menarik pelabur asing dan meningkatkan daya saing ekonomi negara
Pendahuluan
Pada era globalisasi ini, politik dunia semakin dinamik dan mencabar setiap negara dalam menjalinkan hubungan diplomasi. Kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Russia saling bersaing antara satu sama lain untuk menjadi kuasa ekonomi terbesar di dunia. Perkara ini boleh dilihat dengan jelas dalam konflik perang Ukraine dan Russia serta pelbagai peperangan perdagangan yang lain.
Pandemik COVID-19 yang lalu menjadi salah satu contoh peristiwa yang menyebabkan kegawatan ekonomi untuk berlaku. Kesannya begitu besar sehingga menekan ekonomi negara kita dan menyebabkan ramai rakyat kehilangan kerja pada ketika itu. Oleh yang demikian, penting untuk kita ketahui langkah-langkah mengatasi kemelesetan ekonomi (Kegawatan) sebagai persediaan jika ia berlaku lagi.
Isi 1
Secara umumnya, masalah kegawatan ekonomi ini merupakan salah satu tugas kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Namun, kita sebagai rakyat di bawah yang menerima kesan secara langsung juga harus bersedia menghadapi kemungkinan ini. Maka, langkah sebagai seorang rakyat untuk menghadapi kemelesatan ekonomi adalah dengan memastikan simpanan kewangan yang cukup untuk menampung komitmen sekurang-kurangnya enam bulan.
Inisiatif ini penting supaya jika berlaku kegawatan ekonomi dan anda terpaksa diberhentikan kerja, anda masih mempunyai simpanan kewangan yang cukup untuk membayar komitmen sementara mencari pekerjaan yang baharu. Simpanan ini harus berbeza dengan simpanan di dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana akaun tersebut khas untuk menampung kehidupan selepas pencen. Izharnya, masyarakat hendaklah berjimat-cermat dan membuat simpanan kewangan yang cukup untuk menghadapi kegawatan ekonomi pada bila-bila masa.
Isi 2
Salah satu faktor kegawatan ekonomi berlaku adalah kerana aliran mata wang di dalam negara berkurangan. Maka, langkah seterusnya dalam mengatasi kemelesetan ekonomi adalah dengan menggalakkan golongan yang berkemampuan berbelanja di dalam negara lebih banyak daripada ke luar negara. Apabila masyarakat kita yang berkemampuan berbelanja di dalam negara, ia akan merancakkan ekonomi tempatan sekaligus mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi di peringkat antarabangsa.
Sebagai contoh, masyarakat yang gemar melancong dan membeli-belah di luar negara, menukar rutin mereka dengan melancong dan membeli-belah di dalam negara akan meningkatkan ekonomi di dalam negara. Ibarat peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Intihannya, adalah baik jika mereka yang berkemampuan untuk berbelanja di dalam negara lebih kerap supaya aliran mata wang dalam negara bertambah dan kemelesetan ekonomi dapat diatasi.
Isi 3
Selepas langkah-langkah yang dilakukan oleh rakyat, kerajaan juga perlu menjalankan tugas membendung kegawatan ekonomi daripada berlaku dengan mengawal kadar inflasi. Secara teorinya, kerajan perlu menyesuaikan kadar bunga untuk mengawal kadar inflasi dan mempengaruhi tahap pelaburan dan penggunaan di Malaysia. Pada masa yang sama juga kerajaan perlu mengawal selia perbelanjaan yang dilakukan supaya tidak berlaku pembaziran.
Kita ambil contoh pada pandemik COVID-19 yang lalu, kerajaan telah berbelanja lebih sehingga menambah hutang negara untuk memberikan bantuan kepada pelbagai industri dan rakyat yang terkesan. Sebaliknya, kerajaan yang cekap akan memastikan kita mengurangkan hutang negara dan dalam masa yang sama mampu menghulurkan bantuan kepada industri serta rakyat marhaen. Justeru, kerajaan dan pemimpin negara harus bijak mengatur strategi dalam mengawal kadar inflasi supaya kegawatan ekonomi dapat dielakkan.
Isi 4
Akhir sekali, langkah untuk mengatasi kegawatan ekonomi daripada berlaku adalah dengan melaksanakan kepelbagaian ekonomi di dalam negara. Secara amnya, negara kita mempunyai diversifikasi ekonomi yang baik dan mampu menstabilkan ekonomi negara. Namun, perubahan arus dunia yang pantas serta perkembangan sains dan teknologi yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan ini perlu diambil kira. Dasar perindustrian yang bergantung kepada buruh murahan perlu ditransformasi dengan dasar yang lebih progesif.
Dengan revolusi industri 4.0 yang diuar-uarkan, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dalam menyediakan setiap industri untuk menghadapi perubahan yang akan berlaku. Misalnya, penggunaan robot automasi menggantikan buruh di kilang serta penggunaan maklumat dan data dalam industri teknologi. Langkah ini dapat memastikan ekonomi negara tidak terdedah kepada risiko yang tinggi dan mampu bersaing untuk masa hadapan yang lebih mencabar. Jelaslah bahawa kepelbagian ekonomi mampu menjamin kestabilan masa depan negara.
Penutup
Secara kesimpulan, terdapat banyak langkah yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi kegawatan ekonomi daripada berlaku di negara ini. Pemimpin negara seharusnya sedar dan memikul amanah serta tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat untuk memastikan ekonomi negara kekal stabil dan tidak terkesan teruk jika berlaku kegawatan ekonomi. Sebagai ahli masyarakat, kita perlu sentiasa cakna dengan isu yang berlaku di peringkat dunia serta tempatan supaya jika berlaku kegawatan ekonomi, kita sudah melakukan persediaan yang cukup untuk diri serta keluarga kita.
Related : menyimpan wang di luar negara, keadaan ekonomi, rakyat kurang membeli barangan, kempen menggalakkan rakyat membeli barangan tempatan, pasaran mata wang tempatan, mengambil masa, mengimport barangan tempatan kerajaan mengawal harga barangan dan meningkatkan, mengurangkan kadar import dan pengaliran, menyediakan kadar keuntungan yang menarik, menangani masalah, membeli barangan tempatan kerajaan,
Senarai Tajuk Kecil Artikel