Langkah Mengatasi Kenaikan Harga Barang (Membendung). Contoh karangan cara menangani kenaikan kos sara hidup & memastikan kestabilan harga.

Langkah Mengatasi Kenaikan Harga Barang (Membendung)

contoh karangan langkah mengatasi kenaikan harga barang

Kenaikan kos sara hidup yang membelenggu masyarakat kita telah menyebabkan pelbagai isu kewangan menjadi bualan. Sebagai pelajar, anda juga perlu mengambil tahu perkara ini kerana ia merupakan perkara yang bakal dihadapi menjelang kedewasaan dan penting untuk masa hadapan negara. Di bawah dikongsikan contoh karangan langkah-langkah mengatasi kenaikan harga barang untuk panduan semua.

Untuk menjawab soalan ini, pelajar boleh memandang daripada aspek seorang pengguna dan juga pihak berkuasa yang boleh memberikan penyelesaian kepada isu tersebut. Selain itu, pelajar juga boleh memberikan contoh yang berkaitan kerana perkara ini berlaku dalam kalangan mereka dan melihat bagaimana ibu dan bapa mereka menghadapi masalah kenaikan harga barang.

Langkah Menangani Kenaikan Harga Barang (Cara Membendung)

Berikut dikongsikan isi-isi penting dan huraian mengikut rangka karangan berkenaan tajuk cara membendung kenaikan harga barang untuk rujukan para pelajar.

Isi-isi penting

  1. Memastikan bekalan secara domestik mencukupi
  2. Menetapkan harga siling dan pemantauan secara kerap
  3. Mempraktikkan amalan jimat-cermat
  4. Mengawal aktiviti import dan eksport
  5. Memberikan tindakan tegas kepada peniaga yang melanggar undang-undang
  6. Memudahkan proses aduan daripada pengguna

Pendahuluan

Abad ke 21 merupakan garis masa tamadun manusia mengecapi kemajuan secara global. Percambahan kemajuan sains dan teknologi yang melingkari kehidupan kita hari ini telah menjadikan persaingan yang kompetitif antara kuasa dunia untuk menguasai pasaran global. Kesannya berlaku peperangan dingin dan juga rebutan kuasa sehingga menyebabkan pergolakan ekonomi. Malaysia sebagai negara yang membangun turut menerima kesan seperti kenaikan harga barang secara khusus dan kos sara hidup secara amnya.

Walaupun kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pergolakan dan peperangan yang berlaku antara kuasa-kuasa besar dunia, tetapi kita boleh menyusun strategi untuk memastikan masyarakat di Malaysia tidak menerima kesannya. Oleh yang demikian, mustahak untuk kita mengetahui cara menangani kenaikan harga barangan demi kemaslahatan bersama.

Isi 1

Prakarsa utama untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang adalah dengan memastikan bekalan secara domestik mencukupi. Untuk pengetahuan semua, kenaikan harga barang berlaku kerana permintaan tinggi daripada pengguna tetapi bekalan produk tersebut terhad. Maka, pembekal atau pengeluar produk tersebut akan menaikkan harga demi menampung jumlah permintaan yang tinggi sehingga pasaran kembali stabil dan menurunkan semula harga kepada harga asal.

Pihak berkuasa seperti kerajaan boleh memastikan negara kita mempunyai stok penimbal kepada produk-produk yang lazimnya akan naik harga pada masa tertentu. Sebagai contoh, menjelang musim perayaan, harga daging dan ayam akan naik maka pihak berkuasa boleh membenarkan jumlah import masuk bekalan daging dan ayam lebih banyak berbanding waktu biasa. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Jelasnya, memastikan bekalan domestik mencukupi atau kemandiran bekalan makanan kita akan membendung kenaikan harga barang.

Isi 2

Langkah seterusnya adalah dengan menetapkan harga siling dan pemantauan secara kerap oleh pihak berkuasa. Kaedah pengawalan harga ini telah pun diasimilasikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna. Penetapan harga siling pada bekalan makanan seperti minyak masak, roti, gula dan tepung cukup signifikan bagi membantu meringankan beban kewangan masyarakat khususnya golongan miskin.

Selaras dengan langkah tersebut, pemantauan dan tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa terhadap peniaga perlu dipertingkatkan. Hal ini kerana terdapat laporan oleh media bahawa peniaga hanya mengikuti harga yang ditetapkan pihak berkuasa apabila mereka melakukan pemantauan. Jika tiada pemantauan oleh pihak berkuasa maka harga akan dinaikkan mengikut kehendak mereka. Natijahnya, pihak berkuasa perlu menetapkan harga siling dan melakukan pemantauan dengan kerap untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang.

Isi 3

Di samping itu, kenaikan harga barang boleh diatasi dengan mempraktikkan amalan jimat-cermat oleh kita sebagai pengguna. Mendepani era media sosial yang mudah mempengaruhi kita untuk membeli sesuatu produk, kita perlu sedar dengan kemampuan diri sendiri. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Amalan berbelanja dengan berhemah dan mendahulukan keperluan daripada kehendak perlu dipraktikkan.

Sekiranya kita tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh pada masa ini, penting untuk kita sebagai pengguna berjimat-cermat dalam perbelanjaan. Lebih-lebih lagi bagi golongan yang baru menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan. Kempen berjimat cermat daripada pihak kerajaan juga wajar dijalankan supaya kesedaran ini sampai kepada semua ahli masyarakat dan secara tidak langsung masalah kenaikan harga barang dapat dielakkan.

Isi 4

Akhir sekali, kenaikan harga barang boleh diatasi dengan mengawal import dan eksport produk secara berkesan. Kita sebenarnya mempunyai jumlah peratusan import makanan yang tinggi kerana kita tidak mampu untuk bergantung kepada pengeluaran tempatan. Selagi kita belum berjaya untuk menghasilkan bekalan makanan dan produk lain yang cukup untuk permintaan domestik, kaedah import makanan wajar untuk diguna pakai.

Oleh sebab yang demikian, pihak berkuasa boleh mengawal import dan eksport dan memastikan harga barang tidak naik. Contohnnya, apabila harga minyak masak naik, kerajaan perlu membenarkan pembekal untuk mengimport masuk bekalan minyak masak dengan lebih banyak dan daripada pembekal yang lebih berpatutan. Kerajaan juga perlu memastikan bekalan import tersebut melepasi piawai keselamatan yang ditetapkan oleh agensi berkaitan. Izharnya, kenaikan harga barang boleh dibendung dengan mengawal import dan eksport.

Penutup

Secara tuntas, pelbagai langkah boleh dilaksanakan untuk mengatasi kenaikan harga barang. Jika mekanisme ini diambil kira oleh pihak berkuasa, nescaya kegusaran masyarakat tempatan tentang kenaikan kos sara hidup dapat dikurangkan. Ibarat peribahasa Melayu, ingat antara belum kena, hemat antara belum habis. Pihak berkuasa seharusnya membantu meringankan beban masyarakat dengan memberikan penyelesaian yang terbaik dan bukan bersifat sementara seperti bantuan kewangan.

Berbekalkan kekayaan alam semula jadi yang kita miliki seperti sumber tanah dan air yang mencukupi, kita seharusnya mampu untuk menghasilkan ekonomi yang berdikari dan tidak bergantung kepada kedudukan ekonomi global serta inflasi. Semoga generasi akan datang dikurniakan pemimpin dan masyarakt yang berganding bahu bagai aur dan tebing untuk meningkatkan taraf rakyat dan negara ke tahap yang lebih baik dan kekal harmoni.

Related : barangan kawalan, sesuka hati, mengambil kesempatan, untuk menangani, mementingkan keuntungan, barangan keperluan,