Kepentingan Berbudi Bahasa Dalam Masyarakat Berbilang Kaum. Contoh karangan kebaikan amalan sopan santun dipraktikkan dalam kehidupan harian.

Kepentingan Berbudi Bahasa Dalam Masyarakat Berbilang Kaum

contoh karangan kepentingan berbudi bahasa dalam masyarakat kita

Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu secara langsung mendidik pelajar untuk berkomunikasi. Kemahiran komunikasi merupakan antara kemahiran yang penting untuk nilai diri mereka selepas era persekolahan nanti. Sebagai rujukan untuk para pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan Kepentingan Berbudi Bahasa Dalam Masyarakat yang berbilang kaum di negara Malaysia.

Salah satu komponen penting dalam perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita adalah budi dan bahasa. Dua perkara ini signifikan dalam membentuk persefahaman yang baik antara satu sama lain di samping nilai hormat-menghormati dan tolak ansur. Maka, tajuk soalan yang diberikan sangat bertepatan untuk pelajar mendapat pengajaran atau iktibar untuk kehidupan mereka.

Contoh Karangan Pentingya Amalan Berbudi Bahasa Dalam Kalangan Masyarakat

Perkongsian contoh karangan berkaitan tajuk pentinganya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia boleh dirujuk di bawah. Turut disertakan isi-isi penting dan huraian yang sesuai untuk digunakan dalam penulisan karangan yang berkaitan.

Isi-isi penting

  1. Mengelakkan perselisihan faham dan menyelesaikan masalah
  2. Melahirkan individu dan masyarakat yang beretika tinggi
  3. Mewujudkan perpaduan antara ahli masyarakat
  4. Menarik minat pelancong asing
  5. Melahirkan pemimpin yang berintergriti
  6. Mengeratkan hubungan diplomatik antara dua buah negara

Pendahuluan

“Budi Bahasa Budaya Kita” merupakan slogan yang digunakan oleh kerajaan untuk memupuk masyarakat supaya mengamalkan sopan santun dalam kehidupan seharian. Kempen yang telah berlangsung sejak dahulu ini dilihat seperti tidak memberikan kesan yang efektif kepada masyarakat terutamanya dalam kalangan golongan muda. Mereka lebih mudah terjebak dan terpengaruh dengan budaya barat serta negara-negara lain seperti Korea Selatan.

Perkara ini sukar dibendung akibat tiada batasan daripada teknologi Internet tetapi pihak bertanggungjawab boleh mengambil kesempatan yang sama untuk mendidik masyarakat agar berbudi bahasa. Kebanyakan di antara kita mungkin tidak dapat melihat kepentingan amalan ini tetapi perkara ini penting untuk melahirkan insan yang mulia demi mengangkat martabat bangsa, agama dan juga negara. Justeru, mari kita senaraikan kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam masyarakat serta huraian yang mendokong kenyataan tersebut.

Isi 1

Salah satu kepentingan amalan yang mulia ini adalah dapat mengelakkan perselisihan faham daripada berlaku dan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Norma hidup bermasyarakat, kita mempunyai pelbagai ragam dan perangai yang mungkin selesa untuk kita tetapi tidak untuk sesetengah ahli masyarakat yang lain. Lebih-lebih lagi masyarakat yang tinggal di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.

Pepatah Melayu berkata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Hanya dengan kata-kata, pertikaman lidah boleh berlaku yang membawa kepada perkara yang lebih buruk. Maka, amalan berbudi bahasa secara jelas dapat mengelakkan salah faham daripada berlaku kerana terdapat unsur toleransi antara satu sama lain dalam berkomunikasi. Permasalahan yang berlaku dalam masyarakat juga boleh diselesaikan dengan harmoni apabila budaya ini diamalkan dalam percakapan setiap ahli masyarakat.

Isi 2

Seiring dengan itu, amalan berbudi bahasa sangat signifikan untuk melahirkan individu dan masyarakat yang beretika tinggi. Sekiranya setiap di antara kita berkomunikasi dengan baik dan difahami serta disenangi oleh orang lain, satu imej yang baik akan terpancar pada individu dan juga masyarakat. Orang akan berasa mesra untuk berkomunikasi dan percaya dengan apa yang disampaikan kerana budi dan bahasa yang baik digunakan.

Cuba bayangkan jika jiran anda menegur anda menggunakan kata-kata yang kesat kerana tidak selesa dengan kucing peliharaan anda, pasti anda akan berasa marah sedangkan perkara tersebut boleh diselesaikan jika kita berbudi bahasa. Dengan gaya komunikasi yang baik, pastinya nilai lain seperti mematuhi etika dan peraturan secara amnya akan turut serta. Intihannya, bersopan santun dalam masyarakat penting untuk melahirkan masyarakat yang beretika tinggi dan berperibadian unggul.

Isi 3

Kepentingan lain budaya amalan ini dalam masyarakat adalah mewujudkan perpaduan antara ahli masyarakat terutamanya masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum. Sejak mencapai kemerdekaan, masyarakat majmuk yang menetap di Malaysia tidak terlepas daripada isu-isu sensitif yang melibatkan perselisihan antara kaum atau agama. Malah masih terdapat individu dan segelintir pihak yang bersikap rasisme sehingga hari ini demi kepentingan diri sendiri.

Oleh sebab itu, mustahak untuk setiap anggota masyarakat mengamalkan bahasa yang baik dan sentiasa berbudi tanpa mengira warna kulit, taraf seseorang mahupun umur mereka. Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung pula tidak berselerak. Timbul apa pun masalah atau isu, budi bahasa yang baik pasti dapat mengekalkan perpaduan antara ahli masyarakat yang menjadi tiang kestabilan tanah air kita.

Isi 4

Dari sudut pandang yang berbeza, masyarakat yang berbudi bahasa dapat menarik minat kedatangan pelancong asing ke dalam negara. Sama seperti keunikan masyarakat yang berbilang bangsa di negara kita ketika ini, masyarakat yang berbudi bahasa juga akan menarik minat pelancong untuk datang bercuti kerana akan menerima layanan yang baik. Apabila kita berhasrat untuk bercuti, sudah semestinya kita mengidamkan masa untuk merehatkan fikiran daripada tekanan kerja dan kehidupan.

Dengan amalan ini, pelancong akan berasa tenang dan selesa untuk menghabiskan masa cuti mereka di negara kita. Peranan ini banyak dimainkan oleh pegawai kastam, imigresen, pemandu pelancong dan kakitangan pusat pelancongan. Sebagai contoh, negara Jepun yang kaya dengan amalan ini mereka merupakan antara destinasi percutian kegemaran pelancong asing. Izharnya, masyarakat yang berbudi bahasa dapat menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan negara.

Penutup

Kesimpulannya, sifat luhur dan amalan ini mempunyai banyak kepentingan tanpa kita sedari. Negara kita kini telah mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi tanpa budi dan bahasa, mentaliti masyarakat kekal di kelas ketiga. Setiap pihak daripada pemimpin sehinggalah kepada ibu dan bapa berperanan untuk menjadi teladan terbaik agar anak-anak mencontohi perilaku yang mulia. Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa yang elok itu budi. Ungkapan ini menggambarkan kepentingan berbudi bahasa kerana ia tidak boleh dijual beli dan hanya melalui didikan dan teladan. Semoga usaha untuk memupuk amalan yang baik sebagai budaya masyarakat kita dimartabatkan seterusnya mengangkat Malaysia sebagai negara yang tinggi budaya dan akhlaknya.

Related : perdana menteri, menghormati orang, mewujudkan perpaduan antara masyarakat, budi bahasa dalam kehidupan seharian, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dilahirkan, rakyat malaysia, duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara, kempen budi bahasa dalam kehidupan seharian, kebudayaan yang bakal menerajui tampuk kepimpinan
ekonomi negara,