Kepentingan Peribahasa Dalam Kehidupan Bermasyarakat. Contoh karangan penggunaan bahasa dalam menyampaikan nasihat, teguran secara kiasan.

Kepentingan Peribahasa Dalam Kehidupan Bermasyarakat

contoh karangan kepentingan peribahasa dalam hidup bermasyarakat

Peribahasa sehingga kini masih dan terus digunakan secara meluas dalam wacana Bahasa Melayu sama ada dalam bentuk lisan atau penulisan. Masyarakat kita sering menggunakan peribahasa dalam bentuk simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan dan kata-kata hikmah yang menjadi falsafah kehidupan yang unggul. Di bawah dikongsikan contoh karangan kepentingan peribahasa dalam kehidupan bermasyarakat sebagai rujukan untuk semua.

Pengajaran peribahasa di peringkat sekolah diberi penegasan kerana ia mempunyai nilai-nilai murni yang dapat membentuk masyarakat yang harmoni. Pendidikan ini dapat membantu pelajar untuk menilai sesuatu situasi dan memilih untuk melakukan tindakan yang terbaik untuk diri dan juga masyarakat sekeliling. Kesannya, ahli masyarakat yang baik hati akan dibentuk seiring dengan masyarakat yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Kepentingan Dan Kegunaan Peribahasa Dalam Kehidupan Bermasyarakat

Berikut adalah isi-isi penting yang boleh digunakan untuk penulisan karangan berkaitan kepentingan-kepentingan penggunaan Peribahasa dalam dalam kehidupan bermasyarakat:

  1. Sebagai pengajaran atau panduan dalam melakukan sesuatu tindakan
  2. Menggambarkan nilai dan sikap anggota masyarakat
  3. Membentuk jati diri sesebuah masyarakat
  4. Mewujudkan keseronokan dalam pergaulan
  5. Menyindir dengan cara yang sopan
  6. Menyatakan pendirian yang tegas

Pendahuluan

Dalam pembentukan negara Malaysia, Bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan seperti yang tertakluk dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Pengajian Bahasa Melayu di sekolah kelolaan kerajaan telah diwajibkan dan pelajar dikehendaki untuk lulus dalam mata pelajaran tersebut bagi melayakkan diri ke institusi pengajian tinggi. Pemahaman dan penguasaan Bahasa Melayu penting khususnya apabila ingin memohon kerja di sektor kerajaan.

Selain daripada pembelajaran tatabahasa, pelajar didedahkan kepada pelbagai elemen dalam Bahasa Melayu seperti penulisan karangan yang menggalakkan pelajar menggunakan peribahasa Melayu. Penerapan ini penting supaya pelajar menguasai dan menghargai Bahasa Melayu dengan lebih baik. Oleh sebab yang demikian, mari kita bincangkan kepentingan penggunaan peribahasa dalam kehidupan bermasyarakat masa ini kerana ia merupakan salah satu cabang sastera lama yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Isi 1

Pengajaran peribahasa Melayu penting kepada kehidupan bermasyarakat kerana ia menggambarkan nilai dan sikap anggota masyarakat itu sendiri. Dari segi definisi, peribahasa merupakan gambaran secara berkias dan berseni tentang sesuatu keadaan dan berupaya mengisahkan ciri-ciri negatif masyarakat menurut Izani Daud (2001). Manakala menurut Mohd Tajuddin Haji Badul Rahman (1984), peribahasa terhasil daripada pengalaman dan pengamatan alam sekeliling yang teliti oleh masyarakat Melayu lama.

Hasil kajian definisi ini, kita dapat lihat bahawa peribahasa terhasil daripada nilai dan sikap anggota masyarakat terhadap sesuatu perkara. Contohnya, peribahasa bagai kacang lupakan kulit yang bermaksud orang yang tidak tahu mengenang budi selepas dia menerima kebaikan atau kejayaan. Peribahasa ini bukan sahaja memberikan perumpamaan kepada sesuatu perkara tetapi juga menambah seri dalam penggunaan Bahasa Melayu. Jelas bahawa peribahasa penting dalam menggambarkan nilai atau dikap anggota masyarakat terhadap sesuatu perkara.

Isi 2

Di samping itu, peribahasa juga penting sebagai pengajaran atau panduan dalam melakukan sesuatu tindakan terutamanya bagi golongan muda. Lumrah dalam kehidupan bermasyarakat di mana kita tidak semestinya tahu tindakan yang betul untuk dilakukan dalam menghadapi sesuatu situasi. Selain bimbingan daripada agama, pendidikan, keluarga dan masyarakat, bahasa juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan pengajaran atau panduan.

Tamsilnya, peribahasa seperti adat juara kalah menang, adat saudara laba rugi dan ingat antara belum kena, hemat antara belum habis. Dua contoh ini menerangkan tentang pengajaran dan nasihat kepada kita untuk sentiasa beringat dalam kehidupan ini kita tidak akan menang sentiasa dan berhemah dalam melakukan sesuatu perkara. Pengajaran atau peringatan dari segi peribahasa ini sangat signifikan dalam kehidupan bermasyarakat pada hari ini.

Isi 3

Kepentingan lain pendidikan mengenai peribahasa dalam hidup bermasyarakat adalah ia dapat membantu untuk membentuk jati diri sesebuah bangsa. Kebanyakan peribahasa yang dipelajari mempunyai nilai-nilai murni yang dapat mengajak seseorang individu untuk memilih kebaikan daripada kejahatan atau kerugian. Nilai-nilai ini cukup penting untuk diajar pada usia setahun jagung agar pembentukan jati diri yang baik berjaya dihasilkan menjelang mereka dewasa.

Sebagai contoh, peribahasa seperti bagai isi dengan kuku dan bagai aur dengan tebing. Peribahasa Melayu ini membawa maksud permuafakatan di anatra satu sama lain yang penting dalam hidup bermasyarakat. Nilai ini penting khususnya dalam masyarakat majmuk kita yang hidup dalam penuh keharmonian walaupun mempunyai perbezaan agama budaya dan warna kulit. Tegasnya, peribahasa penting untuk membentuk jati diri masyarakat dalam kehidupan.

Isi 4

Akhir sekali, antara kepentingan penggunaan bahasa kiasan atau sindiran dalam kehidupan bermasyarakat adalah dapat mewujudkan keseronokan dalam pergaulan. Hidup bermasyarakat memerlukan keseronokan seperti tawa dan seloroh yang dapat menimbulkan keinginan untuk kita berkomunikasi antara satu sama lain. Corak pergaulan tersebut akan menjadi lebih selesa dan gembira bagi kita untuk meluangkan masa bersama. Hasilnya, satu bentuk kesefahaman akan wujud dan terselit unsur humor yang boleh ditunjukkan dengan perumpamaan atau penggunaan peribahasa.

Misalnya, peribahasa merdu bagai buluh perindu boleh digunakan untuk memuji suara seseorang yang merdu dalam kalangan masyarakat tersebut. Selain itu, peribahasa siapa makan cili, dia akan terasa pedasnya kerap digunakan untuk menggambarkan mereka yang bersalah pasti akan terasa. Gurauan dan ungkapan yang mempunyai humor ini akan menambah keseronokan kita untuk hidup bermasyarakat dan tidak tepu dalam penggunaan bahasa yang sama sahaja.

Penutup

Secara keseluruhannya, peranan peribahasa sangat jelas dalam kehidupan bermasyarakat. Peribahasa yang merupakan sastera lama digunakan oleh masyarakat Melayu terdahulu perlu dipraktikkan dan digunakan dengan lebih kerap supaya khazanah ini tidak hilang ditelan zaman. Tokoh sastera negara, Za’ba permha berkata bahawa peribahasa atau perumpamaan merupakan lidah pendeta. Nilai dan ilmu yang terkandung dalam peribahasa cukup tinggi dan indah jika digunakan dengan sebaiknya. Oleh itu, setiap pihak perlu memainkan obligasi untuk memastikan pengajaran tentang peribahasa diteruskan dan penggunaannya diraikan dalam media arus perdana agar menjadi tontonan dan disemat dalam fikiran masyarakat umum.