Mendepani abad ke-21, masyarakat umum semakin sedar dalam tanggungjawab untuk menjaga kelestarian alam sekitar. Pembangunan yang pesat telah memberikan kesan yang sangat pahit seperti kejadian bencana alam dimana nyawa-nyawa yang tidak bersalah telah terkorban. Sehubungan dengan itu, di bawah dikongsikan contoh karangan berkaitan Kepentingan Sungai Kepada Manusia (Sumber Air) untuk rujukan semua.
Salah satu isu yang menjadi polemik masyarakat ketika ini adalah berkenaan bekalan air. Masalah gangguan bekalan air sering berlaku kerana terdapat pencemaran di sungai sehinggakan proses penapisan air tidak boleh dilaksanakan. Peristiwa ini boleh terjadi kerana kebanyakan di antara ahli masyarakat tidak sedar akan tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara sungai yang dikurniakan Tuhan untuk kita hargai.
Contoh Karangan Kepentingan Sungai Kepada Manusia (Sumber Air)
Ikuti perkongsian di bawah yang menghuraikan Pentingya Sebatang Sungai Kepada Manusia (Sumber Air) dalam bentuk contoh karangan.
Isi-isi penting adalah sekadar contoh berkenaan tajuk yang dibincnagkan. Sekiranya para pelajar mempunyai isi yang lebih bernas dan berkaitan dengan kehendak soalan, sila gunakan isi tersebut dengan huraian yang menarik.
Isi-isi penting
- 1. Merupakan sumber bekalan air mentah
- 2. Berfungsi sebagai habitat penting flora dan fauna
- 3. Berpotensi sebagai pusat pelancongan dan aktiviti rekreasi
- 4. Menjadi kaedah pengangkutan di kawasan pedalaman
- 5. Sebagai sumber tenaga kuasa boleh diperbaharui
- 6. Bertindak sebagai sistem saliran semula jadi
Pendahuluan
Sebagai warganegara Malaysia, kita sebenarnya bertuah kerana hidup dikelilingi dengan pelbagai khazanah alam semula jadi. Dari kepulauan yang indah sehingga gunung-ganang yang mencakar langit menjadi bukti kemewahan alam semula jadi yang kita miliki. Namun begitu, adakah kita menghargai kekayaan yang diberikan Tuhan dengan sebaiknya? Salah satu khazanah tersebut adalah sungai yang melingkari hampir kesemua negeri di tanah air ini.
Masyarakat dahulu membina kehidupan berdasarkan sungai sebagai salah satu sumber utama dalam pelbagai aspek. Tetapi kini, tempat ini menjadi pembuangan sampah malah dicemari dengan bahan-bahan kimia yang membunuh fungsi sungai tersebut. Oleh yang demikian, penting untuk kita bincangkan dan kupas pentingnya sungai kepada manusia supaya masyarakat kita sedar dan mula mengambil tindakan untuk menjaga dan menghargai sumber alam kita.
Isi 1
Adakah anda mengetahui bahawa sungai merupakan sumber bekalan air mentah yang kita nikmati pada setiap hari? Setiap hari, syarikat-syarikat air negeri akan memproses air daripada punca air ini dan kemudiannya disalirkan kepada kawasan perumahan, perindustrian dan komersial. Kita sebagai pengguna pula hanya perlu menapis atau memasak air untuk digunakan sebagai minuman, masakan dan aktiviti lain yang melibatkan sumber air.
Bayangkan jika sungai yang menjadi sumber air kita tercemar dan tidak boleh diproses sehingga menyebabkan bekalan air terputus. Banyak rutin harian kita tidak boleh laksanakan dan menggangu kesejahteraan hidup masyarakat. Peribahasa Melayu berkata, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Sebagai manusia yang dikurniakan akal kita wajib menjaga sungai demi kemaslahatan masyarakat dan generasi akan datang. Jelas bahawa ianya amat penting untuk bekalan air mentah.
Isi 2
Di samping itu, sungai juga penting untuk berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna. Dalam usaha memelihara kekayaan khazanah alam semula jadi, sungai merupakan antara tulang belakang kepada ekosistem tersebut. Pelbagai spesies hidupan marin, darat dan udara yang bergantung kepada sungai sebagai sumber makanan, minuman dan juga tempat tinggal.
Oleh sebab itu, mustahak untuk kita memastikan kelestarian sungai diperkasa di semua peringkat agar keseimbangan ekosistem ini dipelihara. Sekiranya kita bertindak untuk memusnahkan sumber alam ini dengan pembangunan, ke mana akan haiwan dan tumbuhan yang menetap di situ selama ini ingin hidup? Kesannya berlaku kepupusan haiwan dan tumbuhan yang selama ini menjadi keseimbangan kepada ekosistem alam sekitar. Intihannya, habitat flora dan fauna perlu dipelihara lebih-lebih lagi sungai demi keseimbangan ekosistem dunia.
Isi 3
Kepentingan lain adalah berpotensi sebagai pusat pelancongan dan aktiviti rekreasi. Industri pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi negara khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar. Keunikan dan kecantikan sungai di Malaysia mampu menjadi daya penarik kepada pelancong luar mahupun dalam negara. Berkait dengan kepentingan di atas, jika ekosistem dipelihara pastinya sungai kita akan menjadi indah dengan kekayaan flora dan fauna.
Aktiviti ekopelancongan seperti berkayak atau berakit menyelusuri perairan yang mempunyai jeram sepanjang Sungai Kampar akan memberikan pengalaman yang menyeronokkan. Malahan aktiviti berkhemah di tepi sungai semakin mendapat perhatian masyarakat pada hari ini yang ingin meluangkan masa pada hujung minggu berehat bersama keluarga dan rakan-rakan. Izharnya, menjadikan sumber alam ini sebagai pusat pelancongan dan rekreasi adalah sangat signifikan di negara kita.
Isi 4
Akhir sekali, sungai adalah penting kerana ia digunakan sebagai salah satu kaedah pengangkutan di kawasan pedalaman. Situasi seperti ini berlaku kebanyakannya di negeri Sarawak dan Sabah kerana untuk berhubung melalui darat sukar disebabakn bentuk muka bumi seperti gunung-ganang dan hutan yang tebal. Maka, mereka yang menetap di kawasan pedalaman akan menggunakan sungai sebagai jalan pengangkutan mereka.
Sebagai contoh, perjalan daripada Sibu ke Kapit di Sarawak memakan masa 3 jam menaiki bot ekspres di sepanjang Sungai Rajang. Sehingga infrastruktur seperti jalan raya dibina, penduduk bergantung kepada sungai sebagai kaedah pengangkutan utama. Oleh itu, sungai penting sebagai alternatif atau kaedah utama dalam pengangkutan khususnya di kawasan pedalaman yang mempunyai halangan bentuk muka bumi di bahagian darat.
Penutup
Kesimpulannya, sungai memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Sumber air utama ini perlu dipelihara daripada sebarang pencemaran dan pembangunan yang memusnahkan sumber alam ini. Kerajaan dan agensi yang terlibat perlu berganding bahu memastikan dasar pemeliharaan sungai terjamin dan menguatkuasakan undang-undang jika berlaku sebarang salah laku. Dengan menjaga atau memelihara sungai, kita akan mendapat manfaat dari pelbagai segi seperti sumber air yang cukup, kawasan istirehat yang dekat dan kekayaan alam semula jadi yang cantik untuk dinikmati. Semoga pembangunan lestari menjadi pegangan dalam setiap pembangunan yang akan dilaksanakan supaya khazanah yang kita miliki seperti sungai tidak terkorban. Bak kata pepatah, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
Related : aliran sungai, ikan air tawar seperti ikan, digunakan untuk, keadaan bersih, sumber protein, kawasan sungai, kawasan rekreasi, menggunakan air, manusia menjadikan, kebersihan sungai, menggunakan air, manusia menjadikan, hidupan akuatik seperti ikan, manusia menggunakan air untuk, manusia dan haiwan,
Senarai Tajuk Kecil Artikel