Kepimpinan Melalui Teladan (Prosa Tradisional) : Sinopsis, Tema, Nilai. Nota meliputi persoalan, plot binaan, watak perwatakan, & pengajaran

Kepimpinan Melalui Teladan (Prosa Tradisional) : Sinopsis, Tema, Nilai

prosa tradisional kepimpinan melalui teladan

Perhatian kepada pelajar Tingkatan 4, adakah anda telah membuat nota berkenaan matapelajaran Bahasa Melayu khususnya bagi Komponen Sastera? Antara teknik pembelajaran yang efektif adalah dengan menulis nota ringkas setelah mempelajari dan memahami mata pelajaran yang dipelajari. Oleh itu, berikut dikongsikan nota untuk Kepimpinan Melalui Teladan (Prosa Tradisional) : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai & Pengajaran.

Untuk pengetahuan semua, prosa tradisional merujuk kepada hasil kesusasteraan ditulis dalam gaya ayat-ayat biasa dengan menggunakan tatabahasa mudah pada zaman dahulu, definisi oleh Siti Hajar Abdul Aziz, 2011. Selain itu, prosa tradisional ialah satu bentuk kesusasteraan yang lebih mudah difahami berbanding puisi serta bercorak naratif yang menceritakan mitos, lagenda dan cerita rakyat.

Kepimpinan Melalui Teladan (Prosa Tradisional) : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran

Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan nota-nota yang dirangkum dalam Kepimpinan Melalui Teladan (Prosa Tradisional) : Sinopsis, Tema, Persoalan, nilai dan pengajaran. Turut disertakan adalah contoh soalan dan jawapan sebagai latihan.

Sinopsis

Melalui Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada, kerajaan Majapahit telah mewakilkan Kertala Sari ke Melaka. Tujuannya untuk menyerang Melaka dan membunuh Raja Melaka serta Laksamana Melaka. Kertala Sari telah menerima tugas tersebut kerana ingin membalas dendam ke atas kematian ayahnya, Petala Bui yang mati dibunuh oleh Laksamana. Di Melaka, Kertala Sari merompak semua harta milik saudagar-saudagar kaya serta mencabuli isteri-isteri mereka. Kemudiannya menyimpan harta tersebut di Bukit Cina.

Pada suatu malam, berlaku pertembungan antara Laksamana dengan Kertala Sari di mana Laksamana berjaya menikam dada Kertala Sari lalu menyebabkan dia tidak bernyawa. Raja Melaka menitahkan segala harta curi oleh Kertala Sari di Bukit Cina, dikumpulkan dan dibawa ke istana. Saudagar-saudagar kaya dititahkan untuk menghadiahkan sebahagian harta tersebut kepada Laksamana sebagai mengenang jasa Laksamana. Setelah menerima harta tersebut, Laksamana menghadiahkan menghadiahkan harta tersebut kepada fakir miskin dan pihak lain yang memerlukan. Di Majapahit, berita kematian Kertala Sari diterima oleh Patih Gajah Mada dan beliau bertekad untuk mencari pendekar lain untuk membunuh Raja Melaka dan Laksamana.

Tema

Prosa ini menceritakan tentang kepahlawanan seorang laksamana dalam mempertahankan negaranya.

Persoalan

1) Persoalan kegagahan dan kehebatan pahlawan Melayu

2) Persoalan taat setia rakyat terhadap pemerintah

3) Persoalan kebijaksanaan dalam menewaskan musuh menggunakan akal dan strategi

4) Persoalan penggunaan ilmu kesaktian dalam kehidupan seseorang

5) Persoalan perasaan dendam yang hanya membawa kepada keburukan

Watak dan Perwatakan

1) Laksamana

  • Watak utama yang merupakan seorang daripada hulubalang Melaka
  • Seorang yang berani kerana bertarung dan berjaya menewaskan musuhnya seperti Petala Bumi dan Kertala Sari
  • Seorang yang bijaksana kerana memakai baju hitam ketika keluar menjejaki Kertala Sari pada waktu malam agar pergerakannya sukar dilihat
  • Seorang yang taat kepada pemerintahnya, Laksamana menjunjung segala titah Sultan Melaka tanpa sebarang bantahan

2) Kertala Sari

  • Merupakan anak kepada Petala Bumi dan berasal dari Majapahit
  • Seorang yang pendemdam kerana Laksamana dan Sultan Melaka telah membunuh bapanya Petala Bumi
  • Soerang yang zalim kerana bukan sahaj mencuri harta benda tetapi juga mencabul kehormatan isteri-isteri orang kaya dan saudagar
  • Seorang yang patuh arahan pemerintah apabila Seri Bertala Majapahit menitahkannya untuk ke Melaka dan membunuh Sultan melaka dan Laksamana

3) Raja/Ratu Melaka

  • Dikenali sebagai Tuanku Syah Alam
  • Seorang yang adil dan saksama
  • Seorang yang mementingkan keharmonian negara

4) Patih Gajah Mada

  • Merupakan seorang pembesar dan panglima kerajaan Majapahit
  • Seorang yang pendendam kerana ingin membunuh Laksamana dan Sultan Melaka sehingga berusha sedaya upaya mencari hulubalang atau pahlawan yang handal

Latar

Latar tempat

  1. Negeri Melaka : Kartala Sari membuat huru hara dengan mencuri harta  saudagar dan orang-orang kaya di Melaka
  2. Majapahit : Patih Gajah Mada dan Seri Bentara merancang untuk membalas dendam atas kematian penjurit tujuh bersaudara di Bukit Cina
  3. Di tengah pasar : Tempat Kertala Sari mati dibunuh oleh Laksamana

Latar Masa

  1. Malam : Kertala Sari masuk mencuri ke rumah saudagar dan orang-orang kaya. Laksamana mengawal kawasan Melaka dengan berpakaian hitam untuk menangkap penjurit
  2. Siang – Bendahara melaporkan Sultan Melaka bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri dan hartanya habis dicuri

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat pemerintah negara yang terdiri daripada golongan istana
  2. Masyarakat yang berani dalam menghadapi ancaman musuh
  3. Masyarakat yang menyimpan dendam dan ingin menuntut bela

Gaya Bahasa

  1. Bahasa Melayu klasik : manira, pakanira, karar
  2. Simile : Maka dilihatnya Kertala Sari sedang berkata-kata dengan ibunya seperti laku orang berkelahi
  3. Hiperbola : Maka didengar oleh Laksamana kaki Kertala Sari itu terlalu gemuruh bahananya
  4. Repitisi : Daulat tuanku, mohon ampun dan kurnia; adapun penjurit ini bukan penjurit negeri ini, penjurit negeri lain
  5. Kata Ganda : kaya-kaya, sekuasa-kuasa

Nilai

  1. Nilai keberanian : Laksamana berani untuk menentang dan membunuh Kertala Sari
  2. Nilai kebijaksanaan : Laksamana menggunakan tipu helah untuk mengalahkan Kertala Sari dengan berpura-pura tidur di tengah-tengah pasar pada waktu malam
  3. Nilai ketaatan : Kertala Sari mentaati perintah Patih Gaja Mada untuk membunuh Laksamana dan Raja Melaka
  4. Nilai pemurah : Laksamana membahagikan harta yang dihadiahkan oleh saudagar dan orang-orang kaya kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikit pun harta tersebut
  5. Nilai tanggungjawab : Laksamana menawarkan diri untuk mengawal keselamatan negeri Melaka apabila diancam oleh penjurit

Pengajaran

  1. Kita seharusnya sentiasa berfikiran rasional dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup agar tidak menyesal pada masa hadapan
  2. Kita perlu berani dalam menghadapi musuh yang mengancam keselamatan negara
  3. Kita sewajarnya bersikap pemurah dalam hidup agar sentiasa dirahmati Tuhan
  4. Kita hendaklah mengelakkan sifat dendam kerana ia akan merugikan diri sendiri dan memaafkan kesalahan orang terhadap diri kita
  5. Kita seharusnya mengamalkan sikap pemurah agar kehidupan kita dirahmati Tuhan

Latihan Soalan 

1) Pada pendapat anda, apakah keuntungan kepada Patih Gajah Mada jika Kertala Sari berjaya menjalankan tugas yang diarahkan?

Sekiranya Kertala Sari berjaya melaksanakan tugasnya, Patih Gajah Mada akan mendapat pujian daripada Seri Betara dan dinaikkan pangkat oleh Seri Betara. Selain itu, beliau akan disanjung oleh rakyat serta dianugerahkan ganjaran

2) Berikan maksud rangkai kata “mati dengan pekerjaan”

Maksud rangkai kata mati dengan pekerjaan adalah meninggal dunia semasa melakukan tugasan atau kerja yang diamanahkan

3) Berikan bukti bahawa Kertala Sari mempunyai keyakinan diri yang tinggi

Kertala Sari mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana telah menerima tugas untuk membunuh Raja Melaka dan Laksamana dengan mudah tanpa memikirkan sebarang alasan. Tambahan pula beliau yakin dapat menawan semua anak dan isteri orang Melaka. Akhir sekali, beliau enggan dilantik menjadi penggawa selagi belum membunuh Raja Melaka dan Laksamana

4) Pada pendapat anda, mengapa pemimpin perlu bersikap rasional dalam membuat keputusan?

Pada pendapat saya, seorang pemimpin perlu bersikap rasional dalam setiap aspek supaya keputusan dan tindakan mereka memberikan kesan yang baik kepada rakyat dan negara. Selain itu, sikap rasional dapat mengelakkan berlakunya salah faham dan menjamin keharmonian negara.

5) Pada pendapat anda, jika Kertala Sari tidak ditugaskan untuk membunuh Raja Melaka, bagaimanakah Seri Betara dapat menyelesaikan masalah baginda dengan Ratu Melaka dan Laksamana?

Pada pendapat saya, Seri Betara boleh membuat rundingan secara baik dengan meminta sebahagian tanah jajahan sebagai pampasan atau meminta sebahagian hasil-hasil tani yang terdapat di Melaka tetapi tiada di Majapahit.

6) Apakah tindakan Patih Gajah Mada apabila mendengar berita Kertala Sari dibunuh oleh Laksamana

Setelah mendapat tahu Ketala Sari dibunuh oleh Laksamana, Patih Gajah Mada mencari jalan lain untuk mengalahkan Melaka dan membunuh Laksamana. Selain itu, dia juga mencari pahlawan yang sanggup membunuh Laksamana dan Raja/Ratu Melaka

7) Nyatakan maksud “penjurit yang terlalu buas itu”

Maksud rangkai kata “penjurit yang terlalu buas itu ialah askar atau pencuri tersebut bertindak secara ganas.

8) Apakah perkara yang dilakukan oleh Kertala Sari setibanya di Melaka?

Selepas tiba di Melaka, Kertala Sari telah singgah di luar kota pada kampung segala Jawa dan menyamar menjadi salah seorang segala Jawa. Dia kemudian berjalan keluar masuk segenap kampung dengan orang kaya-kaya dan saudagar

9) Apabila ibunya menyatakan bahawa ayahnya telah dibunuh oleh Laksamana Hulubalang Ratu Melaka, Kertala Sari menjadi marah, mengapa dia bertindak seperti itu?

Kertala Sari marah akan kematian ayahnya kerana dia menyayangi ayahnya dan belum puas menghabiskan masa bersama ayahnya. Dia juga tidak sanggup untuk melihat ibunya menjadi balu kerana ayahnya merupakan seorang yang bertanggungjawab.

10) Pada pendapat anda, apakah tindakan untuk kita melindungi kediaman daripada dimasuki oleh pencuri?

Tindakan untuk kita melindungi kediaman daripada dimasuki oleh pencuri adalah kita perlu memastikan pintu dan tingkap rumah kita telah dikunci rapi sebelum tidur. Seterusnya kita hendaklah memasang sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup yang berkesan di rumah. Akhir sekali, pastikan kita tidak menyimpan barangan berharga seperti wang tunai yang banyak di rumah tanpa sebarang peti keselamatan.

Diharapkan perkongsian nota dan latihan soalan Prosa Tradisional di atas dapat membantu pelajar dalam mengulangkaji pelajaran yang berkaitan.

Related : mayat kertala sari, menyamar sebagai pengikut patih, patih gajah mada untuk, laksamana di bukit cina, asa terus, laksamana membunuhnya, bahawa merekalah yang telah membunuh kertala sari, menitahkan kertala sari, mengalahkan negeri,