Kesan Peperangan Kepada Sesebuah Negara Dan Rakyat. Contoh karangan Bincangkan akibat buruk dialami oleh negara yang terlibat semasa perang.

Kesan Peperangan Kepada Sesebuah Negara Dan Rakyat

contoh karangan kesan peperangan kepada negara

Ramai diantara kita beranggapan bahawa peperangan merupakan perkara lama dan tidak mungkin untuk berlaku pada masa kini. Namun, konflik yang memuncak di negara yang berkuasa besar seperti Rusia telah menjadikan perang kembali menghantui dunia. Oleh itu, disebabkan berperang ini menjadi isu semasa maka berikut dikongsikan contoh karangan Kesan Peperangan Kepada Sesebuah Negara dan Rakyat sebagai rujukan.

Hanya disebabkan ingin meluaskan kuasa dan menakluk sumber-sumber tertentu, meja rundingan tidak berjaya menyelesaikan perselisihan yang berlaku dan negara yang lebih kecil terpaksa menanggung kesan daripada perang yang berlaku. Fenomena ini hanya memberikan kesan yang buruk dan yang negara berkuasa besar akan mendapat apa yang mereka inginkan. Justeru, pelajar diberikan ruang dan ujian untuk menulis karangan yang terbaik terhadap isu yang merunsingkan masyarakat dari seluruh pelusuk dunia.

Kesan Buruk Berperang Kepada Sesebuah Negara Dan Rakyat

Di bawah merupakan isi-isi penting yang berpotensi untuk tajuk karangan akibat buruk berperang Kepada Sesebuah Negara dan Rakyat. Turut dikongsikan adalah contoh huraian mengikut rangka karangan Bahasa Melayu sebagai panduan untuk pelajar.

Isi-isi Penting

  1. Kehilangan nyawa dan sumber manusia
  2. Kemusnahan infrastruktur awam
  3. Pencemaran alam sekitar
  4. Keruntuhan organisasi sosial
  5. Menyebabkan masalah kesihatan fizikal dan spiritual
  6. Kemusnahan warisan sejarah

Pendahuluan

Menurut sejarah yang kita pelajari, masyarakat dunia telah menghadapi dua perang dunia di mana telah meninggalkan kesan yang amat dahsyat ketika itu. Secara definisi, perang adalah perkelahian menggunakan senjata antara satu negara dan negara yang lain untuk mendapat kepentingan masing-masing. Pasca perang tersebut, setiap pihak memilih untuk ke meja rundingan berbanding berhempas pulas membazirkan pelbagai sumber untuk menghadapi peperangan.

Pengenalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan untuk menyatukan setiap negara yang berdaftar dan menyelesaikan perselisihan tidak mampu untuk menghalang perang daripada berlaku. Maka, penting untuk kita bincangkan akibat buruk berperang kepada sesebuah negara dan rakyat supaya setiap diantara kita berusaha untuk mengelakkan musibah ini daripada berlaku di tanah air masing-masing.

Isi 1

Kesan yang paling utama apabila berlaku peperangan adalah kehilangan nyawa dan sumber manusia. Sesebuah negara dibina atas usaha dan kesatuan ahli masyarakat setempat untuk memiliki tanah yang mereka diami seterusnya menjalani kehidupan yang bebas daripada ancaman keselamatan. Jika perang berlaku, bukan sahaja tentera akan terkorban tetapi juga nyawa-nyawa yang tidak bersalah seperti kanak-kanak, wanita dan warga emas turut terkorban.

Negara yang mengambil keputusan untuk berperang pastinya mempunyai kekuatan tentera dan senjata yang mampu memusnahkan musuh mereka. Pencerobohan, kekejaman akan berlaku tanpa mengira batas perikemanusiaan. Selain daripada kematian akibat bom dan senjata, rakyat yang terlibat dengan perang terdedah kepada pelbagai penyakit kerana institusi kesihatan seperti hospital dan klinik juga tidak dapat berfungsi. Tegasnya, berperang akan menyebabkan banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban dan negara kehilangan sumber manusia.

Isi 2

Selain itu, peperangan akan menyebabkan kemusnahan infrastruktur awam dan warisan sejarah di negara yang terlibat. Apabila sebuah tentera menyerang negara untuk berperang mereka akan menyasarkan kemudahan awam seperti hospital, sekolah dan bangunan kerajaan bagi melumpuhkan negara tersebut. Kesannya, negara atau musuh tidak boleh merawat dan menyediakan tempat tinggal untuk rakyat dan tenteranya.

Pada masa yang sama, bangunan bersejarah juga akan musnah kerana negara yang berperang ingin menghapuskan peninggalan sejarah dan warisan bangsa tersebut. Walaupun perang telah habis, negara yang terlibat akan kerugian beratus juta dan untuk membina semula kawasan yang terjejas akan memakan masa yang lama.Kalah menjadi abu, menang menjadi arang. perumpamaan ini jelas menunjukkan akibat negatif berperang yang akan memusnahkan infrastruktur awam dan bangunan bersejarah.

Isi 3

Peperangan juga akan menyebabkan pencemaran alam sekitar berlaku dengan lebih dahsyat. Tentera yang menggunakan kereta kebal dan jentera lain akan merosakkan kawasan hutan dan memusnahkan flora dan fauna. Letupan daripada bom-bom juga akan memusnahkan alam sekitar di negara yang terbabit. Salah satu strategi popular dalam berperang adalah dengan meletopkan jambatan dan jaringan pengangkutan untuk melumpuhkan pergerakan negara tersebut.

Kesan daripada kemusnahan ini, pencemaran radioaktif daripada bom dan senjata yang digunakan akan merebak ke kawasan sekitar. Tumbuh-tumbuhan akan mati dan tanah akan kehilangan nutrien kerana dicemari radiasi daripada senjata-senjata api yang digunakan. Sekiranya pencemaran ini dibiarkan berlaku, masyarakat akan sukar untuk melakukan aktiviti pertanian selepas peperangan tamat.

Isi 4

Akhir sekali, peperangan akan meninggalkan kesan seperti keruntuhan organisasi sosial seperti kerajaan, institusi pendidikan dan institusi kesihatan. Kemusnahan infrastruktur akan menyebabkan organisasi seperti kerajaan, kesihatan dan pendidikan sukar untuk berfungsi. Organisasi sosial ini penting untuk memastikan masyarakat hidup dalam keadaan yang sihat di samping menerima pendidikan terbaik dan kerajaan yang mentadbir hal ehwal negara demi kepentingan negara.

Jika organisasi ini gagal berfungsi, masyarakat akan kehilangan pentadbir, sukar mendapatkan rawatan kesihatan dan pendidikan akan terabai. Generasi yang terbabit dengan peperangan akan hilang masa hadapan dan impian mereka. Dari sudut pekerjaan juga akan menjadi sukar dan akhisnya masyarakat akan menjadi miskin dan hanya bergantung kepada bantuan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Badan-badan amal kebajikan. Intihannya, peperangan akan meruntuhkan organisasi sosial yang menjadi tunjang kemajuan dan kehidupan sesebuah masyarakat di dalam negara.

Penutup

Konklusinya, terdapat banyak kesan buruk jika peperangan berlaku di mana-aman negara sekalipun. Sesungguhnya berperang bukannya jalan penyelesaian kepada apa juga perselisihan faham yang berlaku antara mana-mana pihak. Sebagai masyarakat global kita sebenarnya menjadi ejen kepada masyarakat lain untuk menyampaikan mesej bahawa keamaanan adalah lebih baik daripada berperang.

Namun, pucuk pangkalnya yang membuat keputusan adalah pemimpin-pemimpin negara yang hanya mementingkan kepentingan diri dan kroninya. Yang menanggung akibat dan kesan daripada peperangan adalah rakayat marhaen. Persis peribahasa Melayu iaitu, gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah. Semoga nilai keamanan, toleransi dan empati disemat dalam setiap individu di seluruh pelusuk dunia agar perkataan perang menjadi pupus dalam kamus kehidupan generasi masa kini dan akan datang.

Related : harta benda, jangka masa panjang, orang awam, dan orang,