Kepentingan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR). Contoh karangan langkah-langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Kepentingan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR)

Contoh karangan Kepentingan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya

Untuk menguasai sesuatu bahasa, kita bukan sahaja perlu fasih dalam berkata-kata tetapi juga menulis dalam bahasa tersebut. Oleh sebab itu, mata pelajaran Bahasa Melayu memerlukan pelajar menulis karangan dalam peperiksaan untuk menguji penguasaan masing-masing. Mereka yang mencari rujukan boleh melihat perkongsian contoh karangan Kepentingan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya yang dikongsikan di bawah.

Keselamatan jalan raya merupakan satu isu yang kerap keluar di berita dan dada akhbar. Kejadian kemalangan yang tragis dan meragut nyawa ini sering menjadi perbualan dan isu yang dibincangkan oleh media massa. Oleh itu, para pelajar perlu bijak mengarang isi-isi penting yang berkaitan dengan kehendak soalan supaya penulisan anda menepati kehendak pembaca dan penanda kertas.

Contoh Karangan Kepentingan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR)

Berikut dikongsikan contoh karangan dan juga isi-isi penting berkaitan pentingnya mendidik anak-anak dalam keselamatan jalan raya sebagai panduan

Isi-Isi Penting

  1. Memahami papan tanda sepanjang jalan raya
  2. Mengetahui jenis kesalahan di atas jalan raya membantu penguatkuasaan
  3. Mengurangkan kadar kemalangan jalan raya
  4. Melahirkan pengguna jalan raya yang berhemah

Pendahuluan

Saban hari kita dikhabarkan dengan berita kemalangan jalan raya yang berlaku sehingga meragut nyawa-nyawa yang tidak bersalah. Malah ada yang menjadi sebatang kara apabila ahli keluarga yang lain meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Perkara ini telah membuka mata pelbagai pihak untuk memastikan ia tidak berulang maka pihak berkuasa telah memasukkan pendidikan berkenaan keselamatan dan penggunaan jalan raya dalam kurikulum sekolah untuk dipelajari oleh generasi muda.

Matlamatnya supaya kanak-kanak serta ibu dan bapa memahami bahaya, risiko dan amalan terbaik dalam menggunakan jalan raya di negara ini selain menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa daripada terkorban akibat kemalangan di jalan raya. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan kepentingan PKJR dalam kalangan kanak-kanak demi perubahan dalam jangka masa kini dan seterusnya.

Isi 1

Sebagai pengenalan, kanak-kanak di sekolah seharusnya mendapat pendidikan keselamatan jalan raya untuk memahami papan tanda yang digunakan sepanjang jalan raya di Malaysia. Perkara ini penting kerana apabila mereka mengenali dan memahami maksud setiap papan tanda yang dipacak di tepi jalan raya, mereka dapat memastikan ibu bapa atau pemandu yang memandu kenderaan yang mereka naiki untuk patuh pada arahan papan tanda tersebut.

Sebagai contoh, papan tanda melintas jalan di hadapan sekolah dimana kenderaan perlu memperlahankan kelajuan dan tidak melebihi had laju 30 kilometer sejam. Murid-murid boleh menasihati ibu bapa untuk membawa kenderaan dengan mematuhi had laju yang ditetapkan setiap kali melalui jalan di hadapan sekolah. Ibarat peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Intihannya, mendidik tentang keselamatan jalan raya adalah penting untuk muridi-murid mengenal dan memahami papan tanda sepanjang jalan raya.

Isi 2

Kepentingan lain pendidikan keselamatan jalan raya adalah untuk mengetahui peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Apabila peraturan am penggunaan jalan raya dipelajari oleh murid-murid, mereka secara langsung dapat memerhati samada ibu bapa atau mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan di atas jalan raya.

Misalnya apabila motorsikal yang tidak mematuhi lampu isyarat dan melintas satu persimpangan dalam keadaan bahaya hanya untuk merebut pesanan makanan tetapi mengabaikan keselamatan. Murid-murid boleh mengenal pasti kesalahan tersebut dan membantu penguatkuasaan peraturan jalan raya oleh pihak berkuasa. Izharnya, pendidikan keselamatan jalan raya mustahak untuk melahirkan masyarakat yang peka terhadap peraturan-peraturan jalan raya

Isi 3

Di samping itu, pendidikan keselamatan jalan raya penting untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia, kadar kemalangan di Malaysia telah meningkat dalam tempoh 10 tahun. Manakala kemalangan yang melibatkan kematian pernah mencecah sehingga 7000 kematian dalam tempoh masa satu tahun. Statistik yang tragis ini sewajarnya boleh dielakkan dengan pemanduan yang cermat oleh semua pengguna jalan raya bak kata pepatah pandu cermat, jiwa selamat.

Justeru, murid-murid yang telah mempelajari sedikit sebanyak tentang keselamatan jalan raya pastinya akan mengingatkan ibu bapa atau mana-mana pemandu untuk sentiasa memandu di bawah had laju yang ditetapkan serta sentiasa memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar apabila menunggang motorsikal. Tegasnya, pendidikan keselamatan jalan raya dapat membantu murid untuk menasihati sesiapa sahaja yang memandu kenderaan yang mereka naiki agar mematuhi peraturan jalan raya agar keselamatan diri mereka terjamin.

Isi 4

Akhir sekali, pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak dapat melahirkan pengguna jalan raya yang berhemah. Hal ini kerana mereka adalah generasi masa hadapan yang akan mendukung misi dan visi negara untuk berkembang maju dan bersaing dengan negara maju yang lain. Setelah murid-murid melepasi had umur untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan, mereka akan menjadi pemandu yang berhemah kerana telah mempelajari dan memahami tentang keselamatan jalan raya.

Tamsilnya, pembelajaran tentang papan tanda di sepanjang jalan raya yang mereka boleh aplikasikan apabila memandu kenderaan sendiri. Mereka hanya perlu mengelak daripada sebarang anasir jahat daripada rakan atau media yang mengajak kepada penyalahgunaan jalan raya seperti memandu melebihi had laju di lebuhraya. Perkara yang jelas berbahaya akan merisikokan keselamatan diri kita dan juga pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, pendidikan berkenaan keselamatan jalan raya adalah penting untuk melahirkan pemandu yang berhemah persis kata mutiara biar lambat, asal selamat.

Penutup

Secara tuntas, banyak kepentingan yang diperoleh daripada pendidikan keselamatan jalan raya. Bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi juga buat semua lapisan umur masyarakat kerana keselamatan jalan raya terpakai untuk semua. Justeru, pihak berkuasa seharusnya meningkatkan usaha dalam berkempen untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan mendidik seseorang agar keselamatan di atas jalan raya terjamin. Pengguna jalan raya yang semakin bertambah dari hari ke hari perlu sejajar dengan inisiatif dalam memastikan jalan raya di seluruh pelusuk negara kita selamat dan baik. Kecuaian manusia yang merupakan antara faktor utama kemalangan berlaku dapat dielakkan dengan langkah-langkah tertentu yang terkandung dalam pendidikan keselamatan jalan raya. Semoga inisiatif ini dapat melahirkan masyarakat yang berhemah tinggi serta mengangkat imej negara sebagai negara yang selamat untuk memandu dan didiami.

Related : untuk melintas, pejalan kaki,