Antara teknik untuk memilih tema atau tajuk penulisan karangan Bahasa Melayu adalah dengan memilih tema atau tajuk yang umum. Selain itu pelajar juga boleh memilih tajuk yang dekat dengan kehidupan pelajar seperti bertemakan sekolah dimana pelajar mampu menghuraikan karangan dengan baik. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan koperasi sekolah (Faedah Penubuhan).
Para pelajar pasti pernah membeli barang di koperasi sekolah seperti buku latihan atau alat tulis. Tema atau tajuk karangan yang diberikan akan menguji kemampuan pelajar untuk memberikan isi penting serta huraian yang menarik daripada pengalaman sendiri. Oleh itu, pastikan anda menggunakan peribahasa atau penanda wacana yang sesuai untuk memastikan penulisan pelajar lebih cemerlang.
Contoh Karangan Kebaikan Koperasi Sekolah (Faedah Penubuhan)
Di bawah disediakan contoh karangan kebaikan koperasi sekolah (faedah penubuhan koperasi sekolah) sebagai rujukan untuk semua:
Isi-isi penting
- Melahirkan pelajar yang celik perniagaan dan perusahaan
- Memudahkan pelajar untuk mendapatkan bahan pembelajaran
- Memupuk semangat kerjasama antara ahli koperasi
- Menambah sumber kewangan sekolah dan juga pelajar
Pendahuluan
Koperasi secara definisi adalah syarikat yang dianggotai dan diuruskan oleh sekumpulan orang untuk menjalankan kegiatan ekonomi seperti perniagaan dengan faedah dan keuntungannya dikongsi bersama-sama. Di sekolah, penubuhan koperasi lazimnya dianggotai oleh guru dan juga pelajar dimana bahan-bahan pembelajaran seperti buku, alat tulis serta pelbagai barang yang bermanfaat untuk warga sekolah dijual.
Pada waktu rehat, pelajar akan berkunjung ke koperasi untuk membeli buku latihan dan sebagainya sebagai persiapan untuk proses pengajaran dan Pembelajaran di bilik darjah. Kemudahan ini memberikan banyak kebaikan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada ibu dan bapa atau penjaga yang terlupa atau sibuk untuk menyediakan bahan pembelajaran anak-anak mereka. Sehubungan itu, wajar kita bincangkan faedah penubuhan koperasi di sekolah kepada pelajar, guru dan semua warga sekolah.
Isi 1
Manfaat penubuhan koperasi sekolah adalah melahirkan pelajar yang celik perniagaan dan perusahaan. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain daripada pembelajaran di dalam bilik darjah, pelajar juga memerlukan pembelajaran di luar bilik darjah dengan menjadi ahli koperasi contohnya. Sekiranya pelajar menjadi ahli koperasi, pelajar berpeluang untuk melibatkan diri dengan aktiviti jual beli, menguruskan stok barangan serta merekod dokumen-dokumen berkaitan kewangan.
Secara tidak langsung, pelajar akan memikul amanah dan menjadi seorang yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugas-tugas yang diberikan. Mereka juga akan mempelajari cara berkomunikasi untuk melayani pembeli yang ingin membeli sesuatu daripada koperasi tersebut. Kebaikan ini jelas menunjukkan kepentingan penubuhan koperasi di sekolah-sekolah supaya pelajar didedahkan dengan tanggungjawab dan amanah di usia muda.
Isi 2
Kebaikan lain menubuhkan koperasi di sekolah adalah ia memudahkan pelajar untuk mendapatkan bahan pembelajaran. Sebagai contoh, apabila pelajar lupa untuk membawa bahan pembelajaran seperti alat tulis atau buku latihan, mereka boleh mendapatkannya di koperasi sekolah. Hal ini secara langsung membantu pelajar untuk tidak ketinggalan dan dapat bersama-sama rakan sekelas menikmati proses pembelajaran. Tambahan pula, barang-barangan yang dijual di koperasi sekolah dijual pada harga yang berpatutan.
Maka, para pelajar lebih gemar untuk mendapatkan barangan tertentu di koperasi sekolah berbanding di kedai atau pasaraya kerana mereka boleh berjimat-cermat. Dalam mendepani situaasi ekonomi yang tidak menentu, para pelajar juga turut perlu mengamalkan nilai berjimat cermat agar dapat membantu meringankan bebanan kewangan ibu, bapa atau penjaga. Intihannya, koperasi sekolah memudahkan pelajar untuk membeli bahan pembelajaran pada harga yang berpatutan.
Isi 3
Di samping itu, penubuhan koperasi sekolah dapat memupuk semangat kerjasama antara ahli-ahlinya. Nilai ini akan timbul apabila mereka iaitu ahli koperasi yang menjalankan tugas untuk menjaga kaunter jualan mencatat dan melaporkan jualan yang dilakukan sepanjang bertugas. Kerjasama ini penting agar laporan kewangan koperasi sekolah menjadi seimbang dengan apa yang telah dibeli daripada pihak pembekal atau pemborong.
Seterusnya, keuntungan yang diperoleh dapat dibahagikan secara adil kepada semua ahli koperasi iaitu warga sekolah. Persis kata mutiara, sepakat membawa berkat. Para pelajar yang bijaksana akan mengamalkan nilai kerjasama dan juga nilai murni lain yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian dan membentuk jati diri yang kuat serta berketrampilan tinggi. Izharnya, koperasi sekolah mustahak dalam memupuk nilai-nilai murni pada diri pelajar dan semua warga sekolah.
Isi 4
Akhir sekali, kebaikan penubuhan koperasi sekolah adalah ia dapat menambah sumber kewangan sekolah. Keuntungan yang dijana oleh koperasi sekolah adalah hasil pembelian daripada warga sekolah itu sendiri. Oleh hal yang demikian, keuntungannya wajar digunakan untuk manfaat warga sekolahg juga. Aktiviti-aktiviti luar bilik darjah seperti Hari Sukan dapat dimeriahkan lagi jika terdapat sumber kewangan yang baik.
Pihak sekolah juga tidak terlalu bergantung kepada sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana mempunyai alternatif yang lain. Sumber kewangan alternatif ini juga dapat membantu pihak sekolah untuk menambah baik prasarana-prasarana di kawasan sekolah untuk kegunaan para pelajar dan juga guru-guru. Tuntasnya, menjana sumber kewangan yang lain oleh pihak sekolah dapat memberikan kebaikan kepada semua warga sekolah khususnya melalui penubuhan koperasi di sekolah.
Penutup
Kesimpulan pada perbincangan di atas, banyak kebaikan penubuhan koperasi sekolah sama ada secara langsung atau tidak langsung. Justeru, pihak sekolah perlu memastikan koperasi dianggotai oleh guru dan juga pelajar yang bertanggungjawab dan jujur dalam menguruskan organisasi tersebut. Jika koperasi berjaya diuruskan dengan baik dan dianggotai oleh individu yang cemerlang pasti keuntungan yang tinggi dapat dicapai oleh koperasi sekolah tersebut.
Hasilnya akan dikongsi bersama warga sekolah yang lain dan menjadikan institusi paling utama dalam membangunkan masyarakat ini sebagai institusi contoh kepada masyarakat madani. Ibarat kata peribahasa, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Setiap sokongan yang diberikan kepada kemajuan koperasi sekolah akan menyumbang kepada faedah yang akan dinikmati oleh warga sekolah pada masa hadapan.
Related : terang lagi bersuluh, bahawa koperasi sekolah, menjimatkan masa, pasar raya, memberi faedah kepada warga sekolah, kerana koperasi, berniaga di koperasi, salah satu, harga yang murah, pelajar dapat menjimatkan, jelaslah bahawa, membeli barangan keperluan sekolah, samping itu koperasi sekolah, ahli lembaga pengarah, murah berbanding, diberikan oleh ibu bapa, guru dan murid,
Senarai Tajuk Kecil Artikel