Langkah Mengatasi Masalah Krisis Makanan Global (Cara). Contoh karangan kaedah menyelesaikan isu kekurangan sumber pemakanan dunia.

Langkah Mengatasi Masalah Krisis Makanan Global (Cara)

Contoh karangan Langkah Mengatasi Masalah Krisis Makanan Global Cara

Sebagai pelajar, kita mungkin tidak mengetahui tentang masalah bekalan makanan kerana ia merupakan isu yang dihadapi oleh ibu dan bapa kita. Namun, jika isu tersebut sering keluar di media massa dan siaran berita, para pelajar perlu mengambil tahu dan membincangkan solusi kepada isu yang dibangkitkan. Selaras dengan objektif pengajaran Bahasa Melayu di setiap peringkat persekolahan. Berikut dikongsikan contoh karangan langkah mengatasi masalah krisis makanan global untuk panduan semua.

Krisis ini merupakan isu yang berlaku di seluruh dunia kerana setiap negara bergantung antara satu sama lain. Misalnya, kita memerlukan import daripada Thailand untuk bekalan beras, India untuk bekalan bawang, dan Ukraine untuk bekalan makanan ayam yang diternak di Malaysia. Oleh yang demikian, pelajar perlu mengetahui isu semasa yang semakin menjadi perhatian ini agar dapat menjawab soalan yang berkaitan sekiranya keluar di dalam peperiksaan atau pentaksiran.

Contoh Karangan Cara Mengatasi Masalah Krisis Makanan Global (Dunia)

Di bawah dikongsikan contoh karangan berkaitan Langkah Cara Mengatasi Masalah Kekurangan Makanan Di Seluruh Dunia.

Anda boleh merujuk isi-isi penting di bawah dan huraikan mengikut penulisan karangan masing-masing dan sertakan frasa menarik seperti peribahasa yang sesuai.

Isi-isi penting

  1. Menjamin kemampuan negara untuk menghasilkan bekalan makanan sendiri
  2. Meningkatkan pengeluaran makanan menggunakan teknologi terkini
  3. Menjalankan dasar bekalan import makanan yang menguntungkan rakyat
  4. Memupuk masyarakat untuk menghasilkan sumber makanan sendiri
  5. Menjadikan industri pertanian dan perladangan sebagai ekonomi utama negara
  6. Melahirkan jumlah petani yang sama banyak dengan tenaga kerja profesional dalam bidang lain

Pendahuluan

Setiap hari, ada di antara kita yang makan sebanyak enam kali sehari tetapi ada juga yang makan hanya sekali sahaja sehari. Bak kata pepatah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Walaupun makan merupakan fitrah kita sebagai seorang manusia, harga makanan yang meningkat dari tahun ke tahun menyebabkan ia menjadi satu perkara yang sukar untuk golongan yang tidak berkemampuan.

Baru-baru ini, berlaku peperangan di antara Rusia dan Ukraine yang merupakan antara pengeksport utama gandum di dunia. Peperangan tersebut telah menyebabkan harga gandum dunia naik dan bekalan tidak mencukupi sehingga menyebabkan krisis makanan di seluruh dunia berlaku. Sebagai masyarakat berminda kelas pertama, kita perlu membincangkan isu ini dan mencari langkah mengatasi masalah ini supaya ia tidak membebankan negara kita pada masa akan datang.

Isi 1

Langkah utama untuk mengatasi masalah kekurangan sumber makanan adalah dengan menjamin kemampuan negara untuk menghasilkan bekalan itu sendiri. Jabatan Statistik negara pernah mengeluarkan maklumat bahawa tahap keterjaminan makanan di tanah air kita tidak mencukupi. Negara kita hanya mampu menghasilkan bekalan ayam dan telur serta beberapa sayur-sayuran yang cukup untuk menampung keperluan negara.Makanan lain seperti daging, beras dan sayur seperti bawang yang menjadi makanan ruji masyarakat kita perlu diimport masuk daripada negara luar bagi menampung permintaan pengguna.

Justeru, pihak berkuasa perlu melaksanakan dasar yang memastikan negara mampu menghasilkan makanan di Malaysia tanpa bergantung kepada bekalan import dunia secepat mungkin. Pelaksanaan dan strategi yang jelas boleh dilihat melalui negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam yang mempunyai tahap keterjaminan makanan yang mencukupi untuk penduduk di negara mereka. Jelas bahawa menjamin kemampuan negara menghasilkan makanan sendiri penting untuk mengatasi masalah ini seperti menyediakan payung sebelum hujan.

Isi 2

Seiring dengan langkah di atas, kita seharusnya meningkatkan pengeluaran makanan menggunakan teknologi terkini. Industri pertanian di negara kita sebenarnya masih berada di takuk lama. Intervensi penggunaan teknologi di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia lebih maju jika dibandingkan dengan penggunaannya dalam insutri pertanian dan perladangan di Malaysia. Perkara ini terjadi disebabakan penumpuan dasar negara untuk menghasilkan tenaga kerja dalam bidang perindustrian berbanding pertanian dan perladangan.

Kerjasama daripada pihak kementerian, agensi kerajaan, universiti dan petani sendiri diperlukan agar setiap aspek dalam sektor ini mampu dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik. Sebagai contoh, penggunaan dron sebagai ejen pembajaan di ladang-ladang pertanian membantu memudahkan kerja petani dan mengapplikasikan penggunaan teknologi terkini. Persis kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Izharnya, menggunakan teknologi dalam industri pertanian dan perladangan mampu menyumbang kepada pengeluaran makanan yang lebih tinggi untuk negara.

Isi 3

Di samping itu, menjalankan dasar bekalan import makanan yang menguntungkan rakyat adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah ini. Kita tidak boleh nafikan bahawa dasar untuk menghasilkan bekalan makanan sendiri tanpa bergantung kepada import memakan masa yang lama. Salah satu jalan penyelesaian tempoh singkat adalah dengan membawa masuk bekalan secara import. Namun kaedah ini telah dimanipulasi oleh pembawa masuk bekalan dengan memberikan harga yang tinggi.

Kita yang terdesak terpaksa membayar harga yang mahal walaupun mendapat bekalan yang kurang berkualiti. Di sini, pemimpin dan pegawai kerajaan memainkan peranan penting dalam mengatur strategi untuk berunding dan mentapkan kaedah terbaik supaya pengusaha import bekalan makanan dapat memberikan harga yang munasabah kepada rakyat untuk membeli di pasaraya. Amalan rasuah juga perlu dibanteras kerana ia menjadi salah satu punca krisis makanan ini bertambah teruk. Ibarat kera di hutan disusui, anak anak sendiri di rumah kebuluran. Tegasnya, dasar bekalan import yang lebih baik diperlukan bagi mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa.

Isi 4

Akhir sekali, polemik yang membendung masyrakat kita berkenaan bekalan makanan ketika ini boleh diatasi dengan memupuksemua ahli masyarakat untuk menghasilkan sumber makanan sendiri. Sebahagian daripada kita mempunyai ruang tanah di halaman rumah masing-masing. Kesempatan tersebut perlu digunapakai sebaik mungkin oleh mereka untuk bercucuk tanam dan menghasilkan sumber makanan sendiri.

Sayur-sayuran seperti sawi, bayam, daun bawang, daun ketumbar, halia dan kunyit yang menjadi rencah utama masakan masyarakat kita boleh ditanam dengan mudah. Dengan informasi yang hanya di hujung jari, setip lapisan masyarakat boleh mempelajari ilmu bercucuk tanam dengan mudah. Orang-orang tua ada berkata, berbudi kepada tanah, lambat laun mendapat hasilnya. Begitulah jika kita berkesempatan untuk bercucuk tanam, kita sebenarnya mampu menghasilkan sebahagian bekalan makanan kita sendiri tanpa perlu bergantung kepada petani dan peladang.

Penutup

Konklusinya, banyak cara yang boleh kita laksanakan untuk mengatasi masalah yang berlaku ketika ini. Ada solusi jangka masa pendek dan ada juga solusi jangka masa panjang. Semua pihak memainkan peranan dan tanggungjawab untuk memastikan setiap di antara kita berpeluang untuk akhirnya menikmati makanan atau juadah yang menjadi hak kita sebagai manusia tanpa perlu bersusah payah. Stigma untuk menurunkan harga barang perlu dihentikan kerana saban tahun berlaku inflasi dan perkara tersebut kita tidak boleh elakkan. Sebagai individu kita hanya boleh meningkatkan taraf kehidupan kita dan cuba untuk berjimat cermat dan bersederhana dalam kehidupan agar setiap aspek kehidupan kita cukup seadanya.

Related : masalah kekurangan, perubahan iklim, kekurangan bekalan, keselamatan makanan, makanan dunia, hasil tanaman, kekurangan zat makanan, memastikan bekalan, laut hitam, pertubuhan bangsa bangsa, juta orang,