Langkah Mengatasi Pengangguran Di Malaysia (Cara Menangani). Contoh karangan usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran negara.

Langkah Mengatasi Pengangguran Di Malaysia (Cara Menangani)

Pembacaan merupakan salah satu cara untuk kita meningkatkan pengetahuan dan penguasaan terhadap bahasa yang dipelajari iaitu Bahasa Melayu. Begitu juga, untuk penulisan karangan dimana pelajar perlu mencari frasa-frasa menarik untuk penulisan yang lebih baik. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan contoh karangan langkah-langkah mengatasi pengangguran di Malaysia untuk panduan semua.

Jumlah penganggur yang tinggi dan semakin meningkat dari tahun ke tahun telah membuktikan kegagalan pihak kerajaan untuk mengatasi kemelut yang melanda keadaan kewangan negara. Malah di televisyen dan juga sosial media banyak perkongsian yang menceritakan pengalaman penganggur terpaksa bekerja sebagai pemandu e-hailing atau penghantar makanan untuk menyara hidup diri dan juga keluarga.

contoh karangan langkah mengatasi pengangguran di malaysia

Contoh Karangan Langkah Menangani Masalah Pengangguran Di Malaysia

Sekiranya pelajar ingin menjawab soalan karangan yang berkaitan dengan contoh karangan langkah mengatasi pengangguran di Malaysia, berikut dikongsikan isi-isi penting serta huraian karangan.

Isi-isi penting

  1. Menghasilkan graduan yang menepati keperluan industri
  2. Meningkatkan kemahiran pekerja dan graduan secara berkala
  3. Menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan di peringkat kerajaan
  4. Membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana
  5. Menawarkan pakej ransangan kepada pelabur yang menggunakan tenaga kerja tempatan
  6. Intervensi daripada pihak swasta untuk membuka peluang pekerjaan

Pendahuluan

Saban hari, ribuan graduan yang berjaya dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Namun disebalik kejayaan tersebut, ramai diantara mereka gagal untuk mendapatkan kerja lalu terpaksa memilih bidang kerjaya yang berbeza atau menganggur menunggu peluang tiba. Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan statistik pada tahun 2020 bahawa seramai 200,000 siswazah yang menganggur dan meningkat sebanyak 20% berbanding tahun sebelumnya.

Dengan keadaan pasaran kewangan serta saham yang tidak menentu pada hari ini ditambah pula dengan penularan wabak COVID-19, perkara ini perlu diambil tindakan. Golongan pemimpin yang sibuk memastikan kuasa mereka kekal seharusnya memandang kepada masalah rakyat yang semakin membarah ini. Sebagai cadangan kepada mereka yang berkenaan, berikut adalah langkah-langkah dalam menangani masalah pengangguran di Malaysia.

Isi 1

Untuk memastikan pengangguran tidak berlaku dalam kalangan graduan, universiti atau kolej perlu menghasilkan graduan yang menepati keperluan industri di Malaysia. Isu yang dihadapi oleh pihak industri adalah golongan graduan yang mencari kerja tidak mempunyai latar belakang atau pengetahuan yang sama dengan keperluan mereka. Kos dan masa menjadi satu perkara yang sukar untuk diberikan sekiranya mereka ingin melatih graduan lepasan universiti.

Sebaliknya pengenalan program seperti pengajian dua tahun di universiti dan dua tahun bersama industri secara praktikal wajar dilaksanakan. Usaha ini bukan sahaja memudahkan pihak industri untuk mendapatkan tenaga pekerja tetapi juga membantu universiti atau kolej kekal relevan untuk masyarakat sertai supaya masa hadapan mereka terjamin. Tegasnya, masalah pengangguran boleh diselesaikan dengan menghasilkan graduan yang menepati kehendak industri di Malaysia. Bak kata pepatah, belakang parang pun kalau di asah nescaya tajam.

Isi 2

Langkah seterusnya untuk mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia adalah dengan meningkatkan kemahiran pekerja dan graduan secara berkala. Pada era globalisasi ini, peredaran teknologi semakin pantas sehingga timbul ura-ura mesin dan komputer bakal menggantikan manusia sebagai tenaga kerja. Untuk mengekalkan permintaan tenaga kerja tempatan daripada pihak industri, golongan pekerja perlu menambah kemahiran mereka dari masa ke semasa.

NIlai tambah ini akan menjadi satu perkara yang dilihat oleh majikan sebagai kelebihan untuk terus menggajikan pekerja tersebut. Golongan pekerja perlu mengelak daripada bersikap seperti pahat dengan penukul atau besar kepala. Sebagai seorang manusia kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Intihannya, meningkatkan nilai dan kemahiran pada diri setiap pekerja dapat mengelakkan pengangguran berlaku.

Isi 3

Dari sudut pandang yang berlainan, pengangguran pekerjaan boleh dielakkan dengan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan di peringkat kerajaan atau pihak berkuasa. Kakitangan awam adalah tunjang kepada pentadbiran dan kejayaan sesebuah negara. Kerajaan mempunyai sumber kewangan yang boleh diperluaskan berbanding industri yang bergantung kepada produk yang dihasilkan. Apabila ramai penjawat awam dilantik secara tetap, pasti perkhidmatan awam yang diaturkan oleh kerajaan bertambah baik.

Kesannya, masyarakat akan hidup lebih selesa dan bertambah produktif sehingga boleh meningkatkan kedudukan kewangan negara. Tetapi sebaliknya yang berlaku di Malaysia dimana sebahagian emolumen yang mampu dibiayai oleh kerajaan dibazirkan kepada lantikan politik yang sementara dan juga masalah pemberian rasuah. Natijahnya, pengangguran yang berlaku di Malaysia boleh dibendung dengan memberikan peluang pekerjaan di peringkat kerajaan atau pihak berkuasa seperti anggota polis, bomba dan tentera.

Isi 4

Selain itu, usaha yang seharusnya dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengurangkan masalah pengangguran ialah dengan membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana. Hal ini demikian kerana kita tidak boleh bergantung sahaj kepada pelabur asing yang datang melabur ke negara kita. Jika satu hari mereka mengambil keputusan untuk menarik pelaburan, maka ramai yang akan dibuang kerja.

Oleh itu, dengan menyokong perkembangan usahawan tempatan, ia bukan sahaja dapat memberikan peluang pekerjaan tetapi juga meningkatkan daya upaya tenaga kerja tempatan. Pemberian pakej ransangan seperti pengecualian cukai, skim pengambilan kerja anak tempatan dan bimbingan kemahiran antara langkah yang boleh dibuat. Cadangan ini mapu menjadi batu loncatan kepada perusahaan tempatan untuk terus berkembang dan menjadi syarikat yang dikenali di seluruh pelusuk dunia. Izharnya, membantu perusahaan kecil dan sederhana tempatan boleh mengurangkan masalah pengangguran di dalam negara.

Penutup

Kesimpulannya, banyak langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi maslah pengangguran di Malaysia. Mutakhir ini, kita boleh lihat ramai di antara ahli masyarakat yang mengambil keputusan untuk tidak menyambung pengajian di peringkat tinggi. Sebaliknya mereka terus berkecimpung dalam arena kerjaya yang mereka minati kerana pengalaman yang diperoleh adalah lebih baik untuk diri mereka berbanding mengambil pengajian di universiti atau kolej yang mengecas yuran yang mahal. Justeru, setiap pihak perlu berganding bahu mencari jalan penyelesaian kepada kemelut yang sedang kita hadapi. Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai banyak potensi jika dibandingkan dengan negara jiran yang lebih berjaya seperti Singapura dan Indonesia. Bak kata pepatah, perahu sudah di air, dayung sudah ditangan. Nescaya suatu hari nanti setiap diantara kita mempunyai peluang pekerjaan yang dikehendaki dan dibayar dengan gaji yang bertepatan dengan setiap aspek kehidupan masa kini.

Related : digunakan untuk, langkah langkah untuk, meningkatkan kebolehan, jumlah pekerja, tinggi untuk, langkah yang boleh diambil, memilih pekerjaan, untuk mendapatkan pekerjaan, untuk mengatasi masalah pengangguran, untuk mencuba, barangan keperluan, semata mata,