Penulisan karangan Bahasa Melayu merupakan salah satu ujian yang mencabar pelajar kerana ia menguji pengetahuan am pelajar dan tahap penggunaan bahasa masing-masing. Oleh yang demikian, pelajar dinasihatkan untuk melakukan latihan dan kerap membaca contoh-contoh karangan sebagai ulang kaji sebelum menghadapi peperiksaaan. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan cara mewujudkan masyarakat penyayang di negara ini.
Sifat sayang-menyayang adalah salah satu sifat positif yang perlu ada dalam setiap individu. Nilai ini penting bagi melahirkan individu yang berperikemanusiaan dan seterusnya mempengaruhi orang sekeliling untuk melakukan perkara yang sama. Apabila kebaikan dan kebahagiaan dinikmati oleh semua ahli masyarakat, kita dapat melahirkan negara yang berkembang maju dan mewujudkan ketamadunan manusia yang terbaik.
Contoh Karangan Cara Mewujudkan Masyarakat Penyayang Di Negara Ini (Malaysia)
Di bawah dikongsikan contoh karangan cara memupuk masyarakat yang penyayang di negara ini untuk rujukan semua. Perkongsian di bawah turut merangkumi isi-isi penting yang berkaitan dan contoh huraian mengikut struktur penulisan karangan.
Isi-isi penting
- Melahirkan keluarga yang bahagia
- Menggalakkan aktiviti kemasyarakatan seperti sukarelawan
- Memastikan kebersihan diri dan kawasan sekitar
- Memberikan peluang kepada golongan OKU dan warga emas
- Meningkatkan sektor kaunseling dan bantuan moral
Pendahuluan
Dewasa ini, banyak peristiwa yang menyayat hati berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Seorang bapa yang mengelar anak dan isterinya sehingga mati kerana tekanan hidup manakal seorang adik menikam ahli keluarganya yang lain kerana perebutan wang peninggalan keluarga. Perkara ini dapat dielakkan sekiranya kita mempunyai masyarakat yang saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Bukan sahaja sifat sayang tersebut diasimilasikan antara kita sesama manusia tetapi juga terhadap semua perkara disekeliling kita sepeti alam sekitar, haiwan dan juga tumbuhan. Nilai ini penting bagi mewujudkan sebuah negara yang harmoni dan sejahtera untuk kita diami lebih-lebih lagi apabila kita hidup dengan berlatar belakangkan kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Justeru, penting untuk kita bincangkan cara-cara terbaik dalam mewujudkan masyarakat penyayang di negara ini supaya keharmonian dan keselamatan kita terjamin.
Isi 1
Langkah pertama dalam mewujudkan masyarakat yang penyayang adalah dengan melahirkan keluarga yang bahagia. Masyarakat kita seharusnya sedar bahwa mendirikan rumah tangga bukan satu pencapaian dalam kehidupan atau tindakan untuk menghalalkan apa yang haram. Sebaliknya, mendirikan rumah tangga adalah satu tanggungjawab yang besar perlu dipikul oleh suami dan isteri untuk menjadi individu yang lebih baik dan melahirkan zuriat yang terbaik. Sekiranya ibu dan bapa sedar akan tanggungjawab tersebut, mereka akan memastikan anak-anak dibesarkan dalam keadaan yang selamat, bahagia dan cukup keperluannya.
Anak-anak yang menerima kasih sayang dan perhatian yang cukup daripada ibu dan bapa mereka pasti tidak akan terjebak dengan masalah sosial yang menjadi barah kepada masyarakat kita. Pepatah Melayu berkata, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dengan teladan yang baik ditunjukkan oleh ibu dan bapa kepada anak-anak, nescaya keluarga yang bahagia akan terhasil sekaligus mewujudkan masyarakat yang penyayang di negara kita.
Isi 2
Tindakan lain untuk melahirkan masyarakat yang penyayang adalah dengan menggalakkan aktiviti kemasyarakatan seperti sukarelawan. Hal ini kerana aktiviti kemasyarakat akan menimbulkan sifat kasih dan sayang dalam diri setiap peserta selain sifat simpati dan empati. Tamsilnya, apabila berlaku bencana alam seperti banjir, masyarakat yang tidak terjejas boleh menyertai sukarelawan untuk membantu mangsa banjir.
Bantuan seperti membersihkan rumah mereka, memberikan pakaian dan bantuan kewangan akan meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir. Ibarat peribahasa, berat sama dipikul, rinagn sama dijinjing. Secara tidak langsung, peserta sukarelawan akan berasa bersyukur dengan keberadaan mereka dan keluarga. Tegasnya, menyertai aktiviti kemasyarakatan dapat melahirkan anggota masyarakat yang penyayang.
Isi 3
Amalan memastikan kebersihan diri dan alam sekitar juga adalah cara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang. Umum mengetahui bahawa dengan menjaga kebersihan, kita dapat mengelakkan kemudaratan seperti penyakit untuk mengancam kesihatan diri dan masyarakat sekeliling. Penjagaan kebersihan juga membentuk keperibadian yang menarik dan sedap mata memandang. Begitu juga dengan alam sekitar kita.
Pembangunan yang pesat telah menybabkan banyak khazanah alam dicemar atau hilang demi mencapai kepentingan masyarakat tertentu. Ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Hari ini kita dapat menyaksikan pelbagai bencana alam yang berlaku akibat kegagalan kita untuk menjaga alam sekitar. Oleh itu, masyarakat perlu bersikap cakna terhadap kebersihan alam sekitar dengan mengamalkan kitar semula dan memastikan kelestarian alam dipelihara dalam setiap aspek pembangunan. Intihannya, masyarakat yang penyayang akan terhasil apabila amalan kebersihan diri dan alam sekitar menjadi satu budaya masyarakat negara kita.
Isi 4
Di samping itu, memberikan peluang dan sokongan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas adalah salah satu cara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perumpamaan ini jelas menunjukkan perasaan kita terhadap golongan OKU khususnya yang perlu meneruskan kehidupan dalam keadaan yang kekurangan sifat. Maka, pihak kerajaan wajar untuk menyediakan peluang pekerjaan dan pembelajaran kepada golongan ini supaya mereka dapat menyara hidup mereka berbanding mengharapkan sumbangan orang ramai atau menjadi peminta sedekah.
Syarikat swasta seperti rangkaian restoran makanan segera telahpun memberikan peluang kepada golongan OKU untuk bekerja di cawangan-cawangan mereka secara global. Dengan intervensi oleh pihak kerajaan, kita pastinya dapat memberikan peluang kepada golongan ini untuk mendapat peluang kehidupan yang lebih baik dan sama tahap dengan golongan manusia yang cukup sifatnya. Tuntasnya, masyarakat yang penyayang dapat diwujudkan apabila peluang dan sokongan diberikan kepada golongan OKU, warga emas dan miskin tegar.
Penutup
Kesimpulan kepada perbincangan di atas adalah terdapat banyak cara untuk kita melahirkan masyarakat yang penyayang. Dengan faktor ekonomi yang sangat mencabar ketika ini, nilai kasih dan sayang sesama kita adalah penting agar perilaku yang tidak berperikemanusiaan tidak berlaku dalam kalangan keluarga atau rakan-rakan kita. Dalam fasa kehidupan yang mencabar terutamanya bagi golongan remaja dan dewasa, sokongan moral dan kasih sayang adalah mustahak supaya kita rasa dihargai dengan usaha kita dan berasa bahagia walaupun bersederhana. Apabila fitrah manusia ini dapat dijamin dalam setiap anggota masyarakat di Malaysia, pastinya kesejahteraan dan keharmonian masyarakat kekal kukuh dan tidak goyah. Sebagai negara yang berbilang kaum, kita seharusnya memupuk kasih dan sayang anatra satu sama lain supaya perpaduan kita kekal utuh dan bebas daripada sebarang anasir perpecahan dan permusuhan.
Related : nilai nilai murni, membentuk masyarakat penyayang, rakyat malaysia, melentur buluh biarlah, memainkan peranan, pembentukan masyarakat penyayang, kanak kanak,
Senarai Tajuk Kecil Artikel