Kebaikan Dan Keburukan Media Sosial Kepada Remaja. Contoh karangan kesan baik dan buruk medsos terhadap masyarakat.

Kebaikan Dan Keburukan Media Sosial Kepada Remaja

contoh karangan kebaikan dan keburukan media sosial dalam kalangan remaja

Soalan penulisan karangan bertemakan teknologi adalah salah satu tema yang akan menguji pengetahuan am para pelajar. Walaupun pelajar mempunyai pengetahuan tentang teknologi tersebut, cara penulisan dan huraian yang menarik akan menentukan penulisan karangan anda menepati kehendak soalan atau tidak. Di bawah dikongsikan contoh karangan kebaikan dan keburukan media sosial kepada remaja (medsos) sebagai rujukan untuk semua.

Media sosial adalah saluran komunikasi yang dapat menyampaikan maklumat dalam bentuk penulisan, gambar atau video kepada orang ramai dalam masa cepat. Ia merupakan medium komunikasi pilihan masyarakat pada abad ini sehinggakan menjadi keutamaan dalam hidup masyarakat. Malahan, ada yang menjadikan media sosial sebagai kerjaya mereka untuk mendapatkan wang saraan kehidupan masing-masing.

Contoh Karangan Kebaikan Dan Keburukan Media Sosial (Medsos) Kepada Remaja

Pelajar boleh merujuk isi-isi penting serta huraian mengikut rangka karangan berkaitan kesan baik dan buruk laman sosial atau medsos kepada remaja seperti berikut.

Isi-isi penting

1. Meluaskan jaringan perhubungan

2. Menambah ilmu pengetahuan

3. Meningkatkan kemahiran teknologi

4. Terdedah kepada penipuan identiti atau maklumat

5. Merenggangkan hubungan remaja dengan ahli keluarga

6. Terpengaruh dengan anasir yang negatif

Pendahuluan

Media sosial boleh ditakrifkan sebagai medan di mana individu bersosial dengan individu lain secara atas talian. Aplikasi yang mula dicipta selepas wujudnya komputer dan rangkaian Internet ini mampu untuk menghubungkan seseorang tanpa batasan jarak dan juga masa. Daripada menggunakan teknologi analog untuk penggunaan telefon, kini kita menggunakan teknologi digital yang membolehkan panggilan video dibuat secara langsung.

Lumrah sebagai seorang manusia, kita mempunyai sifat untuk bersosial dengan rakan sekolah, rakan sepejabat dan juga ahli keluarga. Aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter telah memudahkan kita untuk mengetahui status sosial atau kehidupan rakan-rakan, ahli keluarga malah selebriti yang kita minat. Namun, adakah media sosial ini memberikan manfaat kepada setiap lapisan umur masyarakat khususnya golongan remaja?

Isi 1

Antara kebaikan menggunakan media sosial dalam kalangan remaja adalah mereka dapat meluaskan jaringan perhubungan. Umum mengetahui remaja akan mengikuti rakan-rakan sekolah di media sosial untuk mengetahui kehidupan mereka di luar waktu persekolahan. Perkongsian aktiviti di luar sekolah bersama rakan-rakan juga dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka kerana memori tersebut disimpan secara digital di media sosial.

Di media sosial juga remaja boleh mengikuti individu seperti atlet kebangsaan yang memberikan impak positif dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, Datuk Azizulhasni Awang, pelumba basikal negara sering berkongsi rutin harian dan motivasi yang baik untuk pengikutnya untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam kehidupan. Tuntasnya, media sosial memberikan impak yang positif kepada remaja apabila mereka dapat meluaskan jaringan perhubungan dengan rakan atau individu yang mempunyai pengaruh yang berguna.

Isi 2

Manfaat lain yang mampu diperoleh golongan remaja apbila menggunakan media sosial adalah menambah ilmu pengetahuan. Media sosial pada hari ini lebih banyak perkongsian video berbanding penulisan kerana ia lebih interaktif dan menarik. Tamsilnya, aplikasi TikTok yang menjadi aplikasi paling banyak menerima pengguna dalam tempoh masa satu tahun. Perkongsian video ini memberikan runag kepada remaja untuk mempelajari perkara baharu.

Dengan bantuan pengawasan daripada ibu dan bapa, remaja boleh meneroka pelbagai ilmu pengetahuan yang dikongsikan di media sosial. Contoh lain adalah Khairul Aming, seorang individu yang berkongsi video memasak serta resipi-resipi tertentu dan secara tidak langsung mengajar remaja untuk memasak dengan mudah. Jelas bahawa penggunaan media sosial dapat menambah ilmu pengetahuan golongan remaja jika digunakan dengan kaedah yang betul dan tepat.

Isi 3

Seperti ciptaan manusia yang lain, penggunaan media sosial juga terdapat keburukannya seperti mudah terdedah kepada penipuan identiti atau maklumat. Aplikasi percuma seperti media sosial mengundang kepada perbuatan yang jahat individu yang tidak bertanggungjawab untuk menggunakan identiti palsu dan melakukan penipuan kepada individu atau masyarakat. Perkara ini menjadi isu khususnya bagi kita yang hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Fitnah dan tohmahan boleh dikongsikan secara mudah dan pantas tanpa usul periksa daripada sesiapa kerana identiti penyebar fitnah itu palsu dan tidak beretika. Di sini menunjukkan pentingnya pendidikan sivik di sekolah untuk mengajar kita menjadi seorang individu yang bertanggungjawab dan tidak melanggar etika serta tata susila masyarakat kita. Izharnya, penggunaan media sosial memberi risiko penipuan identiti dan maklumat kepada remaja yang baru berusia setahun jagung.

Isi 4

Selain itu, media sosial dilihat mendatangkan kemudaratan apabila ia merenggangkan hubungan remaja dengan ahli keluarga. Apabila seorang remaja menghabiskan masa di media sosial dan merasakan hubungan secara atas talian bersama rakan-rakan di alam maya lebih seronok, mereka akan mula menjauhi realiti kehidupan dengan ahli keluarga. Lebih-lebih lagi ibu dna bapa hari ini sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama anak-anak mereka. Maka, anak-anak memilih untuk bersosial bersama rakan secara atas talian.

Situasi ini seharusnya dibendung kerana hubungan kekeluargaan lebih penting daripada hubungan di alam maya. Ibu dan bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak melakukan aktiviti seperti riadah dan bercuti. Ia juga bagi mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang menjerumus ke arah gejala sosial. Intihannya, penggunaan media sosial yang keterlaluan dalam kalangan remaja boleh menyebabkan hubungan mereka dengan ahli keluarga menjadi renggang.

Penutup

Sebagai konklusi, terdapat banyak baik dan buruknya media sosial kepada remaja hari ini. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Peribahasa ini jelas mengingatkan kita untuk sentiasa mencari manfaat dan meninggalkan keburukan dalam melakukan sesuatu. Begitu juga dengan media sosial, penggunaanya dalam kalangan remaja dibolehkan dengan pengawasan ibu dan bapa demi keselamatan dan gaya pemikiran mereka. Pihak berkuasa pula berperanan untuk mengambil tindakan kepada perkara-perkara negatif yang berleluasa di media sosial dan membendungnya daripada menjadi barah kepada masyarakat kita. Diharapkan masyarakat kita bersama-sama menikmati teknologi seperti media sosial dengan positif dan berminda kelas pertama.

Related : maklumat terkini, sosial seperti derma darah jens tertentu untuk membantu pesakit tenat juga dapat disebarkan, berhati hati, memberikan kesan, permintaan bantuan cemas seperti derma darah jens tertentu untuk membantu pesakit tenat juga dapat disebarkan, menarik perhatian,