Langkah Untuk Membentuk Akhlak Mulia Terpuji. Contoh karangan cara melahirkan keperibadian unggul untuk anak-anak.

Langkah Untuk Membentuk Akhlak Mulia Terpuji

contoh karangan langkah untuk membentuk akhlak yang mulia

Disiplin dan sahsiah murid merupakan salah satu elemen pendidikan yang tidak diajar secara teori sebaliknya pelajar perlu mengambil tahu peraturan di sekolah dan mematuhinya. Begitu juga dengan kehidupan menjelang kedewasaan dimana pelajar perlu bertanggungjawab di atas amanah yang bakal dipikul kadang kala tanpa sebarang pengetahuan yang jelas. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan langkah untuk membentuk akhlak yang mulia.

Setiap di antara kita boleh dibezakan berlatar belakangkan ilmu, pemikiran dan asal-usul. Namun, akhlak atau keperibadian merupakan satu aspek yang kita boleh nilai tanpa berlandaskan kepada perbezaan latar belakang mereka. Akhlak yang mulia akan memudahkan kita dalam setiap urusan kerana disenangi oleh orang lain dan memberikan imej bahawa kita boleh dipercayai dan menanggung amanah dengan baik.

Contoh Karangan Langkah Untuk Membentuk Akhlak Yang Mulia

Ikuti perkongsian contoh karangan langkah untuk membentuk keperibadian individu terbaik di bawah. Turut dikongsikan adalah isi-isi penting yang boleh digunakan untuk menjawab soalan yang berkaitan.

Isi-isi penting

  1. Ahli keluarga sebagai teladan terbaik
  2. Menjadi orang awam yang boleh dicontohi
  3. Memberikan pendidikan moral dan agama
  4. Membaca atau menonton kandungan yang bermanfaat
  5. Guru dan rakan sebagai pengaruh terbaik

Pendahuluan

Mutakhir ini, masyarakat kita sering kali tersentak dengan laporan berita yang menceritakan permasalahan sosial dan salah laku jenayah yang tidak berperikemanusiaan. Insiden yang meragut nyawa dan merosakkan segelintir masyarakat kita ini wajar dibendung supaya tidak membarah kepada generasi akan datang. Persis kata mutiara, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Oleh yang demikian, penting untuk kita memastikan golongan muda di tanah air ini dididik dengan penuh inteligensia dan budi pekerti. Setiap di antara kita sebenarnya memainkan obligasi yang signifikan dalam membentuk keperibadian seseorang terutamanya diri sendiri dan orang sekeliling. Bagi memastikan nusa bangsa kita menjadi insan berminda kelas pertama, baik untuk kita huraikan langkah-langkah untuk membentuk keperibadian terbaik dalam kalangan masyarakat hari ini.

Isi 1

Langkah pertama untuk membentuk akhlak terpuji dalam diri setiap individu adalah dengan memastikan ahli keluarga sebagai teladan terbaik. Segalanya bermula di rumah. Kenyataan ini jelas mencerminkan ibu, bapa dan ahli keluarga merupakan insan yang bertanggungjawab membentuk keperibadian ahli keluarganya yang lain. Ibarat kain putih, merekalah yang mencorakkan kain tersebut dengan warna-warna keindahan dalam kehidupan.

Sebagai contoh, jika anak-anak melihat ibu dan bapa saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain, mereka juga akan mengikuti sikap tersebut dan mempraktikannya apabila berhadapan dengan orang dewasa yang lain. Situasi ini lebih cenderung apabila terdapat adik-beradik dalam sebuah keluarga di mana adik yang kecil pasti akan mencontohi sikap abang atau kakaknya dalam pelbagai situasi. Tegasnya, ibu dan bapa yang mendirikan rumah tanga perlu sedar akan amanah yang besar ini untuk membesarkan zuriat mereka supaya mempunyai akhlak yang mulia dan disegani.

Isi 2

Pembentukan akhlak yang mulia juga merupakan tanggungjawab masyarakat umum. Dewasa ini, kita pasti tertanya-tanya kenapa terdapat diantara kita yang melakukan perkara yang sia-sia atau memalukan hanya untuk mendapatkan perhatian dan keuntungan diri sendiri. Tepuk dada dan tanya selera, adakah perilaku seperti membuat lawak bodoh dan mentertawakan perkara yang tidak biasa dalam budaya kita sebagai orang Malaysia yang penuh sopan dan santun merupakan sikap generasi masa kini? Maka, kita sebagai ahli masyarakat bertanggungjawab supaya perkara seperti ini tidak akan berulang dan mendapat perhatian yang ramai daripada khalayak ramai terutamanya para pemuda negara.

Tidak dinafikan kita tidak mempunyai kawalan terhadap penggunaan media sosial tetapi kita berhak untuk membuat laporan dan juga tidak berkongsi video atau hantaran yang kontriversi dan hanya akan memberikan pelaku kontroversi tersebut perhatian yang mereka inginkan. Bak kata pepatah Melayu, kita perlu tahu bagaimana untuk membezakan antara intan dengan kaca, antara batu dan permata. Tuntasnya, sebagai masyarakat umum, kita juga berperanan menjadi contoh atau pemimpin kepada generasi muda untuk membentuk keperibadian dan lebih baik daripada kita.

Isi 3

Pendidikan agama dan moral juga adalah salah satu langkah untuk membentuk keperibadian yang mulia dalam seseorang. Ibarat kapal hilang nakhoda, karam di tengah laut. perumpamaan ini jelas menunjukkan tanpa agama dan nilai moral, kita boleh tenggelam dalam ragam kehidupan. Setiap agama menggalakkan pembentukan sahsiah diri yang baik dan menggalakkan nilai-nilai positif. Sebagai contoh, konsep dosa dan pahala memberikan indikasi kepada penganut agama Islam dalam melakukan sesuatu perkara yang baik atau jahat.

Sekiranya mereka mempunyai iman yang kukuh dan ilmu yang mendalam terhadap hukum syariat Islam, pasti segala tindakan atau pilihan dalam kehidupan mereka berlandaskan kebaikan dan kebenaran agama yang dipelajari. Jika golongan remaja di Malaysia memiliki nilai agama dan moral yang tinggi, pasti perpaduan dan keharmonian negara akan terus terjamin. Jelaslah bahawa didikan agama dan moral dapat membentuk keperibadian terpuji seperti saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Isi 4

Salah satu langkah lain untuk membentuk akhlak terpuji adalah dengan membaca. Melalui pembacaan, seorang individu dapat meluaskan horizon pemikiran dan melihat sesuatu perkara daripada pelbagai aspek. Bak kata pepatah melayu, laut yang ditimba tidak akan kering. Begitu juga dengan ilmu yang kita peroleh apabila kita membaca bahan bacaan yang bermanfaat. Dengan membaca, kita dapat melihat sudut pandang penulis yang mempunyai kepakaran dan pendapat tertentu tentang tajuk atau isu di dalam buku tersebut.

Golongan remaja yang merasakan membaca itu suatu perkara yang bosan boleh beralih untuk menonton video yang mengandungi intipati yang bermanfaat. Misalnya, video animasi Ejen Ali dan Upin Ipin yang sarat dengan mesej serta imitasi nilai yang baik dalam kehidupan. Golongan muda khususnya kanak-kanak diharap dapat mengambil iktibar dan menjana keperibadian akhlak mulia seperti yang ditunjukkan oleh watak-watak di dalam animasi tersebut dan meninggalkan aksi-aksi yang tidak boleh dilakukan di dalam imaginasi sendiri. Izharnya, membaca dan menonton kandungan yang bermanfaat dapat membentuk keperibadian yang mulia.

Penutup

Sebagai kesimpulan, terdapat banyak langkah yang boleh dilaksanakan untuk membentuk akhlak mulia terpuji pada setiap lapisan umur masyarakat di dunia. Sebagai individu kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan menilai sama ada tindakan atau pilihan yang kita lakukan pada hari ini adalah betul dan bermanfaat atau sebaliknya. Fitrah kita sebagai manusia untuk melakukan kesilapan tetapi kesilapan yang diulang-ulang adalah memudaratkan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Jika setiap diantara kita menjadikan perumpamaan di atas sebagai satu ingatan pasti akhlak dan keperibadian kita bertambah naik dari hari ke hari. Apabila diri kita mampu menunjukkan akhlak yang mulia nescaya golongan muda dan kanak-kanak dapat mencontohi dan mempamerkan sikap yang sama.

Related : secara tidak langsung,