Langkah Ibu Bapa Menangani Gejala Sosial (Cara). Contoh karangan langkah-langkah mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja.

Langkah Ibu Bapa Menangani Gejala Sosial (Cara)

langkah ibu bapa menangani gejala sosial

Soalan penulisan karangan Bahasa Melayu selalunya bertanyakan tentang topik atau tema yang berkaitan dengan kehidupan pelajar. Contohnya, karangan yang bertemakan gejala sosial dimana pelajar perlu mengeluarkan isi dan menulis huraian yang menarik serta mengambil iktibar daripada penulisan sendiri. Di bawah dikongsikan contoh karangan langkah-langkah ibu bapa menangani gejala sosial (cara mengatasi masalah sosial) untuk rujukan semua.

Umum mengetahui gejala sosial merupakan satu perkara yang membelenggu masyarakat pada hari ini. Ledakan teknologi dan media sosial telah menyebabkan corak sosial manusia berubah. Kesannya, golongan muda mudah terpengaruh dengan budaya asing serta terjebak dengan gejala yang memudaratkan atau sia-sia. Maka, penulisan karangan ini menjadi cabaran kepada pelajar untuk membincangkan kaedah terbaik untuk membendung perkara buruk ini berlaku kepada diri dan orang sekeliling.

Contoh Karangan Langkah Ibu Bapa Menangani Gejala Sosial

Berikut adalah contoh karangan langkah-langkah ibu bapa menangani gejala sosial yang merangkumi pendahuluan, isi-isi penting dan penutup.

Isi-isi penting Cara Mengatasi Masalah Gejala Sosial

  1. Meluangkan masa bersama anak-anak
  2. Memastikan anak-anak bergaul dalam kalangan rakan dan persekitaran yang sihat
  3. Menjadi tempat utama anak-anak untuk meluahkan masalah
  4. Menunjukkan teladan terbaik kepada anak-anak
  5. Memberikan didikan agama dan sokongan moral
  6. Menunjukkan akibat sekiranya mereka terjebak dalam gejala sosial

Pendahuluan

Perkembangan media sosial mutakhir ini telah menyebabkan pelbagai berita yang berkisarkan kehidupan masyarakat dikongsi dan dipertontonkan oleh khalayak ramai. Ada perkongsian yang menghiburkan, memberikan inspirasi dan motivasi tetapi ada juga perkongsian yang tidak menenangkan. Misalnya perkongsian berkenaan gejala-gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Gejala sosial boleh didefinasikan sebagai satu perbuatan yang sia-sia seperti penyalah gunaan dadah, pergaulan bebas dan lumba haram.

Polemik yang semakin membarah ini jika tidak dibendung pasti akan memudaratkan perkembangan anggota masyarakat kita. Secara peribadi, insan yang paling rapat dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara ini tidak berlaku adalah ibu dan bapa. Oleh itu, mari kita huraikan apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh ibu dan bapa untuk menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Isi 1

Sebagai ibu dan bapa yang mendirikan rumah tangga atas dasar kasih dan sayang, anak-anak juga hendaklah dibesarkan dengan dasar yang sama. Salah satu cara untuk meluahkan kasih dan sayang terhadap anak-anak adalah dengan meluangkan masa bersama mereka. Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan bersama secara keluarga di waktu lapang supaya anak-anak tidak mempunyai masa untuk terjebak dengan gejala sosial. Contohnya, melakukan aktiviti riadah atau sukan bersama-sama. Aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain dan menjamin kesihatan diri.

Anak-anak juga akan didedahkan kepada aktiviti yang sihat untuk dilakukan apabila mereka mempunyai masa lapang. Apabila ibu dan bapa mendedahkan anak-anak kepada aktiviti yang menyeronokkan mereka, akan timbul rasa minat dan seterusnya menjadi hobi. Daripada hobi pula boleh berkembang menjadi kerjaya mereka suatu hari nanti. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharnya, meluangkan masa bersama anak-anak dapat memabntu menangani gejala sosial.

Isi 2

Setelah menjelang keremajaan, anak-anak lebih gemar untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan. Ibu dan bapa tidak seharusnya menghalang mereka untuk bergaul dengan rakan-rakan sebaliknya memastikan mereka bergaul dalam kalangan rakan dan persekitaran yang sihat. Hal ini demikian kerana, pengaruh rakan sebaya merupakan antara penyebab gejala sosial berlaku. Ibu dan bapa hanya perlu mengenali keluarga rakan-rakan yang bergaul bersama dan mengetahui keberadaan mereka apabila keluar melakukan aktiviti.

Pemantauan terhadap anak-anak pada hari ini bukan sahaja terhadap dunia realiti mereka tetapi juga dunia maya mereka. Penggunaan sosial media oleh anak-anak hendaklah sentiasa diperhati oleh ibu dan bapa supaya mereka tidak mengakses maklumat yang salah dan membahayakan mereka. Tegasnya, pemantauan oleh ibu dan bapa terhadap anak-anak adalah mustahak untuk membanteras gejala sosial daripada berlaku.

Isi 3

Langkah seterusnya adalah ibu dan bapa hendaklah menjadi tempat utama anak-anak untuk meluahkan masalah mereka. Situasi ini penting kerana ia melibatkan tahap kepercayaan anak-anak kepada ibu dan bapa masing-masing. Apabila anak-anak berkongsi masalah dengan ibu atau bapa mereka, mereka berharapa ibu dan bapalah insan yang paling mereka percayai dan mampu untuk menyimpan rahsia atau menyelesaikan masalah mereka. Secara langsung, hubungan antara ibu, bapa dan anak-anak akan menjadi lebih erat dan mempercayai anatara satu sama lain.

Sekiranya ibu dan bapa gagal untuk mendengar luahan perasaan anak-anak mereka, ia akan memaksa mereka untuk menghadapi masalah seorang diri. Kesannya, mereka akan tertekan dan terdorong untuk melakukan perkara-perkara yang melibatkan gekjala-gejala sosial. Intihannya, menjadi pendengar masalah kepada anak-anak dapat membantu mereka menjauhi gejala sosial.

Isi 4

Akhir sekali, gejala sosial dalam kalangan generasi muda dapat ditangani dengan menunjukkan teladan terbaik kepada mereka. Sejak lahir lagi anak-anak akan cuba melakukan apa yang mereka perhatikan berlaku disekeliling mereka. Maka, ibu dan bapa seharusnya menjaga tingkah laku dan sentiasa bertutur dengan baik. Tidak dinafikan kita pastinya ada kelemahan tetapi kehadiran zuriat yang dianugerahkan oleh Tuhan adalah asbab untuk kita berubah menjadi insan yang terbaik. Seiring dengan pendidikan sivik dan moral yang mereka pelajari di sekolah, anak-anak akan terinspirasi jika mereka melihat ibu dan bapa mereka mengamalkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Persis kata peribahasa, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Jelaslah bahawa teladan yang baik daripada ibu dan bapa dapat membantu mengatasi masalah gejala sosial yang membelenggu generasi muda.

Penutup

Tuntasnya, banyak langkah yang boleh dipraktikkan oleh ibu dan bapa untuk menangani masalah sosial yang kian membarah. Demi memastikan nusa bangsa kita bertambah maju dan berjaya di masa hadapan, tindakan-tindakan yang dibincangkan hendaklah dilaksanakan. Hal ini kerana ia merupakan tunjang kepada masa hadapan negara. Cuba kita bayangkan jika semua anak-anak muda terjebak dalam geajala sosial? Siapa yang akan menggantikan pemimpin negara? Siapa pula yang akan menyumbang kepada ekonomi negara? Oleh itu, setiap tindakan yang memastikan kebajikan anak-anak terjamin wajar disokong dan diberikan perhatian oleh semua pihak. Sebelum padi di tangan menjadi lalang, sebaiknya kita berganding bahu memanifestasikan tindakan yang telah dibincangkan demi kemaslahatan bersama.

Related : meluangkan masa untuk, kerana anak anak, modal insan, kalangan remaja, institusi keluarga, peranan ibu bapa, ahli keluarga, golongan remaja, mendidik anak anak,