Usaha Menggalakkan Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian. Contoh karangan cara menarik golongan remaja menjadi petani moden.

Usaha Menggalakkan Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

contoh karangan usaha menggalakkan golongan muda menceburi pertanian

Selain daripada karangan yang bertemakan pelajar, soalan yang berkaitan dengan alam pekerjaan juga sering diajukan dalam peperiksaan. Para pelajar seharusnya peka dengan pengetahuan am mengenai kerjaya suapaya dapat menjawab soalan yang diberikan. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan usaha menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian.

Golongan muda tidak gemar untuk menceburi bidang pertanian kerana memerlukan tenaga fizikal yang banyak dan pulangan atau bayarannya tidak setimpal dengan bekerja di pejabat yang mempunyai pendingin hawa. Namun begitu, persaingan yang kuat telah menyebabkan peluang pekerjaan di kawasan bandar menjadi terhad dan golongan muda berhijrah semula ke kampung. Salah satu pekerjaan yang boleh dilakukan oleh mereka adalah pertanian yang mudah untuk diusahakan di kawasan luar bandar.

Usaha-Usaha Menggalakkan Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

Di bawah dikongsikan contoh karangan cara menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian untuk rujukan pelajar. Turut disertakan adalah isi-isi penting yang berkenaan denagn tema yang diberikan.

Isi-isi penting

  1. Meningkatkan kemajuan sektor pertanian negara
  2. Menambah baik institusi pendidikan dalam sektor pertanian
  3. Memudahkan urusan pembukaan ladang pertanian dan pemberian insentif
  4. Pendedahan dan galakan daripada ibu bapa
  5. Memberikan subsidi alatan pertanian seperti benih, baja dan mesin
  6. Melaksanakan kempen kesedaran secara berkala

Pendahuluan

Ramai diantara kita berpendapat bahawa kemajuan sesebuah negara diukur dengan kemajuan ekonomi serta pembangunan dalam negara tersebut. Negara yang mempunyai bangunan pencakar langit, jaringan pengangkutan yang canggih serta pengaplikasian teknologi dalam kalangan masyarakat sering menjadi perbandingan antara negara maju dan negara membangun.

Tidak terkecuali, negara kita juga memfokuskan kemajuan pembangunan untuk bersaing di peringkat global sehingga menganak tirikan salah satu sektor utama ekonomi negara pada masa dahulu iaitu sektor pertanian. Ibarat peribahasa Melayu, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Oleh yang demikian, inisiatif yang seimbang untuk memajukan semua sektor terutamanya pertanian perlu dilaksanakan supaya membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda. Mari kita bincangkan apakah usaha untuk menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian?

Isi 1

Langkah pertama dalam menggalakkan golongan muda untuk menceburi bidang pertanian adalah dengan meningkatkan kemajuan sektor pertanian negara. Saban tahun, pemimpin negara lebih memfokuskan kemajuan berasaskan pembangunan infrastruktur sehingga tanah yang digazetkan sebagai tanah pertanian ditukar menjadi tanah komersial. Tindakan yang hanya menguntungkan beberapa pihak ini wajar dihentikan dan satu visi yang jelas perlu diperjuangkan untuk kepentingan sektor pertanian negara.

Apabila pihak berkuasa membawa sebuah visi untuk meningkatkan sektor pertanian negara, pasti ia dapat menarik minat pemuda-pemudi untuk menceburi bidang ini kerana pelabur akan datang serta peluang pekerjaan akan meluas. Polisi atau dasar seperti menggalakkan penggunaan teknologi dron dalam pertanian adalah salah satu contoh mudah untuk menarik minat golongan muda. Tegasnya, golongan muda akan tertarik untuk menyertai bidnag pertanian jika pemimpin negara mempunyai kehendak yang jelas dalam memajukan sektor pertanian di tanah air kita.

Isi 2

Usaha lain yang boleh dilaksanakan untuk menarik minat anak watan terhadap bidang pertanian adalah dengan menambah baik institusi pendidikan dalam sektor pertanian. Setakat ini, institusi pendidikan yang khusus untuk pertanian hanya terdapat satu di peringkat menengah atas iaitu di kolej vokasional dan di universiti awam. Pendedahan yang lewat ini sebenarnya menyumbang kepada faktor kurangnya minat golongan muda dalam bidang pertanian.

Selain memperbanyakkan institusi pendidikan berkaitan pertanian, kursus atau bengkel kemahiran pertanian perlu dilaksanakan dengan lebih menarik. Agensi kerajaan yang bertanggungjawab menganjurkan aktiviti ini boleh menggunakan media sosial untuk menunjukkan potensi sektor pertanian masa kini dan kaedah terbaru yang digunakan dalam bidang pertanian. Sekiranya pendidikan mengenai sektor pertanian ini diterima dengan jelas oleh segenap ahli masyarakat terutamanya golongan muda, ia seharusnya dapat memupuk minat dalam diri mereka untuk menceburi pertanian suatu hari nanti.

Isi 3

Pada masa yang sama, agensi kerajaan boleh memainkan peranan dengan memudahkan urusan pembukaan ladang pertanian dan pemberian insentif kepada petani-petani muda. Insentif seperti geran bantuan daripada kerajaan dapat membantu golongan muda untuk mendapatkan modal permulaan kepada perusahaan pertanian mereka. Inisiatif seperti pengenalan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) oleh Jabatan Pertanian memmudahkan golongan muda untuk mendapatkan tanah untuk bertani.

Tambahan pula, subsidi yang diberikan kepada petani untuk mendapatkan benih atau baja misalnya dapat juga mengurangkan kos permulaan bagi golongan petani muda. Namun, selepas mendapat keuntungan mereka tidak seharusnya bergantung kepada subsidi yang diberikan kerana ia membuka peluang kepada petani muda lain untuk turut berkecimpung dalam industri ini. Persis kata peribahasa, di mana ada gula, di situ ada semut. Jika sektor pertanian mampu menunjukkan bukti bahawa anak muda boleh menjana kewangan yang stabil dan lumayan, minat terebut bukan sahaja datang dari golongan muda malah golongan tua juga.

Isi 4

Akhir sekali, inisiatif untuk menarik minat golongan pemuda menyertai bidang pertanian adalah bermula daripada galakan ibu dan bapa di rumah. Melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Peribahasa yang jelas menunjukkan pembentukan keperibadian seseorang mestilah bermula sejak mereka kecil. Maka penting untuk ibu dan bapa menjalankan tanggungjawab menjadi seorang tauladan yang baik dan memberikan pendedahan yang secukupnya untuk anak-anak dalam sektor pertanian.

Ibu dan bapa boleh membawa anak-anak mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) yang diadakan setiap dua tahun sekali. Di pameran tersebut, anak-anak akan terdedah kepada semua sektor yang terlibat dalam bidang pertanian dan membuka mata serta minat mereka terhadap bidang tersebut. Tuntasnya, jika anak-anak muda didedahkan kepada bidang pertanian sejak usia muda, mereka pasti dapat memupuk semangat untuk cinta terhadap pertanian.

Penutup

Kesimpulan daripada perbincangan di atas,  banyak usaha yang boleh dilaksanakan untuk menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian. Stigma masyarakat yang melabel kerja petani sebagai pekerjaan kampung dan tidak berpendidikan tinggi wajar diubah. Kini terdapat petani yang berusaha dari bawah sehingga dapat menghasilkan pendapatan sehingga lima angka sebulan. Kita hanya perlu meluaskan horizon pemikiran dan berusaha sehingga mencapai tahap yang diingankan.

Pihak kerajaan pula berperanan untuk memastikan setiap agensi bekerjasama untuk meningkatkan sektor ekonomi negara serta mendengar masalah yang dihadapi oleh petani. Semua pihak yang menjalankan perihal masing-masing akan menyumbang kepada kemajuan sektor pertanian negara sekaligus menarik minat golongan muda untuk berkecimpun dalam industri pertanian.

Related : luas dalam bidang pertanian, aktiviti pertanian, projek pertanian, untuk menjadikan, industri pertanian negara,