Langkah-Langkah Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar. Contoh karangan cara membendung alam sekitar daripada dicemari.

Langkah-Langkah Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar

contoh karangan langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar

Salah satu teknik menjawab soalan penulisan karangan Bahasa melayu adalah dengan memilih tema atau tajuk yang umum. Namun, pelajar perlu memahami kehendak soalan sama ada ingin mendapatkan cara, faedah atau kesan daripada sesebuah topik tersebut. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan contoh karangan langkah-langkah mengatasi pencemaran alam sekitar.

Setiap hari, jumlah penduduk di muka bumi ini bertambah tetapi luas permukaan bumi untuk didiami kekal begitu sahaja. Manakala sumber alam yang diperlukan semakin hari semakin berkurangan. Bagi memastikan kelangsungan hidup generasi masa hadapan, kita perlu memelihara alam sekitar kita daripada sebarang pencemaran. Jika pencemaran dibiarkan dan cucu-cicit kita kehilangan sumber bahan mentah, bagaimana mereka ingin meneruskan kehidupan?

Langkah-Langkah Untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar

Di bawah dikongsikan contoh karangan bertajuk Langkah Untuk Menangani atau membendung masalah Pencemaran Alam Sekitar. Turut disertakan adalah isi-isi penting yang sesuai dan berkaitan dengan tema mengatasi pencemaran alam sekitar.

Isi-isi penting

  1. Melaksanakan dasar kerajaan dan polisi pentadbiran yang mesra alam
  2. Memperkasa pendidikan mengenai penjagaan alam sekitar
  3. Menyediakan pengurusan sisa yang terbaik
  4. Menghukum pesalah laku dengan hukuman yang

Pendahuluan

Fenomena pemanasan global semakin hari semakin menjadi realiti. Kenaikan suhu bumi yang kian terasa di setiap pelusuk dunia telah menjadi tajuk berita dan amaran yang diberikan oleh para saintis kini dialami sendiri oleh manusia. Salah satu punca berlakunya perubahan iklim yang ekstrim dan tidak menentu ini adalah disebabkan pencemaran terhadap alam sekitar. Tamadun manusia telah mengecapi suatu kejayaan apabila sektor perindustrian diperkenalkan.

Namun disebalik kejayaan tersebut, pemeliharaan alam sekitar telah terabai dan meninggalkan kesan kepada kita generasi hari ini. Berbekalkan kemajuan sains dan teknologi ketika ini, kita masih berpeluang untuk memperbaiki kesilapan generasi terdahulu agar khazanah alam yang kita miliki dapat dinikmati selamanya. Oleh yang demikian, penting untuk kita mengetahui apakah langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar demi kemaslahatan manusia sejagat.

Isi 1

Langkah pertama untuk mengatasi pencemaran alam sekitar adalah dengan melaksanakan dasar kerajaan dan polisi pentadbiran yang mesra alam. Pihak kerajaan berperanan besar dalam membentuk undang-undang yang wajid dipatuhi oleh rakyat yang menetap di negara tersebut. Maka, penggubal polisi dan undang-undang negara bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar yang mementingkan pemeliharaan alam sekitar. Sebagai contoh, dasar negara bebas karbon pada tahun 2050 perlu dilaksanakan dengan tepat dan menyeluruh. Perlepasan gas karbon ke udara perlu dikurangkan secara berperingkat bermula hari ini.

Pihak kerajaan juga perlu menukarkan cara kita menjana kuasa elektrik pada hari ini iaitu dengan pembakaran arang batu dan menggantikannya dengan penjanaan kuasa yang boleh diperbaharui. Pelbagai alternatif dan teknologi yang telah dicipta supaya mesra alam tetapi memerlukan modifikasi dan kos untuk menggunakannya secara domestik. Ibarat peribahasa, dayung sudah di tangan, perahu di air. Tegasnya, Dengan melaksanakan dasar dan polisi yang mesra alam, pemeliharaan alam sekitar pasti dapat

Isi 2

Langkah seterusnya untuk mengatasi pencemaran alam sekitar adalah dengan memperkasa pendidikan mengenai penjagaan alam sekitar. Pepatah melayu ada berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitu juga apabila kita ingin mendidik generasi muda supaya menghargai alam sekitar dan tidak melakukan pencemaran. Pendidikan mengenai kepentingan alam sekitar terhadap kehidupan manusia dan tahap kebergantungan kita kepada satu-satunya alam yang boleh kita diami ini adalah signifikan. Misalnya jika sungai-sungai dicemari dengan sisa toksik, mereka mungkin sukar untuk mendapat sumber air bersih untuk kegunaan harian.

Pendidikan mengenai contoh-contoh tindakan yang mencemarkan alam sekitar juga penting untuk mereka mengetahui modus operandi pesalah laku terhadap alam sekitar. Apabila pendedahan seperti ini diberikan kepada mereka yang berusia setahun jagung, pastinya mereka akan melakukan perkara yang betul untuk memastikan kelangsungan generasi mereka kekal. Jelasnya, pencemaran terhadap alam sekitar dapat diatasi melalui pendidikan yang efektif dan berkesan.

Isi 3

Di samping itu, kaedah untuk membendung pencemaran alam sekitar adalah dengan menyediakan pengurusan sisa yang terbaik. Secara konvensional, kita membuang sampah tanpa mengasingkan kategorinya dan akhirnya loggokan sampah tersebut akan dibiarkan lupus di tanah pelupusan sampah. Jika kaedah konvensional ini berterusan, jumlah tanah pelupusan sampah akan bertambah dan menyebabkan pencemaran berlaku. Justeru, sebagai individu kita perlu mengamalkan budaya kitar semula secara proaktif. Dengan melakukan kitar semula, kita dapat mengurangkan jumlah sisa sampah dan pencemaran dapat dikurangkan.

Dari aspek masyarakat pula, kita hendaklah mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan khususnya pemakanan. Malaysia mencatatkan lebih 17,000 tan sisa makanan pada setiap hari. Jika kita berhemah dalam kehidupan seperti memastikan makanan kita dimakan sehingga habis dan sisanya digunakan untuk membaja pastinya jumlah sisa sampah dapat dikurangkan. Intihannya, budaya pengurusan sisa sampah yang baik dapat membantu mengatasi pencemaran alam sekitar.

Isi 4

Akhir sekali, pencemaran alam sekitar dapat diatasi dengan menghukum pesalah laku terhadap dengan hukuman yang berat. Pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar sewajarnya menguatkuasakan undang-undang dan menghukum pihak yang berkenaan. Jika kita lihat pada hari ini, hanya segelintir kilang industri yang dibina mengikut piawai yang ditetapkan oleh kerajaan. Dan juga terdapat berita mengenai kilang yang membuang sisa toksik terus ke sungai atau parit sebelum merawat sisa tersebut.

Sikap pemain industri yang seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing akan menyebabkan pencemaran untuk terus berlaku. Oleh sebab itu, apabila pesalah ditangkap dan dikenakan hukuman yang berat seperti menarik lesen perniagaan atau kilang mereka. Jika hukuman hanya sekadar bayaran denda, mereka pasti akan mengulangi kesalahan yang sama kerana hukuman tersebut tidak memberikan kesan kepada mereka. Izharnya, pencemaran alam sekitar boleh diatasi sekiranya pesalah yang membuat pencemaran dihukum dengan berat sebagai iktibar kepada masyarakat umum.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pencemaran kepada alam sekitar. Tidak dinafikan masalah pencemaran alam sekitar merupakan satu isu yang tidak asing lagi di negara kita. Anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan inisiatif-inisiatif mengatasi pencemaran alam sekitar dilaksanakn dengan efisien. Hari ini kita sendiri dapat mengalami kesan pencemaran seperti jerebu, banjir kita dan sebagainya. Cuba fikirkan apa yang bakal dihadapi oleh anak cucu kita nanti jika pencemaran terhadap alam sekitar ini tidak dibendung? Ibarat peribahasa melayu berkata, ingat antara belum kena, hemat antara belum habis. Semoga usaha yang kita lakukan hari ini memberikan hasil kepada generasi akan datang untuk manfaat mereka.

Related : pencemaran air, kebersihan alam, untuk menjadi, usaha untuk, pihak sekolah, menjaga alam, surat khabar,