Usaha-Usaha Meningkatkan Mutu Sukan Negara (Langkah). Contoh karangan cara memajukan program pembangunan sukan di negara ini.

Usaha-Usaha Meningkatkan Mutu Sukan Negara (Langkah)

contoh karangan usaha usaha meningkatkan mutu sukan negara

Sebelum ini, kita melihat sukan sebagai satu aktiviti di masa lapang tetapi kini sukan merupakan satu industri yang mampu menaikkan imej dan martabat negara. Melihat atlet kebangsaan beraksi di pentas antarabangsa menjadi satu kebiasaan yang perlu kita banggakan. Berikut dikongsikan contoh karangan usaha-usaha meningkatkan mutu sukan negara untuk panduan semua.

Para pelajar semestinya mampu menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu yang berkaitan dengan sukan kerana penglibatan diri di peringkat sekolah. Aktiviti yang memberikan banyak manfaat ini mempunyai banyak sudut yang boleh dihuraikan dan berkembang menjadikan penulisan karangan anda menarik dan unik daripada pelajar lain.

Langkah Memajukan Mutu Sukan Di Negara Ini

Di bawah dikongsikan huraian dan isi-isi penting berkaitan karangan usaha-usaha meningkatkan mutu sukan negara.

Isi-Isi Penting

  1. Memperkasa infrastruktur sukan sedia ada
  2. Mengurangkan birokrasi dalam persatuan sukan
  3. Membawa kepakaran daripada negara luar
  4. Mendedahkan atlet dalam kejohanan antarabangsa
  5. Menggunakan sains dan teknologi dalam pembangunan sukan
  6. Memastikan sokongan daripada ibu, bapa dan pihak swasta

Pendahuluan

Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan Nicol Ann David merupakan tiga nama atlet sukan negara yang terkenal di seluruh dunia hasil pencapaian mereka di peringkat antarabangsa. Kejayaan mereka dalam menjadi juara dunia di acara masing-masing membuktikan kita mempunyai potensi besar dalam melahirkan atlet sukan bertaraf dunia. Dalam masa yang sama juga mutu sukan negara bertambah baik dari hari ke hari.

Seperti perumpamaan Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pihak berkuasa perlu merencana rancangan untuk sentiasa memastikan mutu sukan negara ditambah baik seiring dengan kemajuan industri sukan antarabangsa. Oleh yang demikian, penting untuk kita ketahui apakah usaha-usaha meningkatkan mutu sukan negara yang boleh diaplikasikan secara realistik demi kemaslahatan atlet dan juga negara.

Isi 1

Salah satu usaha yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan mutu sukan negara adalah memperkasa infrastruktur sukan sedia ada. Umum mengetahui bahawa aktiviti sukan memerlukan gelanggang khas yang selamat untuk digunakan. Malah setiap daerah di Malaysia mempunyai pusat sukan awam yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

Namun begitu, budaya selenggara kemudahan awam yang kurang telah menyebabkan pelbagai infrastruktur sukan rosak dan tidak dapat digunakan. Lebih teruk lagi apabila terdapat projek gajah putih yang melibatkan infrastruktur sukan untuk masyarakat awam. Izharnya, mutu sukan negara akan bertambah baik sekiranya segala infrastruktur sukan diselenggara atau dibaik pulih demi kegunaan masyarakat awam dan juga atlet-atlet sukan tempatan.

Isi 2

Usaha seterusnya dalam meningkatkan mutu sukan negara adalah dengan mengurangkan birokrasi dalam persatuan sukan. Untuk pengetahuan semua, setiap jenis sukan mempunyai persatuan yang menjadi badan berkuasa untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan dan menjalankan aktiviti seperti pertandingan dan sebagainya. Maka, tanggungjawab persatuan-persatuan sukan adalah penting untuk kebajikan dan kemajuan atlet tempatan.

Terdapat segelintir persatuan dipengerusikan oleh ahli politik yang hanya menggunakan platform tersebut sebagai batu loncatan untuk mendapat nama. Perkara seperti ini harus dielakkan supaya kemelut seperti yang dihadapi oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia yang digantung oleh badan antarabangsa tidak berulang. Kerenah birokrasi yang lapuk dalam pengurusan persatuan sukan perlu dikurangkan dan pengurusan profesional serta penglibatan ahli yang mempunyai latar belakang berkaitan sukan terbabit wajar digalakkan. Persis peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih.

Isi 3

Mutu sukan negara juga boleh ditambah baik sekiranya mendapat sentuhan kepakaran daripada negara luar. Sebagai sebuah negara membangun, kita masih mempunyai banyak ruang untuk dipelajari daripada negara maju yang sudah lama berkecimpung dalam pelbagai industri. Justeru, langkah untuk membawa masuk kepakaran asing seperti jurulatih ke dalam arena sukan tempatan adalah langkah yang baik.

Pada masa yang sama juga, jurulatih tempatan boleh turut sama dihantar ke negara luar untuk mendapatkan pengalaman. Usaha ini dapat menambah dinamika pertumbuhan industri sukan negara kerana atlet mempunyai peluang untuk mendapatkan bimbingan secara teknikal dan bukan teknikal daripada pakar yang bukan jaguh kampung. Jelasnya, membawa kepakaran dari negara luar dapat meningkatkan mutu sukan negara.

Isi 4

Akhir sekali, inisiatif yang boleh dilakukan untuk menambah baik mutu sukan negara adalah dengan mendedahkan atlet-atlet tempatan dalam kejohanan antarabangsa. Sukan secara fitrahnya adalah pertandingan antara atlet untuk mencapai kemenangan dan menjadi terbaik. Maka, naluri kompetitif dalam kalangan atlet perlu dikembangkan di peringkat antarabangsa supaya tahap intensiti dapat dibentuk sejak muda lagi.

Tambahan pula, tempoh masa seorang atlet untuk berada di tahap yang terbaik adalah pendek berbanding kerjaya lain. Oleh yang demikian, menghantar atlet tempatan menyertai pertandingan di peringkat dunia pada usia remaja dapat membantu atlet untuk mendapat pengalaman dan meraih pendapatan. Tuntasnya, mutu sukan negara boleh ditingkatkan dengan memberi pendedahan kepada atlet untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa sejak usia muda.

Penutup

Kesimpulannya, banyak usaha yang boleh dilaksanakan untuk memastikan mutu sukan negara meningkat dari masa ke masa. Setiap pihak perlu sedar, sukan adalah satu industri yang mampu menjana wang dan menyatukan sesebuah masyarakat dalam negara. Atlet tempatan mampu menjadikan sukan sebagai kerjaya begitu juga dengan kakitangan lain yang terlibat dengan industri tersebut. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Semoga bakat-bakat sukan yang terdapat di negara ini dapat digilap dengan baik dan seterusnya menjulang nama negara di persada dunia.

Related : bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, sekolah sukan, keghairahan memenuhi agenda peribadi menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah dianaktirikan, mencungkil bakat
diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, langkah meningkatkan mutu sukan negara, luar negara, bola sepak,
ahli sukan,