Bagi menguji keupayaan pelajar dalam Bahasa Melayu, Komponen Sastera telah diperkenalkan di peringkat menengah. Pelajar dikehendaki mengkaji karya seperti novel, cerpen, puisi dan sebagainya dan menghuraikan beberapa aspek dalam karya tersebut. Berikut dikongsikan maklumat berkaitan Novel Bimasakti Menari : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai untuk rujukan semua.
Karya sastera ini dipilih untuk menjadi salah satu novel di dalam Komponen Sastera Tingkatan 5 kerana ia menceritakan kisah yang mengangkat kepentingan alam sekitar. Penulis novel ini, Sri Rahayu Mohd Yusop merupakan seorang guru sekolah menengah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Tun Fatimah sebelum melanjutkan pelajaran di New Zealand.
Nota Novel Bimasakti Menari : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Plot & Pengajaran
Di bawah dirangkumkan nota-nota penting yang terkandung dalam Novel Bimasakti Menari : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai dan pengajaran. Selain itu, turut dikongsikan adalah plot, latar, watak dan perwatakan serta contoh soalan yang dikeluarkan di dalam peperiksaan.
Sinopsis
Nurul Hafsa yang merupakan watak utama dalam novel ini bertugas sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin. Hafsa telah dikunjungi oleh pelajar dari Jepun untuk melihat buruj dengan mata kasar tetapi terdapat masalah yang menyebabkan mereka tidak berpeluang pada malam tersebut. Nurul Hafsa berkunjung ke Kampung Kuantan untuk melihat sendiri kelip-kelip tetapi malangnya sudah tidak banyak seperti dahulu. Budiman mengajak Nurul Hafsa untuk berjumpa dengan Muhammad Taufik yang merupakan pemilik anak sungai di Kampung Kuantan. Menurut Taufik, anak sungai tersebut dipagar dan menghalang bot atau sampan melaluinya supaya populasi kelip-kelip tidak terancam.
Satu pembentangan yang dinamakan Projek Kawasan Simpan Langit Gelap oleh Nurul Hafsa telah dibuat dihadapan Menteri Besar, ahli akademik, ahli perniagaan dan orang awam di bangunan SUK Shah Alam. Projek tersebut mendapat tentangan oleh Dato’ Johann Arlington dan telah mengupah tiga orang tonto untuk menyiasat dan memastikan projek tersebut tidak berjaya. Taufik telah terlibat dengan kemalangan dan Ketua Inspektor Lim mengesyaki kemalangan itu dirancang oleh musuhnya. Kemudian Hafsa pula diculik dan Budiman telah dipukul. Taufik cuba membebaskan Hafsa dengan mengikuti arahan penculik untuk berjumpa di stesen minyak Petronas. Nurul Hafsa dibebaskan dan sebaliknya Taufik yang diculik. Hafsa terus membuat laporan polis di IPD Kuala Selangor. Balai Polis Bestari Jaya mendapat aduan penduduk tentang aktiviti yang mencurigakan dan Pasukan Gerak Khas telah berjaya menyelamatkan Taufiki dan menembak tiga orang lelaki
Nurul Hafsa, Budiman dan Haji Yassir berada di Masjid Jamik Sultan Ibrahim Kuala Selangor untuk menghadiri kenduri kesyukuran bagi meraikan pernikahan kali kedua Tan Sri Muhaimin dan bekas isterinya. Tan Sri Muhaimin telah mengucapkan syukur kerana anak dan isterinya kembali bersama serta musuh perniagaannya Dato’ Johann Arlington pula bakal dihadapkan ke muka pengadilan. Dalam majlis tersebut, Taufik telah meluahkan isi hatinya kepada Nurul Hafsa.
Tema
Novel ini menceritakan tema berkenaan kegigihan individu yang muda untuk memelihara kelestarian alam sekitar
Persoalan
1) Persoalan memelihara alam sekitar
- Nurul Hafsa, Budiman dan Muhammad Taufik menjalankan tanggungjawab mereka untuk memelihara alam sekitar dengan menghalang pembangunan yang tidak terancang di Kuala Selangor sekaligus mencemar cahaya
2) Persoalan kerjasama dalam melakukan tugas untuk mencapai misi yang sama
- Muhammad Taufik, Nurul Hafsa dan Budiman bekerjasama untuk membentangkan projek Kawasan Simpan Langit Gelap
3) Persoalan menangani masalah dengan bijak
- Nurul Hafsa memberikan hujah yang diterima oleh pengunjung apabila aktiviti cerapan bintang tidak dapat dilakukan kerana langit cerah
4) Persoalan ketaatan kepada ajaran agama
- Budiman menemani Nurul Hafsa untuk berbincang dengan Muhammad Taufik di Perpustakaan Awam Sultan Syarifuddin kerana mereka bukan mahram
5) Persoalan dendam yang tidak berkesudahan
- Dato’ Johann Arlington masih berdendam dengan Tan Sri Muhaimin yang berkahwin dengan Maryam Wickham dan berhasrat untuk menghalang projek anaknya
Watak dan perwatakan
1) Nurul Hafsa
- Watak utama yang merupakan anak kepada Haji Yassir dan adik kepada Budiman
- Bekerja sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor
- Seorang yang bijak kerana setelah menamatkan pengajian di luar negara, dia mendapat peluang untuk bekerja sebagai Pegawai Sains
- Seorang yang berazam tinggi. Nurul Hafsa Dan Muhammad Taufik gigih menghadapi cabaran untuk mewujudkan Kawasan Simpan Langit Gelap di Kampung Kuantan
- Seorang yang baik hati apabila dia prihatin dengan nasib yang menimpa Muhammad Taufik yang cedera diserang oleh musuh mereka.
2) Budiman
- Anak kepada Haji Yassir dan abang kepada Nurul Hafsa
- Bertugas sebagai Guru Sains di SMk Tanjung Keramat
- Seorang yang bertanggungjawab kerana menemani adiknya Nurul Hafsa untuk berjumpa dengan Muhammad Taufik
- Seorang yang taat. Budiman dan Muhammad Taufik taat perintah agama apabila selalu menunaikan solat berjemaah di masjid
3) Muhammad Taufik
- Anak tunggal kepada Tan Sri Muhaimin
- Pencinta kepada alam sekitar
- Seorang yang penyabar apabila berhadapan dengan Nurul Hafsa yang marah dengan tindakannya memagar sungai di Kampung Kuantan
- Seorang yang berterus terang. Meluahkan isi hatinya kepada Nurul Hafsa
4) Tan Sri Muhaimin
- Bapa kepada Muhammad Taufik
- Seorang yang bertanggungjawab kerana menjalankantugas sebagai bapa walaupun selepas bercerai dengan isterinya, Puan Wickham
- Seorang yang berpengaruh besar. Beliau menggunakan pengaruhnya untuk membuka peluang kepada Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa membentangkan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor
5) Maryam Wickham
- Ibu kepada Muhammad Taufik
- Seorang yang penyayang. Menyayangi anaknya walaupun telah bercerai dan memasakkan makanan untuk suaminya
Plot
1) Permulaan
Pada hari pertama Nurul Hafsa bekerja di Balai Cerap Sultan Salahuddin, sekumpulan murid dari Jepun telah berkunjung untuk mencerap bintang. Sebagai Pegawai Sains, dia ditugaskan untuk melayani rombongan tersebut yang diiringi oleh Puan Wickham. Malangnya, aktiviti mencerap bintang pada malam itu tidak boleh dilakukan kerana langit terlalu cerah. Nurul Hafsa berhasrat untuk ke Kampung Kuantan bagi melihat kelip-kelip. Tetapi niatnya tidak kesampaian kerana sungai yang perlu dilalui telah dipagar dan menghalang bot atau sampan untuk melalui sungai tersebut.
2) Perkembangan
Nurul Hafsa berkunjung ke Pejabat Daerah untuk melaporkan pencemaran cahaya yang menghalang aktiviti mencerap bintang dan kelip-kelip. Budiman kemudian mempertemukan Nurul Hafsa dengan Muhammad Taufik yang merupakan individu yang memagar sungai di Kampung Kuantan. Mereka bersetuju untuk melaksanakan projek Kawasan Simpan Langit Gelap. Dengan pengaruh Tan Sri Muhaimin, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik berpeluang untuk membentangkan projek tersebut dihadapan Menteri besar dan pegawai daerah.
3) Perumitan
Sebaik sahaja pembentangan dilaksanakan, projek tersebut ditentang oleh Dato’ Johann Arlington-Majid. Beliau yang merupakan pembekal lampu menolak cadangan projek tersebut dan sebenarnya berdendam dengan Tan Sri Muhaimin kerana Maryam Wickham telah memilih tan sri sebagai pasangan hidup. Muhammad Taufik telah diserang ketika pulang dari masjid. Selepas mendengar penjelasan Tan Sri Muhaimin, Menteri Besar Selangor telah bersetuju untuk meneruskan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor.
4) Klimaks
Nurul Hafsa telah diculik dan Muhammad Taufik yang sepatutnya mengikuti ibunya balik ke New Zealand telah menurut arahan penculik Nurul Hafsa untuk berjumpa di stesen minyak Petronas. Nurul Hafsa telah dibebaskan dan sebaliknya penculik menculik Muhammad Taufik. Nurul Hafsa segera membuat laporan polis di balai Polis Bestari Jaya. Inspektor Lim menubuhkan pasukan Gerak Khas setelah menerima aduan daripada penduduk tentang aktiviti yang mencurigakan dan polis berjaya menyelamatkan Taufik
5) Peleraian
Tan Sri Muhaimin mengambil keputusan untuk bernikah semula dengan bekas isterinya. Pada majlis perkahwinan ibu dan bapanya, Muhammad Taufik telah meluahkan isi hatinya kepada NUrul Hafsa dan melamarnya.
Teknik Plot
- Teknik Kejutan : Nurul Hafsa ditolak keluar dari kenderaan oleh penculik
- Teknik Saspens : Pengemudi bot yang membawa Nurul Hafsa untuk melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan
- Teknik Monolog : Ya enam ekor kelip-kelip, Nurul Hafsa berdetik dalam hati
- Teknik Imbas Kembali : Dato Johann yang mengingati kembali permusuhannya dengan Tan Sri Muhaimin
- Teknik Dialog : perbualan antara Dato’ Mustafa dengan Dato’ Johann mengenai pendapat Menteri Besar
Latar
1) Latar Tempat
- Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor – Tempat dimana Nurul Hafsa bekerja sebagai Pegawai Sains
- Bangunan SUK Shah Alam – Nurul Hafsa membuat pembentangan Projek Kawasan Simpan Langit Gelap
- Kampung Kuantan – Nurul Hafsa bersama ayahnya datang untuk melihat kelip-kelip di waktu malam
- Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor – Majlis pernikahan kali kedua Tan Sri Muhaimin dan Puan Maryam
- IPD Kuala Selangor – Nurul Hafsa membuat laporan polis tentang penculikan Muhammad Taufik
2) Latar Masa
- Waktu Malam – Nurul Hafsa bersama ayahnya ke Kampung Kuantan untuk melihat kelip-kelip
- Waktu Pagi – Budiman yang terjaga pada pukul lima pagi dan tidak dapat melalapkan mata membuat keputusan untuk melawat Taufik di hospital
- Hari Jumaat – Taufik telah menerima nota daripada penculik yang menyuruhnya untuk ke stesen Petronas pada hari Jumaat pukul 8.30 pagi
- Waktu Subuh – Haji Yassir, Budiman, Tan Sri Muhaimin, Nurul hafsa dan Maryam Wickham menunaikan solat subuh di surau hospital selepas mendengar azan dari Masjid Tanjung Karang
3) Latar Masyarakat
- Masyarakat yang mengutamakan pendidikan dalam kehidupan Nurul Hafsa yang melanjutkan pelajaran sehingga ke Jordan dalam bidang Fizik dan Ilmu Falak
- Masyarakat yang mencintai alam sekitar : Muhammaad Taufik, Nurul Hafsa dan Budiman bekerjasama untuk melaksanakan projek Kawasan Simpan Langit Gelap
- Masyarakat yang mempunyai semangat setia kawan : Atas semangat setiakawan, Nurul Hafsa dan Budiman menuju ke tempat kemalangan yang dihadapi oleh Muhammad Taufik
- Masyarakat yang terdiri daripada golongan korporat : Datu Johann Arlington dan Tan Sri Muhaimin adalah golongan korporat
- Masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campur : Tan Sri Muhaimin yang berbangsa Jawa telah berkahwin dengan Maryam Wickham yang berketurunan Kaukasia
Nilai
1) Nilai bertanggungjawab : Tan Sri Muhaimin yang memebesarkan anak tunggalnya dengan sentiasa memenuhi keperluan anaknya
2) Nilai ilmu pengetahuan : Nurul Hafsa yang melanjutkan pelajaran ke Jordan untuk mendalami ilmu falak dan fizik
3) Nilai cinta akan alam sekitar : Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa berusaha untuk mengekalkan kawasan Kuala Selangor daripada pencemaran cahaya untuk memastikan habitat kelip-kelip tidak terganggu dan aktiviti pencerapan bintang dapat dilakukan
4) Nilai keberanian : Muhammad taufik yang berani untuk bergerak secara berseorangan selepas mendapat nota daripad apenculik Nurul Hafsa
5) Nilai kesyukuran : Haji Yassir bersyukur melihat Nurul Hafsa dan memeluknya serta menangis kegembiraan setelah anaknya selamat
Pengajaran
1) Kita seharusnya memelihara dan memulihara alam sekitar daripada sebarang ancaman kerana ia merupakan khazanah alam yang tidak boleh diganti dengan mudah
2) Kita mestilah menghormati dan menyayangi ibu dan bapa kita walaupun mereka telah bercerai kerana jasa mereka membesarkan kita
3) Kita hendaklah bekerjasama apabila ingin mencapai satu misi yang sama dengan individu yang lain agar misi itu tercapai dengan jayanya
Soalan Dan Jawapan
Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh soalan dan jawapan yang berkaitan dengan novel Bimasakti Menari
1) Huraikan satu peristiwa dalam novel yang anda kaji yang menimbulkan keinsafan diri
- Peristiwa yang menimbulkan keinsafan kepada pembaca berdasarkan novel Bimasakti Menari apabila Tan Sri Muhaimin yang berusaha membantu anaknya Muhammad Taufik untuk mengekalkan habitat kelip-kelip. Beliau menggunakan keupayaannya untuk membeli tanah demi menjaga alam sekitar
2) Jelaskan tema yang anda pelajari daripada novel yang anda kaji
- Berdasarkan novel Bimasakti Menari, tema yang diutarakan adalah keazaman orang muda untuk memelihara alam sekitar. Nurul Hafsa, Budiman dan Muhammad Taufik berusaha untuk memastikan habitat kelip-kelip di Kampung Kuantan tidak diganggu dan pencemaran cahaya di Kuala Selangor dikurangkan agar aktiviti cerapan bintang dapat dilaksanakan
3) Berdasarkan novel yang anda kaji, jelaskan peristiwa pada bahagian permulaan novel yang menarik minat anda
- Novel yang saya telah kaji adalah novel Bimasakti Menari karaya penulisan Sri Rahayu Mohd Yusof. Antara peristiwa yang menarik minat saya dalam novel ini adalah apabila sekumpulan pelajar dari Jepun berkunjung ke Balai Cerap Sultan Salahuddin. Selain itu, peristiwa apabila Nurul Hafsa berjanji kepada pelajar tersebut untuk mengembalikan semula kegelapan langit di Kuala Selangor menimbulkan rasa ingin tahu cara atau kaedah yang akan dilakukan olehnya
4) Nyatakan faktor-faktor populasi kelip-kelip di Kuala Selangor berkurangan
- Antara faktor yang menyebabkan kekurangan kelip-kelip di Kuala Selangor adalah pembangunan yang semakin banyak di habitat kelip-kelip dan pemasangan lampu-lampu di jeti. Selain itu, kedatangan pelancong yang semakin ramai dan tidak dikawal menyebabkan kelip-kelip mencari habitat baharu.
5) Berdasarkan novel yang anda pelajari, nyatakan peristiwa yang menarik perhatian anda di peringkat peleraian novel tersebut
- Saya telah mengkaji novel Bimasakti Menari yang merupakan karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Peleraian yang menarik dalam novel ini adalah Tan Sri Muhaimin kembali menikahi bekas isterinya Puan Maryam setelah mereka bercerai kerana kesibukan mengejar cita-cita masing-masing. Selain itu, pada masa yang sama Muhammad Taufik telah meluahkan hasrat hatinya kepada Nurul Hafsa. Peristiwa ini menunjukkan bahawa sikap keterbukaan mampu memberikan kebahagiaan kepada kita.
Diharapkan perkongsian mengenai Novel Bimasakti Menari : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai membantu pelajar untuk menghadapi ujian atau peperiksaan.
Related : budiman dan nurul hafsa, untuk menyelamatkan, otago new zealand, kecewa kerana,
Senarai Tajuk Kecil Artikel