Perhatian kepada pelajar Tingkatan tiga yang mencari rujukan untuk Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Di bawah dikongsikan nota-nota penting berkaitan Novel Tawanan Komander Caucasus : Sinopsis, Plot, Watak, Nilai untuk panduan semua. Novel yang bertemakan sains dan fantasi ini mampu membuka minda dan menambah baik penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di sekolah.
Ruzaini Yahya yang merupakan pengarang kepada novel Tawanan Komander Caucasus ini menerbitkan novel tersebut bersama Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Novel kajian pelajar Tingkatan 3 ini pertama kali dicetak pada tahun 2010 dan merupakan pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains Dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Pengarang juga telah menghasilkan karya sastera lain seperti Kumpulan Cerpen Titik Pertemuan dan Kumpulan Cerpen Remaja : Membakar Mentari.
Nota Novel Tawanan Komander Caucasus : Sinopsis, Tema, Persoalan, Plot, Watak, Nilai & Pengajaran
Sebagai rujukan kepada pelajar nota berkenaan Novel Tawanan Komander Caucasus : Sinopsis, Plot, Watak, Nilai dikongsikan dibawah. Selain itu, pelajar juga boleh merujuk tema, persoalan dan latihan soalan yang berkaitan.
Tema
Penulis novel ini menceritakan tema kegigihan remaja berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam kehidupan
Persoalan
1) Persoalan perpaduan antara kaum dalam kalangan generasi muda
- Farhani dan rakan-rakannya Chea Mei, Haikal, Devnath, Wei serta Kim Yong adalah contoh generasi muda yang berkawan baik tanpa mengira perbezaan kaum serta agama
2) Persoalan keinginan untuk berkuasa sehingga mengorbankan orang lain
- Komander Caucasus tamak untuk berkuasa sehingga memburu Puteri Coleoptera dan mengancam untuk membunuhnya
3) Persoalan kesetiaan pengikut terhadap seorang pemimpin
- Tentera kumbang setia dan patuh dengan arahan daripada ketua mereka iaitu Komander Caucasus.
4) Persoalan keberanian menghadapi cabaran
- Farhani dan rakan-rakannya berani untuk mendepani Komander Caucasus dan tenteranya
5) Persoalan kerjasama dalam menentang kejahatan dan kezaliman
- Farhani dan rakan-rakannya bekerjasama dengan Bara dan Dara Merah untuk melawan Komander Caucasus serta tenteranya
Sinopsis
Novel ini bermula apabila warga Sekolah Menengah Seri Kencana dan penduduk kampung dikejutkan dengan berita kehilangan Kim Yong yang kali terakhir dikesan apabila keluar mencari kumbang di pinggir hutan. Rakan sekelasnya Farhani, Chea Mei, Mira, Haikal, Devnath dan Wei bersimpati dan bersedih atas kehilangannya dan menziarahi Puan Lee, ibu Kim Yong. Sebulan selepas itu, Cikgu Salimah, guru sains kelas Tingkatan Satu Arif menugaskan anak muridnya untuk mencari serangga bagi menghasilkan projek zoo mini. Farhani, Chea Mei dan Mira telah ditugaskan untuk mencari kumbang. Mereka bertiga bersetuju untuk mencari kumbang di dusun datuk Farhani.
Farhani yang tiba awal telah masuk ke dusun datuknya terlebih dahulu sehingga menjumpai sebuah rumah usang dan bertindak untuk memasuki rumah tersebut hingga menuruni ruang bawah tangga yang kemudian membawanya ke dimensi lain. Mira dan Chea Mei yang tiba di dusun tersebut terkejut apabila tidak nampak kelibat Farhani. Puan Asmah, ibu Farhani bersedih dan ditenangkan oleh suaminya Encik Adnan. Peristiwa kehilangan Farhani dan Kim Yong telah menjadi bualan masyarakat setempat dan seluruh Malaysia. Cikgu Salimah yang berasa serba salah telah mengajak murid-muridnya untuk menjejaki mereka yang hilang. Mereka telah menjumpai rumah usang yang dimasuki oleh Farhani. Haikal telah mengajak Devnath dan Wei untuk kembali pada waktu malam ke rumah usang tersebut setelah dia menemui sapu tangan milik Farhani.
Farhani yang telah memasuki alam dimensi kerajaan kumbang kini ditawan oleh tentera Komander Caucasus. Dia dibawa oleh kumbang Bara untuk menghadap Maharaja Tanduk di istana. Kemudian Farhani dikurung dalam sebuah tabung uji bersaiz besar di sebuah makmal kerana Komander Caucasusu ingin menjadikannya bahan uji kaji untuk menakluk dunia manusia. Di situ, dia bertemu dengan Kim Yong yang sebelum ini hilang. Komander Caucasus ingin merampas takhta Maharaja Tanduk dan giat memburu Puteri Coleoptera yang bersembunyi dan menjadi pewaris takhta yang sah. Bara dan Bintik yang merupakan pengikut Puteri Coleoptera telah membawa sekali Farhani dan Kim yong untuk menyelamatkan diri dan menghadap Puteri Coleoptera. Haikal, Devnath dan Wei yang masuk ke ruang bawah tanah rumah usang tersebut telah memasuki dimensi kerajaan kumbang. mereka terkejut apabila menjadi tawanan kumbang yang bersaiz besar di dalam hutan. Mereka juga dikejutkan dengan Farhani dan Kim Yong yang selamat dan menceritakan bahawa kumbang-kumbang tersebut memerlukan bantuan mereka untuk menewaskan Komander Caucasus
Tempat persembunyian Puteri Coleoptera telah terbongkar oleh pembelot Dara Bintik dan mereka melarikan diri ke tempat lain. Tidak lama kemudian mereka diserang hendap dan menawan Haikal, Devnath dan Wei tetapi Farhani dan kim Yong berjaya melarikan diri. Komander Caucasus telah menaiki takhta dengan menggulingkan Maharaja Tanduk dan marah terhadap kegagalan tenteranya mendapatkan manusia yang lain. Pada suatu malam, Dara Merah, Farhani, Kim Yong dan pengikut yang lain menyusun strategi untuk menumpaskan Komander Caucasus menggunakan cecair Endosulfan. Strategi mereka berjaya dan telah membebaskan Puteri Coleoptera, Maharaja Tanduk, Bara, Haikal, Devnath dan Wei manakal Komander Caucasus, Dara Bintik dan tenteranya dikurung.
Puteri Coleoptera telah ditabalkan sebagai pemerintah baharu kerajaan kumbang dan menghadiahkan lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada logam perak kepada Farhani dan rakan-rakannya. Mereka dibenarkan pulang ke alam mereka namun kecewa apabila mereka menjadi halimunan daripada pandangan manusia. Mereka meminta bantuan kumbang Bara yang kemudian menghasilkan serum dan akhirnya mereka pulang ke bentuk asal mereka dan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Berita menegnai mereka mendapat liputan yang luas namun mereka bersepakat untuk merahsiakan cerita yang sebenar.
Watak dan Perwatakan
1) Farhani
- Watak utama yang berusia 13 tahun dan merupakan anak bongsu daripada enam orang adik-beradik
- Pelajar murid tingkatan 1 Arif di Sekolah Menengah Seri Kencana
- Seorang yang tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan
- Seorang yang bertanggungjawab dengan tugasannya seperti tugasan yang diberikan oleh guru Sainsnya, Cikgu Salimah sehingga dia mencari kumbang.
2) Haikal
- Rakan sekelas kepada Farhani
- Seorang yang berani dengan mengajak Devnath dan Wei untuk kembali kepada rumah usang pada waktu malam untuk menjejaki kehilangan Farhani
3) Kim Yong
- Rakan sekelas kepada Farhani dan Haikal
- Merupakan seorang anak tunggal kepada Puan Lee dan bapa tirinya, Encik Kwok
- Meminati serangga spesies kumbang
4) Komander Caucasus
- Merupakan ketua tentera kerajaan Kumbang
- mempunyai pengikut setia yang merupakan tentera kumbang daripada spesies yang sama
- Tamak untuk berkuasa dan merampas takhta kerajaan kumbang daripada Maharaja Tanduk
- Zalim apabila ingin menjadikan Farhani dan Kim Yong sebagai Tikus Makmal
5) Puteri Coleoptera
- Merupakan anak saudara kepada Maharaja Tanduk dan pewaris takhta koloni kumbang
- Seekor kumbang betina
- Mengenang budi apabila dia menghadiahkan Farhani dan rakan-rakannya lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada logam perak
Plot
1) Permulaan
Kim Yong yang hilang apabila mencari kumbang di pinggir hutan telah menggemparkan warga Sekolah Menengah Seri Kencana. Farhani dan rakan-rakan bersimpati dan sedih atas kehilangan Kim Yong
2) Perkembangan
Farhani yang tiba awal di dusun datuknya telah mencari dahulu kumbang apabila Chea Mei dan Mira lewat tiba. Farhani menemui sebuah rumah usang dan memasuki rumah tersebut hingga menemui ruang bawah tanah yang membawanya ke dimensi kerajaan kumbang
3) Perumitan
Semua penduduk kampung digemparkan dengan kehilangan Farhani pula. Cikgu Salimah yang menugaskan muridnya untuk mencai kumbang berasa serba salah dan mengajak muridnya untuk mencari Farhani. Haikal, Devnatah dan Wei telah menjumpai bukti Farhani berada di rumah usang di dusun tersebut. Farhani yang berada di dalam alam kerajaan kumbang telah ditawan oleh Komander Caucasus dan menemui Kim Yong. Puteri Coleoptera yang diburu Komander Caucasus meminta bantuan Farhani dan Kim Yong untuk melawan kumbang yang gila kuasa itu. Haikal, Devnath dan Wei kembali ke rumah usang di dusun datuk Farhani pada waktu malam telah memasuki alam kerajaan kumbang dan ditangkap oleh Bara
4) Klimaks
Tempat persembunyian Puteri Coleoptera telah diketahui dan mereka mencari tempat persembunyian baru. Selepas tibadi tempat persembunyian yang baharu, mereka diserang hendap tetapi Farhani dan Kim Yong berjaya meloloskan diri. Komander Caucasus berjaya menggulingkan Maharaja Tanduk dan marah kerana bahan uji kajinya untuk menakluk dunia dan manusia gagal ditangkap
5) Peleraian
Farhani, Kim Yong, Dara Merah dan pengikut yang lain berjaya menewaskan Komander Caucasus. Puteri Coleoptera ditabal sebagai pemerintah kerajaan kumbang. Farhani, Kim Yong, Haikal, Devnath dan Wei diberikan sebuah lambang kebesaran kerajaan kumbang dan dibenarkan kembali ke keluarga semula. Namun, mereka menjadi halimunan apabila kembali dan telah memeinta bantuan Bara. Dia mencipta sebuah serum dan mereka kembali ke bentuk asal sebagai manusia dan kembali ke keluarga masing-masing
Teknik Plot
- Imbas Kembali : Farhani teringat semula tentang kisah Puteri Balqis yang pernah diceritakan oleh Ustazah Hamizah
- Imbas Muka : Farhani membayangkan tindakan Komander Caucasus yang akan meratah mentah-mentah dagingnya dan Kim Yong
- Pemerian : Pengarang memerihalkan keadaan zoo mini kepunyaan KimYong yang menempatkan pelbagai jenis kumbang
- Dialog : Perbualan ibu Farhani, Puan Asmah dengan Mira dan Chea Mei ketika mereka berkunjung ke rumah Farhani
- Monolog : Farhani bermonolog sendirian dengan memujuk dirinya bahawa dia bukanlah seorang penakut kerana dia merupakan anak kepada seorang renjer hutan
Latar
1) Latar Tempat
- Rumah Usang : Haikal, Devnath dan Wei memasuki rumah tersebut untuk mencari Farhani
- Rumah Farhani : Tempat di mana Mira dan Chea Mei menelefon keluarga masing-masing untuk memaklumkan mereka berada di sana
- Halaman rumah Kim Yong : Zoo mini dibina yang menempatkan pelbagai spesies kumbang
- Rumah Kim Yong : Farhani dan rakan-rakannya menziarahi ibu Kim Yong setelah mendapat berita kehilangan Kim Yong
2) Latar Masa
- Petang : Farhani menunggu rakan-rakannya sebelum mereka bersama mencari kumbang tetapi mereka lewat
- Malam : Dara Merah mengambil botol kecil berisi Endosulfan dari tangan Farhani
3) Latar Masyarakat
- Masyarakat yang cekal dalam mendepani dugaan dan cabaran dalam kehidupan : Farhani dan Kim Yong tetap membantu Puteri Coleoptera untuk menumpaskan Komander Caucasus walaupun tiada sebarang pengalaman
- Masyarakat yang hidup dalam berbilang kaum dan agama : Haikal, Devnath dan Wei yang berkawan baik walaupun berlainan agama dan bangsa
- Masyarakat yang mementingkan pendidikan dalam kehidupan : Cikgu Slaimah menugaskan anak muridnya untuk mencari serangga dan binatang untuk membuat zoo mini bagi tujuan pembelajaran sains
- Masyarakat yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi : Farhani yang membuat rujukan di laman sesawang mengenai spesies kumbang sebelum keluar mencarinya
- Masyarakat yang prihatin terhadap keselamatan murid-murid sekolah : Cikgu Salimah serba salah dan mengajak anak muridnya untuk mencari rakan-rakan mereka yang hilang
Gaya bahasa
- Peribahasa : Umpama nila setitik, rosak susu sebelanga, sudah gaharu cendana pula
- Simile : Bunyi ranting-ranting yang dipijak umpama muzik mengiringi langkah mereka
- Personafikasi : Perasaan gementar tiba-tiba sahaja menyelinap dalam hati
- Metafora : Tiada istilah takut dalam kamus hidupnya
- Bahasa asing : Bahasa Arab, Alhamdulillah, Assalamualaikum
Nilai
1) Nilai Tanggungjawab : Farhani tekad untuk menjalankan kerja projek yang ditugaskan oleh guru sainsnya untuk mencari kumbang
2) Nilai Kerajinan : Farhani yang ingin mencari kumbang telah mencari maklumat terlebih dahulu melalui laman sesawang
3) Nilai Keberanian : Dara Merah berani untuk menundukkan Maharaja Caucasus walaupun ia hanya seekor kumbang betina
4) Nilai Hormat Menghormati : Devnath dan Wei memahami kenapa Haikal lewat untuk berkumpul kerana dia menunaikan solat isyak terlebih dahulu
5) Nilai Kasih Sayang : Puan Lee bersedih dengan kehilangan anak tunggalnya yang dilaporkan hilang sewaktu pergi mencari kumbang di pinggir hutan kampungnya
Pengajaran
1) Kita seharusnya mengamalkan toleransi antara satu sama lain agar keharmonian masyarakat kekal terjamin sepertimana Devnath dan Wei yang menghormati Haikal untuk solat Isya dahulu sebelum perjumpaan mereka.
2) Kita mestilah bijak dalam menyusun strategi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti Farhani yang menggunakan semburan Endosulfan untuk menewaskan Komander Caucasus
3) Kita perlu rajin membuat rujukan sebagai persediaan awal sebelum melaksanakan satu tugasan yang diamanahkan. Cointohnya Farhani yang mencari maklumat menegnai spesis kumbang di laman sesawang sebelum keluar mencarinya
Latihan Soalan dan Jawapan
1) Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan contoh peristiwa yang terlibat dengan “Persoalan Ketabahan Menghadapi Dugaan” dan “Persoalan Kepentingan Ilmu dalam Kehidupan”
- Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Tawanan Komander Caucasus karya Ruzaini Yahya, contoh peristiwa berkaitan persoalan ketabahan adalah apabila Farhani yang dikurung dalam sebuah balang kaca kekal tabah untuk meneruskan hidupnya walaupun sukar untuk bernafas. Contoh peristiwa untuk persoalan kepentingan ilmu pula adalah Cikgu Salimah yang mengakui kesan positif telnologi maklumat dalam dunia pendidikan justeru bertekad untuk bergerak seiring dengan kemajuan teknologi hari ini.
2) Jelaskan tiga perwatakan watak utama di dalam novel yang anda kaji
- Watak utama dalam novel yang saya kaji iaitu novel Tawanan Komander Caucasus adalah Farhani. Dia merupakan seorang yang rajin kerana terlebih dahulu membuat kajian di alamn sesawang sebelum keluar menjalankan tugasan mencari kumbang. Selain itu, dia seorang yang berani kerana telah memasuki dusun datuknya seorang diri untuk mencari kumbang kerana tidak ingin membuang masa. Farhani juga seorang yang bersimpati kerana telah menziarahi dan bersimpati terhadap Puan Lee yang kehilangan Kim Yong.
3) Nyatakan tiga latar tempat dan huraikan peristiwa yang berlaku dalam novel yang anda kaji.
- Novel yang telah saya kaji ialah Tawanan Komander Caucasus karya Ruzaini Yahya. Antara latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut adalah Sekolah Menengah Seri Kencana, tempat di mana Farhani dan rakan-rakannya belajar di kelas Tingkatan Satu Arif. Selain itu, latar tempat yang diceritakan adalah rumah Kim Yong yang memepunyai zoo mini di mana Farhani dan rakan-rakannya ternampak pelabagi spesies kumbang. Akhir sekali, latar tempat yang menarik di dalam novel tersebut adalah Kamar Peraduan Komander Caucasus. Dara Merah telah memperdaya Komander Caucasus dengan memberikan minuman yang telah diracun di kamar peraduan Komander Caucasus.
Semoga perkongsian berkaitan Novel Tawanan Komander Caucasus : Sinopsis, Plot, Watak, Nilai memberikan manfaat kepada pelajar.
Related : dimensi kumbang,
Senarai Tajuk Kecil Artikel