Novel Tirani : Sinopsis, Tema, Persoalan, Plot & Pengajaran. Nota meliputi Watak & Perwatakan, Nilai, gaya bahasa & contoh soalan

Novel Tirani : Sinopsis, Tema, Persoalan, Plot & Pengajaran

Novel Tirani Sinopsis Tema Persoalan Pengajaran

Komponen sastera di peringkat menengah atas menggunakan bahan yang berbeza mengikut zon. Sebagai contoh, pelajar Tingkatan 5 yang berada di zon Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur mengkaji bahan KOMSAS yang sama. Oleh itu, berikut dikongsikan maklumat berkaitan Novel Tirani : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran untuk rujukan semua.

Beb Sabariah, atau nama sebenarnya Bibi Sabariah Hj Abang Awet adalah pengarang kepada Novel ini. Penulis ini mula menulis dengan aktif pada tahun 1999 dalam genre cerpen, puisi, rencana dan rencana kritikan sastera. Keunikan etnik Sarawak telah diceritakan dalam novel ini menerusi watak utama yang turt menyelitkan warna budaya dan resam masyarakat setempat.

Nota Novel Tirani : Sinopsis, Tema & Persoalan, Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Di bawah dikongsikan rangkuman nota yang terkandung dalam Novel Tirani : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran. Pelajar juga boleh merujuk contoh soalan yang diberikan dalam peperiksaan.

Tema

Sebagai pelajar, tema yang diperoleh daripada Novel ini adalah kecantikan fizikal hanya bersifat sementara, yang kekal adalah ilmu dan pengetahuan yang kita miliki serta kekuatan itu yang akan melindungi kelemahan diri kita

Persoalan

1) Persoalan kegigihan menempuh cabaran untuk mengecapi kejayaan dalam kerjaya

  • Waheeda yang menempuh pelbagai cabaran dalam kerjayanya dan mampu menaikkan syarikat yang diusakan seperti Chalet Aya Sajinah di Cameron Highlands

2) Persoalan semangat setiakawan yang erat

  • Waheeda dan Bazilah bersahabat sejak di universiti dan Bazilah membantu Waheeda untuk menginap di rumahnya di Singapura ketika mendapatkan rawatan pembedahan rekonstruksi di wajahnya

3) Persoalan kasih sayang ibu kepada anaknya

  • Ibu kepada Waheeda, Raidah menunjukkan kasih dan sayangnya kepada anaknya sejak kecil apabila tidak jemu memujuk Waheeda kerana diejek oleh rakan sekolah. Dia juga menemani Waheeda ke Singapura untuk menjalani pembedahan rekonstruksi wajahnya

4) Persoalan menghargai budaya dan warisan

  • Waheeda telah memilih untuk memperagakan pakaian Cheongsam Brooked Merah ketika menyertai Pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa di The Four Season Hotel

5) Persoalan berikhtiar dalam menyelesaikan masalah

  • Waheeda telah meminta pertolongan rakannya Nurjihan untuk menyerahkan sampel rambut suaminya, dirinya serta anaknya demi menjalankan ujian DNA. Sebagai bukti bahawa Izzati adalah anak kandung mereka.

Sinopsis

Waheeda yang merupakan watak utama dalam novel Tirani ini berhasrat untuk menjadi cantik dan melakukan pembedahan terhadap hidungnya yang pesek. Dia juga ingin menaikkan namanya dalam bidang pekerjaan yang diceburi iaitu pelancongan sehingga mengabaikan batas-batas pergaulan walaupun telah berkahwin dengan Zahid. Hidung Waheeda telah digigit oleh monyet dan dia terus melakukan pembedahan rekonstruksi wajah untuk menjadi lebih cantik.

Susulan pembedahannya maka datanglah kejayaan dalam bidang pekerjaannya. Namun, kecantikan dan kejayaan dalam bidnag kerjayanya tidak menjamin kebahagiaan dalam hidupnya. Rumah tangganya goyah, serta tugasannya bertambah berat kerana harapan orang ramai terhadapnya melambung tinggi. Akhirnya, Waheeda telah diceraikan oleh suaminya dan Waheeda jatuh sakit kerana cintanya terhadap suaminya masih mendalam.

Penceraian mereka berpunca daripada wajah anaknya yang tidak mewarisi kecantikannya dan ditambah rasa cemburu oleh Zahid. Waheeda telah bertekad untuk berdikari dan menguruskan sebuah chalet di Cameron Highland. Kemajuan chaletnya berjaya menarik orang ramai sehingga satu hari Zahid mengunjungi chalet tersebut. pertemuan mereka telah menimbulkan satu falsafah kehidupan iaitu kecantikan hanyalah satu tirani

Watak dan perwatakan

1) Waheeda Nurlyana (Watak utama)

  • a. Waheeda anak kedua (bongsu) Raidah dan Fadhil serta adik Ghazi.
  • b. Dia juga isteri Zahid dan ibu Izzati.
  • c. Sejak kecil hingga remaja, wajah Waheeda kurang menarik.
  • d. Dia berpendidikan tinggi. Buktinya, dia berkelulusan ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan dan pelancongan dari Universiti Teknologi Malaysia.
  • e. Waheeda usahawan wanita yang berani dan berwibawa. Buktinya, dia berani menceburi bidang perniagaan pelancongan meskipun masih muda dan baru bergelar graduan.
  • f. Dia cekal menghadapi cabaran hidupnya. Buktinya, dia cekal menghadapi sikap suaminya yang kuat cemburu dan panas baran.
  • g. Waheeda bijak. Buktinya, dia memanfaatkan masa terluang sementara menunggu rawatan susulan dengan bekerja sementara sebagai Pegawai Perhubungan Awam (PRO) di Flamingo Resort untuk menimba pengetahuan menguruskan sebuah pusat penginapan yang bertaraf tinggi.
  • h. Waheeda berdikari. Buktinya, dia enggan menggabungkan Syarikat Tajau Emas dengan Seri Gading kerana tidak mahu bergantung kepada Datuk Yasser yang mempunyai nama dan kedudukan yang tinggi di mata
    masyarakat.
  • i. Dia berwawasan. Buktinya, dia memberi peluang kepadaIzzati untuk mendalami ilmu pengurusan pelancongan di universiti dan membantunya menguruskan Aya-Sajinah sebelum Izzati menyambung perniagaannya itu kelak.

2) Zahid

  • a. Zahid ialah anak sulung Datuk Yasser dan Datin Hazirah. Dia mempunyai dua orang adik.
  • b. Dia juga suami Waheeda dan ayah Izzati.
  • c. Dia kacak. Dia berketurunan Arab daripada sebelah bapanya.
  • d. Zahid berpendidikan tinggi. Buktinya, dia berkelulusan sarjana undangundang dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat.
  • e. Dia mencintai alam sekitar. Buktinya, dia menikmati pemandangan pada waktu pagi di sekitar Chalet Tajau Emas dengan perasaan syukur, gembira, dan tenang.
  • f. Zahid kuat cemburu. Buktinya, dia cemburu dan marah apabila melihat kemesraan Waheeda dengan Dr. Rushdi sehingga hampir menumbuk doktor tersebut
  • g. Dia juga mudah berprasangka buruk. Buktinya, dia menyangka Waheeda sudah berubah hati apabila Waheeda tidak dapat pulang pada hari pertunangan mereka.
  • h. Dia suami yang tidak bertanggungjawab. Buktinya, dia langsung tidak melawat Waheeda dan anak mereka yang baru lahir di hospital.
  • i. Zahid juga emosional. Buktinya, dia terburu-buru menceraikan Waheeda.
  • j. Pada akhir cerita, Zahid insaf dan berani mengakui kesalahannya. Buktinya, dia menemui Waheeda dan Izzati untuk mengakui kesalahannya serta meminta maaf

3) Raidah

  • a. Raidah ialah ibu Waheeda dan Ghazi serta isteri Fadhil. Dia juga ibu mentua Fatimah dan Zahid serta nenek Izzati.
  • b. Dia pandai mernasak, terutama masakan masyarakat Sarawak. Buktinya, dia pandai memasak bubur pedas, pansuh manok, ketupat lepas, dan nasi dagang berserta sambal tumis sotong. Keenakan masakannya dipuji
    oleh Zahid.
  • c. Dia penyayang. Buktinya, dia sanggup menemani Waheeda menjalani pembedahan di Singapura.
  • d. Dia prihatin akan masalah anak-anaknya. Buktinya, dia memujuk Waheeda yang menangis dan menjerit apabila pulang dari sekolah kerana diejek oleh kawan-kawannya.
  • e. Raidah juga berpegang kuat pada adat masyarakatnya selagi adat tersebut tidak bertentangan dengan ajaran agama. Buktinya, dia membuat ketupat lepas untuk disedekahkan ke masjid supaya pembedahan yang dijalani oleh Waheeda dipermudah oleh Tuhan

4) Izzati

  • Anak kepada Waheeda dan Zahid
  • Seorang yang mendengar kata apabila mengikut arahan ibunya untuk menggantung Kain Pua Kumbu Sarawak di pintu masukRestoran dan Kafe Iwani

5) Datin Hazirah

  • Ibu kepada Zahid dan ibu mertua kepada Waheeda
  • Seorang yang penyayng setelah membawa sejambangan bunga dan kad ucapan kononnya daripada Zahid untuk menjaga perasaan menantunya Waheeda

6) Datuk Yasser

  • a. Datuk Yasser ialah suami Datin Hazirah dan bapa Zahid. Beliau juga bapa mentua Waheeda dan datuk Izzati.
  • b. Usianya 50-an, memakai cermin mata tebal, dan berbadan montel. Beliau berketurunan Arab.
  • c. Datuk Yasser usahawan bumiputera yang gigih membangunkan perniagaannya. Buktinya, beliau mengusahakan syarikat pengangkutan, iaitu Bahterangkut, kemudian membangunkan Hotel Seri Gading.
  • d. Beliau berpengetahuan luas dan bijak. Hal ini demikian kerana beliau gemar membaca, terutama rencana ekonomi.
  • e. Beliau penyayang. Buktinya, beliau sanggup bercuti bersama-sama Zahid di Singapura apabila Zahid pulang dari Amerika Syarikat untuk meluangkan masa bersama-sama anaknya itu.
  • f. Beliau matang dan tenang dalam bertindak. Buktinya, beliau tenang dan tabah ketika menerima khabar tentang Waheeda yang tidak pulang pada hari pertunangan dengan Zahid.
  • g. Beliau berpandangan jauh. Buktinya, beliau mengemukakan idea supaya Seri Gading dan Tajau Emas bergabung sebagai sebuah syarikat supaya kedua-dua syarikat menjadi lebih maju.
  • h. Datuk Yasser juga berfikiran terbuka. Buktinya, dia dapat menerima alasan Waheeda yang tidak mahu menggabungkan Tajau Emas dengan syarikatnya.

6) Pak Cik Aziz

  • Seorang yang bijak kerana telah meminta Waheeda untuk mengambil alih perusahaan chaletnya sebelum pihak bank menyita aset perniagaannya

7) Bazilah

  • Seorang yang mempunyai semangat setiakawan apabila membenarkan Waheeda untuk tinggal bersama-sama denganya ketika berada di Singapura

Plot

1) Pengenalan

Waheeda telah melayari satu alamn sesawang berkaitan kecantikan dan pembedahan kosmetik. Di berazam untuk melakukan pembedahan plastik pada wajahnya supaya kelihatan cantik dan bergaya

2) Perkembangan

Satu hari di tempat kerja Waheeda iaitu Chalet Tajau Emas, Monyet belanda telah  menyerang dan mengakibatkan keadaan kelam kabut. Waheeda juga telah diserang dan digigit pada bahagian mukanya. Waheeda telah dibawa ke hospital dan pipi serta hidungnya yang luka telah dijahit oleh doktor. Selepas itu, Waheeda nekad untuk ke Singapura dan menjalani pembedahan hidung dan matanya di Silicon Medical Center (SMC).

3) Perumitan

Doktor yang menjalankan pembedahan ke atas Waheeda telah mengunjunginya di penginapannya sehingga mencetuskan rasa cemburu suaminya. Waheeda yang berbual panjang dan melayani tetamunya telah menimbulkan krisis dalam rumah tangganya bersama Zahid. Beberapa bulan kemudian, Waheeda selamat melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Pakar Normah dan Zahid tidak datang menjenguk bayinya. Malah dia mempertikaikan status anak tersebut dan Waheeda telah meminta suaminya untuk melihat hasil laporan DNA tetapi diendahkan Zahid.

4) Klimaks

Zahid menceraiakn Waheeda dengan talak satu disebabkan faktor cemburu dan sikap curiga. Akibat daripada penceraian tersebut, Waheeda jatuh murung dan meroyan kerana tindakan Zahid dianggap kejam dan dia terlalu mencintai suaminya

5) Peleraian

Ibu dan bapa Waheeda mendapatkan perkhidmatan rawatan dan kaunseling untuk anaknya di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi). Waheeda bersama Ghazi telah mengambil alih Chalet milik Pak Cik Aziz yang terletak di Cameron Highlands. 20 tahun kemudian, Zahid secara kebetulan menginap di chalet Waheeda yang bernama Aya-Sajinah. Zahid meluahkan penyesalannya terhadap Waheeda dan anaknya, Izzati

Teknik Plot

  1. Saspens : Peristiwa apabila Zahid bertemu anak kandungnya Izzati. Pembaca tertanya-tanya apakah penerimaan Zahid terhadap anaknya yang tidak mempunyai ciri-ciri persamaan dengannya
  2. Monolog : Waheeda bermonolog ketika teruja untuk melakukan pembedahan plastik pada wajahnya
  3. Imbas kembali : Waheeda teringat pada kain sarung birunya terbelah sehingga paras peha seperti busana cheongsam kerana mengejar rakan sekolahnya mengejeknya berhidung pesek
  4. Imbas muka : Bazilah berasa gerun ketika membayangkan meja bedah dan alat perkakasan yang lazim digunakan semasa sesi pembedahan dijalankan sewaktu mendengar penerangan tentang prosedur pembedahan dari Dr. Zahari
  5. Dialog : Perbualan antara Waheeda dengan ibunya, Raidah ketika menyampaikan hasrat untuk menjalani pembedahan plastik kepada ibunya

Latar

1) Latar Tempat

  • Chalet Tajau Emas : Tempat Waheeda mengalami kecederaan di muka da hidungnya setelah digigit oleh monyet belanda
  • Rumah Bazilah di Singapura : Waheeda menumpang rumah Bazilah ketika ingin menjalani pembedahan kosmetik
  • Silicon Medical Centre (SMC) : Tempat dimana Waheeda menjalani pembedahan hidung dan pipinya
  • Aya-Sajinah Cameron Hihgland : Chalet yang diusahakan oleh Waheeda selepas mengambil alih daripada Pak Cik Aziz
  • Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur : Waheeda mendapatkan rawatan kaunseling  selepas kemurungan apabila diceraikan oleh Zahid

2) Latar Masa

  • Waktu tengah hari : Waheeda makan tengah hari di sebuah restoran bersama-sama Nurjihan
  • Waktu pagi : Waheeda disorong ke bilik bedah pada hari Rabu, pukul 11.30 pagi untuk menjalani pembedahan plastik pada wajahnya
  • Waktu petang : Waheeda pergi ke Kafe Iwani pada waktu petang dan melihat Lais serta Izzati sedang berbual-bual dengan Zahid

3) Latar Masyarakat

  • Masyarakat yang berani mengambil risiko dalam kehidupan : Waheeda berani membuat pinjaman daripad abank untuk membeli Chalet milik Pak Aziz
  • Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan kehidupan : Waheeda cekal meneruskan kehidupan selepas rumah tangganya musnah
  • Masyarakat yang menghargai budaya dan warisan : Waheeda meminta Izzati menggantung Kain Pua Kumbu Sarawak di atas pintu masuk Restoran Iwani dan Kafe Iwani bagi mengekalkan budaya dan warisan pribumi Sarawak
  • Masyarakat yang insaf dengan kesalahan diri : Zahid mengakui kesalahannya dan menangis teresak-esak atas perbuatan lampaunya menceraikan Waheeda tanpa usul periksa.
  • Masyarakat yang bekerja dalam sektor pelancongan : Waheeda, Datuk Yasser, Pak Aziz mengusahakan chalet dan hotel penginapan kepada para pelancong sebagai sumber pendapatan mereka.

Gaya Bahasa

  1. Paradoks : ” ada orang dilahirkan cantik tetapi otak tidak cerdas. Ada orang sempurna wajahnya, kakinya pula tidak cantik. Ada orang tidak cantik tetapi otaknya nombor satu,” kata Waheeda
  2. Hiperbola : “Tudung kepala yang bertaburkan sulaman bunga emas ialah tudung keringkam bertatah benang emas namanya” terang Waheeda
  3. Peribahasa : Senyum kambing, buah fikiran, ulat buku
  4. Personafikasi : ciuman ibu berdecit singgah di pipi
  5. Diksi Melayu Sarawak : kerisit kerumun, bertekul, mereya, jembuk

Nilai 

1) Nilai Gigih : Waheeda berusaha memajukan chaletnya dengan menawarkan pelbagai pakej pelancongan walaupun menerima saingan sengit daripada pengusaha penginapan sekitarnya

2) Nilai Kasih Sayang : Waheeda kemurungan setelah diceraikan suaminya kerana meragui anak kandungnya yang baru dilahirkan

3) Nilai Tanggungjawab : Ibu dan bapa Waheeda telah membawa anak mereka mendapatkan rawatan di Hospital Pusrawi selepas diceraikan oleh Zahid

4) Nilai keberanian : Waheeda telah membuat pinjaman bank apabila ingin mengambil alih chalet baharu bagi memulakan hidup barunya

5) Nilai keinsafan : Zahid mengakui kesalahannya terhadap salah laku pada masa dahulu menceraikan Waheeda secara terburu-buru dan cemburu buta

Pengajaran 

1) Kita hendaklah mensyukuri ke atas nikmat yang dikurniakan Tuhan kerana melahirkan kita dalam pelbagai rupa dan bentuk. Hal ini kerana kecantikan rupa paras tidak akan kekal selama-lamanya

2) Kita wajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya. Waheeda yang mengusahakan pelabagi inisiatif bagi mengembangkan perniagaan chaletnya wajar dicontohi

3) Kita hendaklah bersikap sabar dan menyiasat dahulu dengan teliti jika meragui sesuatu perkara. Hal ini kerana jika kita silap, akibatnya nanti kita yang akan menanggung penyesalan

Soalan

1) Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan satu watak yang anda fikir sesuai untuk dicontohi oleh pembaca daripada novel tersebut.

Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Tirani karya beb Sabariah, watak yang boleh dicontohi adalah watak utama iaitu Waheeda.

Salah satu perwatakannya adalah seorang yang berazam tinggi. Beliau berusaha sedaya upaya untuk mengembangkan sebuah pusat peranginan setelah tamat pengajian di universiti.

Perwatakan lain adalah Waheeda seorang yang bijaksana kerana apabila suaminya meragui status anak kandungannya, dia meminta bantuan rakannya untuk melakukan ujian DNA.

Akhir sekali, perwatakan yang boleh dicontohi dariupada Waheeda adalah seorang yang tabah menghadapi dugaan. Setelah diceraikan oleh suaminya, Waheeda berdikari menguruskan sebuah chalet di Cameron Highlands dan membesarkan anaknya Izzati.

2) Bahagian peleraian sesebuah cerita pasti diakhiri dengan kejayaan. Jelaskan dua peristiwa yang membuktikan kejayaan tersebut dalam novel yang anda kaji

Novel karya Beb Zabariah adalah novel yang telah saya kaji. Saya dapati peristiwa Zahid menangis teresak-esak apabila diberitahu bahawa Izzati adalah anak kandungnya menjadi titik kejayaan apabila menemui kembali bekas isterinya Waheeda dan berasa kesal. Peristiwa ini menunjukkan kejayaan Waheeda menegakkan kebenaran yang selama ini tersimpan

Peristiwa lain adalah kejayaan Waheeda dan Ghazi membeli dan mengusahakan Chalet milik Pak Aziz. Chalet yang terletak di Cameron Highlands itu ditukar nama kepada Aya Sajinah dan berjaya menarik ramai pengunjung termasuk Zahid dan Aiman.

3) Huraikan dua teknik plot yang telah digunakan oleh pengarang dalam novel yang anda kaji

Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu Tirani karya Beb Zabariah, terdapat beberapa teknik plot antaranya adalah teknik pemerian. Pengarang telah memerihalkan upacara menyarungkan cincin perkahwinan pengantin lelaki di jari pengantin perempuan

Selain itu, teknik imbas muka juga telah digunakan dalam novel ini. Misalnya Waheeda membayangkan suasana mesra yang wujud ketika kakitangan di Chalet Tajau Emas belajar menganyam kelongsong ketupat lepas daripada ibunya ketika membaca e-mel daripada Fatimah

4) Untuk mengembangkan sesebuah cerita, konflik merupakan satu teknik penceritaan yang digunakan. Huraikan dua konflik yang dihadapi oleh watak utama dalam novel yang anda pelajari.

Saya telah mempelajari Novel Tirani, karya Beb Sabariah. Antara konflik yang dihadapi oleh watak utama iaitu Waheeda ialah apabila suaminya Zahid mempersoalkan raut wajah anak mereka yang tidak sama dan status anak tersebut. Waheeda pula telah melakukan ujian DNA bagi membuktikan kesahihan anak kandung mereka tetapi Zahid tetap berasa cemburu buta dan menceraikan Waheeda. Konflik ini telah meruntuhkan rumah tangga mereka.

Konflik lain yang dihadapi oleh watak utama ialah apabila dia ingin melakukan pembedahan plastik pada hidungnya yang pesek tetapi ditentang oleh bapanya. Bapanya menjelaskan bahawa perbuatan tersebut menyalahi hukum agama tetapi Waheeda tidak mempedulikan nasihat tersebut dan tetap meneruskan pembedahan plastik di Singapura

5) Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga latar tempat yang diceritakan dalam novel tersebut

Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Tirani, karya Beb Sabariah terdapat banyak latar tempat yang diceritakan. Antaranya adalah Chalet Tajau Emas, tempat di mana Waheeda mula bekerja selepas tamat pengajian dan dia telah diserang oleh monyet belanda

Latar tempat lain yang diceritakan adalah Silicon Medical Centre, Singapura. Hospital ini merupakan tempat di mana Waheeda menjalani pembedahan plastik pada hidung dan matanya. Pembedahan tersebut dijalankan oleh Dr. Shirrim Ghazizadeh dan Dr. Rushdi

Akhir sekali, latar tempat yang diceritakan dalam Novel adalah Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur. Waheeda telah dibawa oleh ibu dan bapanya untuk mendapatkan rawatan dan kaunseling selepas kemurungan kerana diceraikan oleh Zahid sejurus sahaja melahirkan anak pertama mereka.

Semoga perkongsian berkenaan Novel Tirani : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran membantu pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dan menghadapi peperiksaan.

Related : halloway dan dr rushdi, flamingo resort, tabung usahawan siswazah bank pembangunan, waheeda membuat pinjaman baharu,