Sebagai pelajar, pasti kita tertanya-tanya apakah tujuan kehidupan kita di muka bumi ini? Jawapan kepada persoalan tersebut akan terjawab dari masa ke masa selagi anda mengikuti pembelajaran di sekolah. Institusi pendidikan memain peranan yang penting untuk memupuk minat pelajar dalam sesuatu bidang agar bidang tersebut menjadi kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh itu, di bawah dikongsikan contoh karangan kepentingan pembangunan modal insan di negara ini untuk rujukan semua.
Pada Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdullah Badawi telah memperkenalkan agenda pembangunan modal insan. Agenda ini diberi keutamaan kerana pembangunan modal insan juga mustahak selain pembangunan infrastruktur yang selama ini menjadi keutamaan negara kita. Berbekalkan modal insan yang cemerlang, masyarakat kita akan menjadi lebih berdaya saing dengan negara asing seterusnya meningkatkan tahap ekonomi negara secara langsung.
Contoh Karangan Kepentingan Pembangunan Modal Insan Di Negara Ini
Rujuk perkongsian di bawah beserta isi-isi penting yang berkenaan dan huraian karangan mengikut rangka karangan Bahasa Melayu.
Isi-isi penting
- Melahirkan warganegara berminda kelas pertama
- Mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara
- Menyediakan sumber tenaga kerja yang berkualiti
- Memastikan masyarakat berdaya saing dengan ekonomi dunia
- Meningkatkan inovasi dan produktiviti dalam kalangan masyarakat
- Membentuk tamadun manusia terbaik sepanjang zaman
Pendahuluan
Tokoh terkemuka Indonesia, Sukarno terkenal dengan kenyataan “Beri aku sepuluh pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia!”. Ungkapan tersebut jelas menunjukkan generasi muda sebagai aset penting untuk membangunkan sesebuah negara. Setelah mengecapi kemerdekaan lebih separuh abad, Malaysia masih lagi berusaha dalam mencari fomula terbaik bagi menghasilkan modal insan yang unggul dalam kalangan golongan muda.
Secara definisi, modal insan bermaksud sumber intelek yang terdapat dalam diri setiap manusia. Sumber dari segi kemahiran, ilmu pengetahuan dan kemampuan untuk melakukan sesuatu yang memberikan hasil yang baik dianggap sebagai modal insan. Oleh sebab itu, setiap negara perlu merencana rangka terbaik untuk membangunkan modal insan agar kemajuan negara dapat dicapai. Sebagai satu wadah perbincangan, mari kita huraikan kepentingan pembangunan modal insan di negara ini.
Isi 1
Antara pentingnya pembangunan modal insan untuk negara kita adalah melahirkan warganegara berminda kelas pertama. Dalam mendepani era modenisasi pada hari ini, masyarakat kita perlu mengadaptasi kemajuan dengan cepat untuk kekal relevan secara global. Hal ini kerana, masih terdapat jurang yang jauh diantara masyarakat bandar dan luar bandar yang menjadikan minda masing-masing berada pada tahap yang berbeza.
Sebagai contoh, masyarakat di kawasan bandar gemar untuk melihat pembangunan dan mengejar kerjaya demi mendapat keselesaan hidup. Manakala, masyarakat luar bandar gemar untuk hidup yang lebih santai dan tidak terburu-buru. Perbezaan ini akan mempengaruhi masyarakat sehingga memilih pemimpin yang tidak mempunyai tujuan yang sama dan saling berbalah. Maka, pembentukan minda kelas pertama dalam kalangan masyarakat mustahak bagi memastikan pembangunan modal insan berjalan seiringan.
Isi 2
Pada masa yang sama, pembangunan modal insan penting untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara kita yang berbilang bangsa, kaum serta agama. Apabila kita berkongsi sesuatu seperti tempat tinggal, pastinya banyak yang perlu kita bertolak ansur agar tidak timbul salah faham atau perbalahan yang merugikan. Begitu juga dengan suasana kehidupan di tanah air ini di mana sikap toleransi antara satu sama lain perlu diamalkan.
Modal insan yang cemerlang akan memastikan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat kekal dan terus kukuh sejajar dengan era globalisasi pada hari ini. Kita bersikap lebih terbuka dan hormat-menghormati antara satu sama lain kerana suasana yang harmoni akan menjamin kebahagiaan. Persis peribahasa Melayu, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Izharnya pembangunan modal insan mustahak bagi mengukuhkan tali persaudaraan rakyat Malaysia.
Isi 3
Sumber tenaga kerja yang berkualiti dapat dilahirkan oleh negara sekiranya pembangunan modal insan diutamakan. Untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain, dasar pembangunan yang holistik perlu dilaksanakan. Sebagai contoh, Singapura yang dahulunya sukar untuk bersaing secara ekonomi kini telah menjadi antara pusat ekonomi dunia kerana mengutamakan pembangunan modal insan.
Dasar pendidikan yang inklusif dan sejajar dengan kehendak ekonomi dunia perlu dilaksanakan. Walaupun kita menghadapi cabaran dimana kebanyakan masyarakat memilih bekerja daripada menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi, pelbagai alternatif boleh dilakukan bagi melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi. Tuntasnya, tenaga kerja berkualiti akan terhasil sekiranya pembangunan modal insan diutamakan oleh pemimpin negara.
Isi 4
Seiring dengan menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti, pembangunan modal insan akan memastikan masyarakat berdaya saing dengan ekonomi dunia. Apabila kebanyakan ahli masyarakat mempunyai pelajaran yang berkualiti dan kelayakan yang diiktiraf, ramai pelabur asing akan datang ke dalam negara untuk menjalanakan perniagaan. Pelaburan secara langsung ini akan meningkatkan ekonomi secara pesat dan menjamin kehidupan yang lebih baik dalam kalangan masyarakat.
Apabila kehidupan yang berkualiti dapat dijamin, pelbagai perkara lain dapat diberi perhatian seperti kestabilan politik dan pemeliharaan alam sekitar. Secara tidak langsung, perkara ini akan membuatkan masyarakat kita berdaya saing dengan negara-negara maju yang lain. Intihannya, pembangunan modal insan dapat membentuk masyarakat yang berdaya saing secara global.
Penutup
Natijahnya, pembangunan modal insan adalah signifikan untuk negara membangun seperti Malaysia. Pengisian minda seseorang individu dengan ilmu pengetahuan, nilai-nilai murni serta jati diri yang kukuh akan melahirkan manusia yang berguna untuk orang sekelilingnya. Pengaruh media sosial yang menjadi antara punca utama masyarakat hari ini kurang gemar untuk membangunkan modal insan perlu diatasi dengan kaedah-kaedah yang menarik lebih-lebih lagi bagi golongan muda. Setiap pihak memainkan peranan untuk memastikan usaha membangun modal insan dilaksanakan dengan jayanya agar manfaat yang diperoleh akan kita nikmati bersama.
Related : pembangunan negara, nilai murni,
Senarai Tajuk Kecil Artikel