Kesan Kedatangan Pendatang Asing Di Negara Kita. Contoh karangan implikasi kemasukan pekerja luar negara ke Malaysia.

Kesan Kedatangan Pendatang Asing Di Negara Kita

Contoh Karangan Kesan Kedatangan Pendatang Asing Di Negara Kita

Guru-guru menggalakkan pelajar untuk membaca supaya dapat menambah ilmu pengetahuan dan kosa kata bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Namun disebalik galakkan itu, guru sebenarnya ingin pelajar lebih cakna terhadap isu semasa yang berpotensi untuk menjadi soalan dalam ujian atau pentaksiran yang diadakan. Oleh itu, di bawah dikongsikan rujukan contoh karangan kesan kedatangan pendatang asing di negara kita untuk rujukan semua.

Pendatang asing boleh dikategorikan kepada dua kelas iaitu ekspatriat dan juga pekerja asing. Ekspatriat adalah golongan professional yang datang kerana kebolehan mereka untuk memberikan sumbangan kepada syarikat asing yang berpangkalan di negara ini. Manakala pekerja asing pula pekerja separa mahir yang dibawa masuk daripada negara seperti Myanmar, Bangladesh dan Filipina untuk memenuhi bidang-bidang pekerjaan separa mahir yang diperlukan. Sebagai pelajar, topik ini dapat menguji pengetahuan dan pendapat jujur pelajar terhadap pendatang asing di negara kita.

Contoh Karangan Kesan Kemasukan Pendatang Asing Di Negara Kita

Polemik ini menjadi contoh soalan penulisan karangan untuk membuka minda pelajar dalam menyelesaikan sesuatu isu. Tambahan pula, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat serta menarik perlu dihasilkan oleh pelajar untuk mendapat markah yang cemerlang.

Pelajar boleh merujuk contoh karangan beserta isi-isi penting berkaitan tajuk yang menarik isu terkini iaitu Kesan Kemasukan Pendatang Asing Di Negara Kita seperti berikut.

Isi-isi penting

  • Mengurangkan peluang pekerjaan masyarakat tempatan
  • Jumlah pengaliran wang keluar negara meningkat
  • Mengancam keselamatan masyarakat
  • Meningkat risiko kesihatan terhadap masyarakat setempat
  • Meningkatkan kadar keperluan barangan dan perkhidmatan
  • Meningkatkan jumlah pendatang asing tanpa izin

Pendahuluan

Dewasa ini, ke mana sahaja kita pergi di dalam negara pasti kita akan lihat pekerja asing yang sedang bekerja. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia telah melaksanakan dasar membenarkan kemasukan pendatang asing untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu seperti perindustrian di kilang-kilang dan pertanian di ladang-ladang. Dasar ini juga telah menarik kedatangan ramai pelabur asing untuk membuka perkhidmatan atau syarikat di negara ini kerana boleh memanfaatkan buruh warga asing yang lebih murah.

Namun begitu, dasar ini semakin hari semakin meninggalkan kesan yang tidak baik untuk negara kita secara keseluruhannya. Lambakan warga asing di sesuatu tempat terutamanya kawasan perindustrian telah menjadikan kawasan tersebut seperti di negara asing. Bagi merancakkan pembangunan ekonomi di dalam negara, kerajaan telah membenarkan syarikat untuk membawa masuk pekerja-pekerja asing. Nilai mata wang ringgit yang lebih besar berbanding nilai mata wang negara mereka menjadikan peluang pekerjaan yang ditawarkan lebih berbaloi. Malah terdapat juga majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab menyeludup masuk warga asing tanpa izin untuk bekerja tanpa permit. Oleh yang demikian, penting untuk kita bincangkan kesan-kesan kemasukan pendatang asing di negara kita.

Isi 1

Antara kesan buruk kemasukan adalah mengurangkan peluang pekerjaan terhadap masyarakat tempatan. Berdasarkan undang-undang, pendatang asing yang dibenarkan dibawa masuk menggunakan permit adalah pekerja separa mahir. Tetapi, lama-kelamaan lambakan pekerja asing telah memasuki pekerjaan seperti bidang makanan dan minuman, juruwang dan pelbagai lagi. Pihak industri memerlukan bekalan pekerja tetapi hanya mahu membayar gaji yang minima maka penggunaan warga asing lebih berbaloi bagi mereka. Situasi ini secara tidak langsung menyekat peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan.

Situasi ini juga boleh dirujuk pada pendatang asing yang digelar sebagai ekspatriat. Tidak dinafikan ekspatriat penting untuk pertumbuhan sektor korporat di dalam negara ini tetapi jika kebanyakan jawatan tertinggi di syarikat dimonopoli oleh golongan ini, bagaimana anak tempatan ingin berkembang lebih maju. Intihannya, pihak berkuasa perlu mengawal kemasukan pendatang asing yang betul-betul memberikan kesan positif dalam sektor pekerjaan negara kerana jika tidak ia akan menyebabkan peluang pekerjaan masyarakat tempatan tersekat.

Isi 2

Kesan lain daripada pendatang asing di dalam negara kita adalah jumlah pengaliran wang keluar negara akan meningkat. Perkara ini akan menyebabkan perkembangan ekonomi setempat berkurang kerana pendatang asing yang bekerja dan meraih wang di negara ini tidak menggunakan wang tersebut di dalam negara sebaliknya dihantar ke negara asal mereka untuk disimpan atau dibelanjakan. Walaupun perkara ini tidak menjadi suatu isu yang besar tetapi jika pendatang asing semakin banyak dari hari ke hari maka ia akan menjadi masalah yang besar.

Bak kata pepatah, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Jika kita tidak menyelesaikan masalah pada masa ini, kelak kita akan menghadap masalah yang lebih besar dan mencabar untuk diselesaikan. Pihak berkuasa boleh memastikan pendatang asing ini menggunakan wang di dalam negara dengan melaksanakan inisiatif pembelian barangan Malaysia di kawasan-kawasan tumpuan pendatang asing. Kaedah yang lebih kreatif dan inovatif diperlukan untuk memastikan pengaliran wang keluar negara dapat dikurangkan dan menyemarakkan ekonomi domestik kita. Jelas bahawa pendatang asing meningkatkan jumlah pengaliran wang keluar negara sebagai kesan kedatangan mereka di negara ini.

Isi 3

Pada masa yang sama, keselamatan masyarakat kita terancam kesan daripada pendatang asing. Kita boleh lihat dan semak pada dada-dada akhbar berkaitan jenayah-jenayah yang berlaku melibatkan pendatang asing. Masyarakat kita pada hari ini sudah tidak tenteram untuk keluar berjalan berseorangan ataupun membiarkan anak-anak keluar bermain bersendirian bersama rakan-rakan mereka. Jurang pemikiran dan perbezaan budaya menyebabkan pendatang asing untuk melakukan jenayah seperti jenayah seksual terhadap ahli masyarakat yang tidak bersalah.

Kita tidak boleh pukul rata semua pendatang asing bersikap negatif tetapi stigma yang telah merebak ke setiap pemikiran ahli masyarakat memburukkan lagi situasi ini. Tanpa intervensi daripada pihak polis dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan masyarakat terjamin, masalah ini akan terus membarah dan membelenggu kita. Persis kata peribahasa, sudah terhantuk baru terngadah. Apabila berlaku suatu kes jenayah yang melibatkan pendatang asing barulah pihak berkuasa ingin melakukan tindakan yang hangat-hangat tahi ayam sahaja. Izharnya, kedatangan pendatang asing mengancam keselamatan masyarakat tempatan.

Isi 4

Akhir sekali, lambakan pendatang asing yang mencari rezeki di negara ini akan meningkat risiko kesihatan terhadap masyarakat setempat. Untuk pengetahuan semua, tahap kesihatan dan kebersihan kita tidak sama jika dibandingkan dengan negara asing seperti Bangladesh dan Myanmar. Mereka tidak mempunyai perkhidmatan kesihatan percuma yang kita nikmati seperti menerima suntikan vaksin sejak kecil lagi untuk mengelakkan penyakit berjangkit dan sebagainya.Apabila pendatang asing hadir masuk ke dalam negara, mereka berpotensi untuk membawa masuk penyakit-penyakit berbahaya seperti TB kerana mereka tidak mendapat langkah pencegahan diusia muda.

Maka, pihak berkuasa perlu mengetatkan kemasukan pendatang asing dan memeriksa semua aspek kehidupan mereka sebelum memberi kebenaran untuk bekerja dan tinggal di Malaysia. Agensi yang bertanggungjawab untuk membawa masuk pekerja asing perlu menjalankan tugas-tugas dengan lebih teliti dan tepat. Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan perlu dijalankan supaya aspek kesihatan masyarakat tempatan tidak terjejas kerana kehadiran pendatang asing. Tuntasnya, tahap kesihatan masyarakat setempat berisiko menghadapi ancaman apabila menerima kehadiran pendatang asing.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak kesan hasil daripada kedatangan pendatang asing. Sebenarnya kita tidak boleh melihat pada pandangan negatif sahaja tetapi sebaliknya, pendatang asing juga memberikan kesan yang baik seperti meningkatkan kadar produktiviti negara dengan membina infrastruktur yang baik di seluruh negara. Pihak berkuasa hanya perlu mengawal jumlah kemasukan dan memastikan mereka yang tinggal di dalam negara bekerja secara sah dan memiliki permit yang ditetapkan. Untuk masa hadapan, saya berharap negara kita tidak lagi bergantung kepada pendatang asing untuk bekerja kerana kita mempunyai automasi dan kecerdasan artifisial (Ai) yang boleh menggantikan pekerja-pekerja ini. Dasar pendidikan yang lebih proaktif dan sejajar dengan keperluan industri perlu dilaksanakan supaya anak-anak bangsa kita boleh mencari rezeki di tanah air sendiri dengan gaji yang bermaruah untuk hidup dengan selesa. Semoga keamanan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat kita menjadi agenda utama pemimpin negara dalam memajukan Malaysia setaraf negara maju yang lain di seluruh dunia.