Langkah Mengatasi Masalah Penderaan Kanak-Kanak. Contoh karangan cara menangani isu budak-budak di dera di kalangan masyarakat.

Langkah Mengatasi Masalah Penderaan Kanak-Kanak

contoh karangan langkah mengatasi masalah penderaan kanak kanak

Mutakhir ini, banyak permasalahan sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Isu yang memberi ancaman kepada kesejahteraan dan keharmonian masyarakat kita perlu dibincangkan agar solusi yang terbaik dapat direncana. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan langkah-langkah mengatasi masalah penderaan kanak-kanak untuk rujukan semua.

Anak adalah anugerah dan amanah Tuhan kepada mereka yang telah mendirikan rumah tetangga. Tanggungjawab untuk membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang seperti menatang minyak yang penuh perlu dilaksanakan oleh ibu dan bapa. Dengan panduan daripada ibu, bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan amanah tersebut pasti dapat ditunaikan dengan baik.

Contoh Karangan Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Penderaan Kanak-Kanak

Bagi membantu pelajar menambah idea dalam penulisan karangan, ikuti perkongsian berkaitan cara mengatasi penderaan kanak-kanak di kalangan masyarakat di bawah.

Isi-isi penting

  1. Memberikan pendidikan tentang penderaan kanak-kanak
  2. Membudayakan perkhidmatan kaunseling untuk semua lapisan umur masyarakat
  3. Menjadi anggota masyarakat yang peka dengan keadaan sekeliling
  4. Mengamalkan gaya hidup yang sihat
  5. Memperkasa ilmu agama dan moral
  6. Mendalami ilmu dan kemahiran sebagai ibu dan bapa

Pendahuluan

Dalam meniti arus modenisasi pada hari ini, pelbagai kemajuan dan kejayaan yang telah dicapai oleh tamadun manusia. Namun, kemajuan dan kejayaan tersebut tidak memberikan makna jika nilai kemanusiaan kita kekal ditakuk lama. Kita kadang kala digemparkan dengan kes penderaan khususnya yang melibatkan kanak-kanak berlaku dan menyebabkan kanak-kanak tersebut menanggung kesakitan atau meninggal dunia.

Perilaku yang tidak waras ini sering berlaku kerana pelaku hilang pertimbangan dan bertindak untuk melepaskan amarah kepada insan yang tidak mengenal erti kehidupan lagi. Ketidak adilan ini perlu dihentikan dan dicegah agar masyarakat kita menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Ibarat peribahasa, kerana nila setitik, rosak sesusu sebelanga. Maka, sebagai orang awam yang bertanggungjawab, wajar untuk kita bincangkan langkah-langkah mengatasi masalah penderaan kanak-kanak demi manfaat kita bersama.

Isi 1

Pertama sekali, masalah penderaan kanak-kanak boleh diatasi dengan memberikan pendidikan tentang penderaan kanak-kanak kepada orang ramai. Untuk makluman semua, penderaan ini boleh berlaku dimana-mana sahaja samada semasa mereka bersama keluarga, di pusat jagaan atau di sekolah. Oleh yang demikian, pendidikan melalui media massa dan juga media sosial adalah mustahak untuk memberi kesedaran tentang perkara ini.

Sebagai contoh, pesanan khidmat masyarakat di ruangan iklan siaran televisyen oleh animasi terkenal Upin dan Ipin yang memberitahu kanak-kanak apa itu penderaan dan bagaimana cara untuk membuat aduan. Kaedah ini sedikit sebanyak dapat mencapai golongan yang berisiko seperti kanak-kanak untuk tahu bahawa mereka sebenarnya didera dan boleh meminta pertolongan. Tuntasnya, memberi pendidikan tentang penderaan kepada kanak-kanak dapat membendung penderaan daripada berlaku kepada mereka.

Isi 2

Langkah seterusnya untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak adalah dengan membudayakan perkhidmatan kaunseling untuk semua lapisan umur masyarakat. Jika dinilai, kebanyakan kes penderaan berlaku disebabkan oleh pendera mempunyai masalah kesihatan mental atau tekanan jiwa. masyarakat kita masih mempunyai stigma seperti golongan lelaki perlu bekerja keras untuk menampung keluarga tanpa memikirkan kesihatan jiwa dan raganya. Akibat daripada memendam masalah dan tekanan pada diri sendiri, individu tersebut boleh bertindak di luar tabiatnya oleh kerana tidak mampu lagi untuk berfikir secara rasional atau waras.

Justeru, setiap kita sebenarnya berhak untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling untuk meluahkan masalah dan tekanan yang ditanggung oleh diri sendiri. Dengan kepakaran seorang kaunselor, pastinya fikiran seseorang yang berada dalam tekanan dapat ditenangkan dan menjadi lebih rasional dalam setiap tindakan yang diambil. Izharnya, jika setiap diantara kita mempunyai ruang dan orang untuk mendengar dan memahami setiap permasalahan yang dihadapi, pasti masalah seperti mendera dapat dielakkan.

Isi 3

Pada masa yang sama, masalah penderaan dalam kalangan kanak-kanak boleh diatasi dengan menjadi anggota masyarakat yang peka dengan keadaan sekeliling. Kita merupakan mata-mata kepada pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang aktiviti atau perkara yang mencurigakan berlaku dalam kawasan tempat tinggal kita. Bukan untuk menjaga tepi kain orang tetapi budaya mengambil berat sesama jiran perlu disemai kembali. Masyarakat hari ini lazimnya menghabiskan masa di tempat kerja dan tidak gemar untuk meluangkan masa mengenali jiran tetangga.

Namun, kelebihan yang kita dapati masa ini iaitu dengan adanya media sosial, wajar untuk kita manfaatkannya untuk kepentingan komuniti setempat kita. Menyertai atau mewujudkan sebuah kumpulan dalam aplikasi “Whatapps” yang terdiri daripada jiran tetangga dapat merapatkan ukhuwah dan menjamin keselamatan. Apabila sebuah komuniti yang prihatin dibina, tiada ruang untuk pendera melakukan penderaan dalam keadaan yang berisiko untuk mereka. Jelaslah bahawa dengan menjadi masyarakat yang peka dengan keadaan sekeliling, ia membantu membendung penderaan kanak-kanak daripada berlaku.

Isi 4

Dari sudut pandang yang lain, masalah penderaan kanak-kanak boleh diatasi dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Apabila masyarakat kita mengamalkan gaya hidup yang sihat pastinya perlakuan yang tidak mempunyai perikemanusian ini akan berlaku. Tamsilnya, masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat akan mempunyai fikiran yang rasional dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang sia-sia dan memudaratkan.

Apabila seorang individu mampu menjaga kesihatan diri secara fizikal, mereka juga mampu menjaga kesihatan mental dan rohani mereka. Persis kata mutiara, badan cergas, otak cerdas yang bermaksud badan yang sihat akan melahirkan pemikiran yang sempurna akalnya. Selain itu, masyarakat yang sihat pastinya akan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan khususnya nilai kasih sayang dan tanggungjawab dalam keluarga. Intihannya, masalah penderaan kanak-kanak dapat diatasi sekiranya masyarakat mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Penutup

Sebagai kesimpulan, banyak langkah yang boleh digarap untuk membendung masalah penderaan kanak-kanak daripada berlaku dalam masyarakat kita. Sesungguhnya, institusi kekeluargaan penting dalam memebentuk keperibadian nusa bangsa kita. Jika insan madani dapat dihasilkan, masyarakat yang berminda kelas pertama dan ketrampilan tinggi akan dibentuk. Kejayaan membentuk modal insan yang cemerlang akan membawa negara kita ke tahap yang lebih baik dan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Setiap pihak bertanggungjawab menjalankan obligasi masing masing dan memastikan anak-anak dan seluruh komuniti menetang penderaan dan berusaha mewujudkan masyarakat yang penyayang.

Related : membanteras gejala, peranan masyarakat, kes penderaan kanak kanak, membuang sikap, kesedaran yang tinggi, pihak kerajaan, semangat kejiranan, yang tinggi, undang undang, menjaga anak,