Adakah anda suka mengikuti pembelajaran secara atas talian atau secara bersemuka? Banyak pendapat yang berbeza apabila pendidikan secara maya setelah proses pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan. Tidak dinafikan banyak kekurangan yang dihadapi apabila kita menyertai pendidikan secara atas talian tetapi boleh untuk kita huraikan apakah kelebihan pendidikan maya dan pembelajaran atas talian.
Perkembangan teknologi dan sains pada hari ini telah banyak memberikan evolusi kepada rutin harian setiap individu dan organisasi di dunia. Untuk mengelak daripada menjadi seperti katak di bawah tempurung, kita seharusnya bersama-sama memanfaatkan penggunaan teknologi dalam setiap aspek kehidupan. Oleh itu, pelajar perlu melengkapkan diri dengan fakta dan pengetahuan yang tepat untuk menjawab soalan yang bertemakan sains dan teknologi.
Karangan : Kelebihan Pendidikan Maya Dan Pembelajaran Atas Talian
Berikut dikongsikan contoh isi penting dan penulisan karangan berkenaan kelebihan sistem pendidikan maya di negara dan pembelajaran atas talian yang boleh dirujuk oleh pelajar:
Isi-isi penting
- Meningkatkan kemahiran teknologi
- Penyampaian ilmu yang interaktif dan mudah
- Membuka peluang pendidikan jarak jauh tanpa batasan
- Mengurangkan kos perbelanjaan
- Waktu pembelajaran yang fleksibel
- Suasana pembelajaran yang kondusif
Pendahuluan
Pandemik yang melanda dunia akibat penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan masyarakat di seluruh dunia mengubah norma kehidupan. Antara norma baharu yang dipraktikkan adalah pembelajaran secara atas talian atau pendidikan secara maya. Hal ini kerana hampir setiap di antara kita perlu menjalani kuarantin di rumah bagi memutuskan rangkaian penularan wabak yang meragut nyawa ini. Sebenarnya pendidikan secara maya telah pun diadakan sejak aplikasi panggilan video seperti Skype diterbitkan. Namun ia tidak dilaksanakan secara menyeluruh sehingga proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PDPR) diperkenalkan. Semua guru dan murid terpaksa menggunakan komputer, tablet atau telefon bimbit untuk menyertai PDPR dan menjalani persekolahan dari rumah. Sebagai pelajar, wajar untuk kita bincangkan kelebihan-kelebihan pembelajaran maya dan pendidikan atas talian untuk semua.
Isi 1
Antara kelebihan melaksanakan pembelajaran atas talian adalah pelajar dan guru dapat meningkatkan kemahiran teknologi. Hal ini demikian kerana guru dan murid perlu menggunakan komputer, tablet atau telefon bimbit serta capaian Internet untuk menjalankan pembelajaran secara atas talian. Guru perlu mempelajari cara untuk menganjurkan kelas menggunakan aplikasi penggilan video yang terbaik dan mudah untuk para pelajar menyertainya. Dari sudut pelajar pula, mereka perlu peka dan bersedia untuk menyertai setiap kelas yang telah disediakan oleh guru dari subjek-subjek yang berlainan. Kerja sekolah atau latihan yang diberikan oleh guru juga pastinya berbeza jika dibandingkan sewaktu pembelajaran secara bersemuka dilaksanakan. Natijahnya, tidak kira guru atau pelajar, kita kena bersedia untuk mempelajari sesuatu yang baharu bagi meningkatkan kemahiran diri kerana laut yang ditimba tidak akan kering.
Isi 2
Selain itu, pendidikan maya dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif dan mudah. Di bilik darjah, guru perlu menulis di papan hijau atau papan putih untuk mengajar dan pelajar pula merujuk buku teks yang kurang interaktif. Melalui pendidikan secara atas talian, guru boleh menyediakan bahan pengajaran yang lebih interaktif seperti menggunakan Microsoft PowerPoint. Bahan pengajaran ini boleh diselitkan dengan pautan video, gambar dan animasi yang mampu menarik perhatian para pelajar. Tambahan pula, pelajar mempunyai kelebihan untuk mencari sendiri maklumat lebih lanjut tentang sesuatu topik yang dipelajari menggunakan enjin carian seperti Google dan Yahoo. Aplikasi penstriman video seperti Youtube juga telah menjadi salah satu cabang pendidikan secara maya yang semakin mendapat perhatian oleh murid-murid untuk mengulang kaji pelajaran atau mempelajari teknik baharu untuk bersedia menghadapi peperiksaan. Ungkapan lain dahulu lain sekarang jelas menunjukkan pembelajaran atas talian adalah lebih mudah dan interaktif untuk generasi hari ini.
Isi 3
Pada masa yang sama, pembelajaran secara maya sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos perbelanjaan seorang pelajar. Proses pembelajaran di sekolah secara bersemuka memerlukan pelajar untuk memakai uniform sekolah, membeli buku teks dan latihan serta membayar yuran van atau bas untuk menghadirkan diri ke sekolah. Apabila PDPR diperkenalkan, pelajar hanya perlu duduk di rumah dan menyertai kelas tanpa perlu membayar kos-kos yang dinyatakan di atas. Tidak dinafikan ibu dan bapa perlu menyediakan peranti seperti komputer dan capaian Internet yang stabil untuk anak-anak menikmati pembelajaran atas talian yang lancar. Namun, ia dapat membantu meringankan beban secara jangka masa panjang lebih-lebih lagi jika ibu dan bapa kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji sewaktu menghadapi COVID-19. Dari sudut pandang mahasiswa dan mahasiswi pula, pendidikan secara maya ini amat meringankan bebanan kewangan yang ditangung mereka kerana tidak perlu membayar yuran penginapan dan kos pengangkutan yang mereka lazimi. Tuntasnya, pendidikan secara maya dapat menjimatkan kos pelajar pada aspek tertentu.
Isi 4
Di samping itu, pendidikan secara atas talian telah membuka peluang kepada pendidikan jarak jauh tanpa batasan. Justifikasinya, walaupun guru atau pensyarah berada di kampungnya yang terletak di Kota Bharu, Kelantan, pelajar yang menetap di Johor Bahru masih boleh menyertai kelas yang diadakan secara maya. Sekiranya pihak berkuasa ingin memastikan pendidikan dapat disampaikan secara sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia, mereka perlu membangunkan dan memastikan infrastruktur Internet dalam negara berada di tahap yang terbaik dan pada harga yang berpatutan. Berlaku satu insiden di mana tular seorang mahasiswi yang memanjat pokok hanya untuk mendapatkan capaian Internet bagi menjawab peperiksaan secara atas talian. Situasi yang membahayakan nyawa ini wajar dielakkan pada masa hadapan kerana secara realitinya, infrastruktur Internet boleh dibangunkan dimana-mana sahaja. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Tegasnya, dengan memperkukuh infrasturktur Internet, pendidikan secara maya dapat meluaskan capaian pendidikan kepada seluruh ahli masyarakat.
Penutup
Secara keseluruhan, banyak kelebihan yang diperoleh pelajar dan juga guru dalam pelaksanaan pembelajaran secara atas talian. Dalam jangka masa panjang, PDPR yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat mencabar guru dan murid-murid kerana faktor-faktor tertentu. Selain capaian internet yang tidak stabil, semangat dan motivasi pelajar dan guru tidak mencapai satu tahap yang membolehkan ilmu itu disampai dengan berkesan. Secara peribadi, pihak berkuasa seharusnya menggunakan kuasa politik dan pengaruhnya untuk memastikan pendidikan sama rata diberikan kepada seluruh generasi muda di tanah air ini. Hanya dengan pendidikan sahaja kita dapat memastikan masa hadapan negara kekal aman dan maju. Tiada lagi rakyat yang disisih seperti katak di bawah tempurung dan golongan elit yang mengambil kesempatan peluang pendidikan terbaik sehingga menyebabkan jurang antara masyarakat berlaku.
Related : dikatakan demikian kerana, sistem pendidikan di negara, bertaraf dunia, negara maju, sistem pengajaran dan pembelajaran, pelajar dapat menguasai, secara tidak langsung, institusi pendidikan, duduk sama rendah, termasuklah pemprosesan kata hamparan data senarai kandungan, komputer riba, dilakukan di rumah, data senarai kandungan kalendar, menangani kepelbagaian masalah pelajar,
Senarai Tajuk Kecil Artikel