Adakah permainan tradisional masih diminati atau diketahui oleh generasi pada hari ini? Persoalan seperti yang dinyatakan adalah contoh tajuk karangan yang lazimnya dikeluarkan sewaktu ujian penulisan karangan Bahasa Melayu. Ia menyentuh tema kebudayaan dan tradisi yang mencabar kemampuan pelajar untuk memberikan fakta serta menggunakan gaya bahasa yang menarik.
Oleh itu, di bawah dikongsikan contoh karangan cara-cara mempopularkan permainan tradisional untuk panduan semua. Pelajar boleh membaca dan merujuk contoh karangan yang lain untuk menambah pengetahuan serta pengisian yang sesuai dengan tajuk karangan yang ingin ditulis. Tambahan juga, ia dapat membantu pelajar menambah prosa kata atau mempelajari perkataan baharu yang menarik untuk digunakan seperti simpulan bahasa yang sesuai.
Langkah-Langkah Mempopularkan Permainan Tradisional
Berikut dikongsikan isi-isi penting yang sesuai untuk digunakan serta contoh karangan Cara-Cara Mempopularkan Permainan Tradisional sebagai rujukan.
Isi-Isi Penting
- Menyertai program pertukaran budaya di peringkat antarabangsa
- Memasukkan elemen permainan tradisional dalam drama atau filem tontonan umum
- Mewujudkan minggu atau bulan mengharga permainan tradisional
- Mengadaptasi permainan tradisional dengan teknologi terkini
- Menganjurkan pertandingan permainan tradisional dengan lebih kerap dan berprestij
- Ibu, bapa dan ahli masyarakat memperkenalkan permainan tradisonal kepada golongan muda
Pendahuluan
Mutakhir ini, golongan muda lebih kerap untuk menghabiskan masa lapang bermain permainan video atau menonton hiburan secara maya. Jika diimbau sedekad yang lalu, golongan muda akan menikmati masa lapang dengan melakukan pelbagai aktiviti di luar rumah seperti bersukan dan bermain permainan tradisional. Kelahiran pelbagai teknologi yang canggih pada hari ini telah meninggalkan pelbagai kesan kepada kita antaranya kepupusan budaya dan tradisi. Justeru, sebagai warganegara yang bangga dan menghargai budaya serta tradisi masyarakat tanah air ini, kita seharusnya mencari mekanisme terbaik dalam memelihara khazanah yang dimiliki oleh nenek dan moyang kita. Salah satu budaya yang semakin dilupakan adalah permainan tradisional. Persoalan yang timbul adalah bagaimana cara untuk mempopularkan semula permainan tradisional dalam kalangan masyarakat hari ini?
Isi 1
Keadah pertama untuk memasyhurkan permainan tradisional adalah dengan menyertai program pertukaran budaya di peringkat antarabangsa. Kementerian Pelacongan Seni dan Budaya hendaklah aktif dalam menghantar penggiat permainan tradisional tempatan ke acara atau pameran global. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkenalkan permainan tradisional kepada masyarakat asing tetapi kita boleh mendapat ilmu dan pengetahuan tentang cara masyarakat asing memelihara serta mempopularkan permainan tradisional mereka. Kesannya, penggiat permainan tradisional tempatan dapat mempraktikkan ilmu yang dipelajari dan mengangkat semula kemasyhuran permainan tradisional dalam kalangan masyarakat. Rintangan yang timbul pastinya peruntukkan yang tidak mencukupi tetapi di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Dengan niat yang baik, usaha untuk mempopularkan permainan tradisional dengan menyertai program pertukaran budaya di peringkat antarabangsa mampu memberikan impak yang positif.
Isi 2
Selain itu, cara untuk menjadikan permainan tradisional sebagai satu aktiviti kegemaran masyarakat umum adalah dengan memasukkan elemen permainan tradisional dalam drama atau filem tontonan umum. Rakan negara Asia kita iaitu Korea Selatan telahpun berjaya melakukan perkara ini dimana sebuah drama bersiri mereka menjadi tontonan popular di seluruh dunia dengan mengadaptasi permainan tradisional mereka dengan jalan cerita yang baik. Sebenarnya, media massa merupakan saluran utama untuk membentuk pemikiran dan memberikan pendedahan kepada masyarakat umum. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Golongan pemimpin seharusnya menggunakan kuasa yang ada untuk merencana program-program atau drama serta filem yang mempunyai unsur-unsur tradisi dan budaya masyarakat. Dengan penambahan kreativiti serta kesnian yang dimiliki penggiat seni tanah air, ia pasti dapat menerbitkan kandungan yang bermakna dan meninggalkan kesan kepada penonton serta masyarakat umum. Tegasnya, permainan tradisional mampu dipopularkan jika diberikan ruang dalam drama atau filem arus perdana.
Isi 3
Dalam masa yang sama, cara untuk mempopularkan warisan bangsa ini adalah dengan mengadaptasi permainan tradisional dengan teknologi terkini. Sebagai contoh, permainan “Beyblade” yang menjadi kegemaran golongan kanak-kanak kerana menonton animasi popular dari Jepun sebenarnya berasal daripada permainan tradisional mereka yang bernama “Beigoma”. Perkara ini boleh menjadi contoh kepada penggiat permainan tradisional kita dalam memperkasa permainan tradisional masing-masing. Misalnya, permainan gasing boleh dimodenkan dengan menghasilkannya sebagai permainan kanak-kanak dan diperbuat daripada bahan yang mudah untuk dikomersialkan. Langkah ini tidak akan memusnahkan permainan gasing yang asli tetapi sebaliknya makin ramai akan mengambil tahu dan minat terhadap permainan tradisional ini. Persis kata peribahasa Melayu, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Jelas bahawa mengadaptasi permainan tradisional dengan teknologi terkini dapat meningkatkan kepopularannya dalam masyarakat.
Isi 4
Akhir sekali, cara untuk menarik minat orang ramai khusunya golongan muda terhadap permainan tradisional adalah melalui ibu, bapa dan ahli masyarakat. Hampir setiap perkara yang kita pelajari bermula dari rumah. Sehubungan dengan itu, ahli keluarga berperanan untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada keluarga, saudara dan semua kenalan masing-masing untuk mendedahkan kepada mereka keseronokan bermain permainan tersebut. Jika ditelusuri, permainan tradisional sebenarnya dicipta bukan sahaja bagi mengisi masa lapang malah untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli keluarga dan sesiapa sahaja yang bermain bersama. Permainan seperti congkak, batu seremban dan wau mampu menarik minat golongan kanak-kanak terutamanya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Intihannya, ibu dan bapa berperanan penting untuk memperkenalkan permainan tradisional di rumah supaya kemasyuharannya kembali meningkat dan digemari ramai.
Penutup
Sudah terang lagi bersuluh, terdapat banyak cara untuk mempopularkan semula permainan tradisional dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Khazanah yang kita warisi daripada nenek dan moyang kita ini seharusnya dipelihara dengan penuh komited agar ia tidak dilupakan dan menjadi suatu yang asing bagi generasi akan datang. Setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan pihak berkuasa hendaklah mengimbangkan kemajuan ekonomi serta pembangunan sama rata dengan kemajuan budaya dan jati diri masyarakat. Keampuhan arena politik negara sejak kebelakangan ini tidak mencerminkan langkah untuk memajukan diri serta masyarakat Malaysia ke arah yang lebih baik. Sebelum nasi menjadi bubur, segala inisiatif di bawah memelihara budaya serta tradisi setiap bangsa, etnik mahupun suku kaum wajar disokong sepenuhnya tanpa sebarang bantahan.
Related : pasir gudang johor, cara membelikan, permainan tradisional kepada anak, festival layang layang antarabangsa, membawa anak anak, aktiviti kokurikulum, permainan tradisional di negara, kenal maka tak cinta, sepak raga, permainan tradisional sebagai hadiah, kacang lupakan kulit, pelancong asing, perlu memberi,
Senarai Tajuk Kecil Artikel