Cara Mengatasi Masalah Ponteng Sekolah Dalam Kalangan Pelajar. Contoh karangan Langkah-Langkah Membanteras Gejala Ponteng murid.

Cara Mengatasi Masalah Ponteng Sekolah Dalam Kalangan Pelajar

contoh karangan cara mengatasi masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar

Setiap pelajar kadang kala mempunyai hal-hal keluarga atau kesihatan sehingga menyebabkan mereka tidak hadir atau ponteng sekolah. Tetapi terdapat dalam kalangan pelajar dengan sengaja ponteng ke sekolah kerana ingin melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti melepak dan sebagainya. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan cara mengatasi masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar.

Polemik yang membelenggu warga sekolah terutamanya ibu bapa ini wajar menjadi tajuk atau tema soalan karangan Bahasa Melayu. Hal ini kerana ia dapat menyedarkan para pelajar serta memberikan cadangan yang mungkin boleh dilaksanakan oleg guru untuk memastikan tiada pelajar memonteng sekolah.

Contoh Karangan Cara/ Langkah Mengatasi Masalah Ponteng Sekolah Dalam Kalangan Pelajar

Anda boleh merujuk contoh karangan langkah menangani ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang dikongsikan di bawah. Untuk memastikan penulisan karangan anda menarik, gunakan penanda wacana, peribahasa serta frasa-frasa yang sesuai dengan huraian yang diberikan.

Isi-isi penting

  1. Memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah menarik
  2. Menyediakan infrastruktur sekolah yang kondusif
  3. Memastikan pelajar mengetahui dan memahami peraturan sekolah
  4. Menasihatkan ibu, bapa atau penjaga pelajar yang terlibat supaya lebih bertanggungjawab
  5. Media menerbitkan kandungan tentang kesan ponteng serta kepentingan pendidikan kepada semua
  6. Mencari punca atau faktor yang mendorong pelajar untuk memonteng sekolah

Pendahuluan 

Ponteng secara definisi bermaksud melarikan diri daripada tanggungjawab atau meninggalkan tugas tanpa kebenaran. Dari aspek persekolahan, ponteng adalah perlakuan pelajar yang meninggalkan bilik darjah semasa waktu persekolahan. Gejala yang sia-sia ini berlaku di kebanyakan sekolah disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya adalah pengaruh rakan-rakan dan juga masalah peribadi.

Sekiranya isu ini terus menjadi masalah di peringkat sekolah, ia bakal memberikan kesan buruk kepada masyarakat kita kerana pelajar akan tercicir daripada pendidikan yang sepatutnya mereka dapatkan. Tanpa pendidikan, ahli masyarakat tidak akan maju dan hidup seperti katak di bawah tempurung. Oleh itu, wajar untuk setiap pihak membrikan perhatian terhadap polemik ini dan mengetahui cara-cara membanteras masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar.

Isi 1

Usaha sulung yang perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah ponteng sekolah adalah dengan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah menarik. Langkah ini bukan untuk menambah bebanan guru tetapi merupakan tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia supaya memastikan silibus setiap mata pelajaran relevan serta menarik perhatian pelajar. Sebagai contoh, subjek Sains dan Teknologi yang diperkenalkan di peringkat sekolah rendah mampu menarik minat pelajar untuk ke sekolah dan tidak ponteng.

Mereka berpeluang untuk belajar menggunakan komputer dan mencipta kod-kod yang menarik untuk sebuah program aplikasi atau permainan video. Perkara ini menjadi relevan kerana ia dekat dengan cara hidup mereka yang dikelilingi dengan hiburan melalui telefon atau peranti pintar. Izharnya, menjadikan PdP di sekolah lebih menarik untuk pelajar mampu mengatasi maslah ponteng dalam kalangan mereka.

Isi 2

Cara lain untuk membendung masalah ponteng dalam kalangan pelajar adalah dengan menyediakan infrastruktur sekolah yang kondusif. Sekolah merupakan institusi utama dalam membentuk sesebuah masyarakat tetapi ia seringkali tidak mendapat perhatian dalam pembentangan belanjawan oleh kerajaan yang memerintah. tambahan pula, pendidikan seharusnya berevolusi seiring dengan perkembangan sains dan teknologi. Namun, PdP yang dilaksanakan di sekolah di dalam negara masih lagi menggunakan cara kuno seperti menggunakan buku dan papan hitam.

Malah banyak sekolah di kawasan pedalaman masih menggunakan struktur binaan kayu-kayan sedangkan bangunan pencakar langit giat dibangunkan di ibu negara kita. Pihak yang berkenaan seharusnya memastikan infrasturktur di sekolah berada pada tahap yang terbaik dan tidak menjalankan tugas seperti melepaskan batuk di tangga. Tegasnya, jika kita mahu anak-anak tidak meninggalkan bilik darjah mereka, pastikan bilik darjah tersebut selesa dan menarik untuk mereka menelaah ilmu demi masa hadapan mereka.

Isi 3

Langkah seterusnya adalah memastikan pelajar mengetahui dan memahami peraturan sekolah supaya mereka tidak melakukan gejala ponteng sekolah. Peribahasa Melayu menyatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Untuk melahirkan generasi yang berdisiplin tinggi dan beretika baik, kita hendaklah mendidik mereka sejak kecil khususnya di sekolah. Maka guru dan ibu bapa perlu memastikan pelajar memahami dan mematuhi segala peraturan sekolah agar kelak mereka memahami dan mematuhi undang-undang di dalam mahupun luar negara.

Langkah seperti membacakan peraturan-peraturan sekolah pada setiap perhimpunan pelajar wajar dipraktikkan sebagai peringatan kepada semua untuk tidak melakukan sebarang kesalahan. Pelajar juga akan mengetahui hukuman yang bakal menimpa mereka jika mereka melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Natijahnya, pelajar yang memahami peraturan sekolah akan mematuhinya dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan seperti memonteng kelas.

Isi 4

Akhir sekali, cara untuk atasi masalah ponteng dalam kalangan pelajar adalah dengan menasihati ibu, bapa atau penjaga pelajar yang terlibat dengan gejala tersebut supaya lebih bertanggungjawab. Tugas mendidik anak-anak seharusnya bermula dari rumah dan tidak diserahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru di sekolah. Mungkin ramai di antara ibu dan bapa yang sibuk bekerja demi menyara keluarga masing-masing tetapi tanggungjawab mendidik anak-anak juga adalah amanah daripada Tuhan.

Pastikan anak-anak dapat meluangkan masa bersama ibu dan bapa di rumah agar mereka dapat meluahkan maslah yang dihadapi di sekolah kepada individu yang mereka percayai iaitu ibu, bapa atau ahli keluarga yang lain. Jika silaturrahim antara keluarga erat, pastinya pertalian antara naka-anak dengan warga sekolah serta rakan-rakan akan bertambah baik. Mereka tidak akan membuang masa dan tenaga untuk memonteng sekolah yang memberikan keseronokan serta nilai tambah pada diri mereka. Tekanan dan pengharapan daripada ibu dan bapa hendaklah relevan dengan kemapuan pelajr dan keluarga tersebut. Intihannya, jika ibu, bapa atau penjaga menjalankan tanggungjawab yang baik dalam mendidik anak-anak, isu ponteng sekolah tidak akan timbul dan menjadi masalah.

Penutup

Kesimpulannya, masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar mampu diatasi dengan pelbagai cara yang telah dihuraikan. Sesungguhnya pendidikan merupakan kemahiran asas yang perlu dimiliki dan ditambah baik oleh setiap individu kerana pendidikan boleh diibaratkan sebagai penyelesaian kepada segala rintangan dan cabaran dalam kehidupan. Jikalau pelajar sudah tidak mempunyai motivasi untuk mendapatkan pendidikan di sekolah sehingga memonteng kelas, apalah nasib mereka apabila menjadi dewasa nanti. Justeru, setiap pihak hendaklah berganding bahu melaksanakan langkah-langkah yang telah diutarakan demi generasi masa hadapan yang lebih baik. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga anak-anak muda ini dipersiapkan untuk menghadapi masa depan yang tidak menentu dengan penuh ilmu yang bermanfaat di dada.

Related : pihak polis, guru guru, gejala ponteng dalam kalangan pelajar, peranan ibu bapa, menangani gejala ponteng sekolah, memberi perhatian, gejala sosial, membanteras gejala ponteng, pihak sekolah, secara tidak langsung, hadir ke sekolah,